Setelah inisiatif hospital wanita patuh syariah, ayuh tegakkan negara berteraskan syariah pula

Sebuah hospital wanita dan kanak-kanak berkonsepkan patuh syariah pertama di Kelantan akan dibangunkan dengan kos RM100 juta, bermula Januari tahun depan. Bangunan hospital berkenaan setinggi lapan tingkat itu mempunyai kapasiti 80 katil bagi menggantikan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak An-Nisa’ sedia ada yang terletak di pusat bandar.

Sumber: sinarharian.com.my

Pembukaan hospital wanita patuh syariah ini merupakan suatu usaha yang sewajarnya diberikan pujian kerana jelas menunjukkan keinginan untuk mematuhi hukum syarak bukan hanya dalam urusan peribadi, bahkan dalam urusan mu’amalat termasuklah urusan yang melibatkan aib dan aurat wanita sewaktu bersalin dan mendapatkan rawatan. Bahkan konsep sebegini sepatutnya telah sekian lama dilaksanakan di seluruh hospital kerajaan dan swasta demi menjamin kehormatan dan aurat wanita terpelihara serta diminimumkan daripada terdedah kepada lelaki ajnabi, melainkan dalam situasi darurat yang benar-benar boleh mengancam nyawa.

Secara dasarnya, sebarang usaha dalam memastikan pematuhan terhadap hukum syarak bukan sahaja perbuatan yang terpuji, bahkan menjadi kewajipan bagi kita selaku seorang individu Muslim. Pematuhan terhadap syariat Islam pula hendaklah meliputi segenap aspek kehidupan, baik di peringkat individu, masyarakat, mahupun dalam hal-hal yang menyentuh aspek kenegaraan.

Berhubung dengan konsep “patuh syariah”, penilaian yang lebih teliti sewajarnya diberikan penekanan. Hal ini demikian kerana konsep tersebut adakalanya disalahertikan dan dimanipulasi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab demi menjustifikasikan sebarang tindakan yang berbaur kepentingan peribadi. Penulis tidak bermaksud memukul rata dengan menyatakan bahawa semua pihak yang mengaplikasikan konsep ini bersifat sedemikian rupa, sebaliknya mengingatkan wujudnya segelintir pihak yang berbuat sedemikian.

Hal ini dapat dilihat dalam beberapa sektor, misalnya dalam sektor perbankan yang menyaksikan segelintir pihak rata-rata hanya menggunakan istilah “patuh syariah” bagi menghalalkan produk kewangan yang berasal daripada sistem kapitalis, sedangkan hakikatnya produk tersebut batil di sisi Islam. “Patuh syariah” di sini tercapai apabila hukum syarak dimanipulasikan agar akad batil yang terkandung dalam sesetengah produk tersebut menjadi ‘sah’ dan ‘halal’.

Lebih mengharukan apabila maqasid syariah dijadikan penanda ukur (indikator) dalam menentukan kepatuhan terhadap syariah. Sedangkan hakikatnya maqasid tersebut sebenarnya adalah objektif yang tercapai melalui penerapan syariah, bukannya penentu yang disandarkan kepada maslahah bagi menilai sejauhmana “syariah”-nya sesuatu perbuatan itu.

Kesilapan (atau barangkali muslihat yang sengaja dilakukan secara sedar) dalam memahami konsep maqasid syariah ini secara tidak langsung menjadi ancaman yang boleh “melonggarkan” hukum-hakam Islam dengan mengatasnamakan maslahah yang ingin dicapai berdasarkan maqasid (objektif-objektif) tersebut.

Kepincangan dalam memahami konsep kepatuhan terhadap hukum syarak dan juga konsep maqasid syariah ini secara tidak langsung menyebabkan fokus umat Islam beralih daripada menerapkan hukum-hakam berasaskan syariah (syariah-based) kepada usaha-usaha memurnikan sistem rosak yang diterapkan hari ini agar “patuh syariah” (syariah-compliant). Usaha sebegini menjadi teras dalam sebahagian gerakan islah yang menggunakan pendekatan tadarruj (melakukan perubahan secara berperingkat).

Sedangkan apa yang sepatutnya diperjuangkan oleh gerakan-gerakan Islam dan umat keseluruhannya adalah perjuangan menerapkan hukum-hukum syarak secara kaffah dalam kerangka Khilafah Rasyidah. Hanya dengan perubahan sistemik yang bersifat taghyir dan penerapan sistem Islam secara kaffah, barulah Islam akan menjadi sebuah mabda’ yang membawa rahmat ke seluruh alam sebagaimana yang berlaku dalam lipatan sejarah generasi Islam yang terdahulu. Semestinya perubahan bersifat taghyir ini tidak akan sama sekali dapat tercapai seandainya kita bergerak dalam sistem demokrasi sedia ada yang rosak ini. Wallahua’lam.

Muhammad Fauzi
Aktivis HTM