Penipuan sebuah janji
Perdana Menteri berkata, ia sebagai tanda terima kasih dan membuktikan bahawa BN ikhlas menepati janji untuk membantu rakyat di kawasan berkenaan yang dianggap sudah membawa kemenangan walaupun tewas dengan majoriti amat tipis di kawasan kubu kuat Pas itu. ”Oleh kerana pemimpin UMNO di sini termasuk Ketua UMNO Bahagian memintanya maka saya sahkan projek membina jambatan ini akan dilaksanakan dengan anggaran sebanyak RM8 juta sebagai penghargaan kepada mereka dan menunaikan janji pilihan raya. ”Saya anggap ini sebagai menghargai sokongan pengundi di Manek Urai yang sebenarnya mahukan perubahan, mudah-mudahan yang sikit itu (majoriti) akan menjadi kenyataan sikit masa lagi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut. Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed. Kira-kira 4,000 rakyat Kuala Krai menghadiri majlis itu. Pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai lalu, calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tewas dengan majoriti 63 undi kepada calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah. Kekalahan tipis itu mengejutkan semua pihak kerana kawasan itu dikatakan kubu kuat Pas memandangkan pada pilihan raya umum lalu, calon Pas, Allahyarham Ismail Yaakob menang dengan majoriti, 1,352 undi. Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian Ismail akibat pelbagai komplikasi di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Najib yang juga Pengerusi BN berkata, Kerajaan Pusat dan BN akan terus membela nasib rakyat Kelantan dan Malaysia seluruhnya. Beliau menegaskan, ia berdasarkan kepada hala tuju untuk memperjuangkan Islam, menjadikan ummah yang progresif dan berjaya di samping keadilan untuk semua kaum.
Sumber: Utusan Malaysia 08/09/09
Apabila Tanggungjawab Dijual Dengan Janji. Inilah Penipuan Politik Kapitalisme.
Inilah wajah buruk dunia politik Kapitalisme. Parti politik dalam dunia Kapitalisme melihat “status” sokongan rakyat itu sebagai titik penentu untuk melaksanakan tugas yang sememangnya menjadi tanggungjawab pemerintah itu sendiri. Islam telah menjelaskan persoalan tanggungjawab ini dengan nyata sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan akan dimintai pertanggunganjawab atas kepemimpinannya. Imam/Khalifah adalah pemimpin, dan akan dimintai pertanggunganjawab atas kepemimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin dalam rumah tangga, dan akan dimintai pertanggunganjawab atas kepemimpinanya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya, dan akan dimintai pertanggunganjawab atas kepemimpinannya. Pembantu rumah tangga adalah pemimpin dalam menjaga harta kekayaan tuannya, dan akan dimintai per¬tanggungan jawab atas kepemimpinannya. Dan setiap kamu adalah pemimpin, dan akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.” [HR. Bukhari dan Muslim].
Dalam dunia Kapitalisme bantuan dan projek sering digunakan sebagai ugutan dan umpan untuk mendapatkan sokongan rakyat. Politik ”ugut” dan ”umpan” ini tidak akan kita jumpai dalam politik Islam. Ini adalah kerana bagi Islam, sudah menjadi kewajiban bagi pihak pemerintah untuk mengurus dan mengatur kehidupan rakyat yang berada di bawah kekuasaannya samada warganegara itu Muslim mahupun kafir zimmi. Amat malang bagi umat Islam apabila kehidupan mereka saat ini dikuasai oleh ahli-ahli politik sekular Kapitalisme. Rakyat sering dipermain-mainkan dengan janji-janji manis oleh ahli-ahli politik sekular Kapitalisme ini bagi mendapatkan undi untuk memastikan politik kotor sekular mereka ini terus bertahan di tengah-tengah kehidupan umat Islam. Bukankan ini suatu pengkhianatan namanya?
Wahai umat Islam! Ketahuilah bahawa sesungguhnya adalah menjadi kewajiban bagi pemerintah yang berkuasa di tengah-tengah kamu saat ini untuk menunaikan kewajiban yang sememangnya menjadi tanggungjawab mereka. Pendidikan, kesihatan dan keamanaan adalah tiga perkara yang menjadi keperluan asas masyarakat yang wajib dijamin oleh pemerintah secara percuma. Untuk itu, wahai umat Islam! Kamu perlu memiliki pemikiran politik Islam yang tinggi agar kamu tidak terus dipergula-gulakan oleh para politikus Kapitalisme ini. Ayuh! Wahai seluruh umat Islam, berpeganglah kamu kepada politik Islam yang mulia dan tinggalkan kebusukan dan segala penipuan dunia politik Kapitaslime.