SN525 – Bagaimana Khilafah Diruntuhkan (Siri 2): Perancangan Barat

Bil: SN525 – 30 JAMADIL AWAL 1439 / 16 FEBRUARI 2018

SN525 - Bagaimana Khilafah Diruntuhkan (Siri 2): Perancangan Barat

Kebencian dan dendam kaum kuffar Barat terhadap Islam dan umatnya telah berlangsung berabad-abad lamanya sejak tercetusnya Perang Salib. Perang Salib yang berlangsung selama dua abad akhirnya dimenangi umat Islam sehingga kemuncaknya iaitu pembebasan  Kota Konstantinopel pada abad ke-15M di bawah kepimpinan Kesultanan Uthmaniyyah. Sejak itu, pengaruh dan wilayah Khilafah semakin melebar di Benua Eropah. Sepanjang tempoh Perang Salib, Barat melakukan pelbagai upaya untuk meruntuhkan Negara Khilafah, di antaranya dengan melakukan provokasi terhadap warganegara bukan Islam (ahlu zimmah) dalam Negara Khilafah supaya menentang dan mencetuskan peperangan terhadap kepimpinan Khilafah dari dalam supaya negara menjadi lemah dan justeru membolehkan  tentera Salib melancarkan serangan dari luar untuk meruntuhkan Negara Khilafah dengan mudah. Namun, harapan Barat gagal kerana provokasi tersebut tidak berhasil malah,  ahlu zimmah bersungguh-sungguh berganding bahu bersama umat Islam bagi mempertahankan Negara Khilafah dari ancaman musuh, kerana selama ini mereka menikmati keadilan, keamanan dan hak yang sewajarnya di bawah naungan syariat Islam.

Sejak usaha Perang Salib menemui kegagalan, Barat dengan bersungguh-sungguh mengkaji rahsia kekuatan Khilafah dan berhasil memperincikan dua faktor utama iaitu; 1) Akidah Islam mampu membina kekuatan yang sangat besar dalam diri umat Islam, dan 2) Hukum Syariah menjamin hak-hak ahlu zimmah. Dua faktor ini secara jelas mampu menyatupadukan seluruh warganegara Khilafah. Barat kemudian mengubah strateginya daripada peperangan fizikal kepada serangan pemikiran yang jitu.

Perang pemikiran telah dilakukan melalui gerakan-gerakan mubaligh Kristian (misionaris). Negara-negara Barat seperti Perancis, Rusia dan British menghantar gerakan misionaris mereka ke negara Khilafah dengan alasan penyebaran ilmu pengetahuan. Negara-negara ini kemudian menubuhkan institusi pendidikan dan sekolah-sekolah dalam Negara Khilafah Uthmaniyyah khususnya di Syam dan Beirut dengan perbelanjaan sendiri. Gerakan misionaris ini mempu­nyai dua matlamat utama iaitu; 1) Memisahkan Arab daripada Khilafah Uthmaniyyah dengan cara memberi sebutan Khilafah Uthmaniyyah dengan nama Turki, dan 2) Menjauhkan umat Islam daripada ikatan ideologi Islam. Mereka telah menerbitkan pelbagai buku ilmiah yang mengandungi racun pemikiran Barat terhadap rakyat Khilafah. Langkah awal mereka bermula dengan menarik rakyat Khilafah yang beragama Kristian supaya bekerjasama dengan Barat. Seterusnya, mereka me­nyuntik racun pemikiran supaya umat Islam ragu-ragu terhadap agama serta menggoncangkan kekuatan akidah mereka. Dalam pada itu, mereka menyerukan semangat Nasionalisme Arab supaya bangsa Arab menentang Khilafah yang dipimpin oleh orang Turki.

Serangan misionaris merupakan perintis jalan kepada imperialisme Eropah. Tujuannya untuk menakluk dunia Islam melalui penjajahan politik setelah penjajahan pemikiran berjaya. Akhirnya, segelintir intelektual Muslim mula menerima pandangan hidup sekular­isme iaitu pemisahan agama daripada kehidupan bernegara. Mereka telah terpesona dengan keta­madunan Barat sehingga berpandangan ketamadunan Barat sebenarnya berakar daripada Islam malah beranggapan, sistemnya tidak bertentangan dan sesuai dengan ajaran Islam. Lebih buruk, golongan intelektual Muslim mula menanam sifat membenci budaya dan hukum Islam sehingga sanggup me­nyokong  penerapan undang-undang Barat dalam Negara Khilafah.

Sementara itu, segelintir ahli-ahli politik Is­lam mula dira­cuni dengan pemikiran poli­tik dan falsafah asing sehingga termakan hasutan Barat yang keji supa­ya menentang Khilafah Uthmaniyyah setelah diberi­kan janji-janji manis yang memper­dayakan oleh Barat. Mereka tanpa sifat malu, kesetiaan dan menjaga kemuliaan Islam telah meminta belas kasihan penjajah Barat demi kepentingan politik sempit mereka. Ahli politik ini menolak seruan dakwah dan jihad sebagai dasar luar negara Khilafah terhadap Barat lalu meng­gantikannya dengan perundingan mesra tanpa me­mahami hakikat rakan ataupun lawan. Lebih malang, seruan nasionalisme dilaungkan di wilayah masing-masing secara optimum sehingga kemuncaknya dengan melakukan pemberontakan dan penentangan terhadap Khilafah Uthmaniyyah yang akhirnya me­nyebabkan kesatuan Khilafah yang memayungi dunia dengan keamanan mula berpecah sebelum keruntuhannya.

Sebaik sahaja dunia memasuki abad ke-18M, Barat mendapati kewibawaan umat Islam semakin melemah dan aktiviti dakwah mula ditinggalkan. Umat Islam juga semakin jauh berpegang teguh dengan ideologi Islam hasil serangan pemikiran misionaris. Perang Salib telah memasuki fasa baharu apabila negara kuffar Barat mula memerangi Negara Khilafah sebelum menakluk sebahagian daripada wilayahnya secara agresif. Rusia telah berjaya menakluk Kota Azov, Semenanjung Crimea dan seluruh wilayah Utara Laut Hitam. Perancis dengan kepimpinan Napoleon berjaya menjajah Mesir, Syam, Palestin, Algeria, Tunisia, Tripoli dan Maghribi. Belanda telah menjajah Kepulauan Hindia Timur (Indonesia) sementara British telah menjajah India, Aden, Timur Jazirah Arab dan Kepulauan Hindia Timur (Malaysia). Barat secara terus-menerus melanjutkan serangan ke atas dunia Islam melalui dua kekuatan utama iaitu politik dan tsaqafah (budaya). Malah, Barat menikam Khilafah daripada dalam dengan memicu kebangkitan gerakan-gerakan nasionalisme di dalam jantung Negara Khilafah. Isu penjajahan dijadikan modal utama meniup serta membangkitkan semangat nasionalisme sehingga menyebabkan wilayah-wilayah seperti Greek dan Balkan membebaskan diri daripada kesatuan Khilafah Uthmaniyyah pada abad ke-19M. Tidak berhenti di situ, mereka melanjutkan konspirasi jahat dengan mewujudkan gerakan-gerakan pemisah serta meniupkan perbezaan antara Turki dan Arab. Barat telah membantu gerakan-gerakan pemisah ini dengan mendirikan parti politik kebangsaan Turki dan Arab, seperti Parti Turki Muda dan Parti Kemerdekaan Arab. Parti-parti politik bersifat kebangsaan ini telah menyebabkan keadaan politik Khilafah semakin lemah dan tidak stabil.

Kegoncangan ini  bertambah serius apabila Khilafah Uthmaniyyah turut serta dalam Perang Dunia Pertama namun mengalami kekalahan. British, Perancis dan Rusia menerusi penjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916 telah membahagi-bahagikan wilayah Khilafah di kalangan mereka sehingga tiada wilayah Khilafah Uthmaniyyah yang tersisa kecuali Turki. Turki sendiri berada di bawah pengaruh British sehingga tahun 1921. Langkah seterusnya, British melalui ejennya, Mustafa Kamal Attarturk laknatullah telah merancang secara sistematik dan tersusun bagi menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah.

Rujukan: Ad-Daulah Al-Islamiyyah, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani.


KOLUM SEJARAH ISLAM

Perang Salib

Perang Salib adalah salah satu babak yang paling kelam dan dramatis tercatat dalam lembaran sejarah sebagai suatu siri peperangan yang memakan tempoh sekitar dua abad lamanya (1095-1291 M) dengan sembilan siri peperangan kesemuanya.

Fasa Pertama (1095 – 1144)

Permulaan Perang Salib adalah hasil seruan ‘jihad’ Paus Urbanus II berdasarkan dua matlamat yang besar iaitu membebaskan Baitul Maqdis dan Tanah Suci Kristian dari kekuasaan umat Islam serta membebaskan orang-orang Kristian Timur daripada pemeritahan Islam. Kesibukan para pemerintah wilayah Islam terhadap masalah peribadi dan perpecahan dalaman adalah merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan Kristian dalam Perang Salib. Pasukan Salib dipimpin oleh Godfrey of Bouillon berjaya menawan kota suci Palestin pada 7 Julai 1099.

Fasa Kedua (1144 – 1192)

Jatuhnya beberapa wilayah Islam kepada kaum salib telah membangkitkan kesedaran umat Islam untuk menghimpun kekuatan dan maju menghadapi serangan pasukan Salib sehingga berjaya membebaskan kota Aleppo dan Edessa pada tahun 1144. Kemunculan Salahuddin Al-Ayyubi di Mesir berjaya membebaskan Baitul Maqdis pada 2 Oktober 1187 sehingga akhirnya pasukan Salib tidak dapat menghadapi pasukan Islam. Akhirnya termeterai perjanjian damai di antara pihak Muslim dan Salib yang menyaksikan Baitul Maqdis terus kekal di bawah kekuasaan Islam dan penziarah kaum Kristian dibenarkan melawat kota suci tersebut.

Fasa Ketiga (1193 – 1291)

Pada fasa ini, peperangan disebabkan oleh dorongan politik untuk memperoleh kekuasaan adalah lebih utama daripada motivasi agama. Beberapa siri peperangan berlanjutan, sehingga pasukan Raja Louis IX dari Perancis berjaya dikalahkan. Dengan kejatuhan Antioch (1268), Tripoli (1289) dan Acre (1291), kesan-kesan terakhir pemerintahan Kristian di Syria lenyap.

Meskipun Perang Salib ini dikatakan berakhir pada abad ke 13M, namun sentimen peperangan ini masih jelas kelihatan semasa British menakluk Palestin daripada Khilafah Uthmaniyyah  pada 1917 semasa Perang Dunia Pertama. Pada hakikatnya, kesinambungan perang ini masih diteruskan Barat melalui perang pemikiran dan penjajahan ke atas dunia umat Islam sehingga hari ini.

Download PDF