‘Ustaz youtube’: Jakim, cubalah ambil sedikit iktibar

jakimAntara isu terkini yang dibangkitkan akhbar ialah mengenai ceramah atau kuliah agama yang disampaikan oleh mereka yang bergelar ustaz yang dimuat naik ke youtube. Sudah tentu isu ini dibangkitkan bukan tanpa sebab dan berdasarkan komen yang diberi, seperti ada pihak-pihak tertentu yang ingin menghangatkan isu ini kerana kepentingan tertentu.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan sentiasa memantau secara konsisten perkembangan ajaran yang disampaikan ‘Ustaz YouTube’ (penceramah tanpa tauliah) di media sosial. “Jakim juga sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi isu yang berkaitan dengan media baru dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bagi isu yang berkaitan dengan media elektronik,” kata Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

“Sekiranya terdapat perkara-perkara yang bercanggah dengan undang-undang negara, Jakim akan bekerjasama dengan pihak  Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri serta pihak-pihak berkuasa lain bagi mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan dakwaan isu ‘Ustaz YouTube’ yang membawa pemikiran tidak selari dengan aliran akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah.

 Kita tidak nafikan kewujudan ajaran yang bercanggah dengan Islam yang tersiar di youtube dan hal ini memerlukan pemantauan dan tindakan. Sesiapa sahaja yang mengajar sesuatu yang bercanggah dengan Islam, maka berdosa hukumnya, baik bagi pelaku atau mereka yang membantunya, termasuklah mereka yang menyiarkan atau menyebarluaskannya. Maka apabila telah terbukti apa yang disampaikan itu bercanggah dengan Islam, wajarlah tindakan diambil ke atas setiap pesalah. Namun, perlu diperhatikan jika apa yang disampaikan itu termasuk dalam kategori khilaf (perbezaan pendapat) yang masih dibenarkan di dalamnya, maka hal ini bukanlah suatu yang salah.

Menyampaikan Islam itu sendiri merupakan satu sunnah, malah sunnah yang cukup mulia kerana ia telah menyambung tugas-tugas Rasul. Menyampaikan agama Allah dengan benar dan bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim kerana ia termasuk dalam aktiviti dakwah dan juga amar makruf nahi mungkar. Jadi, sesiapa sahaja yang melakukannya akan mendapat pahala, tidak kiralah sama ada dia mempunyai tauliah atau tidak. Malah, sesiapa yang membantu menyebarkannya turut mendapat pahala kerana telah melakukan kebaikan.

Persoalan tauliah hanyalah persoalan kelulusan yang diberikan oleh manusia, sedangkan kewajipan menyampaikan (dakwah) itu merupakan perintah daripada Allah SWT, yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim, tidak kira mempunyai tauliah atau tidak. Jadi, selama mana seseorang itu menyampaikan Islam dengan benar, walaupun tidak mempunyai tauliah, maka dia tidak melakukan apa-apa kesalahan di sisi Allah, walaupun di sisi undang-undang buatan manusia, dia dinilai bersalah. Dalam konteks ini, undang-undang manusia itulah yang salah kerana menyalahi perintah Allah itu sendiri dan menyalahi Sunnah Rasulullah SAW.

Justeru, sesiapa sahaja yang mengajar Islam dengan benar adalah termasuk dalam melaksanakan Sunnah, manakala sesiapa yang menghalang dan menangkap mereka, pihak yang menghalang dan menangkap itulah yang sebenarnya telah melakukan kesalahan kerana menyalahi Sunnah.

Jakim seharusnya menjadikan al-Quran dan al-Sunnah dan bukannya undang-undang buatan manusia, sebagai yang tertinggi. Mana-mana undang-undang buatan manusia yang menyalahi al-Quran dan al-Sunnah, maka undang-undang ini dengan sendirinya terbatal dan tidak ada nilai di sisi Allah, malah hanya mengundang dosa kepada pembuat dan pelaksananya.

Selain memantau, Jakim juga sepatutnya melihat kebanjiran ustaz-ustaz youtube serta ramainya para peminat mereka dalam aspek yang positif dan lebih jauh. Jakim harus mengkaji kenapakah orang ramai sudah tidak berminat dengan program-program agama anjuran Jakim sendiri atau jabatan agama yang lain sehingga mereka beralih kepada kuliah agama di youtube.

Ramai di kalangan umat Islam yang sudah semakin celik dan berpendidikan dan mereka inginkan Islam. Ramai yang sudah melihat kerosakan sistem dan undang-undang yang ada dan ramai yang sudah sedar bahawa umat ini perlu bangkit dan memerlukan perubahan, termasuklah perubahan politik dan pemerintahan. Jika jabatan agama masih di takuk membincangkan hal-hal furu’ seperti hukum-hukum tentang kebersihan, kejiranan, kebahagiaan rumah tangga, keutamaan bersedekah, cara-cara mengisi masa lapang dan sebagainya, maka selama itulah program-program jabatan agama tidak akan mendapat sambutan kecuali oleh penjawat-penjawat awam yang dipaksa datang.

Begitu juga dengan kuliah di masjid-masjid yang diisi oleh jabatan agama atau mereka yang diberi tauliah oleh jabatan agama. Cubalah Jakim celikkan sedikit mata dan lihat apakah tajuk-tajuk dan perbincangan yang dibawa jika tidak habis-habis dengan tajuk-tajuk ibadah dan perkara-perkara furu’ yang selama berpuluh-puluh tahun telah diulang yang langsung tidak membangkitkan umat. Untuk mengajar tentang sistem-sistem Islam secara kaffah dan menjelaskan keburukan sistem demokrasi serta pemerintahan yang ada sekarang, jauh sekali. Pengajaran tentang ibadat dan perkara-perkara furu’ seharusnya di selang selikan dengan pengajaran sistem pemerintahan, politik, sistem ekonomi, sistem uqubat dan lain-lain hal kenegaraan, termasuklah dasar luar negara seperti jihad dan muamalat dengan negara-negara kafir. Barulah hal ini semua bertepatan dengan sunnah, apabila mengajarkan Islam sebagai sebuah ideologi yang syumul yang merangkumi segala aspek kehidupan.

Ringkasnya, lihatlah ‘mutu’ kuliah yang disampaikan oleh penceramah bertauliah dengan penceramah yang tidak bertauliah! Ini semua menyebabkan umat, bukan sekadar tidak bangkit, malah langsung tidak meminati kuliah yang disampaikan oleh mereka yang diberi tauliah, kecuali beberapa orang pakcik-pakcik pencen yang ingin menghabiskan sisa-sisa usia di masjid untuk mendengar kuliah. Kuliah ‘ustaz-ustaz youtube’ jauh lebih informatif dan memberi kesedaran serta memuaskan para pendengar kerana mereka tidak terikat dengan tauliah dan lebih bebas untuk menyampaikan pendapat, kritikan dan tajuk-tajuk yang sesuai, berbanding penceramah bertauliah yang hanya “dibenarkan” menyampai tajuk-tajuk yang diizinkan oleh pemberi tauliah sahaja.

Jadi, Jakim seharusnya mengambil iktibar dengan semua yang disebutkan di atas. Lihatlah dan terimalah teguran dalam konteks yang positif demi kebaikan bersama, bukan demi kebaikan dan kepentingan orang yang memberi kita gaji semata-mata. Kerana kita semua tidak lama berada di dunia fana ini. Selepas ini kita semua akan memasuki alam barzakh dan berada di padang mahsyar yang pada hari itu, orang-orang yang selama ini memberikan arahan dan gaji kepada kita, tidak akan dapat menyelamatkan kita dan diri mereka sedikit pun.

Wallahu a’lam.