Pihak berkuasa jangan banteras judi haram sahaja, “judi halal” pun wajib dibanteras
Susulan video tular yang dimuat naik oleh Asri Janggut melalui facebook Hot Burger Malaysia, isu ini telah mendapat perhatian sehingga ke Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sendiri, yang kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian. “Judi menjahanamkan masyarakat kerana ia mengembangkan perlakuan lain-lain jenayah. Polis akan siasat dakwaan individu terbabit yang mengatakan berlakunya kegiatan perjudian di kawasan itu,” katanya [Sinar Harian, 9 Ogos 2020].
Kebelakangan ini sudah banyak terjadi apabila tularnya satu-satu video, barulah pihak berkuasa mula bertindak, tidak kiralah apa isunya. Dalam isu ini, siapa pun yang waras akan mengatakan mustahil sekiranya pihak polis atau Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tidak tahu tentang kegiatan haram yang berlaku dalam kawasan masing-masing. PDRM mempunyai Cawangan Khas yang kerja utama mereka adalah untuk mendapatkan maklumat secara rahsia yang mana boleh dikatakan mustahil sekiranya premis judi berkenaan terlepas daripada perhatian dan pengetahuan PDRM. Begitu juga dengan MBSA, yang tidak mungkin tidak tahu apa yang berlaku, sedangkan merekalah yang mengeluarkan lesen dan memantau setiap premis perniagaan.
Menurut laporan berita, Bukit Aman tidak menafikan ada anggota polis yang terlibat sehingga membolehkan pusat judi tersebut terus beroperasi. SPRM juga dilapor telah menangkap beberapa anggota MBSA untuk mendapatkan keterangan kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah melindungi premis judi berkenaan. Dalam perkembangan terbaru, premis-premis judi, dan juga premis yang diubahsuai tanpa kelulusan telah diserbu oleh MBSA. Segala tindakan “melatah” ini dilakukan tidak lain gara-gara video yang telah tular tersebut.
Baguslah jika premis judi haram tersebut telah diambil tindakan, malangnya pihak berkuasa tidak pernah sedar bahawa premis “judi halal” juga sepatutnya diambil tindakan. Dengan kata lain, semua premis judi baik yang haram atau yang “halal” wajib dibanteras, kerana judi merupakan perkara yang jelas haram menurut Islam, yang termasuk dalam perkara ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah. Jika KPN mengakui bahawa judi menjahanamkan masyarakat, KPN seharusnya sedar bahawa ia termasuklah segala jenis judi seperti Sports Toto, Magnum 4D dan lain-lain, dan jangan lupa bahawa Malaysia mempunyai pusat judi terbesar di Genting Highland. Firman Allah (swt):
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan” [Al-Ma’idah (5): 90].
Namun, kita semua maklum bahawa dalam sistem demokrasi pada hari ini, apa sahaja yang telah diharamkan oleh Allah (swt), selama mana ia diberi lesen oleh penguasa, maka ia tetap sah di sisi demokrasi dan inilah “hukum” yang dipegang oleh pihak berkuasa. Atas dasar itu, premis-premis judi, arak, kelab-kelab malam dan sebagainya, semua ini sah beroperasi selama mana ada lesen, dan pihak berkuasa atau siapa sahaja tidak boleh mengganggu gugat operasi mereka, walaupun apa yang mereka lakukan amat jelas bertentangan dengan Islam.
Semoga pihak berkuasa bersikap tegas dalam membanteras segala jenis aktiviti perjudian, kerana apa sahaja judi adalah diharamkan oleh Allah (swt), walaupun demokrasi membenarkannya. Hukum Allah (swt) itulah yang wajib dipatuhi oleh pihak berkuasa, bukannya undang-undang demokrasi yang bertentangan dengan hukum-Nya.
Akhir kalam, kepada mana-mana pihak, khususnya pihak berkuasa yang terlibat dalam kes rasuah, apatah lagi kes rasuah yang mengakibatkan aktiviti kemaksiatan kepada Allah terus berlangsung – hayatilah perkataan Rasulullah (saw) ini dan fikirkanlah samada habuan dunia yang haram lagi sedikit yang kalian perolehi dari rasuah di dunia ini, dapat menyelamatkan kalian di akhirat kelak, apabila Allah dan Rasul melaknat kalian:
لَعَنَ اللَّهُ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ فِي الْحُكْمِ
“Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam urusan hukum (pemerintahan)” [HR Ahmad, Abu Dawud dan al-Tirmidzi]
Dari Abdullah bin Amru, Rasulullah saw juga bersabda:
لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي
“Laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah” [HR Khamsah kecuali al-Nasa`i dan di sahihkan oleh at-Tirmidzi].
Dari Tsauban ra:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَ
“Rasulullah (saw) melaknat pemberi dan penerima rasuah dan perantaranya” [HR Ahmad].
Wallahu ‘alam.
Editor