Sembilan anggota HTM direman 4 hari kerana melakukan konvoi
MUAR 12 Mac – Sembilan orang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah direman 4 hari kerana terlibat dalam konvoi berkereta yang membawa pelekat “Demokrasi Sistem Gagal, Khilafah Solusi Tunggal” di sekitar Bandar Muar semalam. Mereka yang ditahan adalah Dr. Mohd. Daris bin Md. Jee (53), Muhd Fuad bin Puasa (45), Sulaiman bin Lahayak (61), Md. Mahidin bin Tahir (55), Sharoni bin Bungkus (58), Khalid bin Selamat (43), Muhd. Anas bin Rosli (27), Mohd Zin bin Salehin (52) dan Yahya bin Yusof (43).
Konvoi enam buah kenderaan yang bermula jam 9.30 pagi pada hari Sabtu itu telah berjalan lebih kurang sejam sebelum ditahan oleh beberapa anggota polis yang kemudiannya mengarahkan mereka ke Ibu Pejabat Polis Darah (IPD) Muar untuk tahanan lanjut. Setelah diambil keterangan selama lebih kurang lapan jam, mereka terus ditahan dan dilokapkan. Wakil HTM beserta peguam dan ahli waris yang cuba menemui mereka gagal kerana tidak dibenarkan oleh pihak polis atas alasan-alasan yang tidak munasabah.
Kami difahamkan yang pihak polis menahan mereka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
HTM dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan PDRM ke atas anggota kami yang bertujuan tidak lain kecuali untuk menakut-nakutkan dan menghalang aktiviti dakwah Hizbut Tahrir. PDRM yang sepatutnya memfokuskan tugas mereka untuk menangkap penjenayah dan pelaku maksiat, sebaliknya menangkap dan menahan para pendakwah, satu tindakan yang jelas menyalahi syarak dan hanya mengundang murka Allah SWT.
Hizbut Tahrir telah bertapak dan melakukan aktiviti dakwah di Malaysia sejak akhir 90-an secara pemikiran dan intelektual, tanpa sebarang kekerasan, dan hal ini diketahui oleh semua pihak termasuklah PDRM sendiri. Konvoi berkereta ini adalah sebahagian daripada aktiviti kempen “Demokrasi Sistem Gagal, Khilafah Solusi Tunggal” yang telah dilancarkan oleh HTM dan konvoi ini telah dilakukan di negeri-negeri lain seluruh Malaysia pada minggu lalu tanpa sebarang kekacauan.
Semoga Allah SWT memberi kesabaran dan keteguhan kepada semua anggota HTM yang ditahan serta keluarga mereka dan memberi kesedaran kepada PDRM bahawa apa sahaja usaha PDRM untuk menyekat dakwah Hizbut Tahrir bukan hanya sia-sia, malah mengundang laknat dan dosa di dunia serta azab yang pedih di akhirat. Na’uzubillah min zalik.