Islam memartabatkan wanita serta memelihara kemuliaannya dalam institusi kekeluargaan
Isu rogol dalam perkahwinan disentuh semasa parlimen bersidang baru-baru ini apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin memberikan jawapan kepada soalan Maria Chin Abdullah pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, 30 Oktober lalu. Hanipa menjelaskan bahawa kerajaan buat masa ini tidak bercadang menjadikan perbuatan rogol dalam perkahwinan sebagai suatu kesalahan kerana sukar untuk dibuktikan di mahkamah [Kosmo, 30/10/2018].
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Hannah Yeoh ketika menjawab soalan wartawan di lobi parlimen berkata, terdapat peruntukan sedia ada bagi kes rogol dalam perkahwinan, namun menyatakan bahawa sebarang pindaan terhadap kanun jenayah perlu dibuat setelah perbincangan bersama semua pemegang taruh dibuat bagi peruntukan yang lebih spesifik [Sinar Harian, 31/10/2018].
Dalam pada itu, peguam dan aktivis wanita, Fadiah Nadwa Fikri menyokong usaha mereformasikan undang-undang berkaitan rogol dalam perkahwinan, kerana melihat bahawa dengan adanya undang-undang tersebut dapat memberikan perlindungan dan pembelaan lebih baik [Free Malaysia Today, 1/11/2018].
Rogol dalam perkahwinan merupakan sebuah isu yang merentas budaya dan agama, serta menjadi antara agenda utama para aktivis wanita dalam memastikan hak wanita dilindungi dalam institusi kekeluargaan. Justeru, tidak menghairankan usaha menggubal undang-undang sebegini menerima respon positif daripada banyak pihak sekiranya dilihat dari sudut jaminan keadilan buat wanita dalam rumahtangga.
Namun, isu ini juga seringkali dimainkan oleh segelintir pihak untuk menyerang Islam dalam hal yang berhubung kait dengan kedudukan wanita serta kesetaraan jantina. Antara bentuk serangan yang ditujukan terhadap Islam termasuklah dengan mengaitkan hadis berhubung tuntutan isteri memenuhi permintaan suami untuk bersetubuh sebagai suatu bentuk perhambaan seks wanita oleh suami.
Sesungguhnya, Islam mempunyai aturan yang tersendiri dalam hal-hal berkaitan institusi kekeluargaan, termasuklah dalam mengatur hubungan pasangan suami isteri. Suami dan isteri masing-masing mempunyai hak dan kewajipan tersendiri ke arah pembentukan ikatan yang melahirkan keluarga yang sakinah, mawaddah, dan rahmah (menghadirkan ketenteraman, penuh kecintaan, dan kasih sayang).
Menurut Islam, sudah menjadi kewajipan buat isteri bagi memenuhi permintaan suaminya untuk bersetubuh. Hal ini dijelaskan dengan hadis berikut,
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur lalu si isteri enggan, lalu si suami tidur dalam keadaan marah kepadanya. Malaikat akan melaknatnya hingga Subuh” [HR al-Bukhari].
Kata ‘tempat tidur’ dalam hadis tersebut merujuk kepada perbuatan jimak. Justeru, isteri wajib melayani suami apabila diminta, melainkan jika isteri tidak mampu melakukannya kerana sakit atau tatkala hubungan seks boleh mendatangkan kemudaratan. Isteri berdosa apabila si suami itu tidak redha dengan penolakan tersebut. Tetapi sekiranya suami redha, maka tidaklah mendatangkan dosa buat si isteri. Hadis ini tidak sedikitpun mengizinkan suami untuk menzalimi isteri sehingga mendatangkan kemudaratan.
Islam telah menetapkan bahawa isteri wajib mentaati suaminya dalam perkara-perkara yang berada dalam batasan syarak. Manakala suami pula wajib memenuhi kewajipannya dalam memastikan hak-hak dan nafkah isteri dipenuhi. Demikianlah bagaimana Islam mengatur keharmonian dalam rumahtangga.
Bahkan dalam keadaan isteri mentaati suaminya, suami hendaklah bersikap ramah dan bertolak-ansur serta lembut dalam meminta sesuatu daripada isterinya. Hingga andai suami menginginkan isterinya (untuk diajak berhubungan suami-isteri) hendaknya ia dengan baik memilih situasi dan keadaan yang sesuai bagi isterinya [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Nizhamul Ijtimaie]
Oleh demikian, sebarang bentuk keganasan rumahtangga yang diperlakukan ke atas isteri jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Hatta dalam keadaan isteri berlaku nusyuz sekali pun, Islam telah menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil, dan memastikan isteri tidak dikasari secara melampaui batas oleh suami.
Rasulullah SAW juga bersabda;
“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah yang terbaik terhadap isteriku,” [HR Tirmidzi].
Suami dan isteri masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab yang tersendiri, sesuai dengan fitrah dan kemampuan yang ada. Sesungguhnya, idea ‘kesetaraan jantina’ merupakan produk pemikiran Barat yang lahir sebagai reaksi terhadap penindasan ke atas wanita yang berleluasa di Barat. Dalam tamadun Barat yang didasari idea sekularisme, wanita diperlekehkan dan didiskriminasi. Wanita turut dijadikan objek yang diperdagangkan dengan berleluasanya industri pelacuran serta pornografi.
Sedangkan sebaliknya dengan hadirnya Islam lebih 1,400 tahun lalu pula telah melonjakkan martabat wanita serta menamatkan amalan-amalan jahiliyyah yang menindas wanita, tanpa perlu kepada idea kesetaraan jantina Barat yang hakikatnya penuh dengan hipokrasi dan ironi. Malangnya, institusi kekeluargaan dalam masyarakat pada hari ini tidak lagi diatur sepenuhnya mengikut syariat Islam. Natijahnya, pengabaian dan penindasan terhadap isteri semakin berleluasa akibat sikap suami yang tidak bertanggungjawab serta penerapan sistem yang tidak berlandaskan aturan Islam pada hari ini.
Muhammad Fauzi
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia