Soal Jawab : Bid’ah PDF Print E-mail
Selasa, 15 Disember 2009 18:19
Soalan:

Dalam suatu pertemuan, kami ada membincangkan masalah bid’ah secara istilah. Sebahagian daripada kami mengatakan bahawa bid’ah itu mencakupi semua bentuk yang menyalahi ketentuan asy-Syâri’. Sedangkan sebahagian yang lain mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bid’ah itu hanyalah penyimpangan ketentuan asy-Syâri’ dalam bab ibadah. Kami ingin memohon penjelasan tentang masalah ini. Semoga Allah SWT memberikan balasan yang lebih baik kepada anda.

Jawapan:

Perintah-perintah asy-Syâri’ itu mempunyai dua jenis:

Jenis pertama, dinyatakan ayat perintah yang disertai oleh penjelasan tatacara menunaikan perintah tersebut, iaitu langkah-langkah praktikal untuk menunaikannya. Misalnya Allah SWT berfirman:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
“Dan dirikanlah solat”. [TMQ Al-Baqarah (2): 43]

Ini adalah ayat perintah. Akan tetapi manusia tidak dibiarkan untuk solat mengikut keinginannya melainkan dengan diiringi oleh nas-nas lain yang menjelaskan tatacara menunaikan solat yang dimulai takbiratul ihram, berdiri, membaca al-Fatihah, ruku’, i’tidal, sujud dan seterusnya. Demikian juga Allah berfirman:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ
“..Dan mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah”  [TMQ Ali-‘Imran (3): 97]

Ini adalah ayat perintah untuk menunaikan haji “berbentuk ayat berita dengan  makna tuntutan”, kemudian terdapat nas-nas yang menjelaskan tatacara menunaikan perintah berhaji tersebut.

Jenis kedua, dinyatakan ayat perintah yang bersifat umum atau mutlak tanpa disertai dengan penjelasan tatacara untuk menunaikannya, yakni tiada penjelasan tentang langkah-langkah praktikal untuk menunaikannya.

Misalnya sabda Rasulullah saw:

“Barangsiapa  yang melakukan salaf atas sesuatu, hendaklah dalam takaran dan timbangan tertentu dalam  jangka waktu tertentu” [HR Bukhari]

Di sini terdapat perintah melakukan jual beli salam “salaf” dengan kalimat ayat bersyarat. Beliau memerintahkan agar jual beli salam itu dilakukan pada takaran, timbangan dan jangka waktu tertentu. Akan tetapi asy-Syâri’ tidak menjelaskan tatacara langkah-langkah perlaksanaannya, misalnya adakah dua orang yang berakad perlu duduk berhadapan dan membaca sesuatu daripada al-Quran, kemudian melangkah ke depan  saling memeluk satu sama lain, kemudian saling menyeru dalam masalah jual beli salam dan setelah itu baru dilakukan ijab dan qabul.

Contoh lain, sabda Rasulullah saw:

“Emas dengan emas adalah riba kecuali secara tunai” [HR Muslim]

“Emas dengan emas harus sama, dirham dengan dirham harus sama” [HR Bukhari dan Muslim]

Ini merupakan perintah “ayat berita dengan makna tuntutan”. Akan tetapi tidak dijelaskan tatacara langkah-langkah praktikal untuk pertukaran tersebut seperti yang kami sebutkan sebelumnya.

Contoh yang lain, telah sahih bahawa Rasul SAW telah memerintahkan untuk berdiri jika terdapat  jenazah yang lalu. Akan tetapi beliau tidak menjelaskan tatacara langkah-langkah praktikal berdiri tersebut seperti yang kami jelaskan pada contoh yang pertama.

Jadi di sini, terdapat perintah-perintah asy-Syâri’ yang bersamanya dinyatakan  langkah-langkah praktikal untuk menunaikannya, dan terdapat juga perintah-perintah asy-Syâri’ yang dinyatakan secara mutlak atau secara umum tanpa disertai dengan langkah-langkah praktikal secara terperinci tentang tatacara menunaikannya.

Penyimpangan daripada perintah asy-Syâri’ yang di dalamnya dinyatakan tatacara penunaiannya secara istilah disebut sebagai  bid’ah kerana ia dilakukan tidak menurut tatacara yang telah dijelaskan oleh asy-Syâri’.

Jadi bid’ah secara bahasa seperti yang dinyatakan di dalam Lisân al-‘Arab: orang yang mengada-adakan (al-mubtadi’) adalah orang yang mendatangkan sesuatu perkara yang belum pernah ada contohnya. Mengada-adakan sesuatu (abda’at asy-syay’a): membuatnya tidak berdasarkan contoh sebelumnya.

Bid’ah secara istilah pula, iaitu penyimpangan tatacara syar’i yang telah dijelaskan oleh syara’ untuk menunaikan sesuatu perintah syar’i. Inilah maksud yang disebut dalam hadis berikut:

“Barangsiapa yang melakukan sesuatu perbuatan yang tidak ada ketentuan kami tentangnya, maka ia tertolak” [HR Bukhari dan Muslim]

Jika seseorang bersujud sebanyak tiga kali di dalam solatnya (dalam satu rakaat) dan bukannya dua kali, maka itu adalah bid’ah. Barangsiapa yang melontar jamrah di Mina sebanyak lapan kali lontaran dan bukannya tujuh kali lontaran, maka ia telah melakukan bid’ah. Semua bid’ah merupakan kesesatan, dan setiap kesesatan tempatnya di dalam neraka, iaitu dia berdosa atas perbuatannya tersebut.

Sebaliknya, bagi perintah-perintah syara’ yang tidak memiliki tatacara tertentu (dalam perlaksanaannya), maka itu termasuk dalam cakupan hukum-hukum syara’. Jadi ia dikatakan sama ada haram, atau makruh, atau mubah jika berbentuk seruan taklif (khithâb at-taklîf). Atau ia dikatakan batil atau fasid jika berbentuk seruan wadh’i (khithâb al-Wadh’i). Hal itu bergantung kepada petunjuk (qarinah) yang menyertai perintah tersebut dari segi ketegasan, penguatan atau pilihan.

Dalam contoh kami yang pertama, barangsiapa yang melakukan salaf  “iaitu mengakadkan akad salam” dengan menyalahi perintah asy-Syâri’ iaitu tanpa takaran, timbangan dan tempoh tertentu, maka itu tidak dikatakan bahawa dia melakukan bid’ah. Tetapi dikatakan bahawa itu akad yang menyalahi perintah asy-Syâri’, ia adalah batil atau fasid, bergantung kepada jenis penyimpangannya.

Pada contoh kedua, jika menyalahi perintah asy-Syâri’ tentang “emas dengan emas, secara tunai dan sama”, seandainya seseorang lelaki menukar emas dengan emas dengan cara menyalahi perintah asy-Syâri’ iaitu tidak sama dan bukan secara tunai, maka itu tidak dikatakan bahawa ia mendatangkan bid’ah kerana menyalahi perintah tersebut. Melainkan dikatakan ia melakukan keharaman dengan melakukan muamalah ribawi.

Menyalahi perintah berdiri ketika ada jenazah yang lalu dan ia tetap duduk, tidak dikatakan bahawa itu adalah bid’ah, tetapi dikatakan bahawa itu adalah mubah kerana nas-nas syara’ menyatakan dua keadaan. Imam Muslim mengeluarkan hadis daripada Ali bin Abi Thalib r.a, ia berkata:

“Rasulullah SAW berdiri kemudian beliau duduk” [HR Muslim]

Begitu juga dalam contoh lain berkenaan memilih pasangan,

“Pilihlah yang memiliki kebaikan agama, nescaya engkau akan selamat” [HR Bukhari]

Penyimpangan terhadap perintah ini tidak dikatakan sebagai bid’ah, akan tetapi perlu dikaji hukum syara’ berkaitan pernikahan dengan wanita yang tidak memiliki kebaikan agama. Hal itu adalah kerana tidak dijelaskan langkah-langkah praktikal dalam memilih pasangan. Misalnya adakah orang yang meminang itu perlu berdiri di depan wanita itu, membaca ayat kursi, lalu melangkah ke depan satu langkah dan membaca surah al-Falaq dan an-Nas, kemudian melangkah satu langkah lagi dan membaca basmalah, kemudian menghulurkan tangan kanannya dan menyampaikan pinangan.

Demikian juga sabda Rasul SAW,

“Wahai para pedagang, sesungguhnya jual beli ini dihadiri oleh ungkapan berlebihan dan sumpah, maka siramilah ia dengan sedekah” [HR Abu Dawud dan Ahmad]

Ucapan Nabi SAW itu disampaikan kepada para pedagang disebabkan mereka banyak bersumpah. Maka asy-Syâri’ tidak menjelaskan langkah-langkah terperinci untuk menunaikan perintah “siramilah”. Oleh sebab itu, maka tidak dikatakan bahawa barangsiapa yang menjual dan menggunakan sumpah, jika ia tidak jujur, itu tidak dikatakan bahawa ia telah mendatangkan bid’ah. Melainkan perlu dikaji hukum syara’ berkaitan dengan ketidakjujuran pedagang yang mengucapkan sumpah ketika berjual beli itu.

Begitulah berkaitan penyimpangan terhadap perintah-perintah asy-Syâri’ yang tidak menunjukkan tatacaranya secara terperinci untuk menunaikannya.

Dengan melakukan rungkaian terhadap nas-nas syara’, didapati bahawa pada sebahagian besar ibadah dinyatakan tatacara untuk menunaikan perintah asy-Syâri’ tersebut, iaitu langkah-langkah praktikal untuk menerapkan perintah asy-Syâri’ itu. Oleh kerana itu, bid’ah tidak terjadi dalam perkara selain daripada ibadah. Kerana hanya ibadah sahajalah yang di dalamnya dinyatakan langkah-langkah praktikal untuk menerapkan perintah asy-Syâri’.

Dinyatakan sebahagian besar ibadah kerana terdapat juga beberapa ibadah yang tidak dinyatakan langkah-langkah praktikal perlaksanaannya. Misalnya, jihad. Meskipun jihad adalah ibadah, namun perintah-perintahnya dinyatakan secara mutlak atau bersifat umum.

“Perangilah orang-orang kafir yang berada di sekitar kamu itu” [TMQ At-Taubah (9): 123]

“Berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka.” [TMQ At-Taubah (9): 73]

Perintah-perintah tersebut tidak terdapat nas-nas yang menjelaskan tatacara pelaksanaannya. Tidak terdapat tatacara contohnya memerangi itu dengan apa, adakah dengan membaca ayat-ayat, mengirim pengintip, melangkah satu langkah ke depan, kemudian bergerak ke kanan dan sebagainya. Oleh kerana itu, barangsiapa yang tidak berjihad pada waktu yang telah ditetapkan untuk berjihad, tidak dikatakan ia mendatangkan bid’ah. Melainkan dikatakan ia melakukan keharaman kerana tidak turut berjihad.

Ringkasnya bahawa penyimpangan terhadap perintah asy-Syâri’ di mana asy-Syâri’ telah menjelaskan tatacara penunaiannya, maka penyimpangan itu merupakan bid’ah. Sedangkan penyimpangan perintah asy-Syâri’ yang bersifat mutlak atau bersifat umum, di mana asy-Syâri’ tidak menjelaskan tatacara penunaiannya, maka penyimpangan itu berlaku bergantung pada hukum syara’, “taklif - sama ada haram, makruh, mubah” atau “wadh’iy – sama ada batil, fasad”.

Dengan melakukan penelitian, didapati bahawa kebanyakan ibadah di dalamnya dinyatakan tatacara penunaiannya. Oleh sebab itu, penyimpangan yang terjadi di dalam ibadah adalah termasuk dalam kategori bid’ah. Manakala dalil-dalil muamalah atau jihad yang dinyatakan secara mutlak atau umum, penyimpangan yang terjadi di dalamnya termasuk dalam bab hukum syara’ “taklif: haram, makruh, mubah” atau “wadh’iy: batil, fasad”.

(Sumber : http://www.hizb-ut-tahrir.info)