SN197 – INDOKTRINISASI YANG MENYIMPANG WAJIB DIBETULKAN

SN Keluaran 4 Disember 2009
 
alt

INDOKTRINISASI YANG MENYIMPANG WAJIB DIBETULKAN
 

 
 
[SN197] Tiba-tiba sahaja salah satu senjata perang saraf kerajaan, Biro Tatanegara (BTN), menjadi isu yang diperdebatkan. Ini adalah berikutan arahan pengharaman BTN oleh kerajaan negeri Selangor ke atas semua kakitangan awam dan pelajar pengajian tinggi di negeri itu, seperti yang diumumkan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali pada 25 November lalu atas dakwaan bahawa BTN telah dijadikan alat indoktrinisasi kerajaan untuk menanam sentimen perkauman dan memecahbelahkan rakyat termasuklah membenci pembangkang.
Lim Kit Siang pula menggesa kerajaan agar menutup terus BTN. Pelbagai reaksi muncul dari beberapa pemimpin UMNO yang rata-ratanya menghentam pembangkang sehingga ada yang menyifatkan pembangkang sebagai pengecut kerana takut dengan BTN. Ada pula yang mendakwa bahawa pembangkang sengaja memperbesarkan isu ini untuk menutup masalah dalaman mereka yang semakin parah. Dalam pada itu, beberapa bekas pemimpin kerajaan yang kini berpihak kepada pembangkang tampil untuk mendedahkan agenda perkauman di sebalik kursus-kursus yang dianjurkan oleh BTN. Dalam pada segelintir pemimpin UMNO cuba mempertahankan BTN habis-habisan agar dikekalkan modul yang sedia ada, jelas terdapat percanggahan pendapat sesama mereka di mana setengah yang lain bersetuju bahawa modul BTN perlu diubah. Nazri Aziz kemudian tampil mengumumkan bahawa kurikulum BTN akan diubah agar lebih mendekati matlamat 1Malaysia dan mesra kepada semua kaum [UM 01/12/09]. Sebenarnya beberapa Menteri, termasuklah Perdana Menteri sendiri yang sudah tidak senang duduk dengan pendedahan ini. Siapa tidak tahu tentang propaganda UMNO menerusi BTN, apatah lagi para peserta yang pernah mengikuti kursus tersebut? Selama ini kerajaan berjaya menutup kebusukan BTN, bukan kerana tidak ada pihak yang bersuara, namun suara mereka tidaklah sebesar suara kerajaan negeri Selangor. Kini, walaupun bau busuk BTN telah terdedah, namun masih tetap ada pihak yang bertegas cuba menutup dan mempertahankan kebusukannya.

Biro Tatanegara adalah sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk melaksanakan Program Bina Negara yang melibatkan penganjuran kursus, seminar dan aktiviti yang bercirikan latihan perubahan sikap. Di antara objektif utama program anjuran BTN adalah pemupukan patriotisme ke atas semua lapisan masyarakat termasuk anggota komuniti institusi pendidikan, belia, pekerja awam dan swasta, anggota pertubuhan, serta pemimpin dan pemaju masyarakat. Dengan cogankata, “Bersama Mencipta Kegemilangan”, visi utamanya adalah untuk organisasi awam yang unggul di dalam memupuk semangat patriotisme serta menjadikan rakyat setia kepada kerajaan [www.btn.gov.my]. Di antara kandungan kursusnya adalah kenegaraan, ketaatan kepada pemimpin dan kedaulatan undang-undang. Lagu warisan atau lebih terkenal dengan lagu ‘anak kecil bermain api’ sudah tidak asing lagi berkumandang di hampir kesemua programnya. Kursus BTN juga sering menaikkan sentimen Melayu dan mendedahkan ancaman (terhadap bangsa Melayu) lalu menyeru orang-orang Melayu memberi ketaatan penuh kepada pemimpin walaupun korup agar tanah air tidak tergadai. BTN turut diguna untuk menjelas dan mempertahankan semua dasar yang dibuat oleh kerajaan. Ia disokong dengan pelbagai maklumat yang dilihat relevan. Semua dasar yang dilihat merugikan orang-orang Melayu ‘diolah’ dan dikatakan mempunyai maksud yang tertentu dan ia dilakukan untuk kepentingan rakyat. Pendek kata, di dalam BTN, semua peserta akan dijelaskan bahawa semua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah betul dan benar belaka, maka semuanya harus taat dan patuh, jangan mengkritik atau melawan! Itulah matlamat agung BTN.

Haram Taat Di Dalam Perkara Maksiat

Taat kepada penguasa Muslim adalah wajib berdasarkan nas yang jelas. Namun demikian, perlu diperhalusi (juga dengan nas) pemimpin yang bagaimanakah yang wajib ditaati? Ini kerana, Islam tidak pernah mengajar untuk taat kepada pemimpin dengan membabi buta sebagaimana ‘ajaran’ dalam BTN, tetapi Islam meletakkan syarat bahawa ketaatan dilakukan kepada pemimpin selama mana pemimpin tersebut mentaati Allah dan Rasul, tidak memerintah untuk melakukan kemaksiatan dan tidak menampakkan kekufuran yang nyata. Sekiranya pemimpin tidak memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, maka tidak ada dengar dan tidak ada taat. Dengan kata lain, kewajiban taat kepada seseorang pemimpin itu telah dikecualikan oleh satu keadaan, iaitu apabila ia memerintah dengan kemaksiatan. Apabila seorang penguasa memerintah kepada kemaksiatan, tidak boleh (haram) untuk mentaatinya dalam hal kemaksiatan tersebut. Ini kerana, nas telah mengecualikan hal tersebut sebagaimana hadis dari Nafi’ dari Ibnu Umar dari Nabi SAW, baginda bersabda,

“Mendengar dan mentaati seorang Muslim (tetap wajib) sama ada dalam hal yang disukai dan dibenci, selagi tidak diperintahkan berbuat maksiat. Apabila dia berbuat maksiat, maka dia tidak boleh mendengar dan tidak boleh mentaatinya”.
 

Maksudnya, apabila seseorang itu menyuruh kalian untuk melakukan kemaksiatan, maka tidak ada lagi ketaatan terhadapnya, baik dia adalah seorang pemimpin atau ibubapa kalian sekalipun. Sabda Rasulullah SAW yang lain,

“Tidak ada (kewajipan) taat pada makhluk dalam hal berbuat maksiat kepada Allah” [HR Muslim].

Inilah satu-satunya kondisi yang dikecualikan dari ketaatan kepada seseorang manusia (termasuk kepada pemimpin) iaitu dalam perkara yang memaksiati Allah. Justeru, sebagai Muslim, ‘standard’ yang wajib kita gunakan di dalam menilai program BTN adalah, sama ada ia mengandungi perkara-perkara maksiat atau tidak. Dari pengakuan dan penjelasan yang diberikan oleh kerajaan sendiri, apatah lagi oleh mereka yang pernah mengikuti program ini, ia jelas menjurus kepada maksiat kerana program ini menyemai rasa cinta kepada bangsa dan negara iaitu dengan kata lain menyemai perasaan assabiyyah dan wathaniyyah yang jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Indoktrinisasi agar mentaati pemimpin secara membabi buta juga jelas merupakan satu bentuk kemaksiatan kepada Allah, kerana para pemimpin yang ada memerintah dengan sistem sekular dengan menerapkan undang-undang kufur ke atas kita semua. Tidak melaksanakan syariat Islam ke atas kaum Muslimin merupakan bentuk kemaksiatan terbesar berbanding maksiat-maksiat lainnya, kerana dari sinilah punca lahirnya segala maksiat lain yang begitu banyak di dalam negara.

Memuhasabah Pemimpin Adalah Wajib

Islam bukan sekadar mengharamkan mentaati pemimpin yang memerintah dengan maksiat, malah Islam mewajibkan ke atas umatnya untuk melakukan muhasabah (menegur dan membetulkan) pemimpin yang mengerjakan keharaman tersebut. Haram dan berdosa bagi setiap Muslim yang berdiam diri di atas kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin. Penguasa wajib dimuhasabah apabila mereka menyeru kepada maksiat, merampas hak-hak rakyat, mengabaikan kewajiban-kewajiban rakyat, melalaikan salah satu urusan rakyat, menyimpang dari hukum-hukum Islam, atau memerintah dengan hukum selain yang diturunkan oleh Allah. Imam Muslim meriwayatkan hadis dari Umi Salamah, bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Akan ada para pemimpin, lalu kalian akan mengetahui kema’rufannya dan kemungkarannya, maka siapa sahaja yang membenci (kemungkaran)nya dia akan bebas (dari dosa), dan siapa saja yang mengingkarinya dia akan selamat. Tetapi siapa sahaja yang rela dan mengikutinya (dia akan celaka). Mereka bertanya, ‘Tidakkah kita perlu memerangi mereka?’ Baginda bersabda, ‘Tidak, selama mereka masih menegakkan solat (hukum Islam).”

Dari Abi Sa’id Al-Khudri yang menyatakan, Rasulullah SAW bersabda,

“Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan itulah (dengan hati) selemah-lemah iman”.

Riwayat ini menjelaskan lagi maksud hadis sebelumnya bahawa Rasulullah SAW telah memerintahkan agar mengingkari seorang penguasa, bahkan wajib mengingkarinya dengan sarana apapun yang boleh digunakan, yang bertepatan dengan syara’, baik dengan tangan ataupun dengan lisan, dan sekurang-kurangnya dengan hati. Hadis-hadis ini menunjukkan wajibnya menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar. Kerana itu, hadis-hadis ini menjelaskan hukum wajibnya memuhasabah kemaksiatan yang dilakukan oleh penguasa. Selain itu, terdapat begitu banyak hadis yang menyentuh tentang penguasa secara khusus, yang bermaksud ta’kid (penguatan) peri pentingnya kewajiban melakukan muhasabah terhadap penguasa. Dari Umu ‘Atiyah dari Abi Sa’id yang menyatakan, Rasulullah SAW bersabda,

“Sebaik-baik jihad adalah (mengucapkan) kata-kata yang haq di hadapan penguasa yang zalim.”

Ini merupakan nas khusus berupa muhasabah yang wajib dilakukan terhadap seorang penguasa, dalam bentuk perintah ke atas setiap Muslim menyampaikan kata-kata yang haq kepadanya. Maka perjuangan untuk meluruskan para penguasa yang merampas hak-hak rakyat, atau mengabaikan kewajipan-kewajipan mereka kepada rakyat, atau yang menyuruh kepada maksiat, atau yang menerapkan hukum-hukum kufur, hukumnya adalah fardhu ke atas setiap Muslim. Allah SWT telah memfardhukannya, bahkan Rasulullah meletakkannya seperti jihad, malah sebaik-baik jihad sehingga seakan-akan baginda bersabda, sebaik-baik jihad di sisi Allah adalah perjuangan menentang penguasa yang zalim [Taqiyuddin an-Nabhani, Nizamul Hukmi Fil Islam].
 
Rasulullah SAW telah mendorong setiap Muslim agar menentang para penguasa yang zalim, bukan mentaatinya, walau apapun ancaman yang bakal menimpa di dalam rangka melakukan kemuliaan ini, walau hingga mengakibatkan seseorang itu terbunuh sekalipun. Rasulullah SAW bersabda,

“Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah, serta seseorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, lalu dia menasihatinya, kemudian dia dibunuh (oleh penguasa tersebut)” [HR al-Hakim].

Hadis ini merupakan bentuk pengungkapan yang paling tegas, yang mendorong setiap orang yang beriman agar berani menanggung segala risiko, sekalipun risiko kematian, dalam rangka melakukan muhasabah terhadap para penguasa demi meluruskan penguasa yang zalim itu. Dan ganjaran yang paling besar (mati sebagai sayyidu syuhada’) menanti pelakunya.  

Terdapat segelintir umat Islam yang keliru dalam mentaati pemimpin yang menyeru kepada kemaksiatan, kerana salah memahami hadis berkenaan pemimpin yang mendirikan ‘solat’. Auf Bin Asyja’i berkata,

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sebaik-baik pemimpin kalian adalah mereka yang kalian cintai, dan mereka pun mencintai kalian; mereka mendo’akan kalian dan kalian pun mendoakan mereka. Seburuk-buruk pemimpin kaian adalah mereka yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian; kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian.’ Ditanyakan kepada Rasulullah, ‘Wahai Rasulullah, tidakkah kita perangi saja mereka itu?’ Baginda menjawab, ‘Jangan, selama mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian.”

Mereka yang keliru, memahami ‘solat’ dengan erti sembahyang. Justeru, mereka berhujah bahawa kita wajib mentaati pemimpin selagi pemimpin mengerjakan sembahyang. Walhal yang dimaksud dengan ‘menegakkan solat’ dalam hadis di atas adalah ‘memerintah dengan Islam’, iaitu menegakkan seluruh hukum syara’. Ungkapan ‘ma aqamu fi kum as-solah’ (‘menegakkan solat’) adalah merupakan pembahasan majaz (analogi) iaitu ‘Itlaqul juz’i wa iradatul kulli (menyebut sebahagian tertentu dengan maksud keseluruhan). Seperti firman Allah, ‘fa tahriru raqabah’ (‘maka merdekakan hamba’) [TMQ al-Mujadalah (58):3], yang dimaksudkan adalah memerdekakan hamba secara keseluruhan, bukan hanya raqabah (hamba mukatab) sahaja. Tidak menegakkan solat atau tidak melaksanakan solat dalam hadis yang berkenaan, maksudnya adalah tidak memerintah dengan hukum yang diturunkan oleh Allah, atau memerintah dengan hukum-hukum kufur, sehingga penampakan kekufuran tersebut tidak meragukan lagi [Taqiyuddin an-Nabhani, Nizamul Hukmi Fil Islam].

Terdapat juga pandangan oleh mereka yang keliru bahawa memuhasabah pemimpin hendaklah dilakukan secara sembunyi-sembunyi dengan menarik tangan mereka ke belakang. Walhal berdasarkan banyak hadis (termasuk yang telah dibincangkan pada perenggan awal di atas), Rasulullah memerintahkan bahawa muhasabah kepada pemimpin wajib dilakukan secara terang-terangan. Malah generasi awal Islam telah membuktikan hal ini. Diriwayatkan semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, seorang wanita memuhasabah tindakan Umar yang melarang wanita meminta mahar (mas kahwin) yang tinggi dan bagi yang telah mendapat mahar yang tinggi harus mengembalikannya. Wanita tersebut lalu memuhasabah Umar kerana menetapkan sesutau yang bertentangan dengan Al-Quran (surah an-Nisa’:20). Umar, dalam kapasitinya sebagai Khalifah, lalu terus mengakui kesilapannya dan membenarkan perempuan tersebut. Umar juga pernah di muhasabah secara terang-terangan dalam hal pembahagian ghanimah berupa kain buatan Yaman. Masing-masing mendapat sehelai kain secara adil. Tetapi Umar sendiri nampaknya memakai kain tambahan untuk gamis yang dipakainya. Salman Al-Farisi mencelah di saat Umar sedang berkhutbah,

“Kami tidak akan mendengar dan mentaatimu sehingga engkau menjelaskan dari mana engkau mendapat tambahan kain untuk gamismu?” Umar menjawab, “Jangan engkau terburu-buru mencelaku.” Lalu Umar memanggil anaknya Abdullah bin Umar dan berkata, “Aku bertanya kepadamu, dengan nama Allah, bukankah gamis yang aku pakai ini adalah bahagian hadiah darimu?” Abdullah bin Umar berkata, “Benar wahai Amirul Mukminin, itu adalah bahagianku yang aku hadiahkan kepadamu.” Salman lalu berkata, “Kalau begitu, teruskanlah khutbahmu, kami akan mendengar dan mentaatimu” [Syeikh Abdul Aziz al-Badri, Al-Islam Baina al-Ulama’ wa al-Hukkam].

Beginilah hebatnya kaum Muslimin ketika itu dengan kewajiban memuhasabah pemimpin, juga hebatnya ketaqwaan seorang pemimpin di dalam menerima muhasabah dari rakyatnya. Muhasabah dilakukan secara terbuka dan langsung tidak timbul soal menarik tangan ke belakang.

Berdasarkan nas-nas, kita dapat memahami bahawa memuhasabah pemimpin itu boleh dilakukan dengan pelbagai uslub (cara/teknik) sama ada secara bersembunyi (tertutup), berhadapan secara terang-terangan, melalui penulisan, CD, ceramah, masirah (demonstrasi aman) dan sebagainya. Perbuatan memuhasabah, melalui apa cara sekalipun (yang syar’i), adalah wajib dan jauh lebih baik daripada sekadar hanya memendamkan kebencian dalam hati (bi al-qalb). Haram hukumnya berdiam diri atau tidak melakukan apa-apa, dan lebih buruk, sekiranya mengkritik atau menghentam orang yang melaksanakan kewajipan memuhasabah ini.

Khatimah

Wahai pemimpin kaum Muslimin! Sesungguhnya indoktrinisasi yang kamu lakukan ke atas rakyat dengan menanamkan sikap assabiyyah dan wathaniyyah adalah haram. Indoktrinisasi agar rakyat mentaati kamu secara membabi buta juga adalah haram. Berhentilah dari segala kemaksiatan yang kamu lakukan dan janganlah kamu memaksakan kemaksiatan tersebut ke atas rakyat. Buanglah keegoan kamu dan tundukkanlah hawa nafsumu kepada hukum Allah. Sesungguhnya orang yang jauh lebih mulia dari kamu tidak pernah ego kepada rakyatnya dan senantiasa menundukkan dirinya kepada Allah. Ingatlah tatkala orang yang mulia tersebut berucap, di saat beliau dilantik menjadi Khalifah selaku pemimpin tertinggi umat Islam sedunia, katanya, “Apabila tindakan aku benar, maka ikutilah aku dan apabila aku menyimpang, maka luruskanlah aku”, seorang hamba Allah berkata dengan lantang sambil menghunuskan pedangnya ke arah sang pemimpin, “Wahai Umar! Sekiranya engkau menyimpang, maka pedangku inilah yang akan meluruskanmu”. Lalu dijawab oleh sang pemimpin agung sambil tersenyum, “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan keberanian kepada seorang hambaNya, yang bersedia meluruskan Umar dengan pedangnya.” Sungguh, alangkah indahnya apabila ada pemimpin dan rakyat seperti ini.