HTM Kunjungi IKRAM
SERI KEMBANGAN 27 Jan – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah melakukan kunjungan ukhwah ke pejabat Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) di Seri Kembangan, Selangor. Delegasi HTM yang diwakili oleh Prof. Dr. Muhammad, Ust Mu’adz Abu Thalhah, Ust Yusuf Muhammad dan Ust Mohd Amin disambut baik dan penuh mesra oleh Tn. Hj. Kamarul Zaman selaku Pengurus Pejabat Presiden yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM.
Presiden IKRAM, Ustaz Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad dan Timbalannya, Tn Hj. Zaid Kamaruddin mewakili pertubuhan Islam tersebut dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira 3 jam itu.
Pelbagai isu dibincangkan oleh kedua-dua pihak mengenai perjalanan dakwah gerakan masing-masing dan juga isu-isu terkini yang melibatkan kemaslahatan umat Islam. Pertemuan yang agak panjang itu berjalan dalam suasana yang penuh persaudaraan dengan pelbagai perkongsian menarik yang timbul di sepanjang perbincangan.
Sebelum menutup majlis, delegasi HTM menyuarakan harapan agar pertemuan dan perbincangan empat mata antara gerakan-gerakan Islam terus dipergiatkan demi kebaikan dakwah Islam dan umat Islam secara umumnya. Sebelum beredar, Prof. Dr. Muhammad yang mewakili HTM menyerahkan cenderahati berupa kitab keluaran Hizbut Tahrir kepada Dr Mohd Parid yang mewakili IKRAM.