Jauhnya Aura Ramadhan Di Zaman Para Pemimpin Sekular
Daging masak kawah, keladi asam pedas, rendang daging, puteri mandi dan sup tulang. Itu antara 250 jenis juadah yang boleh dinikmati jika berbuka puasa di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.Lebih menarik pengunjung berpeluang menikmati lembu panggang yang dibakar setiap hari. Bertemakan Indahnya Ramadan di PWTC, ia bermula dari 1 hingga 28 Ogos dengan pelbagai hidangan ala kampung. Pengurus Komunikasi Pemasaran PWTC, Fadzilah Said menjelaskan, pihaknya menyediakan pelbagai juadah menarik dengan konsep warung menggunakan menu Citarasa 1 Malaysia. “Bermula dengan kurma Nabi sebagai pembuka selera, kami menyediakan lebih 15 warung yang menghidangkan pelbagai juadah menarik ,” ujarnya ketika ditemui di majlis prarasa di restoran tersebut baru-baru ini. Katanya, bagi mengekalkan suasana kampung, beduk tradisional akan dipalu bagi menandakan waktu berbuka puasa kemudian diikuti laungan azan secara langsung. Selain itu para tetamu akan dihiburkan dengan kumpulan muzik asli Seri Mawar sepanjang waktu berbuka puasa. Lebih menarik untuk tahun ini, pihaknya turut menjemput beberapa selebriti terkenal seperti Jamal Abdillah, Tomok, Sofaz dan ramai lagi yang akan sama-sama berbuka puasa dan juga akan mengadakan persembahan. Dengan RM65 untuk dewasa pengunjung boleh menikmati apa sahaja hidangan, manakala bagi kanak-kanak dari umur enam hingga 12 tahun pula dibayar mengikut umur mereka. Sementara bagi warga emas berumur 60 tahun ke atas adalah percuma dengan ditemani oleh seorang dewasa yang berbayar. Lebih menarik tahun ini, pengunjung berpeluang untuk mendapat hadiah menarik iaitu pakej umrah untuk pengunjung yang bertuah.
Sumber : Utusan Malaysia, 04/08/2011
Jauhnya Aura Ramadhan Di Zaman Para Pemimpin Sekular Umat Islam Hari Ini Berbanding Dengan Zaman Rasulullah SAW dan Para Sahabat.
Dahulu di zaman kegemilangan Islam, Ramadhan disambut dan dilalui dengan pelbagai aktiviti dan amal soleh. Rasulullah SAW dan para sahabat serta umat Islam yang mengikutinya telah berjaya mencapai kemenangan mengalahkan musuh-musuh Islam di dalam bulan Ramadhan. Catatan sejarah emas umat Islam menyaksikan kejayaan dan kemenangan yang pernah dicapai oleh generasi awal dalam beberapa siri peperangan yang berlaku di bulan Ramadhan. Antaranya ialah Perang Badar (17 Ramadhan 2 H), pembebasan kota Makkah (20 Ramadhan 8 H), pembebasan Sind, India (6 Ramadhan 92 H), pembebasan Andalusia (awal Ramadhan 91 H), pembebasan Shaqliyyah (9 Ramadhan 212 H), pembaiatan Khalifah al-Qadir (11 Ramadhan 381 H), Perang ‘Ain Jalut (25 Ramadhan 658 H) dan pembebasan Antioch (awal Ramadhan 666 H). Dari catatan emas ini kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW dan generasi awal Islam memahami bahawa Ramadhan bukanlah bulan yang menyebabkan mereka menjadi malas, bukanlah bulan untuk mereka beristirehat dan bukanlah juga bulan untuk memuaskan hawa nafsu untuk makan dan minum semata-mata setelah menahan diri dari makan dan minum di siang harinya. Namun hakikatnya, inilah yang berlaku dan yang dapat kita saksikan hari ini. Lihatlah bagaimana dengan bangganya Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur mewar-warkan sejumlah 250 juadah yang disediakan oleh restoran tersebut bagi memuaskan tuntutan hawa nafsu manusia yang menjalani ibadah puasa. Jika dahulu semasa menjalani ibadah puasa umat Islam mencapai kemenangan dan kegemilangan dalam berbagai siri peperangan tetapi kini umat Islam dipelbagai wilayah menderita dengan pembunuhan di sana-sini. Saksikanlah apa yang berlaku di Palestin, Afghanistan, Iraq dan lain-lainnya. Tidak malukah umat Islam hari ini melihat betapa jauhnya penghayatan Ramadhan di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat berbanding dengan zaman para pemimpin sekular hari ini?
Ramai dari umat Islam hari ini hanya melihat puasa sekadar bulan untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu semata-mata. Mereka menjalani ibadah puasa sekadar mengambil semangat spiritual semata-mata namun dalam masa yang sama meninggalkan aspek siyasahnya. Seharusnya umat Islam menjadikan ibadah puasa di bulan Ramadhan ini sebagai suatu momentum untuk mencapai nilai takwa yang sebenarnya sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh generasi awal Islam yang bersama dengan Rasulullah SAW.