Undi PRK Bukti Kejayaan?

UNDI  PRK  BUKTI  KEJAYAAN?

Kepemimpinan Perdana Menteri beri mood lebih positif kepada BN: Daim

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berpendapat kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak yang berusaha membina kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) selepas prestasi buruk pada pilihan raya umum 2008 berjaya mengurangi keresahan di kalangan rakyat.
Katanya, usaha Najib itu juga berjaya menenangkan keadaan politik negara secara keseluruhan dan rakyat juga sudah matang serta bijak membuat penilaian politik.
Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap BN juga dilihat lebih terserlah apabila memenangi pilihan raya kecil Galas, Batu Sapi, Tenang, Kerdau dan Merlimau secara berturut-turut dalam tempoh empat bulan.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri sangat jujur dan ikhlas berusaha untuk membantu meninggikan taraf hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan miskin, Daim berkata selagi rakyat bijak membezakan antara padi dengan sekam, beliau yakin BN akan terus memerintah.

“UMNO dan BN akan terus hidup. Saya tidak fikir BN boleh kalah lebih teruk daripada pilihan raya umum 2008. Situasi politik pada 2008 amat berbeza daripada situasi sekarang.

“Namun, realiti politik ini selalu berubah mengikut suasana, jika kita tidak waspada dan berhati-hati, suasana tenang boleh bertukar menjadi keruh dalam sekelip mata,” katanya dalam wawancara disiarkan Mingguan Malaysia, semalam.
Daim berkata, program seperti skim rumah pertama adalah antara komitmen kerajaan BN yang menyedari setiap rakyat berhak hidup dalam keadaan aman, selesa, bebas dan makmur serta memerlukan kerajaan yang bersih dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin UMNO dan BN perlu sentiasa peka terhadap tuntutan rakyat.

“Setiap wakil rakyat, setiap pemimpin BN, baik yang kecil atau besar harus sentiasa turun padang, jangan tunggu padang datang kepada kita. Semua mereka harus bekerja kerja untuk menghidupkan UMNO dan BN, bukannya mencari hidup daripadanya,” katanya mengambil contoh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang selalu turun padang dan bermesra dengan rakyat tidak kira majlis perkahwinan, kematian, kebakaran atau kemalangan. Kalau tidak dapat hadir beliau hantar wakil atau SMS.

Di samping itu, Daim menyarankan jentera UMNO dan BN perlu diperbaiki dan dimodenkan sesuai dengan perubahan sosial, teknologi maklumat dan ekonomi.

Sebagai contoh, katanya, Perdana Menteri menggunakan blog dan twitter untuk berinteraksi secara spontan dengan rakyat terutama golongan muda yang kini jauh lebih berpelajaran dan luas jaringan mereka.

“Mimpi, harapan dan aspirasi mereka tentu berbeza daripada yang dialami ibu bapa mereka. UMNO dan BN perlu memahami semua hal ini dengan jelas supaya dapat melaksanakan program yang boleh dihayati golongan ini.

“Program mesti berterusan, bukan menanti pilihan raya kecil baru sibuk turun padang. Takkan tak ada pilihan raya kecil, maka tak ada pembangunan… saya percaya bila Perdana Menteri dan Timbalan jumpa ketua cawangan UMNO, ia akan dapat menyelesaikan masalah rakyat dan UMNO akan bertambah kukuh.

“Sebelum pilihan raya (akan datang), semua masalah dalaman (parti) mesti diselesaikan. Kekuatan Perdana Menteri seorang belum boleh menentukan kemenangan BN. Calon dipilih juga mesti bersih dan diterima rakyat,” katanya yang yakin rakyat yang mengundi pembangkang pada 2008 kini inginkan perubahan.

Sumber : Berita Harian Online, 28/03/2011

Najib “Berjaya Menipu” Rakyat

Memang benar Najib berjaya meyakinkan rakyat jika dinilai berdasarkan keputusan PRK di kubu-kubu kuat BN sebelum ini. Namun begitu, adalah  terlalu mudah menilai “penerimaan” setiap individu rakyat kepada beliau dan kepimpinan kerajaan melalui kertas undi sahaja. Bagaimana pula dengan keadaan hidup rakyat? Ini kerana, keadaan masyarakat dan negara yang semakin parah juga boleh menjatuhkan pemimpin yang memerintah sebagaimana yang berlaku di Tunisia. Kos hidup semakin meningkat, kadar pengangguran yang tinggi, nilai gaji semasa yang tidak seimbang dengan kos hidup yang semakin meningkat, jumlah kes-kes jenayah semakin meningkat, bilangan kes buang bayi yang semakin melonjak  tahun demi tahun merupakan sebahagian daripada bukti kepada keadaan hidup rakyat yang menyedihkan. Apakah perkara- perkara ini tidak dinilai oleh Daim Zainuddin dalam penilaiannya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ketika ini? Apakah bentuk penilaian/ukuran yang beliau gunakan? Sekiranya ukuran tersebut hanya berlandaskan kepada politik kapitalis, ia memang benar. Ini adalah kerana, dalam politik kapitalis, yang diutamakan adalah “siapa lebih popular/kaya-raya” ataupun “siapa lebih berkuasa” dan bukannya ketaatan dan ketakwaan seseorang pemimpin kepada Allah di dalam memenuhi keperluan setiap rakyat dengan menerapkan Islam secara kaffah.

 “Tidaklah seorang pemimpin yang diserahi urusan kaum Muslimin, kemudian dia mati, sedangkan dia mengabaikan/melalaikan urusan tersebut, kecuali Allah mengharamkan syurga untuknya” [HR Bukhari & Muslim]. Wallahu a’lam.