Piawaian LPF Tidak Menepati Syariah Islam

filemDi Malaysia, kandungan-kandungan rancangan yang disiarkan di televisyen swasta dikawal melalui peruntukan syarat-syarat khas perlesenan melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta undang-undang lain yang terpakai ke atasnya. Antara syarat yang terkandung adalah memastikan kandungan yang disiarkan tidak menyinggung sensitiviti mana-mana agama, budaya dan masyarakat di Malaysia.

Walaupun rancangan-rancangan yangakan disiarkan di televisyen perlu menjalani proses penapisan melalui Lembaga Penapisan Filem (LPF), namun pada hakikatnya LPF itu sendiri tidak menggunakan piawaian syariah Islam sebagai dasar untuk menapis sesebuah filem yang terhasil. Ini dapat dilihat melalui motif penubuhan LPF di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) bertujuan untuk “menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan negara dan rakyat daripada pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif yang mungkin dipaparkan dalam sesetengah filem, sejajar dengan tuntutan prinsip-prinsip Rukun Negara”.

lpfJelaslah di sini bahawa syariah Islam bukan menjadi kayu ukur (standard) piawai dalam proses penapisan yang dilakukan oleh LPF. Sebagai contoh, kita dapat melihat pada aspek pematuhan yang merangkumi etika cara berpakaian artis yang terlibat dalam penerbitan program untuk tayangan di stesen-stesen televisyen, di mana pematuhan ini hanya perlu selaras dengan aspek tata susila serta sosio budaya negara seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum ketika menjawab pertanyaan Senator Khairiah Mohamed yang ingin mengetahui garis panduan kesopanan dan kesusilaan bagi program-program televisyen. Inilah adalah salah satu bukti bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bertunjangkan sekular dan bukannya Islam.

Jika kita lihat pada realiti rancangan-rancangan filem yang disiarkan di Malaysia, hampir kebanyakannya tidak mematuhi piawaian syariat Islam. Di antaranya:

Pertama, Pemakaian para pelakon yang tidak menutup aurat dan bertabarruj (menjolok mata dan berhias melampaui batas).

Kedua, Berlakunya ikhtilat yang tidak terkawal, iaitu percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram yang jelas diharamkan di sisi Islam.

Ketiga, Unsur-unsur khurafat dan tahyul berleluasa dan mendapat sambutan dalam masyarakat, padahal ia membahayakan akidah umat Islam serta merosakkan perkembangan kanak-kanak di usia muda.

Keempat, Adegan-adegan filem daripada luar negara seperti Hollywood dan Bollywood yang disuapkan oleh barat jelas banyak memberikan impak negatif kepada masyarakat kerana memberi banyak rangsangan-rangsangan berunsur ganas, seks dan pengaruh-pengaruh yang buruk.

Sesungguhnya media perfileman memainkan peranan yang amat penting dalam membina kepribadian sesebuah masyarakat. Realiti yang ada sekarang membuktikan hampir keseluruhan individu di dalam masyarakat itu menonton televisyen dan ia secara langsung akan memberikan dorongan dan rangsangan terhadap masyarakat berdasarkan kepada apa yang disiarkan. Justeru, LPF haruslah menyediakan piawaian yang dilandaskan pada syariah Islam agar masyarakat dapat dihidangkan dengan filem-filem yang akan membina kepribadian dan jati diri Muslim di dalam masyarakat.

Rujukan:
1)    http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121221/pa_04/Kandungan-rancangan-televisyen-dikawal
2)    http://ms.wikipedia.org/wiki/Lembaga_Penapisan_Filem
3)    http://www.moha.gov.my/index.php/ms/maklumat-korporat/maklumat-bahagian/lembaga-penapis-filem