Lubna Hussein : Percaturan Kuffar Barat dalam Menyerang Islam

altIsu ini merupakan usaha pihak kufur Barat untuk mempropagandakan fahaman bahawa agama Islam itu menindas wanita dan menekan sebarang usaha untuk mengembalikan semula pelaksanaan syariah di bumi Allah ini.
 
Jika diperhatikan, tindakan kerajaan sekular Sudan menangkap mereka yang membuka aurat di khalayak ramai itu memang bertepatan sebagai memenuhi tanggungjawab pemerintah di sisi Allah untuk membendung maksiat baik yang kecil mahupun besar. Bagaimanapun hukuman yang dikenakan tidak menepati syarak kerana kesalahan ini dibicarakan dalam mahkamah yang tidak Islami, oleh itu, hukuman takzir yang dikenakan juga tidak sejajar dengan peruntukan syarak  dan sistem pemerintahan Daulah Islam.
Meskipun begitu, isu ini tetap dimainkan oleh Barat atas tiket memperjuangkan hak asasi dan keadilan untuk wanita. Mereka melihat tindakan pemerintah Sudan mengenakan hukuman seperti ini sebagai zalim dan menindas wanita kerana pada pandangan mereka biarlah wanita tidak berbaju sekalipun, mereka tetap punyai hak untuk bebas melakukan apa-apa sahaja tanpa sebarang kekangan. Lubna Hussein, yang menjadi subjek isu ini, dalam kenyataannya, bertegas mahu dirinya dipenjarakan dan bukannya membayar saman tetapi kemudiannya “dibebaskan” oleh Mahkamah Sudan setelah denda sebanyak 200 USD dibayar oleh persatuan wartawan antarabangsa tanpa kehendaknya. Beliau lebih suka dipenjara supaya usahanya itu dapat membangkitkan ‘kesedaran’ Muslimah lainnya agar ‘membebaskan diri’ dari penindasan aurat. Beliau dilihat sebagai seorang wanita Islam yang sekular dan benar-benar berpegang kepada pemikiran emansipasi wanita ala Barat. Beliau nampaknya benar-benar mahu memperjuangkan hak kebebasan wanita mengikut padangan mata Barat dan menentang apa-apa penerapan yang memiliki ‘nilai Islami’, meskipun penerapan tersebut tidak berasaskan hukum syarak yang sebenar.

Bagaimana isu seperti ini harus ditanggapi? Siapa yang bersalah? Pertama: Lubna Hussein adalah pesalah yang paling utama dalam isu ini kerana beliau secara terang-terangan memaksiati Allah dengan tidak menutup aurat seperti mana wanita-wanita muslim sekarang ini yang kebanyakannya tidak mempunyai kesedaran dan pemahaman tentang Islam ataupun sengaja menentangnya. Beliau bukan setakat tidak insaf dengan kesalahannya, malahan menentang dan bangkit mencabar ketetapan syarak dalam soal aurat sehingga mengundang peluang kepada musuh Islam untuk campur tangan dan menyebabkan lebih ramai Muslimah yang terpesona dengan pemikiran ini. Usaha beliau bukan sekadar menentang polisi kerajaan Sudan, malah secara tersirat beliau dijadikan ‘frontline’ oleh kaum kuffar untuk memperbodohkan peraturan aurat Islam.

Kedua: Kerajaan Sudan juga bersalah kerana tidak menerapkan Islam secara benar.  Bagaimana mungkin hukum yang dikenakan ke atas Lubna boleh dianggap sebagai hukum Islam sebenar, sedangkan prinsip negara seperti Sudan itu sendiri tidak berdiri di atas asas aqidah Islam? Sudan juga nampaknya tunduk dengan mudah kepada tekanan Barat walaupun dengan hanya sedikit sahaja gesaan. Mereka seolah-olahnya terpaksa melepaskan Lubna Hussein dan tidak mahu bertegas mengenakan hukuman kepada wanita ini. Hal ini dilihat dari hakikat bahawa sebelum Lubna dikenakan tindakan, ramai lagi wanita Muslim yang telah menerima hukuman tersebut. Mengapa dalam kes Lubna ini tidak sama? Ini tidak lain kerana kesan pengaruh dan tekanan Barat ke atas isu ini. Tindakan kerajaan Sudan ini bukan sahaja menunjukkan mereka tidak ikhlas dalam penerapan hukum syarak, malah kesalahan paling jelas adalah seperti mana negara-negara umat Islam yang lain, mereka tidak berusaha mempertahan dan menerapkan Islam secara kaffah dan bersungguh-sungguh. Melihat kepada keadaan negara ini yang sentiasa diselubungi konflik percaturan kuasa dan minyak antara AS dan juga Britain, kesalahan demi kesalahan terus dilakukan oleh kerajaan Sudan (sama seperti kerajaan umat Islam yang lain) yang menyebabkan umat Islam di sana menjadi semakin rosak dan binasa.

Ketiga: Apa yang berlaku di Sudan ini merupakan manifestasi umum bahawa umat Islam mengikut telunjuk dan pemikiran kaum kuffar. Mereka ini terdiri dari kalangan kaum Muslimin yang mengambil pemikiran Barat sebagai Qaidah Fikriyah (Kerangka Berfikir) dalam kehidupan mereka. Seperti mana Lubna, ramai lagi golongan-golongan penjilat ketamadunan Barat ini yang mempertahankan idea-idea kebebasan dan hak asasi manusia dengan berlandaskan akal dan aturan pemikiran Barat. Mereka ini adalah golongan yang sesat kerana cenderung mengikuti kekufuran.

Ke-empat: Kita perlu sedar bahawa kaum kuffar dengan pemikiran mereka yang rosak sentiasa mencari peluang untuk memberikan tekanan kepada umat Islam terutama dalam suasana kebangkitan Islam yang sedang berlaku dengan pesat kini. Dalam isu ini, persoalan kesamaan gender, kebebasan berpakaian, hak asasi wanita, dan feminisme dijadikan senjata. Mereka selalu menuduh bahawa Islam tidak berlaku adil dan suka mengurung tubuh-tubuh wanita dalam pakaian yang menutup aurat. Hukum syarak tentang aurat adalah jelas tanpa ada keraguan sedikitpun namun mereka terus-menerus menyerang dan memperlekehkan ketetapan ini. Pada tanggapan mereka tubuh-tubuh wanita ini tidak sepatutnya “dikurung” tetapi “dibebaskan” semahunya tanpa ada rasa malu sedikit pun atas dasar kebebasan. Mereka juga menganggap bahawa merekalah yang memberikan emansipasi (pembebasan mutlak) terhadap wanita, yang pada hakikatnya menjerumuskan lebih ramai wanita kepada neraka Allah dan menjadi mangsa nafsu serakah kaum lelaki!

Hakikatnya, umat Islam tidak patut merasa bersalah dan bersifat defensif terhadap serangan seperti ini. Ini adalah kerana ketaatan kepada hukum syarak merupakan satu-satunya kebenaran hakiki yang patut dilakukan oleh manusia keseluruhannya. Allah SWT memiliki hak total untuk menetapkan bentuk pakaian yang harus dipakai oleh wanita atau lelaki. Allah berfirman:

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” (TMQ al-A’raaf[7]:26).

Siapakah manusia sehingga berani untuk mereka-reka hukum tentang hak dan kebebasan mereka sendiri!? Hakiikatnya kita sebagai hambaNya hanya boleh melakukan sesuatu menurut ketetapan yang telah diturunkanNya kepada kita. Inilah yang dikatakan sebagai fitrah kehidupan.

Hakikat kebenaran seperti ini ditolak oleh kaum kuffar kerana kebodohan dan kesombongan mereka. Akibat dari penolakan atas kebenaran akidah Islam dan hak Allah ke atas manusia, mereka telah mencipta da melaksanakan idea-idea yang membawa kepada kerosakan umat manusia dan wanita khususnya. Pergaulan bebas, emansipasi dan hak liberal kaum wanita, undang-undang keluarga dan perceraian yang diacu mengikut sesuka akal mereka, undang-undang pakaian wanita, hak sosial dan ekonomi yang songsang, dan pelbagai lagi hak-hak rekaan akal manusia yang pada sangkaan mereka dapat melindungi kaum wanita itu pada hakikatnya telah membawa bencana dan kepada kerosakan mereka sendiri. Akibatnya wanita telah dijauhkan dari fitrah asalnya yang mulia di sisi Islam.

Kita melihat, semenjak Islam dicabut dari kehidupan ini dan semenjak usaha perjuangan emansipasi wanita ini dilancarkan Barat pada awal abad 20 dan diperhebat semenjak tahun 60an, ramai wanita ‘moden’ hari ini menjadi mangsanya. Ramai yang diceraikan, dianiayai, dan tidak berkahwin akibat pelbagai masalah sosio-budaya. Wanita yang berkerjaya sudah semakin sibuk dan berlumba-lumba mengejar dunia sehingga melupakan tugas mereka sebagai ibu dan pendidik. Akibatnya, anak-anak dan institusi keluarga menjadi rosak. Kebebasan pergaulan sosial dan berpakaian juga telah mendatangkan bencana yang berpanjangan kepada kaum wanita. Wanita ‘moden’ ini sentiasa menjadi hamba dan subjek seks kerana gaya hidup sosial, tingkahlaku, pakaian dan kebebasan minda mereka telah menuruti pemikiran Barat yang rosak.  Inilah hasil perjuangan yang merosakkan dan merabakkan kemuliaan dan kesucian hidup mereka. Inilah perjuangan yang datangnya dari Barat, yang dilambung tinggi oleh pengikut mereka di kalangan umat Islam yang bodoh dan alpa.

Untuk wanita, Allah telah menyediakan banyak ketetapan yang dapat memelihara diri mereka antaranya, firman Allah yang berbunyi:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (TMQ An Nur[24]: 31)

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: “Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (TMQ Al-Ahzab[33]: 59)

Di sisi syarak Allah yang mulia, lelaki dan wanita yang membuka auratnya akan diadili di mahkamah Daulah dengan hukum syarak. Sekiranya sabit kesalahan, mereka boleh dihukum dengan hukum takzir, samada dipenjara atau dirotan. Begitu juga sekiranya ada warga Daulah yang secara terang-terangan menentang pelaksanaan Islam dan memperjuangkan sistem dan ideologi kufur, hukuman yang berat menanti mereka (hukum murtad untuk Muslim dan takzir untuk orang kafir). Inilah ketetapan Islam bagi memastikan umatnya terus hidup dalam kemuliaan dan keadilan. Apabila Daulah Khilafah tertegak dan Islam diterapkan secara kaffah, pemikiran-pemikiran kufur seperti yang ada pada hari ini akan sirna dari benak kaum Muslimin dan umat manusia akan hidup dengan penuh kesejahteraan. Manakan tidak, hanya nuansa keimanan dan ketaqwaan akan menyelebungi seluruh umat Islam ketika itu. Tiada lagi seruan emansipasi, tiada lagi seruan kebebasan. Tiada lagi manusia yang inginkan selain keredhaan Allah kecuali mereka yang di dalam hatinya tertanam penyakit, maka Allah SWT menambahkan lagi kesesatan mereka.

 


فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضًا
 ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ [٢:١٠]