Perbezaan Jantina Tidak Menjadi Masalah Dalam Pemerintahan?

Krisis penamaan bakal calon Menteri Besar Selangor yang baru kini semakin hangat dibuat liputan dalam kesemua ruang utama media tempatan. Isu ini dibahangkan lagi dengan kenyataan sensitif yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan PAS yang menolak Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar .

“Yang sebab kita tolak calon (Menteri Besar) di Selangor kerana tak layak di awal lagi, bukan sebab perempuan tetapi sebab tak mampu kendalikan pemerintahan kerajaan Selangor. Ini memerlukan seorang yang kuat untuk jaga negeri Selangor. Itu yang sebenarnya, bukan sebab dia perempuan,” kata Abdul Hadi dalam satu majlis dialog di Kuala Terengganu.(1)

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din mempertahankan keputusan  Majlis Syura Ulama dengan mengatakan , “Memanglah kita hendak kepada yang lebih mampu dan lebih baik. Dalam Islam bukan jantina menjadi halangan tetapi kemampuan dalam memikul amanah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perdana anjuran Pertubuhan Tautan Rahmat di Dataran Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi dekat sini malam tadi. Menurutnya, Islam melihat kepada amanah dan disebabkan itu, mereka yang secara fizikalnya lebih mampu dari segi pengalaman, sejarah atau latar belakangnya akan dipilih.(2)

Presiden PAS dan Majlis Syura Ulamak PAS dilaporkan menolak pemilihan Datin Seri Wan Dr. Azizah sebagai Menteri Besar Selangor. Namun, apa yang menjadi persoalan di sini ialah hujah penolakan yang diberikan iaitu ketidakmampuan dan bukannya kerana jantina. Sejak bilakah Islam membenarkan perempuan memegang jawatan pemerintahan?

Memang benar seseorang itu tidak boleh menjadi pemimpin jika ia tidak mampu. Namun, dalam hal ini, perkara utama yang sepatutnya dibincangkan adalah persoalan mengenai bolehkah urusan pemerintahan diserahkan kepada wanita? Apakah Islam membenarkan hal ini?

Sabda Rasulullah SAW,

Sekali-kali tidak akan pernah beruntung sesuatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada seorang perempuan [HR al-Bukhari].  

Dalam dalil syarak telah dinyatakan dengan tegas bahawa gender yang menjadi isu utama dalam masalah ini, dan bukannya kemampuan atau kebolehannya untuk memerintah atau mentadbir negeri. Apakah jika sekiranya terdapat seseorang wanita itu mempunyai kebolehan untuk memerintah, ditambah pula ia seorang yang popular dan disukai rakyat, maka adakah hukumnya dengan serta-merta boleh diubah menjadi halal dan dibolehkan?

Memang benar, Islam tidak pernah membezakan antara lelaki dan wanita sebagai seorang manusia. Akan tetapi, Islam tetap membezakan antara hak dan tanggungjawab antara seorang lelaki dan wanita. Hak dan tanggungjawab ini telah ditetapkan oleh Allah sesuai dengan fitrah dan kemampuan ciptaan diri mereka dan ia sama sekali tidak boleh diubah. Lelaki dan wanita masing-masing mempunyai tanggungjawab yang tersendiri, pahala yang tersendiri dan ganjarannya yang tersendiri di sisi Allah. Ia tidak boleh dibanding-bandingkan atau disamakan sepertimana yang cuba dilakukan oleh golongan kufur yang memperjuangkan hak kesamaan gender.

Justeru, janganlah disebabkan ingin menjaga hati dan undi, meraih simpati, memelihara setiakawan dan semangat rakan gabungan parti komponen, hukum Allah dan Rasul berani ditolak ke tepi. Sebagai jalan keluar, seribu satu dalil yang tidak relevan dan dalih-dalih lain akan dicari sebagai justifikasi untuk mempertahankan kenyataan yang telah dikeluarkan dan tindakan yang dibuat. Sebagai umat Islam yang mengucap kalimah syahadah dan yang meletakkan Islam sebagai sumber yang tertinggi dalam hidup, sudah sewajibnya hukum syarak menjadi satu-satunya rujukan utama dalam segala permasalahan kehidupan dan bukannya suara majoriti umat manusia.  Wallahua’lam.

Sumber:
(1)    utusan.com.my

(2)   utusan.com.my