Ucapan Selamat Deepavali – demi undi atau tuntutan syarak?
Walaupun telah lama dibahaskan tentang keharamannya, namun ucapan Selamat Deepavali masih tetap dikumandangkan oleh Muslim mahupun parti Islam setiap kali menjelang perayaan Hindu tersebut. Bukan sekadar ucapan, malah kadang-kadang disusuli dengan doa dan harapan agar penganut Hindu beroleh kebaikan sempena hari besar mereka itu. Ada pula yang memberikan semangat dan melahirkan harapan agar perayaan cahaya itu menjadi penyuluh kepada perubahan yang mampu mengubah masa depan politik negara. Walhal agama Hindu adalah agama yang bersifat spiritual semata-mata dan tidak mengandungi ajaran politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya untuk mengatur kehidupan penganutnya, apatah lagi untuk mengatur negara.
Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lebih penting, sebagai Muslim, kita wajib melihat hukum halal dan haram bagi kita mengucap selamat untuk perayaan mereka, yang jelas-jelas kepercayaan mereka terhadap agama mereka adalah bertentangan dengan kepercayaan dan akidah umat Islam.
Kesilapan Muslim apabila sering mengucapkan selamat Deepavali atas alasan menjaga hati orang-orang Hindu atau menjaga keharmonian kaum atau ingin menunjukkan kebaikan kepada mereka dan banyak lagi alasan seumpamanya, tanpa melihat kepada tuntutan syarak sama ada boleh atau tidak berbuat demikian. Manakala jika ucapan seumpama itu keluar dari parti politik Islam yang berjuang dalam demokrasi, maka sudah pasti ada sebab tambahan lain lagi, sesuai dengan kehendak demokrasi.
Islam memang memerintahkan kita untuk berlaku baik kepada orang-orang kafir (dzimmi) dan Islam merincikan hal tersebut serinci-rincinya. Namun, berbuat baik dengan orang kafir itu tidak sampai mengucapkan selamat atau kebaikan terhadap perayaan mereka yang menyalahi akidah Islam. Berbuat baik juga tidak sampai kita boleh meminum arak bersama mereka, memakan sembelihan mereka (kafir musyrik), tunduk hormat kepada berhala mereka dan sebagainya. Ada batas yang telah ditetapkan oleh Islam dalam hal berbuat baik tersebut.
Setiap Muslim sepatutnya ingat akan firman Allah,
“Katakanlah kepada orang kafir…bagimu agamamu dan bagiku agamaku” [TMQ al-Kafirun (109):6].
Inilah apa yang patut kita katakan kepada orang kafir apabila menyentuh soal agama. Kita sekali-kali tidak dituntut untuk mengucap ‘selamat’ kepada mereka berhubung agama atau kepercayaan mereka, yang hakikatnya tidak akan ada ‘keselamatan’ atas mereka kerana agama dan kepercayaan mereka hanya akan membawa mereka ke neraka. Jika kita inginkan kebaikan atau keselamatan buat mereka, maka satu-satunya cara ialah dengan mengajak mereka memeluk agama Islam dan meninggalkan agama mereka.
Ucapan selamat ke atas perayaan kaum kafir, telah banyak dibahas oleh ulama’ muktabar seperti Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah. Ibnu Qayyim mengatakan, “Adapun memberi ucapan selamat yang berkaitan syiar-syiar kekufuran yang menjadi ciri khas kaum kafir, hukumnya adalah haram menurut kesepakatan ulama’, misalnya memberi ucapan selamat atas hari raya atau puasa mereka..” [Ahkam Ahli Al-Dzimmah, Beirut, Darul Kutub al-‘Ilmiyah 1995, Juz 1/162].
Kita semua tahu bahawa dalam sistem demokrasi dengan kewujudan multi kaum di Malaysia ini, banyak tindakan yang dilakukan oleh parti politik, baik pemerintah mahupun pembangkang, adalah untuk mendapatkan undi. Sering kali persoalan halal dan haram diketepikan demi undi. Buktinya sudah cukup banyak. Oleh itu, persoalan menjaga hati para pengundi non-Muslim adalah sesuatu yang sangat diperhatikan oleh parti politik yang bergelumang dalam demokrasi.
Di sinilah kita lihat parti Islam turut terjebak sehingga sanggup mengucapkan selamat dan lebih jauh, turut merayakan perayaan orang-orang kafir. Walhal setiap Muslim dan parti Islam sepatutnya bersikap tegas (tetapi bukan bermusuh) terhadap kaum kafir (dzimmi) dalam isu yang berkaitan dengan akidah dan penerapan syariat Islam dan bukannya bersikap talam dua muka demi menjaga hati dan meraih undi mereka.
Wallahu a’lam.