Fikratul Ummah – September 2014

alt
 

MUQADDIMATUL KALAM

Oleh: Ketua Pengarang

Assalamu’alaikum wa rahmatullahhi wabarakatuh..

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT, Zat yang Maha Tinggi yang berkuasa memelihara kemuliaan agamaNya walaupun musuh-musuh Islam terus melancarkan pelbagai agenda untuk menghapuskan Islam dan umatnya.

Pembaca yang budiman,

Pada penghujung bulan Ogos baru-baru ini, sebuah pesta kemaksiatan telah berlangsung di Malaysia iaitu pertandingan Mrs Universe World Final (MU) 2014. Malaysia sebagai sebuah negara Asia yang pertama menjadi tuan rumah pertandingan ini begitu bangga dengan acara yang mengundang murka Allah SWT dengan alasan acara sebegini dapat memberi impak yang positif kepada negara daripada sudut ekonomi dan politiknya.

Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai aktiviti dengan terjun ke tengah-tengah masyarakat untuk mengumpulkan tanda tangan bantahan, demonstrasi aman dan menganjurkan forum wanita serentak di beberapa buah negeri untuk menyampaikan wa’yul am (pandangan umum) kepada masyarakat bahawa pertandingan ini merupakan satu serangan akidah yang dilakukan oleh Barat melalui tangan-tangan pemimpin umat Islam ini sekaligus mengajak umat bersama-sama membantah pertandingan ini daripada diadakan. Memorandum juga telah dihantar kepada pihak kerajaan, penganjur dan pihak berkuasa agama untuk memberi peringatan tentang ancaman azab daripada Allah SWT jika acara maksiat sebegini diteruskan juga.

Namun, setelah pelbagai usaha pembantahan yang di jalankan, pesta maksiat ini tetap juga berlangsung pada 29 Ogos yang lalu. Hal ini kelihatan seperti tidak memberi kesan apa-apa kepada pemimpin Islam di Malaysia ini untuk bergerak menghentikannya.

Pembaca yang semoga di rahmati Allah SWT, satu ‘tragedi maksiat’ ini sahaja sudah cukup membuatkan kita terfikir apakah benar Malaysia layak dikatakan sebagai sebuah Negara Islam? Maka, Fikratul Ummah edisi kali ini akan membincangkan dengan lebih lanjut lagi berkenaan dengan ciri-ciri sebuah Negara Islam yang sebenar dari sudut pandang syara’ bukan dari sudut pandang sekuler.

Wallahu’alam.



DOA MENGHADAPI PEMIMPIN ZALIM

Ya Allah, jadikanlah kemarahan dan balas dendam kami hanya kepada orang-orang yang menganiaya kami, dan tolonglah kami terhadap orang-orang yang memusuhi kami.  Janganlah Engkau jadikan musibah kami adalah yang terjadi pada kami, dan janganlah Engkau jadikan dunia sebagai tujuan terbesar kami dan puncak dari ilmu kami, dan janganlah Engkau kuasakan atas kami orang-orang yang tidak menyayangi kami.
 [HR. Al-Tirmidzi dalam tulisan no. 3502, al-Nasai dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah no. 402, Al-Hakim 1/528, Al-Baghawi no. 1374 dari hadits Ibnu Umar. Imam al-Tirmidzi mengatakan hasan Gharib]
 


[ARTIKEL PILIHAN]
PENTINGKAH IDENTITI ‘NEGARA ISLAM’? SEBUAH RENUNGAN

Oleh: Rahmah Nadzri (Ketua MHTM Perak)

Muqaddimah
Malaysia sebuah Negara Islam? Benarkah atau sebaliknya? Begitulah polemik tiada noktah yang terus menjadi perbahasan para pemimpin, ulama’, ahli akademik dan masyarakat umum secara keseluruhannya. Polemik ini bukanlah suatu yang aneh kerana daripada dulu lagi ternyata kepimpinan negara sendiri masih kabur dan berbeza pandangan akan status sebenar Malaysia.

Sekular, Islam Atau Islam Sekular?
Suatu masa dahulu, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman dalam beberapa ucapannya seringkali menyatakan bahawa Malaysia (Persekutuan) merupakan sebuah negara sekular dan bukan Negara Islam. Beliau membuat kenyataan di Parlimen pada 1 Mei 1958 berbunyi, “Saya ingin memberitahu secara jelas bahawa negara ini bukan Negara Islam kerana ia secara umumnya difahami bahawa Islam hanya diperuntukkan menjadi agama rasmi negara”. Akhbar The Star turut melaporkan Tunku mengulangi pendirian yang sama semasa perhimpunan ulangtahun ke-80 akhbar itu dengan tajuk berita, “Jangan isytihar Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Negara ini memiliki penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan”.

Dalam akhbar yang sama, Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, Tun Hussein Onn dilaporkan menyokong pemimpin terdahulu dengan menolak Malaysia bertukar menjadi sebuah Negara Islam. Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular tidak pernah dipertikaikan sehinggalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam pada 29 September 2001 semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Perwakilan Parti Gerakan. Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula menegaskan bahawa Malaysia bukan negara sekular kerana berdasarkan fakta sejarah, Malaysia ditubuhkan berasaskan Kerajaan Islam Kesultanan Melayu dan Raja-Raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.

Tidak lama selepas kenyataan tersebut dikeluarkan, Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah Negara Islam, namun belum sempurna pelaksanaannya secara menyeluruh. Beliau merujuk kepada perbahasan ahli ilmu antaranya Dr Khalid al-Anbari yang menyebut tentang ciri-ciri Negara Islam iaitu ada Negara Islam yang sempurna dan ada Negara Islam yang tidak sempurna. Ironisnya satu demi satu hujah dilontarkan namun tiada pemutusnya. Jelasnya, untuk menentukan status sahaja tidak selesai, apatah lagi untuk memastikan seluruh hukum-hukum Islam diterapkan.

Jika ditinjau daripada satu sisi, seolah-olah status sebuah Negara Islam itu amat penting bagi Malaysia ketika usaha untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islamik sedang giat dijalankan. Dengan status Negara Islam, secara tidak langsung mampu menjadi batu loncatan supaya Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi pelancong-pelancong daripada seluruh dunia terutamanya yang beragama Islam. Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Islamic Tourism Centre (ITC) sedang mempergiatkan usaha bagi menjadikan Malaysia sebagai hab premier bagi Islamic tourism among Islamic nations (Pelancongan Islamik dalam kalangan negara-negara Islam). Tambahnya lagi, segala usaha kerjasama strategik yang merangkumi pelancongan dan kebudayaan serta penyelidikan dan penerbitan bahan berkualiti oleh ITC bakal mendatangkan pulangan ekonomi yang signifikan kepada negara.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak juga menyatakan bahawa Malaysia akan menawarkan kemudahan kepada pelancong-pelancong Islam, terutamanya dalam penyediaan makanan halal dan tempat-tempat ibadat. Kajian perunding pelancongan Crescentrating memberikan Malaysia 8.3 mata daripada 10 mata penuh, menjadikan Malaysia sebagai destinasi paling mesra bagi pelancong-pelancong beragama Islam daripada serata dunia [BH 18/6/2014].

Persoalannya, adakah status Negara Islam itu hanya penting untuk meraih manfaat tertentu sahaja? Bagaimana pula dengan penerapan syariat Islam dalam setiap aspek kehidupan? Adakah undang-undang yang digunapakai sesuai dengan syariat Islam? Ternyata persoalan-persoalan ini perlu dijawab terlebih dahulu sebelum Malaysia boleh diisytiharkan sebagai sebuah Negara Islam.

Sejarah Dan Realiti Malaysia

Terlalu banyak bukti yang menunjukkan bahawa sesungguhnya Malaysia merupakan sebuah negara sekular. Ia dapat disaksikan dan dibuktikan oleh setiap orang yang mempunyai penglihatan dan pendengaran tentang wajah sebenar Malaysia. Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang digubal oleh Lord Reid adalah bukti yang paling jelas untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara demokratik, sekular dan berbilang agama dengan kedudukan Islam hanyalah sebagai agama rasmi bukannya sebagai sumber hukum dalam pemerintahan dan perundangan secara keseluruhan.

Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan akan dimansuhkan termasuklah hukum Islam sendiri. Contohnya, undang-undang hudud dan qisas iaitu sebahagian daripada hukum jenayah Islam yang diperkenalkan di negeri Terengganu dan Kelantan tidak dapat dikuatkuasakan kerana mahkamah mengesahkan bahawa undang-undang itu bertentangan dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan demikian, tidak hairanlah jika sistem ekonomi yang diamalkan di Malaysia adalah sistem ekonomi kapitalis di mana elemen riba menjadi tunjang kepada kebanyakan aktiviti perdagangan khususnya perbankan. Tidak cukup dengan itu, judi dan arak dibenarkan dengan adanya ‘lesen’ daripada pihak berkuasa. Genting Highland menjadi destinasi yang terkenal dengan kasinonya. Kilang arak terbesar di Asia Tenggara juga ada di Malaysia. Sumber daripada judi dan arak justeru menjadi antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara. Hak umum rakyat yang wajib (berdasarkan nas-nas syarak yang jelas)  disediakan secara percuma oleh pemerintah seperti pendidikan, petrol, air, jalan raya dan lain-lain pula dikenakan bayaran sesuka hati oleh pemerintah. Bayaran yang dikenakan pula mencanak naik dari semasa ke semasa.

Inilah realiti sistem yang diamalkan oleh kerajaan dalam pemerintahan iaitu sistem demokrasi berparlimen, sebuah sistem sekular yang dicedok sepenuhnya daripada penjajah British. Mengikut ajaran dan amalan sekular, segala undang-undang hendaklah dibuat oleh manusia dan hak Allah sebagai as-Syari’ (pembuat undang-undang) diketepikan. Ini membuktikan peranan agama dinafikan secara total dalam tadbir urus pemerintahan sebuah negara demokrasi.

Daripada aspek sosial dan budaya pula, Malaysia tidak jauh bezanya dengan negara-negara Barat pengusung dan pendakwah demokrasi-sekular. Gaya hidup bebas dengan hiburan yang melampau sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang berakhir ke ranjang sudah menjadi gaya hidup anak muda sehinggakan kes mengandung anak luar nikah dan buang bayi serta penganjuran parti seks bukannya isu yang menggegarkan lagi. Budaya-budaya asing yang lain seperti ketagihan arak, dadah, gay, lesbian dan homoseks turut menjadi amalan yang terpaksa dihadap oleh masyarakat umum.

Dalam kesibukan menjaja nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islamik, pertandingan Miss World dan Mrs Universe pula dibenarkan berlangsung di Malaysia atas alasan menggalakkan pelancongan. Padahal ia jelas-jelas merupakan satu pertandingan yang melanggar hukum Islam terutamanya hukum aurat wanita di khalayak ramai. Wanita yang dipandang mulia oleh Islam pula dijadikan bahan dagangan untuk mempromosikan produk puak kapitalis yang hanya mahu mengejar keuntungan bukannya mahu berganding bahu merealisasikan aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam!

Berdasarkan bukti-bukti di atas, ternyata Malaysia bukanlah sebuah negara yang mengamalkan hukum Islam dengan benar dan menyeluruh. Apatah lagi Islam telah menjelaskan ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh suatu wilayah sebagai syarat menjadi sebuah Negara Islam dan Persekutuan Malaysia tidak pernah memenuhi syarat-syarat itu untuk melayakkannya diisytihar sebagai Negara Islam.     

“Negara Islam” Menurut Pandangan Islam
Negara Islam menurut syara’ ialah suatu wilayah yang melaksanakan hukum-hakam Islam dan keamanan wilayah tersebut berada di tangan Islam, iaitu di bawah kekuasaan dan kekuatan kaum Muslimin. Oleh itu, untuk menentukan sama ada keadaan sebuah wilayah termasuk Negara Islam atau Negara Kufur bukanlah mengikut hawa nafsu manusia berdasarkan akal yang terbatas dan berubah mengikut peredaran masa. Apabila hukum (undang-undang) yang diterapkan oleh suatu wilayah adalah Islam dan keamanannya berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah seperti inilah yang disebut Darul Islam atau Negara Islam.  Firman Allah SWT,

Wahai orang-orang yang beriman, Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turut langkah- langkah Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang  nyata bagimu”  [TMQ al-Baqarah (2):208].

Sebaliknya, apabila hukum-hakam (undang-undang) yang diterapkannya adalah undang-undang kufur dan keamanannya tidak berada di tangan kaum Muslimin, maka wilayah demikian disebut Darul Kufur atau Darul Harb. Pengertian ‘dar’ ini diambil daripada sebuah hadis riwayat Sulaiman ibnu Buraidah yang di dalamnya dinyatakan,

Serulah mereka kepada Islam, maka apabila mereka menyambutnya, terimalah mereka dan hentikanlah peperangan atas mereka, kemudian ajaklah mereka berpindah dari negerinya (yang merupakan Darul kufur) ke Darul Muhajirin (Darul Islam yang berpusat di Madinah) dan beritahulah kepada mereka bahawa apabila mereka telah melakukan semua itu, maka mereka akan mendapatkan hak yang sama sebagaimana hak kaum Muhajirin dan juga kewajiban yang sama seperti halnya kewajiban kaum Muhajirin”  [HR Muslim].

Hadis ini menyatakan dengan jelas wujudnya pembezaan antara Darul Islam dan Darul Kufur. Hadis ini menunjukkan bahawa apabila mereka tidak berpindah, maka hak mereka tidak sama dengan kaum Muhajirin iaitu orang-orang yang telah berada di Darul Islam. Dengan demikian, hadis ini sesungguhnya telah menjelaskan perbezaan hukum (undang-undang) antara orang yang telah berhijrah dan yang tidak. Darul Muhajirin adalah Darul Islam pada zaman Rasulullah SAW dan selainnya adalah Darul Kufur. Bermula disinilah istilah Darul Islam dan Darul Kufur atau Darul Harb diambil. Jadi, penambahan kata Islam, kufur atau harb pada ‘dar’ adalah mewakili sistem perundangan dan pemerintahannya. Oleh kerana itu untuk menggunakan istilah ‘dar’ atau ‘negara’, ianya selalu dikaitkan dengan penguasa iaitu berkenaan pemeliharaan kepentingan umat mengikut undang-undang tertentu dan kekuatan (negara) yang menjaga/membela rakyat serta melaksanakan undang-undang tersebut, iaitu faktor keamanannya. Firman Allah SWT,

Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ al-Maidah (5):44].

Khatimah
Kesimpulannya, penentuan samada Malaysia merupakan Negara Islam atau tidak mestilah kembali kepada pandangan Islam seperti yang telah dijelaskan di atas. Pengisytiharan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam dengan tujuan untuk meraih keuntungan material ialah seperti menelan sebiji pil tidur yang akan terus melenakan masyarakat daripada memperjuangkan sebuah Negara Islam yang sebenar iaitu Daulah Khilafah. Wahai kaum Muslimin sekalian, sedarlah bahawa Daulah Khilafah merupakan satu-satunya Negara Islam warisan Rasulullah SAW dan para sahabat. Daulah Khilafah ialah negara yang menerapkan Islam secara menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan manusia. Menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita untuk menegakkan entiti kemuliaan umat Islam ini. Salurkanlah keinginan untuk hidup di bawah naungan Islam seiring dengan langkah-langkah yang benar dalam memperjuangkannya.

Rujukan:

1.    Al Quran dan Hadis
2.    Taqiuddin an-Nabhani.1428H/2007M. Daulah Islam. HTI Press.2007 Cetakan 7
3.    http://www.mykhilafah.com/sautun-nahdhah/330-sn132-malaysia-negara-islam-atau-sekular (diakses pada 20.7.2014)
4.    http://www.sinarharian.com.my/nasional/fathul-bari-perjelas-negara-umat-islam-1.293592 (diakses pada 22.7.2014)
5.    http://beritaterkinimalaysian.blogspot.com/2014/06/malaysia-bukan-negara-sekular-kata.html. (diakses pada 22.7.2014)
6.    https://ms-my.facebook.com/najibrazak/posts/10152109833660952. (diakses pada 22.7.2014)

 


[NAFSIYYAH]
MUSLIMAH TEGUH SYARIAH, MUSLIMAH DAMBAAN

Oleh: Ustazah Husna (Aktivis MHTM)

Cabaran Kehidupan Muslimah Hari Ini
Tidak dapat dinafikan, Muslimah hari ini berhadapan dengan pelbagai kemelut peribadi dan krisis jati diri yang sangat mencabar. Profil Muslimah dambaan yang teguh syariah memang sudah mengalami pergeseran kecelaruan yang sangat tajam. Wanita yang memilih untuk tinggal di rumah sebagai surirumah dan menguruskan suami dan anak-anaknya dianggap ketinggalan zaman, dikongkong, tiada kebebasan dan berada di bawah kekuasaan lelaki semata-mata.

Ini adalah akibat daripada arus sekularisme global, fahaman feminisme, paradigma kesetaraan gender dan pengaruh materialisme yang ditancapkan ke dalam jiwa umat Islam oleh Barat. Wanita mula terpesong jauh dari fitrahnya. Akhirnya, lahirlah wanita yang hilang rasa tanggungjawab dan keprihatinan sehingga melumpuhkan peranannya sebagai isteri solehah dan ibu mithali kepada anak-anaknya. Eksploitasi dan gangguan terhadap wanita semakin berleluasa dan mereka cenderung terperosok ke dalam kerendahan martabat.

Wanita masa kini bukan lagi wanita yang pemalu. Kini, mereka sangat berani. Ya, berani menampakkan aurat, berani keluar rumah jauh tanpa ditemani suami/mahram, berani mengaibkan diri sendiri, tidak malu menonjolkan diri, tidak segan silu membicarakan masalah intim dan lain-lain. Harga dirinya hanya diukur pada bentuk tubuh badan dan keterampilan diri. Natijahnya, lahirlah wanita yang akhirnya menderita zahir dan batin.

Profil wanita dambaan pada zaman ini adalah mereka yang dianggap ‘sangat hebat’ dan ‘perkasa’ setanding dengan kaum lelaki. Lihat sahaja, setiap kali sambutan Hari Wanita sedunia, profil wanita yang dianggap sebagai ikon ialah mereka yang produktif untuk membangunkan ekonomi yang berfokuskan materialisme, berdikari dan memperjuangkan kebebasan serta kesetaraan gender. Inilah nilai seorang wanita pada pandangan mata manusia zaman kini.

Ciri Muslimah Dambaan Syariat
Lain halnya dengan pandangan Islam terhadap kemuliaan dan kehebatan seorang wanita. Berdasarkan banyak nas-nas syarak, profil wanita dambaan sangat jauh berbeza daripada profil ciptaan Barat yang berlandaskan hawa nafsu manusia. Rasulullah SAW bersabda,

Dunia ini adalah perhiasan, sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah”  [HR Muslim].

Hadis di atas menyatakan bahawa wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia, malah lebih baik daripada seisi dunia. Allah SWT telah berfirman,

Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita),dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka  wanita yang solehah, ialah yang taati kepada Allah lagi  memelihara diri ketika suaminya tiada oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)[TMQ an-Nisa (4):34].

Ayat di atas jelas menyatakan bahawa salah satu ciri wanita solehah adalah yang mentaati Allah SWT. Seorang Muslimah yang telah meyakini akidah Islam, ia pasti memiliki kesedaran penuh bahawa keberadaan dan kewujudan dirinya, alam semesta serta kehidupan yang dijalani di dunia ini adalah merupakan ciptaan Allah SWT. Seterusnya, Muslimah dambaan teguh syariah juga semestinya meyakini bahawa hanya Allah SWT yang wajib ditaati dan disembah dan hanya reda Allah sahaja yang menjadi matlamat akhir yang mesti dicapai dalam kehidupan di dunia ini.

Rasulullah SAW juga bersabda,

Islam itu dibangun atas lima perkara, syahadat bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan (ibadah) haji dan berpuasa (shaum di bulan) Ramadan[HR Ahmad, Bukhari, Muslim, Turmidzi dan Nasa’i].

Lima perkara di atas merupakan arkanul Islam (dasar Islam). Statusnya sebagai asas Islam adalah kerana lima perkara tersebut meliputi aspek akidah dan amal soleh yang dilaksanakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Namun, ini bukan bererti bahawa Islam hanya terbatas pada lima dasar tersebut, iaitu pada masalah-masalah akidah dan ibadah sahaja, melainkan meliputi seluruh aspek kehidupan, seperti mu’amalaat (hubungan antara sesama masyarakat dan antara negara dan rakyat), math’umaat (makanan dan minuman), malbusaat (pakaian dan perhiasan), ‘uqubaat (hukuman terhadap pelanggaran dan kejahatan), bayyinaat (pembuktian perkara dalam pengadilan) dan akhlak. Akidah Islam meliputi akidah ruhiyah (kerohanian) dan akidah siyasiyah (kehidupan) yang mana setiap pemikiran dan perbuatan yang lahir dari diri Muslimah perlu menjadikan akidah Islam, aturan dan hukum hakamnya sebagai tolok ukur perbuatan sama ada dalam posisi Muslimah itu sebagai seorang anak, isteri atau sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu pengurus rumah tangga).

Kehidupan Muslimah juga wajib berpaksikan dakwah Islam dalam mencapai matlamat meraih reda Allah SWT. Muslimah dambaan bukan setakat berpuashati dengan berpegang teguh pada syariat secara individu, tetapi wajib juga sentiasa bersikap teguh dalam aktiviti dakwah. Mereka wajib memahami bahawa dakwah adalah perintah dan hukum Allah yang tidak boleh dilalaikan. Mereka perlu bersikap konsisten untuk berpegang erat dengan seluruh pemikiran dan hukum Islam, sentiasa menjaganya dan menyebarkannya melalui aktiviti dakwah.

Oleh yang demikian, profil Muslimah dambaan yang berpegang teguh pada syariah adalah merupakan seorang anak, isteri dan ibu yang taat kepada Allah, menjaga kehormatan diri dan keluarganya. Mereka mendedikasikan dirinya semata-mata untuk Allah dan RasulNya sehingga tidak mudah dipengaruhi dengan idea-idea menyesatkan. Mereka merupakan profil dai’yah (pendakwah) yang sentiasa menyerukan dirinya, keluarga dan masyarakatnya untuk sentiasa berada di jalan Allah serta sentiasa istiqamah (konsisten) walau apa pun yang terjadi bagi meraih reda Allah.
 
Menjadi Muslimah Dambaan

Tidak dinafikan, bukan mudah untuk menjadi Muslimah dambaan yang berpegang teguh pada syariat. Ini ditambah lagi dengan persekitaran hari ini yang penuh dengan nilai dan sistem jahiliyah moden (demokrasi-kapitalis-sekularisme). Namun, ia bukanlah suatu yang mustahil. Pembinaan Muslimah dambaan teguh syariah mestilah meliputi dua aspek iaitu aqliyah (pola fikir) dan nafsiyah (pola sikap). Antara cara untuk meningkatkan aqliyah adalah:

1.    Mengikuti kajian-kajian Islam yang memimpin kita untuk menambahkan pengetahuan tentang Islam iaitu daripada sudut akidah dan hukum-hukum Islam yang terkait persoalan individu hinggalah masyarakat dan negara.
2.    Rajin menajamkan pemikiran dengan mengikuti diskusi, forum, seminar dan bengkel-bengkel atau dengan memperbanyakkan bacaan bagi menambah pengetahuan Islam dan bahan bacaan lain selagi tidak bertentangan dengan Islam.
3.    Sentiasa melatih diri untuk menganalisis setiap masalah dan menyelesaikannya dengan penyelesaian Islam.

Manakala, untuk meningkatkan kualiti nafsiyah pula, diantara caranya adalah:

1.    Meningkatkan kekerapan dan kualiti ibadah dalam rangka ketaatan terhadap perintah Allah seperti memperbanyakkan solat dan puasa sunat di samping tetap menjaga dalam mengerjakan solat dan puasa yang fardu, memperbanyakkan membaca al-Quran dan memperbanyakkan sedekah.
2.    Memupuk takwa kepada Allah, kesabaran dan reda dengan qada’ (ketentuan) Allah.
3.    Memperbanyakkan berzikir dan beristighfar kepada Allah.
4.    Sentiasa tekun berlatih diri ikhlas kerana Allah SWT.
5.    Istiqamah untuk berdakwah menyeru di jalan Allah.

Bercermin Pada Sirah
Peranan Muslimah dalam membangkitkan umat tidak perlu diragukan. Sejak zaman Rasulullah SAW, para Muslimah generasi awal terlibat aktif dalam membangkitkan umat. Mereka melakukan gerakan dakwah bersama kaum Muslimin lainnya untuk melakukan transformasi sosial iaitu mengubah masyarakat jahiliyah yang paganistik menjadi masyarakat Islam yang Rabbani.

Mereka justeru secara bersama merasakan pahit getirnya mengembangkan misi dakwah. Mereka terlibat dalam perang pemikiran dan perjuangan politik di tengah-tengah masyarakat. Akhirnya, atas pertolongan Allah SWT, masyarakat Islam yang agung tegak di Madinah, iaitu masyarakat yang tegak di atas landasan akidah dan hukum-hukum Islam.

Sejarah mencatatkan nama-nama besar seperti Sayyidah Khadijah binti Khuwailid RA, Siti Fatimah az-Zahra RA, Asma binti Abu Bakar RA, Sumayyah RA, Ummu Habibah binti Abu Sufyan RA, Lubabah binti al-Harits al-Hilaliyah RA, Fatimah binti al-Khaththab RA, Ummu Jamil binti al-Khaththab RA, Ummu Syarik RA dan ramai lagi. Sejak bersentuhan dengan Islam, hari-hari mereka hanya dipersembahkan demi kemuliaan Islam. Tidak seorang pun antara mereka yang mahu tertinggal dari satu peristiwa penting Islam, apalagi berlepas diri dari tanggungjawab memperjuangkan Deen-ul-Haq, seberapa pun besarnya risiko yang harus mereka hadapi, hatta harus kehilangan harta, terpisah dari orang-orang yang dicinta, bahkan rela kehilangan nyawa.

Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa merekalah pelopor dan peletak dasar pilar-pilar pergerakan Muslimah yang hakiki, yang layak menjadi teladan pergerakan Muslimah dari zaman ke zaman. Hebatnya, pada saat yang sama, mereka juga berjaya mencetak generasi terbaik, generasi mujahid dan mujtahid yang mampu membangun peradaban Islam yang tinggi. Mereka benar-benar menjadikan umat Islam sebagai khoiru ummah (sebaik-baik ummat) dan ini mematahkan tuduhan bahawa Islam menghalang Muslimah untuk beraktiviti.

Khatimah
Sejarah juga telah mencatatkan wanita pada zaman kekhilafahan mengalami kemajuan luar biasa, terutamanya di bidang ilmu. Ramai Muslimah yang menjadi kaum terpelajar dan bukan sedikit masyarakat Barat yang mengagumi kemuliaan para Muslimah. Tidak hairanlah ketika itu, ramai wanita kafir Barat memeluk Islam kerana terpesona kepada perlindungan Islam terhadap maruah kaum wanita. Kini, sudah selayaknya jika setiap Muslimah dambaan teguh syariah merindukan kembali posisi mulia di bawah naungan Daulah Khilafah. Al Ummah Turid Khilafah Islamiyyah (Ummat inginkan Khilafah Islamiyah).
Wallahu a’lam..

Rujukan :
1.    Taqiyyuddin An Nabhani , Syakhshiyyatul Islamiyah , Darul Ummah.
2.    Taqiyyuddin An-Nabhani, Attakatul Hizby, 1953.
3.    Pilar-pilar Nafsiyyah Islamiyyah, Hizbut Tahrir.

 


[SERIKANDI]
SAHABIYAH ISTERI PARA SYUHADA’

Oleh: Hidayah Muhammad (Aktivis MHTM)

Muqaddimah
Isteri cerdik dan solehah, penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran, di rumah dia isteri, di jalanan kawan, di waktu kita buntu dia penunjuk jalan…”

Itu antara bait-bait lagu yang mampu menyentuh jiwa sesiapa yang mendengar terutamanya bagi wanita yang bergelar isteri. Sebahagian daripada masyarakat hari ini menganggap isteri yang cerdik itu ialah isteri yang up to date iaitu berkelulusan pendidikan tinggi, mempunyai kerjaya professional, berpenampilan elegan, dan boleh dibawa oleh suami ke mana jua majlis dan pandai menyesuaikan diri apabila bergaul dengan sesiapa saja.

Tetapi, Islam memandang isteri yang cerdik ialah isteri yang solehah iaitu yang taat pada perintah dan larangan Allah SWT dan taat pada suaminya dalam menjalankan ketaatan kepada Allah SWT. Dialah yang istiqamah (berterusan) membantu suami dalam memperjuangkan Islam. Isteri yang cerdik boleh bertukar-tukar pendapat, berbincang serta saling memberi dan menerima nasihat. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 71 yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman,lelaki dan perempuan, sebahagian  mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain…”

Dia juga wanita yang berani keluar berdakwah di tengah-tengah masyarakat dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran). Karakter isteri yang cerdik ini dapat dilihat pada beberapa orang sahabiyah yang merupakan isteri kepada beberapa orang tokoh Islam yang sangat terkenal dengan kepimpinan mereka sebagai panglima perang dan Amirul Mukminin (pemimpin kaum Muslimin)

Isteri Tiga Ahli Syurga
Asma’ binti ‘Umais merupakan isteri kepada tiga sahabat Rasulullah SAW iaitu Ja’far bin Abu Thalib, Abu Bakar ash-Shiddiq dan Ali bin Abu Talib RA. Semasa pernikahannya dengan Ja’far, Asma’ rajin mendalami ilmu-ilmu Islam daripada suaminya yang menuntut ilmu daripada Rasulullah SAW. Pasangan suami isteri ini adalah antara golongan awal yang memeluk agama Islam dan menghadapi tekanan daripada kafir Quraisy. Mereka adalah sebahagian daripada kaum Muslimin yang ikut hijrah ke Habsyah atas perintah Rasulullah SAW. Mereka teguh mengamalkan ajaran Islam selama hidup di bawah perlindungan Raja Najasyi sehinggalah Raja Najasyi sendiri masuk Islam kerana beliau mengetahui kebenaran dan kejujuran kaum Muslimin.

Setelah mendapat tahu bahawa Rasulullah SAW telah berhijrah ke Madinah, Asma’ dan suaminya serta orang Islam lainnya segera menaiki kapal layar untuk bertemu Rasulullah SAW. Suatu ketika, Umar berkunjung ke rumah isteri Nabi, Hafshah RA dan Asma’ berada di situ. Umar bertanya, “Siapakah ini?” Asma menjelaskan, “Asma’ binti ‘Umais”. Umar meneruskan, “Apakah engkau wanita yang hijrah ke Habsyah?” Wanita yang ikut naik kapal layar?” Asma’ menjawab, “Benar”. Umar berkata lagi, “Kami terlebih dahulu hijrah daripada kalian, sehingga kami lebih layak untuk dekat dengan Rasulullah SAW daripada kalian”.

Asma’ ternyata marah dengan kenyataan tersebut dan berkata, “Tidak patut. Demi Allah, ketika kami hijrah, kalian bersama Rasulullah. Baginda memberi makan orang yang kelaparan dan mengajari orang tidak tahu dalam kalangan kalian. Sementara kami berada di negeri asing kerana dimusuhi (Quraisy) iaitu negeri Habsyah. Semua itu kami lakukan kerana Allah dan kerana perintah Rasulullah SAW.  Demi Allah, aku tidak  akan menyuap makanan atau meneguk minuman hingga melaporkan masalah ini kepada Rasulullah SAW. Kami berpisah dengan beliau selama ini kerana disakiti dan merisaukan keyakinan kami. Aku akan melaporkan dan bertanya kepada Nabi SAW tentang apa yang engkau katakan tadi. Demi Allah, aku tidak berbohong, tidak  akan membatalkan atau menambah-nambah”.

Ketika Asma’ sampai di hadapan Rasulullah SAW dan melaporkan peristiwa tersebut, Rasulullah SAW berkata, “Dia tidak lebih layak dekat denganku daripada kalian. Dia dan kaum Muhajirin yang sama dengannya hanya mendapat pahala satu hijrah, sedangkan kalian para penumpang kapal layar meraih pahala dua hijrah”. Itulah karakter Asma’ binti ‘Umais yang bersungguh-sungguh dalam merebut kedudukan mulia di sisi kekasih Allah SWT. Sejak itu, beliau hidup bersama Ja’far dalam suasana keimanan di bawah naungan Daulah Islam dan akhirnya Ja’far gugur syahid dalam Perang Mu’tah sebagai salah seorang pemimpin perang. Asma’ kekal hidup sebagai Muslimah solehah yang tekun beribadah, rajin berpuasa dan menjalankan solat malam kerana Allah SWT.

Setelah iddahnya berakhir, Asma’ menikah dengan sahabat Rasulullah yang terbaik setelah para nabi dan Rasul iaitu Abu Bakar ash-Shiddiq RA dan terus hidup bersama Abu Bakar dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT. Dalam hidupnya, ada suatu kisah yang boleh menjadi motivasi kepada para isteri pejuang Islam. Semasa Rasulullah SAW mahu menjalankan haji wada’, Asma mengikuti rombongan tersebut bersama suaminya padahal dia sedang sarat mengandung. Sebelum niat ihram, Asma’ telah melahirkan puteranya yang diberi nama Muhammad.

Setelah Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar diangkat sebagai Khalifah memimpin kaum Muslimin. Abu Bakar sendiri telah merasakan bahawa ajalnya juga sudah dekat lalu dia bersegera menyampaikan wasiat kepada isterinya. Abu Bakar meminta Asma’ sendiri yang memandikan jenazahnya dan dia tidak boleh berpuasa agar Asma’ lebih kuat. Pada hari Abu Bakar RA meninggal dunia, Asma’ sedang berpuasa. Apabila teringatkan janjinya kepada suami, dia terus berbuka puasa untuk menunaikan wasiat tersebut atas dasar kesetiaan dan kepatuhan kepada suaminya. Kesetiaan dan ketaatan kepada suami dalam urusan kebaikan seperti yang dilakukan Asma’ adalah suatu perbuatan yang patut diteladani oleh para Muslimah. Asma’ bukan sahaja patuh kepada suaminya semasa hidup malah setelah suaminya meninggal dunia.

Walaupun bersedih dengan kematian dua orang suami yang terulung iaitu seorang pemimpin perang dan seorang pemimpin kaum Muslimin, namun Allah SWT terus mengurniakan kebahagian kepadanya apabila Ali bin Abu Thalib RA datang meminang dan kemudian menikahinya. Begitulah kemuliaan yang diberikan Allah SWT kepada Asma’ binti ‘Umais dengan kehidupannya yang penuh ketakwaan bersama tiga orang syuhada’. Asma’ meninggal dunia tidak lama setelah Ali wafat. Beliau pergi mengadap Allah SWT dengan meraih dua keredaan iaitu sebagai pengikut yang diredai oleh Rasulullah SAW dan sebagai isteri yang diredai oleh para suaminya.

Seorang lagi sahabiyah yang mendapat kemuliaan yang sama adalah Atikah binti Zaid RA. Beliau adalah seorang sahabiyah yang memiliki banyak keistimewaan. Beliau adalah saudara kandung kepada Said bin Zaid RA, salah seorang sahabat daripada sepuluh sahabat yang dijanjikan Syurga. Ibunya adalah Ummu Kuraiz binti al-Hadhrami dan bapa saudara daripada sebelah ibunya adalah al-‘Ala bin al-hadhrami, seorang sahabat Rasulullah SAW yang sangat terkenal. Menurut Abu Umar, Atikah termasuk wanita-wanita yang pertama sekali berhijrah.

Suami pertamanya iaitu Abdullah bin Abu Bakar ash-Shiddiq terkena panah yang membuatkannya luka parah dan akhirnya meninggal di Madinah.

Setelah masa iddahnya berakhir, maka Umar al-Khattab RA melamar dan menikahinya. Ia mendapat kedudukan yang sangat terhormat di sisi sahabat yang agung ini dan Atikah banyak belajar daripada Umar tentang ilmu, kezuhudan dan kesederhanaan. Atikah hidup bersama al-Faruq yang sangat penyayang dan penuh pergertian, sehingga ia merasakan hari-hari yang sangat bahagia dalam hidupnya. Atikah menjadi saksi karya-karya besar yang ditorehkan oleh suaminya dalam menegakkan agama Allah dan perhatiannya sangat tinggi terhadap kepentingan-kepentingan rakyat. Selama mendampingi sang suami tercinta, Atikah mempelajari sekian banyak hal, sehinggalah tiba suatu hari Umar telah ditikam ketika solat di Masjid.

Kemudian, Atikah menikah dengan pengawal setia Rasulullah SAW dan salah seorang daripada sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga iaitu Zubair bin al-Awwam RA. Zubair ialah seorang askar penunggang kuda yang tidak pernah terlepas daripada mengikuti perang yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Sikap beraninya dan tidak takut mati di medan perang mana pun mengingatkan Atikah bahawa suami ketiganya ini pun akan mati syahid.

Abu Hurairah RA menyatakan bahawa ketika Rasulullah SAW sedang berada di gunung Hira’, tiba-tiba Hira’ bergoncang. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Diamlah wahai Hira’ kerana sesungguhnya yang berada di atasmu adalah seorang nabi, seorang shiddiq dan orang yang akan mati syahid”. Ketika itu, Rasulullah SAW ditemani oleh Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Thalhah, Zubair dan Sa’ad bin Abu Waqqash[HR Muslim].

Walau bagaimanapun, Atikah sangat bahagia dapat hidup bersama seorang suami yang sentiasa memenuhi kehidupan dengan ketaatan kepada Allah SWT. Sahabiyah ini melewati masa yang cukup panjang, tetapi penuh berkah, berkarya dan berjuang untuk agama Allah. Atikah wafat pada masa pemerintahan Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA yakni pada tahun 41 hijriyah. Semoga Allah merahmatinya.

Khatimah
Daripada kisah dua sahabiyah mulia ini, dapat kita fahami bahawa wanita sebagai isteri bukan sahaja berperanan sebagai penolong kepada suami iaitu mengatur dan mengurus kehidupan rumahtangga dengan baik. Isteri turut berperanan sebagai tempat mengadu dan mendengar masalah bagi sang suami. Peranan wanita sebagai pembantu suami juga meliputi urusan politik dan pemerintahan demi kepentingan perjuangan Islam. Wahai Muslimah sekalian! Sebagai seorang wanita yang bergelar isteri, fahamilah peranan anda sebagai wanita solehah dan jadilah seorang isteri yang cerdik dan taat dalam mendorong dan menyokong perjuangan suami.

Wallahu’alam..
 


[FIKIH]
HUKUM MENUNAIKAN HAJI DENGAN BERHUTANG

Oleh: Farisha Aris (Aktivis MHTM)

Sesungguhnya antara keistimewaan syariah Islam ialah, ia tertegak atau didirikan atas dasar memudahkan dan mengangkat (menghilangkan) kesusahan. Antara dalilnya sebagaimana firman Allah SWT,

Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesusahan (kesukaran) bagimu [TMQ al-Baqarah (2):185].

Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan [TMQ al-Hajj (22): 78].

Mafhum daripada dua ayat di atas iaitu Allah SWT tidak mewajibkan ke atas hamba-hambaNya sesuatu yang membawa kepada kesempitan dan kesulitan.

Berkaitan dengan kefarduan haji, sesungguhnya al-Quran telah menerangkan dengan jelas bagi mereka yang diwajibkan menunaikan haji. Firman Allah SWT,

Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu bagi orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah[TMQ ali-Imran (3):97].

Mafhum daripada ayat ini bahawasanya Allah SWT telah mewajibkan ke atas hamba-hambaNya supaya menunaikan haji di rumahNya (Baitullah) pada waktu-waktu tertentu dan dengan kaifiat (cara-cara) yang telah dikhususkan setelah mana mereka berada dalam keadaan yang mampu dari segi harta dan fizikal. Sesungguhnya Nabi SAW telah mentafsirkan maksud qudrah (kemampuan) ini ialah dengan memiliki bekalan dan kenderaan untuk menunaikan haji.

Maka diriwayatkan daripada Saidina Anas RA bahawa beliau telah berkata,
Nabi SAW telah ditanya apakah maksud sabil (سبيل) iaitu yang disebutkan dalam ayat di atas. Maka Nabi SAW telah menjawab dengan bersabda, “Bekalan (yang mencukupi) dan kenderaan”.

Para ulama sepakat menyatakan hukum wajib tidak akan tertanggung ke atas individu lelaki atau wanita selagi syarat ‘istita’ah’ (kemampuan) belum diperolehi. Pengertian istita’ah secara mudah lagi ringkas, adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi SAW ketika ditanya akan ertinya, baginda menjelaskan, “Bekalan dan pengangkutan perjalanan[Riwayat at-Tirmidzi; berkata at-Tirmidzi & an-Nawawi : Hadis Hasan : Al-Majmu’, 7/41 (1)].

Jelas daripada hadis yang memperincikan erti istita’ah di atas, terdapat dua perkara utama iaitu:

1.    Bekalan. Bekalan di sini bererti bekalan makanan, minuman dan pakaian  yang mencukupi sepanjang pemergiannya sehinggalah kepulangannya [I’anah at-Tolibin, 2/281; al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/316].

2.  Kenderaan dan Perjalanan. Kenderaan dan perjalanan mestilah sesuai dan diyakini keselamatannya. Kenderaan pula mestilah diperoleh sama ada dengan membelinya atau menyewanya [al-Mughni, Ibn Qudamah].

Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa bahawa beliau telah berkata, “Aku bertanya kepada Nabi SAW berkenaan seorang lelaki yang belum menunaikan haji, adakah boleh ia meminjam wang untuk haji? Jawab Nabi SAW, tidak[Musnad as-Syafie ;  1/109 ; al-Umm, 2/116 ].

Sesungguhnya para fuqaha’ telah mengambil hadis ini (sebagai istinbat hukum) bahawasanya tidak seharusnya bagi seseorang Muslim untuk berhutang semata-mata untuk membolehkan dia menunaikan haji kerana Allah SWT telah berfirman,

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya [TMQ al-Baqarah (2): 286].

Imam asy-Syafie berkata, “Barangsiapa yang tidak mempunyai kemudahan, keluasan (lebihan) harta yang membolehkannya menunaikan haji tanpa membuat pinjaman, ketika itu, “Dia dianggap tidak berkelayakan (tiada bekalan) untuk pergi haji” [al-Umm, 2/116].

Islam tidak memberatkan kecuali kepada mereka yang benar-benar sudah sampai kemampuan dan bukan kemampuan yang dipaksa-paksa sebelum tiba saatnya. Imam Ibn Qudamah menjelaskan bahawa para ulama hampir sepakat menyatakan bahawa keharusan mengadakan belanja bekalan. Beliau berkata,

Dan hendaklah (bekalan ini) adalah harta yang lebih daripada apa yang wajib ke atas tanggungjawabnya daripada nafkah keluarga yang wajib disediakannya semasa pergi dan kembalinya, ini adalah kerana nafkah berkait dengan hak manusia, dan ia adalah lebih perlu dan diutamakan (dalam hal ini daripada haji yang merupakan hak Allah semata-mata),…selain itu mestilah bekalan ia daripada harta yang lebih dari mencukupi untuk melunaskan hutangnya” [al-Mughni, Ibn Qudamah, 4/317].

Khatimah
Oleh yang demikian, setiap individu Muslim seharusnya memahami inti pati fardu haji yang dituntut dalam Islam dengan melaksanakannya apabila telah mencapai kemampuannya. Walau bagaimanapun, sesungguhnya para fuqaha’ telah berkata bahawa walau seseorang itu meminjam wang untuk menunaikan haji, sesungguhnya ibadah hajinya diterima dan gugur kefarduan haji mereka dengan cara meminjam itu. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang diterima hajinya di sisi Allah Ta’ala.

Wallahu’alam..

Sumber:
1)    Al-Quran
2)    www.mykhilafah.com
3)    Tafsir Ibnu Kathir; Pustaka Jiwa, Kuala Lumpur; 2007
4)    Syarah Hadith 40 Imam An-Nawawi
[http://salamgarden.files.wordpress.com/2008/05/hadis-40.pdf]
5)    Siri Fiqh 4 Mazhab: Haji (Bab: Istitha’ah dan hukum hajinya perempuan dan orang buta),Syeikh Abdul Rahman Al Jazairi, 2011