Fikratul Ummah – Ogos 2014

alt
 

MUQADDIMATUL KALAM

Oleh : Editor

Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh…

Taqabbalallahu minna wa minkum, semoga Allah SWT menerima amalan kami dan amalan kamu…

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, Syawal 1435H buat para pembaca FU yang dikasihi sekalian. Gema takbir telah berbunyi, umat Islam sibuk ziarah-menziarahi dan saling maaf-memaafi. Ramadan telah berlalu pergi dengan harapan agar Allah SWT menerima segala amal soleh, mengampunkan dosa-dosa dan melimpahkan rahmatNya ke atas kita.

Para pembaca yang semoga dirahmati Allah sekalian,

Dalam kegirangan menyambut Syawal, marilah kita sama-sama berfikir sejenak dalam menilai diri dan masyarakat sekeliling. Adakah ibadah puasa yang lalu telah berjaya menjadikan kita dan seluruh umat Islam bertakwa kepada Allah SWT seperti yang dikehendakiNya? Adakah kita telah benar-benar berjuang sepanjang bulan Ramadan yang lalu sehingga kita layak menyambut Syawal bulan kemenangan? Realiti masyarakat hari ini jelas menunjukkan bahawa bulan Syawal sekali lagi dicemari dengan perbuatan-perbuatan maksiat seperti pendedahan aurat, tabarruj (berhias berlebih-lebihan), pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan, pembaziran dan sebagainya. Masing-masing tenggelam dalam kegembiraan dan ‘kemenangan’ setelah berjaya menahan lapar dan dahaga selama sebulan.

Ditambah pula dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang bakal disambut tidak lama lagi, kita akan melihat umat Islam terus menerus leka dengan ‘kebebasan’ yang dikecapi sejak 57 tahun yang lalu. Perasaan cinta pada negara bangsa Malaysia ini akan terus disemarakkan dengan peringatan supaya bersyukur dengan kemerdekaan yang telah diberikan oleh puak penjajah. Padahal ini adalah salah satu agenda puak kuffar Barat untuk terus menjajah dan menjauhkan umat Islam daripada akidah dan politik Islam. Allah SWT telah memperingatkan kita tentang rencana jahat ini dalam firmanNya,

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka, katakanlah sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar[TMQ al-Baqarah (2):120].

Oleh itu, FU edisi kali ini ingin mengajak para pembaca sekalian untuk memahami dan menilai erti sebenar sebuah kemenangan dan kebebasan seperti yang dikehendaki Allah SWT dan yang telah diraih oleh Rasulullah SAW serta generasi sahabat terdahulu.  Semoga dengan itu, kita dapat bersatu hati dan berganding bahu untuk mencapai kemenangan dan kebebasan tersebut.

Wallahu’alam..

 


DOA AGAR DITERIMA AMALAN

Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui [TMQ al-Baqarah (2):127]

 


ARTIKEL PILIHAN
KEMENANGAN HAKIKI MAKNA SAMBUTAN AIDILFITRI

Oleh: Nurain Abdurrahman (Aktivis MHTM)

Muqaddimah
Kedatangan Syawal merupakan saat yang dinantikan oleh seluruh umat Islam setelah sebulan melalui ujian sabar menahan lapar dan dahaga serta melakukan ibadah sebanyak mungkin di bulan Ramadan. Syawal juga merupakan bulan untuk umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri sebagai melahirkan rasa syukur di atas segala kesempurnaan ibadah (baca: berpuasa dan menunaikan ibadah-ibadah sunat). Ia sentiasa diraikan dengan permulaan ucapan takbir, tasbih dan tahmid menandakan kemenangan umat Islam dalam mengawal hawa nafsu masing-masing.

Hari Raya Aidilfitri telah disyariatkan sejak tahun kedua hijrah Rasulullah SAW ke Madinah al-Munawarah. Di peringkat awal hijrah, baginda mendapati masyarakat Islam Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi turun temurun daripada nenek moyang mereka yang dinamakan ‘nairuuz’ dan ‘mahrajan’. Kedua-dua hari perayaan ini disambut dengan mengadakan majlis suka ria. Rasulullah SAW sebagai pemimpin agung dan pembawa rahmat sekalian alam tidak mengambil tindakan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak untuk mengubah tradisi ini. Baginda sebaliknya melakukan penelitian dan berdoa agar ada jalan keluar. Setelah itu, baginda bersabda,

Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari raya kaum itu dengan dua hari raya yang lebih baik dan kedua-duanya itu ialah Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha[HR Abu Dawud & Tirmizi].

Kemenangan Berganda
Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan generasi Islam sesudahnya memaparkan sebuah kegembiraan yang terpancar pada wajah kaum Muslimin. Allah SWT telah menitipkan pertolonganNya dalam pelbagai peperangan menentang kaum kuffar yang berlaku di bulan Ramadan. Kemenangan ini dirai dengan penuh ketakwaan dan munajat serta dihiasi dengan tasbih, tahmid juga takbir yang berterusan tanda cinta mereka kepada Rabbul Jalil dan kekasihNya. Ia juga merupakan lambang kemenangan Islam yang tegak sebagai sebuah pilar dan ideologi yang menaungi kehidupan manusia.

Berbeza pula dengan suasana sambutannya dalam kalangan umat Islam masa kini. Kedatangan Syawal disambut dengan rasa kesyukuran atas kemenangan individu melawan hawa nafsu makan, minum dan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa bulan Ramadan. Hanya sebatas itu sahaja. Tambahan lagi, umat Islam di Malaysia pada tahun ini menyambut Syawal seiring dengan Hari Merdeka. Bertambah meriahlah suasananya pada tahun ini apabila mereka berkesempatan meraikan kemenangan yang berganda kerana hari kemerdekaan itu disambut untuk merai kebebasan Tanah Melayu daripada terus dijajah oleh Barat. Namun, masih ramai yang tidak sedar hakikat kemerdekaan yang dikecapi sekarang hanya bersifat utopia (palsu). Realiti yang sepatutnya kita sedar ialah, Malaysia tidak pernah merdeka dan sentiasa berada di bawah hegemoni (penjajahan) Barat yang tidak berkesudahan.

Jika ditelusuri sejarah Malaysia, banyak fakta yang menunjukkan bahawa kita ‘merdeka’ kerana kita telah memerintah secara kendiri. Namun hakikatnya kita tidak pernah mandiri. Lihat sahaja pada Perlembagaan Malaysia yang telah disediakan oleh si kufur Lord Reid yang secara jelas melambangkan agenda kufur Barat untuk menjajah pemikiran umat Islam. Malaysia bukan sahaja dibentuk menjadi negara bangsa malah dibelit dan diikat dengan pelbagai perjanjian yang sebenarnya tidak pernah menguntungkan rakyat umumnya dan umat Islam khususnya. Harta kekayaan negara hanya dimonopoli oleh sesetengah pihak sahaja dan hukum-hakam Islam yang sepatutnya dijadikan dasar pemerintahan negara hanya terbatas di Mahkamah Syariah sahaja. Malah kepedulian umat Islam di Malaysia terhadap saudara seakidah yang ditindas di negara-negara lain terbatas pada kiriman bantuan kemanusiaan sahaja hanya kerana terikat dengan sekatan-sekatan palsu negara bangsa. Persoalannya, wajarkah kita bergembira dan bersuka ria menyambut ‘kemenangan berganda’ ini?

Hakikat Kemenangan
Jika diperhatikan realiti umat Islam pada hari ini, adakah kemenangan itu benar-benar menjadi milik hakiki umat Islam? Mungkin umat Islam di Malaysia tidak terasa ‘kalah’ kerana dapat menyambut Syawal dengan cukup meriah dan gembira ditambah lagi dengan kehidupan yang aman daripada ledakan bom dan peluru. Segala sunnah Nabi SAW berkenaan dengan sambutan Aidilfitri dapat kita amalkan bermula daripada kecukupan makanannya sehinggalah berpakaian serba baharu.

Namun, apabila diperhatikan keadaan umat Islam secara global, terdetik persoalan di benak kita bagaimanakah Syawal dan ‘kemenangan’ ini dirai oleh mereka?  Penduduk Gaza di Palestin dibantai secara habis-habisan semasa umat Islam yang lain sedang leka menghadap bola Piala Dunia yang lalu.  Umat Islam di Afrika Tengah dibantai oleh puak Nasrani, komuniti Muslim di Myanmar dibunuh sesuka hati oleh penganut Buddha dan kewarganegaraan mereka dinafikan. Di China pula, umat Islam di Uighur dihalang oleh pihak berkuasa daripada berpuasa. Syria masih lagi berdarah sehingga saat ini dan umat Islam di Afghanistan, Pakistan, Iran, Iraq serta negeri-negeri umat Islam lainnya yang masih hidup dalam pergolakan . Bagaimanakah mereka dapat merasakan nikmat kemenangan itu?

Mereka (umat Islam seluruh dunia) merupakan saudara seakidah kita. Mereka ialah saudara kita yang diikat dengan tali Laa Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah. Allah SWT berfirman,

Sesungguhnya setiap orang mukmin itu bersaudara”  [TMQ al-Hujurat (49):10].

Keimanan kita juga diukur berdasarkan kecintaan kita kepada mereka. Nabi SAW sangat tegas menyatakan kepentingan saling menyintai antara seluruh umat Islam sebagaimana sabda baginda,

Demi Zat yang jika ada ditanganNya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman. Belum  sempurna  keimanan setiap daripada kamu sehingga kamu saling menyintai. Tidakkah kalian suka jika aku tunjukkan pada kalian satu perkara, jika kalian melakukan nescaya kalian akan saling menyintai. Sebarkanlah salam diantara kalian [HR Muslim].

Jika kita merasai semangat persaudaraan dan kecintaan yang dituntut dalam Islam ini, sebenarnya kita hanya menyambut Syawal dengan ‘kekosongan’ dan ‘kepiluan’ tanpa kemenangan hakiki sebagaimana kemenangan umat Islam terdahulu. Kemenangan umat Islam terdahulu adalah apabila umat Islam berjaya dalam usaha menyebarkan seruan-seruan dakwah sekaligus membuka wilayah-wilayah Islam yang baru yang kemudian membawa kepada kekuatan Daulah Islam. Daulah Islam menjadi negara Superpower yang digeruni oleh setiap musuhnya sehingga seluruh rakyatnya hidup dalam keselamatan dan kesejahteraan. Kekuatan Daulah Islam saat itu sampai mampu melindungi rakyatnya daripada penghinaan, penindasan dan kezaliman kaum kuffar. Semuanya tidak seperti yang berlaku terhadap umat Islam pada hari ini akibat hidup dalam perpecahan negara bangsa.

Ini semua berlaku sejak runtuhnya Daulah Khilafah yang terakhir iaitu ketika era pemerintahan Turki Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924. Nasib malang umat Islam seakan-akan virus yang semakin merebak ke seluruh pelusuk dunia. Umat Islam yang dahulunya berjaya disatukan di bawah satu kepimpinan, kini dipecahkan menjadi lebih 57 buah negara dengan sempadan geografi palsu yang bernama negara bangsa dan diracuni pula dengan semangat nasionalisme. Perisai dan pelindung daripada sebarang kesulitan dan ancaman luar telah diragut daripada umat Islam.

Umat Islam bukan sahaja sedang ditindas secara fizikal dan mental malah jiwa kita sedang disakiti dengan tragisnya. Wanita-wanita kita dirogol, dibunuh dan diperlecehkan aibnya. Anak-anak kita dikasari, dizalimi dan dibantai dengan penuh kekejaman. Penderitaan umat Islam secara global walaupun amat menyentap tangkai jantung hati tetapi hanya menjadi informasi biasa buat kaum Muslimin. Sampai bila kita perlu menangis hiba dalam Syawal yang sepatutnya dirai dengan kegembiraan dan keamanan Islam?

Nyatalah kini kemenangan yang kita raih hanyalah kemenangan yang bersifat individualistik. Secara individu, kita telah berjaya melalui segala dugaan di bulan Ramadan yang lalu. Secara individu juga kita berjaya memanfaatkan madrasah Ramadan yang penuh berkat, penuh rahmat dan pengampunan. Dalam bulan Ramadan juga nilai takwa dan ruhiyyah individu telah tercas kembali. Namun, bagaimanakah nilai ketakwaan boleh membentuk kita menjadi umat yang peduli akan nasib saudara kita yang lain? Sampai masanya untuk kita muhasabah kembali, apakah sebenarnya tindakan yang perlu kita lakukan.

Khatimah
Kami tidak pernah jemu menyatakan dan menyeru kepada kalian untuk berusaha bersama kami dalam mengembalikan semula sebuah institusi Khilafah yang telah musnah. Khilafah yang dipimpin oleh Khalifah ini yang akan menjamin kembali keamanan dan kebahagiaan kita seluruh umat Islam. Impian ini bukan mimpi di siang hari. Impian ini adalah bisyarah (khabar gembira) yang Nabi Muhammad SAW janjikan kepada kita. Sabda baginda dalam sebuah hadis yang panjang,  “…Kemudian akan kembali zaman Khilafah atas jalan kenabian…” [HR Ahmad]. Semoga ini Syawal terakhir kita raikan tanpa Khilafah.

Wallahu’alam..

 


TAFSIR: KESATUAN UMAT ISLAM: SATU TUNTUTAN
Oleh: Ustazah Ummu Hajar (Aktivis MHTM)

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُم أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً
Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu (kerana) nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara”  [TMQ ali-Imran (3):103].

Asbabun Nuzul Ayat
Imam Ibn Katsir, dalam Tafsir al-Quran al-‘Azhim, menyatakan bahawa ayat ini turun berkaitan dengan kaum Aus dan Khazraj. Ketika zaman jahiliyah, kaum Aus dan Khazraj berada dalam kancah peperangan, bermusuhan dan sering berlaku pertempuran antara kedua-dua kaum tersebut. Apabila Allah SWT menurunkan Islam, dakwah disampaikan kepada mereka. Maka, ramai dalam kalangan mereka yang memeluk Islam dan dengan kurnia Allah ini juga mereka hidup berkasih sayang serta berakhirlah segala sengketa yang ada. Hubungan sesama mereka menjadi baik dan mereka hidup saling membantu dalam hal kebaikan dan keimanan.

Tafsir Ayat
Imam Ibn Katsir, dalam Tafsir al-Quran al-‘Azhim, (I/477) mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan tali Allah ialah perjanjian dan perlindungan untuk orang kafir dzimmi, sebagaimana disebut dalam ayat berikutnya [TMQ ali-Imran (3):112].

Namun, tali Allah juga memberi makna al-Quran, sebagaimana disebut dalam hadis marfu‘ daripada Ali RA ketika menyifati al-Quran, “Al-Quran adalah tali Allah yang teguh dan jalan-Nya yang lurus”.

Sesungguhnya, dengan berpegang pada al-Quran yang merupakan wahyu Allah SWT, baik ungkapan mahupun maknanya, kaum Muslimin di mana pun mereka berada akan dapat bersatu padu dan berjuang bersama menegakkan agama Allah. Kesannya, kaum Muslimin akan muncul menjadi umat yang berjaya dan selamat di dunia dan di akhirat.

Sebagaimana dituturkan oleh Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya al-Quran ini ialah tali Allah yang teguh; cahaya yang menerangi; dan ubat penyembuh yang bermanfaat, yang menjadi pelindung bagi orang yang berpegang teguh padanya dan menjadi penyelamat orang yang mengikutinya[HR Ibn Mardawaih].

Imam az-Zamakhsyari, dalam Tafsir al-Kasysyaf, (I/386) menafsirkan ini dengan menyatakan bahawa ayat tersebut bermakna, “Bersatulah kalian dalam permohonan dan kepercayaan kalian kepada Allah dan janganlah kalian berpecah belah. Bersatulah kalian dalam berpegang teguh pada janji Allah kepada para hambaNya, iaitu iman dan taat serta bersatulah kalian dengan kitabNya…”.

Adapun berkaitan dengan perintah (janganlah kalian bercerai berai!), Imam az-Zamakhsyari menafsirkannya sebagai “Janganlah kalian bercerai berai daripada kebenaran lantaran nanti akan jatuh dalam perbezaan yang luar biasa, sebagaimana perbezaan yang ada pada bangsa Yahudi dan Nasrani, atau sebagaimana perpecahan dan permusuhan yang kalian alami dahulu pada masa Jahiliyah. Janganlah itu semua terjadi. Kembalilah pada sesuatu yang mempersatukan kalian, iaitu mengikuti kebenaran dan berpegang teguh pada Islam”.

Tegas sekali, ayat ini memerintahkan kaum Muslimin untuk bersatu atas dasar Islam dan untuk menegakkan Islam dengan hukum syariat sebagai tolok ukurnya; bukannya bersatu demi pimpinan kelompok, parti nasionalis, figur, batas assabiyyah (perkauman), negara bangsa ataupun fanatisme masing-masing. Sebagaimana dituturkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW menegaskan hal ini dalam sabdanya,

Sesungguhnya Allah SWT meredai kalian tiga perkara dan memurkai kalian tiga perkara. Allah meredai kalian jika kalian (1) menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatupun; (2) berpegang pada tali Allah dan tidak bercerai berai; (3) sering menasihati orang yang diserahi Allah kekuasaan untuk urusan pemerintahan kalian[HR Muslim].

Al-Qurthubi berkata tentang tafsir ayat ini, “Sesungguhnya Allah  SWT memerintahkan kesatuan dan melarang daripada perpecahan kerana sesungguhnya perpecahan merupakan kebinasaan dan  al-jama’ah  (kesatuan) merupakan keselamatan[Al-Jami’ Li Ahkamil Qur’an 4/159].

Al-Qurthubi juga mengatakan, “Maka Allah  SWT mewajibkan kita berpegang kepada kitabNya dan Sunnah NabiNya, serta kembali kepada keduanya jika ada perselisihan sesama kita. Kita diperintahkan supaya bersatu di atas landasan al-Kitab dan as-Sunnah, baik dalam keyakinan dan perbuatan. Dan Allah memerintahkan persatuan dan melarang daripada perpecahan seperti apa yang telah terjadi pada kedua ahli kitab[Al-Jami’ Li Ahkamil Qur’an 4/164].

Beliau juga mengatakan, “Boleh juga maknanya, janganlah kamu berpecah-belah kerana mengikuti hawa nafsu dan tujuan-tujuan yang bermacam-macam. Jadilah kamu saudara-saudara dalam agama Allah, sehingga hal itu menghalangi daripada (sikap) saling memutuskan dan membelakangi[Al- Jami’ Li Ahkamil Qur’an 4/159].

Asy-Syaukani berkata tentang tafsir ayat ini, “Allah memerintahkan mereka bersatu di atas landasan agama Islam, atau kepada al-Quran. Dan melarang mereka daripada perpecahan yang muncul akibat perselisihan dalam agama[Fahul Qadir 1/367].

Pengajaran Dan Iktibar Ayat
Kesatuan dan persaudaraan umat Islam bukanlah kesatuan di atas nama sahaja, melainkan kesatuan yang benar-benar dilaksanakan dengan kukuh. Rasulullah SAW menjelaskan adanya tiga ciri utama persaudaraan umat.

Pertama, kesatuan umat Islam ialah laksana persaudaraan antara sesama saudara kandung. Hal ini tegas dinyatakan oleh nas syarak seperti berikut:

Sesungguhnya kaum Mukmin itu bersaudara (ikhwatun)[TMQ al-Hujurat (49):10].

Seorang Muslim adalah saudara (akhun) bagi Muslim lainnya[HR Muslim].

Dalam kedua nash tersebut, perkataan ikhwatun dan akhun bermakna saudara. Ini menunjukkan bahawa  jika terdapat perbezaan pendapat antara seorang saudara dengan saudaranya yang lain namun tetap ia akan saling membantu dan saling meringankan beban dalam kebaikan dan ketakwaan. Rasulullah SAW bersabda, 

Muslim adalah saudara Muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kesusahan) dan merendahkannya. Takwa itu di sini, -beliau menunjuk dadanya tiga kali- cukuplah keburukan bagi seseorang, jika dia merendahkan saudaranya seorang Muslim. Setiap Muslim terhadap Muslim yang lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya [HR Muslim dan lainnya daripada Abu Hurairah].

Kedua, kesatuan umat Islam haruslah seperti satu tubuh. Rasulullah SAW bersabda,

Kaum Mukmin itu seperti satu tubuh[HR ath-Thabari].

Tubuh yang dimaksudkan tentu bukan tubuh yang terbujur mati, melainkan tubuh yang hidup dan berfungsi untuk secara bersama-sama melakukan aktiviti bagi kepentingan tubuh secara keseluruhan. Secara individu, setiap komponen umat berjuang untuk kepentingan umat secara keseluruhan, laksana satu tubuh. Misalnya, mulut mengunyah makanan bukan sekadar untuk kenikmatan mulut, melainkan untuk kepentingan tubuh secara keseluruhan. Hidung menghirup udara bukanlah untuk kebaikan hidung semata melainkan untuk kebaikan seluruh tubuh. Umat Islam, ketika secara benar menjalin hubungan sedemikian, akan menjadi umat yang utuh seperti tubuh.

Ketiga, kesatuan umat Islam dituntut agar teguh seperti satu bangunan. Hal ini diberitakan oleh Rasulullah SAW,

Muslim dengan Muslim lainnya laksana bangunan yang saling mengukuhkan satu sama lain[HR al-Bukhari].

Bangunan dapat dijadikan tempat beristirehat, menjalin keharmonian, keselamatan dan ketenangan, bahkan mengubati anggota yang sakit. Selain itu, bangunan dapat melindungi penghuninya daripada hujan, terik matahari bahkan gangguan penjahat. Umat Islam yang bersatu ialah umat yang menjalankan fungsi seperti bangunan ini.

Langkah Menuju Kesatuan Umat Yang Dituntut Syarak

a.    Memutuskan Perkara Dengan al-Kitab Dan as-Sunnah
Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya) dan ulil amri antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al- Quran) dan Rasul (as-Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya[TMQ an-Nisa’(4):59].

Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di berkata, “Allah memerintahkan untuk mengembalikan segala perkara yang diperselisihkan manusia -yang berupa  ushuluddin  dan  furu’-  kepada Allah dan RasulNya, iaitu kepada kitab Allah dan Sunnah RasulNya kerana sesungguhnya di dalam keduanya terdapat penyelesaian untuk seluruh perkara yang diperselisihkan. Mungkin dengan jelas di dalam keduanya, atau dengan keumumannya, atau isyarat, atau peringatan, atau pemahaman, atau keumuman makna, yang serupa dengannya dapat dikiaskan padanya. Kerana sesungguhnya kitab Allah dan Sunnah RasulNya merupakan asas bangunan agama. Keimanan tidak akan lurus, kecuali dengan keduanya. Maka, mengembalikan (perkara yang diperselisihkan) kepada keduanya merupakan syarat keimanan[Taisir Karimir Rahman].

Barangsiapa bersungguh-sungguh mengikuti petunjuk Allah, nescaya akan terhindar daripada kesesatan. Allah berfirman, “ Barangsiapa yang mengikuti petunjukKu, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka[TMQ Thaha (20):123].

Langkah mendasar dan menyeluruh yang perlu dilakukan segera oleh kaum Muslimin adalah kembali kepada pemahaman-pemahaman Islam yang menolak ikatan kelompok, kesukuan atau nasionalisme serta membongkar tipu daya puak imperialis kufur dan para pengikutnya yang sentiasa ingin memecah belahkan umat Islam.

b.    Kesatuan Umat Di Bawah Kepimpinan Seorang Pemimpin/Imamah/ Khalifah
Secara praktikal, Rasulullah SAW menegaskan bahawa kesatuan umat wajib di bawah kepemimpinan kaum Muslimin (Imamah/Khalifah) kerana kepemimpinan seperti itulah yang benar-benar merupakan benteng bagi mereka. Rasulullah SAW bersabda,

Pemimpin (imam) itu benteng. (Kaum Muslim) diperangi (saat berada) di belakangnya dan dilindungi olehnya[HR Muslim].

Aku wasiatkan kepada kamu untuk bertakwa kepada Allah; mendengar dan taat (kepada penguasa kaum Muslimin), walaupun seorang budak Habsyi kerana sesungguhnya, barangsiapa hidup setelahku, dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka wajib bagi  kamu berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk dan lurus. Peganglah dan gigitlah dengan gigi geraham. Jauhilah semua perkara baru (dalam agama) kerana semua perkara baru (dalam agama) adalah bid’ah, dan semua bid’ah adalah sesat  [HR Abu Dawud, Tirmizi, ad-Darimi, Ahmad dan lainnya dari Al ‘Irbadh bin Sariyah].

Khatimah

Wahai seluruh kaum Muslimin yang bersaudara!

Perpecahan hanya menghasilkan keuntungan bagi mereka yang tidak suka kepada Islam dan umat Islam. Perpecahan sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Untuk itu, marilah kita semua kembali kepada pangkuan Islam. Jadikanlah akidah Islam dan hukum-hukumnya sebagai tali pengikat sesama Muslim dalam menghadapi semua musuh kita yang dengan jelas hendak menghancurkan Islam dan umatnya. Hanya dengan Islam dan kesatuan Islam sahajalah yang mampu menyatukan kita semua secara hakiki serta hidup dengan selamat dunia dan akhirat, insyaAllah.

Wallahu’alam..

 


 
SERIKANDI TELADAN:  JUWAIRIYYAH BINTI HARITS – KEMERDEKAAN YANG MEMBAWA KEMULIAAN KEPADA DIRI DAN BANGSA
Oleh: Aliya Bukharey (Pimpinan Pusat MHTM)

Muqaddimah

Allah SWT telah menciptakan manusia dengan fitrah inginkan kemerdekaan atau kebebasan dan tidak mahu dirinya menjadi tawanan atau kongkongan sesiapa pun. Walau bagaimanapun, hanya kemerdekaan atau kebebasan yang benar akan memuliakan seseorang individu bahkan sesuatu kaum. Bagaimana suatu kemerdekaan itu dikatakan benar lagi menguntungkan? Kisah Juwairiyyah binti Harits, sahabiyah yang juga merupakan Ummahatul mu’minin akan menjelaskannya.

Juwairiyyah binti al-Harits bin Abu Dhirar yang digambarkan sebagai wanita yang cantik, berakhlak mulia dan cerdik merupakan wanita yang berasal daripada keturunan Yahudi daripada Kabilah Bani al-Mustaliq. Sebelum memeluk Islam, nama beliau ialah Barrah binti al-Harits al-Dhirar. Ayahnya adalah pemimpin kabilah tersebut dan sangat memusuhi Islam serta Rasulullah sendiri.

Tawanan Terpilih 
Akibat daripada pembelotan kaum Yahudi dalam Perang Ahzab, Rasulullah SAW tidak lagi bertolak ansur dengan mereka. Pembelotan ini menjadikan permusuhan Yahudi terhadap Rasulullah SAW semakin memuncak, maka tercetuslah peperangan antara kaum Muslimin dengan kaum Yahudi Bani Mustaliq. Perang ini terjadi pada bulan Sya’ban, tahun 6 Hijriyah. Namun peperangan ini berakhir dengan kekalahan yang teruk di pihak Yahudi Bani Mustaliq. Ramai antara tentera mereka yang mati termasuklah Musafi’ bin Shafwan, suami Juwairiyyah, bersama 10 orang lagi tentera. Sementara itu, Juwairiyyah sendiri telah menjadi tawanan perang bersama lebih 700 orang daripada kaumnya. Para tawanan dan ghanimah (harta rampasan perang) kemudian diagih-agihkan kepada umat Islam, manakala Juwairiyyah telah menjadi tawanan bahagian Tsabit bin Qais.

Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Nafi’, dalam surat jawapannya terhadap persoalan Ibnu Aun perihal perang Bani Mustaliq telah berkata, “Rasulullah SAW menyerang Bani Mustaliq yang telah bersiap-siap menyerang Rasulullah SAW sebelumnya. Unta-unta mereka digiring menuju suatu sumber air. Di sanalah Rasulullah SAW menyerang mereka dan berhasil menawan kaum wanita dan anak-anak termasuk Juwairiyyah. Aku mendengar kisah ini daripada Ibnu Umar yang ikut dalam perang tersebut”  [Riwayat Bukhari, vol.5. hlm. 202, kitab al-Itq dan Muslim, vol. 12 hlm. 35-36, kitab Al-Jihaad was Sair].

Menyedari bahawa dirinya telah jatuh ke tangan musuh, maka Juwairiyyah mengambil keputusan untuk menebus dirinya. Tsabit bin Qais telah menentukan nilai tebusan pembebasan diri daripada perhambaan kepada Juwairiyyah dengan sembilan uqiyyah emas, suatu nilai yang cukup tinggi bagi seorang puteri kepada orang yang ternama dan terkaya dalam kalangan kaumnya. Walaupun yakin bahawa ayahnya sanggup melakukan apa sahaja demi dirinya, Juwairiyyah yang berfikiran cerdas dan cerdik telah mendorong dirinya untuk menghadap dan berpolitik dengan Rasulullah SAW agar baginda membantu membebaskannya.

Ya Rasulullah, saya adalah Barrah binti al-Harits bin Dhirar, anak kepada penghulu kaum. Tujuan kedatangan saya ini, sebagaimana tuan ketahui iaitu saya menjadi bahagian tawanan Tsabit bin Qais. Tetapi saya telah diberi kesempatan untuk menebus diri saya dengan bayaran sebanyak sembilan uqiyyah. Sekarang saya datang kepada tuan dan bermohon agar tuan membantu saya dalam hal ini agar dengan itu saya dapat melepaskan diri saya (daripada perhambaan) ini,” katanya bersungguh-sungguh.

Rasulullah SAW diam seketika. Kemudian baginda bersabda kepada Juwairiyyah, “Apakah kamu berkenan jika mendapatkan yang lebih baik dari itu?” Juwairiyyah berkata, “Apa itu, ya Rasulullah?” Beliau berkata, “Saya akan memenuhi wang tebusanmu, dan saya akan menikahimu.” Juwairiyyah menjawab dengan tegas, “Baiklah ya Rasulullah, saya setuju.” Pasti tiada keraguan bahkan menjadi kebanggaan bagi setiap wanita untuk menerima tawaran menikah dengan seorang pemimpin yang ulung seperti Rasulullah SAW. Apatah lagi baginda merupakan seorang Rasul. Rasulullah SAW seterusnya melunaskan wang tebusan Juwairiyyah, mengahwininya dan seterusnya menukarkan nama Barrah kepada Juwairiyyah. Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW melihat potensi Juwairiyyah yang sangat berpengaruh terhadap kaumnya dan atas dasar inilah baginda menawarkan diri untuk menikahi puteri pemimpin Bani al-Mustaliq itu.

Berita perkahwinan ini tersebar dengan meluas dan cepat serta disambut dengan gembira dan kesyukuran oleh kaum Muslimin dan juga Bani Mustaliq sendiri. Perkahwinan ini seterusnya diberkahi Allah SWT dengan kemerdekaan bagi kaum Bani Mustaliq. Apabila  kaum Muslimin yang menawan keluarga Mustaliq sebagai hamba sahaya mendengarkan berita tersebut, mereka lantas memerdekakan Bani Mustaliq tanpa wang tebusan kerana status mereka kini adalah biras dan ipar duai kepada Rasulullah SAW. Bani Mustaliq seterusnya berama-ramai memeluk agama Islam termasuklah pemimpinnya, ayah Juwairiyyah.

Menjadi Sahabiyah Terbilang
Demikianlah keberkatan yang Allah SWT limpahkan kepada Juwairiyyah dan kaumnya kerana perkahwinannya dengan Rasulullah SAW. Perkahwinan yang membawa kepada berkembangnya dakwah dan keuntungan kepada Islam. Bani Mustaliq termasuk Harits al-Dhirar seterusnya memillih untuk menetap di Madinah bersama-sama Rasulullah SAW dan puterinya dan memperjuangkan Islam serta hidup sejahtera dalam naungan Islam. Dalam hal ini, Saidatina Aisyah pernah berkata, “Sungguh telah dimerdekakan dengan sebab perkahwinan itu, seratus keluarga kaum Bani Mustaliq. Maka tidak pernah ku ketahui seorang wanita yang banyak berkatnya atas kaumnya, lebih daripada Juwairiyyah.”

Juwairiyyah dididik oleh Rasulullah SAW sehingga menjadi murobbiah yang berjaya. Beliau dikenali sebagai wanita yang rajin beribadah dan menghafal hadis serta turut menjadi perawi hadis sebagaimana Aisyah RA. Beliau juga menyampaikan pengalaman hidupnya sepanjang bersama Rasulullah SAW sebagai teladan dan rujukan umat. Juwairiyyah kembali ke rahmatullah pada era kekhilafahan Muawiyyah ketika berusia sekitar 60-an.

MasyaAllah, demikianlah hebatnya kemerdekaan yang dikecapi oleh Juwairiyyah, bukan sahaja untuk dirinya bahkan seluruh kaumnya. Juwairiyyah dan kaumnya bukan sahaja memperoleh kemerdekaan fizikal daripada perhambaan, bahkan yang paling penting mereka berjaya meraih kemerdekaan akidah. Mereka bebas daripada akidah kufur kerana memeluk Islam. Ia merupakan perkara yang paling berharga dalam hidup. Mereka merdeka daripada kekufuran dan kembali kepada agama fitrah iaitu Islam dan diberi peluang oleh Allah SWT untuk mengecapi nikmat kesejahteraan hidup di bawah naungan Daulah Islam serta turut berjuang menegakkan DeenNya.

Berbeza sekali keadaan mereka saat itu dengan umat Islam hari ini. Walaupun umat Islam pada hari ini memeluk agama yang diredai Allah, yakni Islam, namun mereka masih ditawan serta dijajah oleh akidah dan sistem kufur. Ini merupakan perkara yang sangat mengecewakan. Oleh itu, umat Islam perlu sedar bahawa kemerdekaan hakiki adalah apabila kita hidup dengan akidah yang benar iaitu akidah Islam, dinaungi oleh sistem Islam dan boleh melaksanakan serta mengamalkan hukum syarak secara kaffah (menyeluruh) dalam kehidupan.

Khatimah
Wahai Muslimah yang dirahmati Allah, semoga Allah memuliakan kita dengan Islam sebagaimana Allah memuliakan Juwairiyyah dan kaumnya. Alhamdulillah, Allah telah menjadikan kita orang-orang yang beriman kepada-Nya. Namun, kita masih terkongkong dan dijajah oleh sistem kufur yang menghalang pelaksanaan hukum syarak secara kaffah. Hanya di bawah naungan Khilafah kita dapat mengecapi kemerdekaan hakiki ini. Tidak mungkin kemuliaan dan kesempurnaan pengertian kemerdekaan ini dapat dinikmati di bawah sistem kufur yang memisahkan agama daripada kehidupan. Maka, marilah sama-sama kita berjuang dan berdakwah menegakkan semula Khilafah demi meraih kebaikan daripada kemerdekaan yang hakiki tersebut. 

Wallahu `alam.
 



FIKIH:  HUKUM MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN

Oleh: Ustazah Ikin (Aktivis MHTM)

Muqaddimah
Tanggal 31 Ogos setiap tahun merupakan hari yang istimewa bagi rakyat Malaysia kerana ia adalah ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia. Kemerdekaan sering ditafsirkan dengan bebasnya manusia daripada pelbagai jenis penindasan dan aturan yang mengongkongnya. Dengan kata lain, kemerdekaan adalah kebebasan untuk mengatur dirinya sendiri tanpa ada tekanan mahupun campur tangan daripada pihak lain. Orang yang merdeka ialah orang yang telah berdaulat sepenuhnya terhadap dirinya sendiri. Sedangkan negara merdeka ialah negara yang memiliki kedaulatan untuk mengatur  pemerintahannya sendiri. Bagi mengingati tarikh keramat ini, pelbagai  aktiviti pasti dirancang seperti tazkirah, doa, tayangan filem berunsur patriotik, perarakan dan tidak ketinggalan aktiviti hiburan.

Sambutan Kemerdekaan
Seperti yang diketahui umum, tidak salah kalau kita menyambut hari-hari istimewa asalkan bukan hari yang terkait dengan  hadharah (peradaban) selain Islam. Begitu juga dengan menyambut hari kemerdekaan negara. Boleh sahaja kita mengenang kemerdekaan negara kita dengan memanjatkan doa agar negara kita aman serta berharap agar kekuasaan akan sentiasa berada di tangan pemerintah Islam yang adil dan sentiasa menerapkan hukum-hukum Allah SWT. Walau bagaimanapun, sekiranya kemerdekaan itu disambut dengan hiburan yang berlebihan, lelaki dan perempuan bergaul bebas, dihidang minuman arak dan kemaksiatan-kemaksiatan lain, maka hukumnya adalah haram.

Begitu juga, apabila kemerdekaan yang dikecapi itu disambut dengan penuh semangat patriotisme, nasionalisme dan assabiyah (perkauman), hukumnya juga adalah haram di sisi Islam. Ini adalah kerana semangat patriotisme, nasionalisme dan assabiyah itu adalah haram di sisi Islam. Nasionalisme ialah fahaman yang mengagungkan dan mengutamakan negara dan bangsa. Bagi seorang nasionalis, tidak ada yang lebih penting dalam hidupnya kecuali meraih kejayaan dan membela negara bangsanya. Semangat nasionalisme amat berbahaya bagi umat Islam kerana daripada sini akan munculnya ikatan assabiyah yang telah dihapuskan oleh syariat Islam.

Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah daripada kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyah, berperang atas dasar assabiyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyah

Cinta Tanah Air
Selain itu, sambutan hari kemerdekaan negara dianggap oleh sesetengah pihak seiring dengan hadis  “hubbul wathon minal iman” yang bermaksud “cinta tanah air adalah sebahagian daripada iman”.  Hadis ini sering digunapakai oleh para tokoh nasionalis bagi tujuan menanamkan fahaman nasionalisme dan patriotisme kepada umat Islam. Tetapi,  Imam ash-Shan’ani dalam Kitab Mawdhu’at ash-Shan’ani, hlm. 47, hadis no: 81 telah menuturkan bahawa hadis ini merupakan hadis maudhu (palsu).  Ahli hadis lain juga telah mengatakan bahawa hadis tersebut makdzub (dusta) dan tidak ada asal-usulnya (la ashla lahu). Imam Sakhawi dan al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, yang merupakan ulama besar mazhab Syafie, mengatakan, “Lam aqif ‘alayhi” (saya tidak mengetahui hadis ini).

Dengan demikian, hadis ini tidak sah dijadikan sebagai hujah. Oleh yang demikian, kita selaku orang Islam  tidak boleh mengatakan “hubbul wathon minal iman” sebagai hadis Nabi, kerana Nabi SAW  memang tidak pernah mengatakannya. Menisbatkan ungkapan itu kepada Nabi SAW adalah sebuah kedustaan yang nyata dan merupakan dosa besar di sisi Allah SWT.  Nabi SAW bersabda,

“Barangsiapa yang berdusta atasku dengan sengaja, hendaklah ia menempati tempat duduknya di neraka [Hadis Mutawatir].

Sebenarnya, cinta akan tanah air merupakan sebahagian daripada perkara yang bersifat naluriah (amr gharizi). Naluri ini memang ada pada setiap manusia, baik dalam diri seorang mukmin mahupun kafir dan Islam memang tidak pernah melarang naluri itu.  Namun, Nabi SAW tidak memasukkan “cinta tanah air dan kaum” dalam semangat assabiyah. Imam Ibnu Majah menuturkan sebuah riwayat daripada Fasilah RA daripada bapanya, “Seorang lelaki telah bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah termasuk assabiyah seseorang mencintai kaumnya?’ Sabda baginda, ‘Tidak!  yang termasuk  assabiyah ialah seseorang menolong kaumnya atas kezaliman’’’ [HR Imam Ahmad dan Ibnu Majah].

Khatimah
Daripada penerangan di atas, hukum menyambut kemerdekaan menjadi harus atau haram bergantung kepada cara sambutannya serta apakah termasuk dalam assabiyah ataupun tidak. Namun, apa yang perlu disedari oleh umat Islam ialah kemerdekaan yang dicapai oleh negara kita sejak 57 tahun yang lalu merupakan sebuah kemerdekaan yang palsu. Malaysia, pada dasarnya, masih dijajah oleh Barat meskipun ia diperintah oleh rakyatnya sendiri. Hakikatnya, pemimpin negara (yang beragama Islam) pada masa kini masih tunduk kepada ideologi kapitalis–demokrasi yang diterapkan ke atas mereka baik dalam bidang pemerintahan, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain. Kemerdekaan yang hakiki hanya boleh dikecapi apabila kehidupan setiap manusia diatur sesuai dengan hukum Allah SWT dalam bingkai Daulah Khilafah kerana hanya hukum Allahlah yang menjanjikan keadilan dan kesejahteraan bagi umat manusia.

Wallahu‘alam..

Rujukan
1.    Al-Waie ogos 2003
2.    Sautun Nahdhah 138