Di Sebalik Penangkapan Bekas Mufti Perlis
Sumber: mStar Online 02/11/09
Kes Dr Asri…Siapa Yang Akan Untung?
Media hari ini sedang rancak melaporkan kes tangkapan Dr Asri oleh pihak JAIS. Semua pihak samada dari kelompok gerakan Islam, parti sekular seperti UMNO dan PKR mahupun golongan yang mempertikaikan syariah seperti SIS nampaknya menunjukkan simpati mereka masing-masing. Pelbagai persoalan timbul – bukankah JAIS berada di bawah PKR? Bukankah polis di bawah kerajaan pusat (UMNO)? Mengapa SIS pun ada sama sedangkan tidak ada isu gender di sini?
Semua ini merupakan jalan cerita yang menarik sebenarnya. Suatu ”situasi” telah dicetuskan yang mewujudkan ”pertembungan” di antara umat Islam secara umum dengan JAIS dengan Dr Asri sebagai ”antagonis” yang menjadi rebutan antara UMNO mahupun PAS. Kedua-dua parti mahu agar beliau bersama dengan perjuangan mereka. Umum mengetahui bahawa Dr Asri bukanlah tokoh agama yang banyak terlibat dengan aktiviti politik. Beliau pernah berdiri di atas pentas PAS Kelantan suatu masa dulu dan dalam masa yang sama beliau juga pernah berada di program-program kerajaan UMNO sekular terutamanya semasa menjadi mufti Perlis. Tulisan-tulisan beliau yang dipaparkan di dada akhbar arus perdana juga tidak banyak mengkritik pemerintah sekular yang ada pada hari ini.
Apakah isu tangkapan ini akan dimanfaatkan oleh mereka yang sedang menunggu peluang untuk memastikan perjuangan politik mereka akan mendapat keuntungan dari kes ini? Mungkinkah selepas ini ada yang ”ketawa” di sebalik kejadian ini? Kita sama-sama saksikan nanti kesudahan “cerita” ini. Yang pastinya tangkapan yang berlaku kepada Dr Asri itu ádalah kes yang terlalu kecil jika ingin kita bandingkan dengan tangkapan yang dilakukan oleh para pemerintah sekular di merata dunia umat Islam seperti di Turki, Uzbekistán, Pakistan, Mesir dan lain-lainnya ke atas para pejuang yang ingin mengembalikan kehidupan Islam dengan menegakkan Khilafah.