SN119 - ANTARA DUA DARJAT PDF Print E-mail
Khamis, 12 Jun 2008 21:34

PDF

SN Keluaran 11 Mei 2007
 

Logo SN


[SN119] Hari Buruh ataupun dikenali juga dengan sebutan ‘May Day’ akan disambut sekali lagi di seluruh dunia beberapa hari lagi iaitu pada 1 Mei 2007 dengan berbagai-bagai acara dan aktiviti. Seperti biasa kita akan melihat golongan pekerja di seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia akan mengadakan beberapa acara bagi memperingati hari tersebut. Bagi sebahagian dari mereka khususnya yang fanatik, tarikh 1 Mei tidak akan bermakna kecuali disertai dengan aktiviti perjuangan yang diadakan pada hari tersebut. Antara acara yang sering dilakukan oleh golongan pekerja untuk merayakan Hari Buruh ini adalah demontrasi/perhimpunan dan rapat umum bagi menunjukkan rasa tidak puas hati (protes) mereka kepada majikan (termasuk kerajaan) yang kononnya tidak melayan mereka dengan adil. Sautun Nahdhah pada tarikh yang sama dua tahun lepas telah mengupas panjang lebar akan sejarah kemunculan dan sambutan Hari Buruh pada setiap 1 Mei, yang secara ringkasnya adalah merupakan satu hari yang hanya muncul hasil dari kezaliman dan penindasan Sistem Kapitalisme. Malangnya, kejahilan umat Islam akan hakikat sambutan 1 Mei telah menyebabkan mereka terjebak ke dalam perangkap Ideologi Kapitalis, lalu mereka turut meraikannya. Walhal Islam tidak pernah mengenal apatah lagi menyambut atau merayakan Hari Buruh ini.

Sambutan Hari Buruh atau Hari Pekerja ini tidak lebih menjadi siaran ulangan, khususnya bagi kesatuan-kesatuan sekerja untuk menuntut hak yang lebih dari majikan mereka. Antara tuntutan yang saban tahun jelas kedengaran adalah tuntutan naik gaji atau tuntutan had gaji minimum yang sama rata. Secara sedar atau tidak, idea yang pro kepada Sosialisme ini lama-kelamaan telah melekat dengan umat Islam. Ketidaksedaran mereka akan idea (pro Sosialisme) ini adalah kerana ia dikaburi oleh perjuangan menuntut hak terhadap majikan yang dirasakan telah menghakis hak mereka. Maka, mereka tidak lagi mengkaji hukum fiqh berkenaan mua’malat, tetapi bertindak mengikut emosi berdasarkan ‘manfaat’. Justeru, mereka melihat perjuangan ini wajar tanpa menilai lagi dari segi ‘halal dan haram’ akan apa yang mereka lakukan. Mereka bangkit kononnya untuk menuntut hak dan keadilan, tetapi malangnya mereka tidak sedar bahawa mereka bangkit membawa wadah Sosialisme, bukannya Islam. Mereka juga tidak sedar bahawa penindasan yang mereka alami selama ini adalah disebabkan oleh Sistem Kapitalis yang mereka amalkan sendiri, yang secara semulajadinya memang bersifat menindas.

Beberapa Tuntutan Pekerja

Jika kita perhatikan bentuk-bentuk ketidakpuasan hati pekerja terhadap majikan kebanyakannya berkisar kepada tuntutan kenaikan gaji, elaun, penentuan gaji minimum, cuti bersalin, jam kerja dan beberapa perkara yang berkaitan dengan kebajikan pekerja. Bagi kakitangan awam, mereka menunggu-nunggu tarikh 22 Mei ini sama ada tuntutan mereka berkenaan dengan kenaikan gaji akan berjaya ataupun tidak. Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menjangkakan berita baik mengenai kenaikan gaji bagi 1.2 juta kakitangan awam yang akan diumumkan pada 22 Mei depan sempena sambutan Hari Pekerja di Putrajaya [UM 01/04/07]. “Setakat ini kita mendapat maklum balas positif selepas perbincangan termasuk dengan Ketua Setiausaha Negara, Perdana Menteri dan Kelab Penyokong Kerajaan. Kita harap ia diumumkan pada sambutan Hari Pekerja nanti selepas 15 tahun tidak diselaraskan,” ujar Presiden Cuepacs, Omar Osman [UM 18/04/07]. Dalam perkembangan lain, Jaringan Kesatuan Antarabangsa Majlis Perhubungan Malaysia (UNI-MLC) menyerahkan satu memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai keperluan elaun sara hidup (COLA) bagi pekerja swasta [UM 26/03/07]. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak ketinggalan menggesa kerajaan menimbang semula cadangan memperkenalkan skim gaji permulaan untuk pekerja sektor swasta. [UM 20/02/07]. Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) pula menggesa kerajaan meluluskan segera cadangan permohonan cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan awam [UM 24/03/07].

Tidak lama dahulu Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd. Zain mencadangkan kenaikan gaji sebanyak 40 peratus bagi kakitangan kumpulan sokongan perkhidmatan awam. “Dengan kenaikan harga petrol sebanyak 18 peratus, elektrik 12 peratus dan tarif air yang akan dinaikkan, kakitangan kumpulan sokongan perkhidmatan awam yang berpendapatan lebih kurang RM550 sebulan membayar kira-kira 30 peratus daripada gaji mereka untuk kos sara hidup. Tuntutan kenaikan sebanyak 40 peratus adalah berasas dan mampu ditanggung oleh kerajaan.” katanya. Beliau juga menegaskan bahawa Cuepacs tetap menolak perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai skim Faedah Pencen Bercarum (FPB) bagi menggantikan pencen terbitan yang ingin diperkenalkan oleh kerajaan. Sebelumnya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman meminta Cuepacs mematuhi permintaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kedua-dua pihak berbincang sebelum Kabinet membuat keputusan akhir. Ahmad Shah berkata, Cuepacs akan mengadakan siri jelajah rapat umum secara besar-besaran di seluruh negara sehingga kerajaan menarik balik keputusan untuk melaksanakan FPB. “Cuepacs menolak secara total pelaksanaan FPB dan kita tidak akan berbincang dengan JPA. Kami hanya ingin membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri. Bermula hujung bulan ini, kami akan mengadakan perhimpunan di semua daerah di seluruh negara bagi membantah pelaksanaan FPB.” katanya [UM 13/08/06].

Dalam kehidupan dunia pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa manusia memerlukan antara satu sama lain. Interaksi di antara sesama manusia yang saling memerlukan ini antara lain akan mewujudkan akad pekerjaan. Dari sini manusia memerlukan satu sistem untuk mengatur hubungan ini dan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutuskan RasulNya bagi mengajar dan menyempurnakan aturan-aturan ini. Allah sebagai Pencipta Maha Mengetahui akan keperluan makhluk-makhlukNya dan Dia telahpun mencipta dan membuat satu aturan khusus dalam hal ini. Dengan kata lain, hal-hal yang melibatkan pekerjaan ini sememangnya diajar oleh Islam dan merupakan sebahagian dari agama Islam. Yang menjadi masalah adalah umat Islam itu sendiri yang tidak mengikut peraturan yang telah Allah tetapkan ini. Umat Islam sebaliknya mengambil sistem Kapitalisme yang zalim ini untuk mengatur urusan mereka dan mereka terus bergelumang di dalamnya. Mereka langsung tidak cuba keluar dari sistem yang rosak ini, sebaliknya hanya cuba memperbaiki lompong-lompong Kapitalisme dengan menampal di mana patut.

Tuntutan-tuntutan yang dipaparkan di atas menunjukkan bahawa sehingga saat ini masalah ketidakpuasan hati pihak pekerja kepada majikan terus berlangsung tanpa penghujungnya, dan persoalan utamanya berputar di sekitar masalah gaji/upah. Keadaan ini adalah suatu lumrah di dalam kehidupan sistem Kapitalisme, sebagai sebuah Ideologi kotor buatan manusia, di mana hak-hak pekerja sering terabai dan dinafikan oleh pihak majikan. Dalam masa yang sama, walaupun tidak banyak, hak-hak majikan juga sebenarnya sering dicabuli dan dilanggar oleh pihak pekerja. Kes-kes seperti tidak siapkan kerja, tipu majikan, menggunakan barang pejabat untuk keperluan peribadi, ponteng kerja, beli medical certificate (MC) dan lain-lain bentuk penipuan adalah fenomena biasa di sesebuah pejabat. Tetapi disebabkan jumlah golongan majikan tidak ramai dan mereka tidak melakukan mogok dan sebagainya, jadi hak-hak majikan yang dilanggar oleh pekerja jarang diketengahkan. Apa pun, jika diteliti dengan mendalam, segala masalah ini sebenarnya timbul kesan dari ketidakfahaman kedua-dua pihak terhadap tugas dan tanggungjawab mereka sebagai hamba yang wajib terikat dengan hukum syara’ berhubung akad pekerjaan (ijarah), sama ada di pihak pekerja mahupun di pihak majikan.

Hubungan Pekerja-Majikan Dalam Islam

Di dalam sistem Kapitalisme, kepentingan pihak pekerja dan majikan selalunya sering bertentangan, walaupun asas mereka adalah sama iaitu ‘mendapatkan sebanyak-banyak manfaat’. Pihak pekerja hanya akan mendapat manfaat yang banyak jika diberi gaji yang tinggi, elaun, bonus, claim, cuti, insentif dan seumpamanya. Bagi majikan pula, mereka akan mendapat manfaat yang banyak jika gaji yang dibayar kepada pekerja adalah rendah, tiada elaun, tiada bonus, cuti yang sedikit, tiada insentif dan sebagainya. Manfaat atau keuntungan yang maksimum akan diperolehi oleh majikan apabila pekerja mereka dapat dimanipulasi habis-habisan. Justeru, persoalan untuk memperolehi sebanyak mungkin manfaat (yang menjadi asas kepada erti kebahagiaan di dalam Ideologi Kapitalis) menyebabkan medan pertempuran di antara majikan dan pekerja semakin membesar. Seseorang pekerja akan sanggup berhenti dan majikan pula akan sanggup memberhentikan pekerja bilamana mereka bertelagah dalam ‘perjuangan merebut manfaat’ ini. Pendek kata, perebutan manfaat yang berlaku sering menyebabkan seseorang hilang pertimbangan dan bertindak mengikut perasaan. Akibatnya, pihak-pihak ini tidak lagi merujuk kepada kontrak/akad yang telah disepakati di dalam menyelesaikan masalah yang timbul, sebaliknya menggunakan emosi.

Hukum Islam berkenaan akad ijarah memang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,

Apakah mereka membahagi-bahagi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka di dalam kehidupan dunia dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat agar sebahagian mereka mempergunakan sebahagian yang lain” [TMQ Az-Zukhruf (43):32].

Juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Apabila mereka (wanita-wanita) menyusui (anak-anak) kalian maka berikanlah kepada mereka upahnya”
[TMQ Ath-Thalaq (65):6].

Ibnu Shihab meriwayatkan dengan mengatakan:

Aku diberitahu oleh Urwah bin Zubair bahawa Aisyah Ummul Mukminin ra berkata:

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dan Abu Bakar pernah mengontrak tenaga seorang lelaki dari Bani Dail sebagai penunjuk jalan sedangkan lelaki tersebut beragama seperti agama orang kafir Quraisy. Baginda kemudian memberikan kenderaannya kepada lelaki tersebut. Baginda lalu mengambil janji dari lelaki tersebut agar pergi ke Gua Tsur setelah tiga malam dengan membawa kedua kenderaan baginda pada waktu solat subuh pada hari yang ketiga”.

Sesungguhnya banyak lagi hadis-hadis Rasulullah yang lain yang menyentuh tentang akad ijarah ini. Syariat Islam memandang bahawa pekerja (ajir) adalah setiap orang yang bekerja untuk orang lain dengan imbalan upah/gaji (ujr) tertentu sama ada dia berkerja untuk individu tertentu, orang ramai mahupun negara sebagai majikan (musta’jir)nya. Terdapat 2 jenis pekerja di dalam Islam yakni pekerja khas (ajir al-khas/private labour) dan pekerja am (ajir al-am/common labour). Secara ringkasnya, ajir al-khas adalah mereka yang bekerja dengan majikan tertentu untuk suatu tempoh masa dan gaji/upah yang tertentu seperti pekerja kilang, pekerja ladang, kakitangan kerajaan (civil servant) dan sebagainya. Ajir al-am pula adalah mereka yang bekerja untuk semua orang (bukan untuk majikan tertentu sahaja) dengan mendapat gaji/upah dari pekerjaannya, contohnya tukang kayu, tukang jahit, doktor swasta, pemandu teksi, mekanik dan sebagainya.

Islam tidak pernah memandang golongan pekerja sebagai golongan bawahan dan majikan itu golongan atasan, sebagaimana Islam juga tidak pernah meletakkan golongan pekerja perlu diberi layanan istimewa oleh golongan majikan. Sebagai sebuah deen yang syumul, Islam tidak pernah membezakan kedua-dua golongan ini mengikut darjat masing-masing, sama ada mereka ini berpangkat rendah ataupun tinggi, kaya ataupun miskin, lelaki mahupun wanita. Selagi mana mereka bekerja dan mendapat upah dari orang lain (musta’jir), maka kesemuanya adalah ajir (pekerja). Hubungan yang wujud di antara mereka adalah hubungan pekerja-majikan (ajir-musta’jir) yang mana kedua-duanya adalah terikat dengan akad/kontrak pekerjaan (ijarah) yang telah mereka tandatangani, selama mana akad itu tidak bertentangan dengan hukum syara’. Jadi, baik ajir atau musta’jir, mereka wajib terikat dengan hukum-hukum ijarah Islam tanpa sebarang pengecualian.

Transaksi ijarah di antara musta’jir dengan ajir mestilah dibangunkan di atas akad yang jelas, di mana jika ini tidak berlaku maka akad ijarah mereka hukumnya adalah rosak (fasid). Oleh yang demikian, Islam telah mensyaratkan bahawa dalam satu akad ijarah, hendaklah ditentukan terlebih dahulu bentuk/jenis pekerjaannya, waktu kerja, tempoh, gaji, bidang tugas dan segala yang berkaitan dengan pekerjaan tersebut. Setelah terjadi kesepakatan atau persetujuan di antara ajir dan musta’jir maka barulah terjadinya transaksi/akad. Selanjutnya kedua-dua belah pihak wajib mentaati hasil kesepakatan tersebut sampai batas waktu yang telah disepakati itu dan perlanggaran terhadap akad itu oleh mana-mana pihak adalah satu bentuk pengkhianatan dan dosa. Kesimpulannya, di dalam sebuah akad ijarah, baik ajir mahupun musta’jir, kedua-duanya bekerjasama dalam rangka menunaikan akad yang telah disepakati sekaligus mematuhi hukum syara’ yang berkaitan dengannya. Masing-masing ada hak dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi. Jadi, mana-mana pihak tidak boleh menuntut perkara-perkara yang tidak diakadkan. Dengan kesedaran ini, sudah tentu tidak akan wujud penindasan dan kezaliman, lebih-lebih lagi jika pihak-pihak yang berakad itu adalah sesama Muslim.

Persoalan Gaji Di Dalam Pandangan Islam

Sebagaimana disebutkan, persoalan gaji biasanya menjadi sebab utama pertikaian di antara ajir dan musta’jir. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir majikan tidak membayar gaji kepada pekerjanya mengikut yang telah dipersetujui. Hal ini sudah tentu menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati pekerja. Mengikut syara’, tangga gaji di dalam transaksi ijarah mestilah jelas sebab penentuan gaji termasuk ke dalam faktor yang boleh menghilangkan kekaburan di dalam suatu transaksi. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila salah seorang di antara kalian mengontrak seorang ajir maka hendaklah ia memberitahu upahnya kepada ajir tersebut” [HR Daruquthni]. Imam Ahmad juga meriwayat sebuah hadith dari Abi Sa’id bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam melarang mengontrak seorang ajir sehingga upahnya menjadi jelas bagi ajir tersebut. Oleh kerana itu sebelum seorang ajir itu mula bekerja, maka mesti sudah terjadi kesepakatan tentang upahnya. Besarnya upah yang telah ditetapkan di dalam transaksi itu disebut sebagai upah yang sepadan (ajrun musamma) dan ianya ditetapkan di atas kesepakatan dan kerelaan kedua-dua pihak.

Apabila gaji/upah dan lain-lain perkara telahpun dipersetujui di dalam akad ijarah, maka seorang ajir itu adalah terikat dari segi hukum syara’ dengan akad tersebut, jadi dia tidak boleh lagi menuntut untuk mendapatkan kenaikan gaji/upah atau hal-hal lain yang menyalahi akad ijarahnya. Selama mana musta’jir mematuhi akadnya, maka ajir wajib bekerja dengan musta’jir tersebut tanpa apa-apa protes. Jika kedua-dua mereka mematuhi syarat akad dan hukum syara’ di dalam ijarah ini, maka sudah pasti segala perselisihan dan ketidakpuasan hati tidak akan timbul. Jika wujud perselisihan sekalipun, kedua pihak wajiblah merujuk kembali kepada akad mereka dan hukum Allah berkenaan ijarah, bukannya dengan mengadakan protes, rapat umum, demonstrasi dan sebagainya. Dengan ini, barulah hubungan di antara ajir dan musta’jir sentiasa harmoni dan terjaga. Yang lebih penting kedua-duanya diredhai dan dirahmati Allah kerana pematuhan ke atas akad ijarah masing-masing.

Menurut Islam, apabila seseorang mengontrak seorang ajir sebelum terjadi kesepakatan tentang upahnya maka hukumnya adalah makruh walaupun transaksinya tetap sah. Jika keadaan ini berlaku maka penetapan upahnya perlulah dikembalikan kepada ajrun musamma. Jika terjadi perselisihan di antara ajir dan musta’jir dalam masalah penetapan upah tadi, maka persoalan ini (ajrun musamma) akan diserahkan kepada pihak pakar iaitu mereka yang mempunyai keahlian/pengalaman untuk menentukan gaji/upah. Dengan yang demikian para pakar yang terlibat dalam menentukan jumlah gaji/upah yang sepadan ini mestilah memerhatikan masalah pekerjaan dan pekerja itu sekaligus. Begitu juga masalah waktu kerja dan tempat kerja. Umumnya gaji boleh berbeza dengan perbezaan jenis pekerjaan, keadaan pekerjaan, waktu dan tempat kerja. Demikianlah dasar penentuan gaji serta orang yang berhak menentukannya menurut pandangan syara’ jika berlakunya perselisihan di antara pekerja dan majikan.

Dalam soal pembayaran gaji pula ianya boleh dibayar secara tunai dan juga tidak secara tunai (samada dalam bentuk cek, bank-in ke dalam akaun dan sebagainya). Apabila disepakati gaji tersebut diberikan sesuai dangan tempoh masa tertentu (hari/minggu/bulan) maka ianya mesti diberikan sesuai dengan kesepakatan yang telah dibuat oleh kedua-dua pihak. Kelalaian atau kesengajaan majikan tidak membayar gaji pekerja adalah satu dosa dan Islam memandang berat akan hal ini. Melalui sebuah hadis qudsi, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kepada setiap majikan bahawa di hari kiamat nanti Allah akan memusuhi orang yang tidak memberikan upah/gaji kepada pekerjanya,

“Tiga orang yang Aku musuhi pada hari kiamat nanti adalah orang yang telah memberi kerana Aku lalu berkhianat dan orang yang membeli barang pilihan lalu dia makan lebihan harganya serta orang yang mengupah pekerja kemudian pekerja tersebut menunaikan akadnya sedangkan upahnya tidak diberikan”
[HR Bukhari].

Bagi mana-mana musta’jir yang tidak membayar gaji/upah ajirnya, maka hal ini boleh dilaporkan kepada pemerintah. Dalam hal ini, Negara (pemerintah) adalah institusi yang bertanggungjawab untuk memastikan ijarah berjalan sesuai dengan akad yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Negara berhak, malah berkewajiban untuk memaksa para majikan membayar gaji pekerja mereka tepat pada masanya. Bila perlu, Negara boleh menjatuhkan hukuman (ta’zir) kepada pihak majikan yang gagal atau mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pekerja kerana ianya adalah suatu tindakan kezaliman. Ia adalah suatu bentuk dosa yang tidak boleh dibiarkan terjadi ditengah-tengah masyarakat dan Negara wajib menjatuhkan hukuman ke atas mereka yang melakukan dosa ini, sebagaimana kewajipan Negara menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan-kesalahan atau pelaku dosa-dosa yang lain. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam,

"Pemimpin itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggung jawab di atas (rakyat) yang dipeliharanya itu." [HR Muslim].

Jelas berdasarkan hadis ini bahawa pemerintah umat Islam itu adalah seorang penggembala ke atas rakyatnya, bukannya serigala yang memakan rakyatnya.

Hasil dari penerapan Sistem Kapitalis, kita melihat bagaimana buruh/pekerja diletakkan di kelas bawah dan dilayan seperti hamba, dengan kata lain wujudnya dua darjat yang berasingan di antara pekerja dan majikan. Penindasan dan ketidakpuasan hati para pekerja menyebabkan meletusnya pelbagai mogok dan rusuhan. Hal ini dilihat dan diambil sebagai sebuah penyelesaian oleh golongan perkerja yang sentiasa dizalimi oleh sistem yang ada. Lama-kelamaan, trend ini seterusnya digunakan sebagai senjata untuk menekan para majikan agar tunduk kepada keinginan para pekerja. Malangnya hal ini ditiru pula oleh sebahagian dari umat Islam yang berpendapat bahawa ini adalah satu bentuk tuntutan untuk mendapatkan hak. Walhal ia tak lebih dari manifestasi kegagalan sebuah sistem buatan manusia yang mengikuti hukum rimba, yakni yang kuatlah yang paling berkuasa dan ia akan terus menindas atau memakan yang lemah. Umat Islam yang telah sebati dengan sistem Kapitalis ini tidak sedar bahawa satu-satunya cara untuk menghapuskan segala bentuk kezaliman dan ketidakpuasan hati ini adalah dengan keluar dari sistem ini dan menggantikannya dengan sistem ciptaan Allah. Islam tidak pernah membezakan penganutnya kepada dua darjat yang berlainan; hakikatnya, mereka adalah Muslimin yang terikat dengan hukum-hukum syara’.

Khatimah

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad itu” [TMQ al-Ma’idah (5):1].

Inilah perintah Allah ke atas kaum Muslimin. Setiap Muslim itu adalah terikat kepada hukum syara’ di dalam setiap perbuatannya. Sesungguhnya pematuhan kaum Muslimin terhadap segala hukum syara’ sudah tentu akan membawa kesejahteraan dan rahmat, bukan sahaja ke atas diri mereka, malah ke seluruh alam. Selama mana dunia ini diperintah oleh Sistem Kapitalis, selama itulah kesengsaraan akan terus menimpa umat, kerana punca kepada segala permasalahan yang wujud pada hari ini adalah disebabkan oleh penerapan sistem Kapitalisme itu sendiri. Hubungan pekerja-majikan yang telah wujud sejak zaman Rasulullah lagi ternyata tidak pernah mendatangkan apa-apa masalah kepada pihak pekerja ataupun majikan. Kita juga tidak pernah mendengar rintihan atau keluhan para ajir kerana ditindas oleh pihak musta’jir di masa sahabat, tabi’in mahupun tabi’it tabi’in.

Segala masalah ini baru wujud setelah adanya Sistem Kapitalisme yang dibawa oleh kafir Barat. Ia wujud di negara mereka dan ternyata wujud pula di negara-negara umat Islam, khususnya yang mengamalkan Sistem Kapitalisme yang sama. Masalah pekerja-majikan ini adalah salah satu dari sekian banyak masalah yang terhasil dari sistem Kapitalis yang dianuti oleh umat Islam. Ini termasuklah juga rintihan para pekerja yang berlaku akibat dari tiadanya kestabilan dalam kehidupan (seperti kenaikan harga barangan yang melampau). Selama mana sistem Islam tidak diterapkan secara kaffah, selama itulah masalah pekerja-majikan serta masalah-masalah kehidupan yang lainnya akan terus muncul. Justeru, satu-satunya cara yang benar bagi umat Islam untuk keluar dari kesesatan dan kezaliman ini adalah dengan mencampakkan sejauh-jauhnya sistem taghut ini dan menggantikannya dengan sistem Allah yang Maha Sempurna. Wallahu a’lam.