Memahami Peranan Muslimah PDF Print E-mail
Isnin, 29 Disember 2008 00:56
Peranan Muslimah dalam dunia Islam adalah sesuatu yang sering dan hangat dibincangkan, dan sering kali menimbulkan pelbagai andaian. Malangnya, perbincangan lebih menjurus kepada kesimpulan yang negatif.  Satu persepsi yang paling biasa adalah wanita perlu hidup di bawah penindasan ala diktator para suami dan bapa mereka, dipaksa berkahwin dan sudah tentu, wanita juga dianggap tersepit dan menderita di sebalik tudung mereka.  Dari segi sumbangan dan peranan wanita Muslim di dalam masyarakat pula hanya dalam lingkungan sejauh lima meter dari singki dapur.

Perbincangan berkenaan wanita Muslim dan peranan mereka sebenarnya adalah sesuatu yang penting untuk setiap Muslim. Pertamanya kerana ia adalah perkara yang melibatkan banyak salah anggap di kalangan golongan Kuffar yang perlu diperbetulkan Keduanya kerana segelintir dari golongan Muslim sendiri melayan kaum wanita secara tidak adil dan kononnya berasaskan Islam padahal hakikatnya, tindakan dan layanan mereka itu sering kali adalah berlandaskan budaya dan adat resam bangsa yang sememangnya bukan dari Syariat Islam.

Salah faham yang membenarkan layanan sedemikian rupa terhadap Muslimah berpunca dari dua sumber; iaitu dari kaum Muslimin yang memberikan justifikasi bahawa penindasan dan salah laku mereka adalah bersumberkan (syariat) Islam.  Juga dari segolongan kaum Kuffar yang mempunyai agenda untuk mempergunakan ajaran Islam  dan menggambarkan  peradaban Islam sebagai mundur dan menindas. 

Kebelakangan ini, layanan wanita Muslim di Afghanistan telah digunakan untuk mempamerkan gambaran penindasan dan penderaan ke atas wanita Muslim dan seterusnya menyalahkan hukum syarak. Contoh lain yang lebih ketara adalah pembunuhan Banaz Mahmood di United Kingdom oleh bapa dan pakciknya sendiri demi ‘maruah’.  Contoh lainnya pula ialah Mukhtar Mai di Pakistan yang telah diperkosa secara berkumpulan sebagai hukuman pembalasan ke atas abang beliau yang dikatakan mempunyai hubungan dengan anak gadis ketua kampung mereka. Walaupun jelas tingkah laku dan tindakan ini bukan berasaskan Islam, tetapi pihak media Barat telah menghubungkaitkan jenayah ini dengan ajaran Islam.

Peranan Muslimah telah ditakrif dan digariskan dengan amat jelas dalam Islam. Secara ringkasnya, peranan utama Muslimah adalah untuk mengasuh dan mendidik anak-anak dan menjadi isteri yang bertanggung jawab. Mereka dituntut untuk melaksanakan segala tugas dan tanggung jawab dengan penuh kesungguhan dan ketaatan. Hadis di bawah memperingatkan wanita Muslim akan kebaikan dan ganjaran dalam melaksanakan peranan utama mereka.

Seorang wanita telah datang kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berurusan tentang satu perkara, dan apabila telah selesai urusannya, Baginda bertanya kepada wanita itu, “Adakah kamu mempunyai suami?” Beliau menjawab, “Ya.” Baginda bertanya lagi, “Bagaimanakah hubungan kamu dengannya?” Beliau menjawab, “Aku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabku kecuali yang di luar kemampuan ku.”  Baginda berkata, “Berilah sepenuh perhatian terhadap layanan kamu kepadanya kerana dia adalah Syurga dan Neraka mu.”  [HR Ahmad]"

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Wanita yang terbaik dari golongan Quraish adalah mereka yang berbuat baik terhadap anak-anaknya dan menjaga harta-benda suami mereka.” Namun begitu, peranan wanita bukanlah hanya semata-mata sebagai seorang ibu dan isteri.  Islam membenarkan wanita menunaikan ibadah Haji, melibatkan diri dalam memilih pemimpin, bergiat di dalam politik, bekerja mahupun menjalankan perniagaan.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman bahawa lelaki dan perempuan adalah setara di hadapan Allah. Yang membezakan mereka adalah ketakwaan, beza dalam mengejar ganjaran kebaikan dan beza dalam mematuhi segala suruhanNya. Bukannya persamaan dari segi fizikal. Untuk menjelaskan lagi, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjadikan lelaki dan wanita itu berbeza dari segi peranan serta cara untuk meraih ganjaran dari Allah. ”Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka" [TMQ Surah an Nisa (4):34]

Sesetengah perintah dalam Islam bersifat umum dan terkena ke atas semua Muslim sama ada lelaki mahupun wanita. Sebahagian taklif (beban hukum) pula ditujukan khusus untuk lelaki dan sebahagiannya pula hanya untuk wanita.  Terdapat berbagai aktiviti yang dibolehkan untuk Muslimah terlibat di dalamnya yang mana sesetengahnya memang menjadi tanggung jawab mereka dan tidak boleh di kompromi.  Tanggapan bahawa wanita Muslim tidak boleh berpendidikan atau bekerja adalah sesuatu yang tidak masuk akal.  Pengetahuan dan pemahaman asas kehidupan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan isteri-isteri baginda menjelaskan contoh wanita-wanita Muslim yang cemerlang di dalam bidang yang mereka ceburi. Isteri Rasullullah Sallallahu alaihi wa Sallam, Khadijah Radhiallahu anha bukan hanya seorang peniaga bahkan dia merupakan seorang usahawan yang berjaya. Saidatina Aisyah pula amatlah terkenal sebagai orang yang bertanggungjawab meriwayatkan sebahagian besar hadis-hadis.

Dalam Islam, Muslimah bukan sahaja dibenarkan untuk menerima pendidikan dan bekerja tetapi sepatutnya dan sememangnya akan diberi peluang di dalam Daulah Islam (Daulah Khilafah) untuk cemerlang di dalam kepakaran masing-masing.  Kewajiban menuntut ilmu adalah terbeban di atas bahu setiap Muslimin dan Muslimah dan Daulah Khilafah bertanggungjawab memberi pendidikan sehingga ke tahap tertinggi kepada wanita, sebagaimana diberikan kepada lelaki. Wanita dilihat sebagai seorang warganegara yang amat bernilai yang bukan sahaja memberikan ilmu dan kepakaran tetapi juga mendidik, mengasuh, memupuk syakhsiyyah Islam kepada generasi Islam akan datang. Dalam pelbagai sudut, Muslimah memberikan sumbangan dan memainkan peranan yang amat penting dan mulia di dalam masyarakat.

Dalam kebanyakan aktiviti yang dibolehkan untuk Muslimah melakukannya, salah satu yang paling penting adalah hak untuk menyeru kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran serta membincang dan mengambil berat tentang masalah umat Islam. Dengan meningkatnya kebangkitan dan kesedaran politik Muslim di serata dunia, suara politik Muslimah dalam menyumbang ke arah ini tidak boleh disisihkan. Sesungguhnya contoh-contoh aktiviti seperti ini telah wujud sejak zaman Rasulullahlah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam lagi hinggalah ke hari ini.  Islam mendefinisikan politik sebagai ri’ayah asy-syu’un al-ummah (memelihara urusan umat). Wanita Muslim tidak terpisah atau terasing malahan berada di tengah-tengah umat dan hidup sebagai sebahagian dari umat ini.  Mereka merasai permasalahan yang menyelimuti masyarakat dan sebahagian besar dunia Islam, mereka merasai ketiadaan Islam sebagai pembela terhadap penindasan dan kekejaman rejim Kuffar.

Penglibatan Muslimah dalam politik bukanlah suatu fenomena baru.  Antara contoh awal ialah pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam apabila pemimpin Yatsrib (Madinah) menghantar wakil Bani Khazraj untuk memberikan bai’ah kepada Baginda Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kumpulan ini terdiri daripada 73 orang lelaki dan 2 orang wanita, yang berbaiah kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, iaitu Bai’atul Aqabah Kedua yang tersohor kerana ia membawa implikasi spiritual dan politik. Bai’at itu bukan hanya satu deklarasi menerima Islam tetapi ia juga adalah satu aku janji untuk memberi sokongan politik dan ketenteraan. Contoh lain tentang penglibatan wanita dalam politik adalah pada awal abad ke-14 Hijrah, Umm Muqtadir Billah, bonda kepada Khalifah Abbasiyyah, telah membentuk satu tribunal pengadilan bertujuan menyelesaikan rayuan dan tuntutan undang-undang serta meletakkan salah seorang dari pengiring perempuannya sebagai hakim.

Sebuah buku tulisan Zainab Ghazali yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan komitmen beliau dalam menjalankan tanggung jawab dakwah Islam dan usaha beliau dalam rangka untuk menegakkan sistem Islam. Akibatnya beliau telah diseksa dan dipenjarakan.  Beliau menceritakan mengenai komitmennya ini di dalam bukunya untuk mengingatkan suami beliau tentang tanggung jawab mereka terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Apabila berlaku pertembungan antara kepentingan akad perkahwinan kita dan urusan dakwah, maka perkahwinan kita akan berakhir, akan tetapi dakwah akan sentiasa berakar umbi di dalam dadaku…Aku mengetahui akan hakmu untuk memerintahku dan adalah tanggungjawabku untuk mematuhimu, tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam jiwa kita adalah lebih besar dari nyawa kita, dan dakwahNya adalah lebih dekat dengan kita dari diri kita sendiri..
 
Beliau menerangkan lagi tentang fokus dakwahnya.
Bagi mereka yang sudah menjangka kepayahan jalan ini dan tahu - dengan izin Allah - rahsia di sebalik ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, mereka tidak akan sama sekali menyimpang dari kebenaran, mengajak kepada makruf dan berdakwah sehingga ummah kembali terbela dan semua umat manusia berada di bawah satu panji-panji Allah.”

Sejak sekian lama, wanita Muslim di katakan tidak berguna dan tidak berupaya untuk menjelaskan pendirian mereka di landasan politik. Namun kini keadaan sudah semakin berubah. Semakin ramai wanita di Pakistan, Indonesia, Mesir yang menyatakan pandangan dan keprihatinan mereka di khalayak umum, bermuhasabah kepada pemimpin, memberi pendapat di bidang pendidikan dan kesihatan, menyeru kepada Khilafah di dunia Islam. Wanita Muslim adalah sebahagian dari masyarakat, maka sudah semestinya mereka memainkan peranan yang penting dalam membangunkan masyarakat Islam yang sejati.  Dalam Islam, wanita dilihat sebagai sebahagian anggota masyarakat yang bermartabat tinggi dan amat bernilai. Peranan wanita Muslim dalam mematuhi perintah Allah bukanlah mengagungkan lelaki tetapi mengagungkan satu-satuNya yang berhak untuk diagungkan (iaitu) Allah Yang Maha Esa.

Allah berfirman
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”  [TMQ At Taubah (9):71].

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan di atas bahu kita sebagai umat ini, tugas yang mulia iaitu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Muslimah wajiblah menunaikan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh semangat dan kesungguhan sebagaimana dia melaksanakan tanggungjawab dan ketaatan terhadap perintah Allah yang lainnya.

Sumber: Khilafah.com