Retak Institusi Keluarga Lebih Parah dengan Ekonomi Acuan Kapitalis
‘Home’ atau rumah kediaman ialah antara keperluan asas kehidupan manusia. Rumah ialah tempat perlindungan daripada panas dan hujan. Di dalam sebuah rumah terbina sebuah kehidupan bagi pasangan lelaki dan perempuan yang telah bernikah.
Namun dari bermacam-macam kes jenayah dalam rumahtangga yang dilaporkan di media, bercampur baur rasa marah, sedih, takut dan kecewa. Sepanjang satu tahun lebih covid -19 menyerang Malaysia pihak polis sendiri mengakui terdapat peningkatan dalam kes jenayah dalam rumahtangga. Kes keganasan rumahtangga telah meningkat kepada 606 kes sepanjang tempoh pkp. Merujuk kepada rekod oleh PDRM juga, sebanyak 5260 kes keganasan rumah tangga telah dibuka kertas siasatan sepanjang Januari hingga Disember 2020 dan statistic daripada Talian Kasih Kememnterian Pembangunan Wanita dan Masyarakat, sebanyak 2540 aduan telah diterima. Kes perceraian juga turut mencatatkan bilangan yang besar. Di Johor sahaja, sebanyak 2625 kes direkodkan sepanjang Mac hingga Disember 2020. Antara kumpulan yang diberi perhatian kerana menyumbang kepada bilangan tertinggi dalam kes perceraian ialah pasangan daripada kumpulan B40 dan pasangan daripada kategori umur 21 hingga 40 tahun iaitu golongan belia.
Dalam kehidupan normal rumahtangga, walaupun masing-masing suami dan isteri memikul peranan yang berbeza namun keduanya bertanggungjawab untuk membangun kehidupan bersama termasuk dengan ahli-ahlinya. Paling ringkas untuk difahami, suami berkewajipan menafkahi keluarganya zahir dan batin. Manakala isteri bertindak sebagai pengatur urusan rumah tangga, dan keduanya perlu memastikan setiap ahli di dalam rumah taat kepada setiap udang-undang yang terpakai di dalam rumahtangga terutama yang melibatkan hukum agama.
Kelaziman hari ini, suami dan isteri bersama-sama berkongsi peranan dan tanggungjawab yang walaupun pada asalnya ia adalah kewajipan pada satu pihak. Suami kini, turut sama mengelola urusan dalam rumahtangga dan isteri juga turut keluar bekerja. Tambahan lagi, isteri dalam masa yang sama, bersungguh-sungguh membina profil kerjaya yang hebat disamping memikul amanah mengurus hal ehwal anak dan rumahtangga. Dan kelaziman ini diteruskan oleh ramai pasangan yang berkahwin hari ini kerana pelbagai faktor, yang akhirnya telah memunculkan banyak konflik dalam rumahtangga yang dibina. Lebih serius lagi apabila ia melibatkan perlecehan terhadap hukum Islam.
Ibarat telur busuk yang telah pecah, begitulah bagaimana pandemik covid 19 memuntah semua cerita busuk dalam rumahtangga yang selama ini tertutup, hanya nampak samar-samar. Hakikatnya, semua kes-kes yang dilaporkan, bukanlah kes baharu, ia telah terjadi sebelum pandemik melanda lagi. Pandemik covid-19 bukanlah punca utama, namun ia menjadi faktor penggalak kepada penambahan kes-kes yang sedia ada sepeti yang direkodkan. Faktanya, ramai yang hilang pekerjaan dan bagi yang berniaga, perniagaan mereka sangat terkesan dan untuk kembali pulih akan mengambil masa yang panjang. Hal ini mengundang kepada ketidakstabilan ekonomi dalam rumahtangga yang akhirnya memberi tekanan mental kepada ketua keluarga sekaligus membawa kepada tekanan dan ekpresi fizikal ke atas ahli keluarga yang lain. Keadaan lebih buruk berlaku apabila wujud suami penagih dadah, suami yang sepatunya memberi nafkah tidak menjalankan kewajipan sendiri malah mengharapkan gaji isteri untuk menanggung keluarga. Sudahlah tidak membantu dalam urusan rumah tangga, jika kehendak tidak dilayani, teruk dipukul pula.
Inilah impak negatif hasil daripada penerapan sistem bukan Islam. Kesan buruk sistem ekonomi kapitalis-liberal yang menjanjikan nikmat material dunia pada tahap yang maksima, ternyata hanyalah lubang biawak yang disediakan oleh puak kuffar yang akhirnya berupaya meruntuhkan komponen penting bagi masyarakat.
Kini, demi mencari sebuah penyelesaian kepada segala kesengsaraan yang berlaku, memerlukan kita untuk kembali kepada perbincangan yang paling dasar. Sebagai individu Islam, kesedaran dan ketakwaan individu itulah tunjang utama. Tiga Big Why yang mesti kita tanyakan kepada diri kita untuk membangkitkan kesedaran dalam diri. Pertama, dari mana kita berasal; apa tugas kita di dunia; dan ke mana kita akan pergi setelah ini. Tiga persoalan besar ini sangat berkait dengan dasar keimanan dalam diri individu dengan mengakui kita adalah hamba Allah dan kita tertakluk kepada semua perintah dan larangannya.
Kemudian, membangun keperibadian islam dalam diri dan seluruh ahli di dalam keluarga. Hal ini, tidak akan berjaya hanya dengan tindakan individu semata-mata. Ia memerlukan usaha sinergi antara individu dan penguasa negara melalui program pendidikan negara. Matlamat pendidikan negara wajib meletakkan Islam sebagai asas utama dan fokus akhir iaitu untuk meraih keredhaan Allah. Semua modul dan silibus yang digunapakai adalah bertujuan untuk membangun keperibadian Islam dalam diri setiap individu masyarakat. Bukan sahaja aqidah Islam, perlu juga diperkuatkan dengan perilaku yang selaras dengan tuntutan syarak.
Soal hilang punca pendapatan untuk menafkahi keluarga, besar peranan negara dalam menjamin pemenuhan keperluan asas keluarga terutama dalam keadaan bencana. Negara wajib memastikan setiap rakyatnya mendapat akses kepada keperluan asas melalui kaedah yang sewajarnya dan turut diberikan jaminan akses kepada peluang pekerjaan untuk rakyat dibawah kelolaan mereka. Bantuan ‘one-off’ atau berkala seperti amalan semasa tidak akan banyak membantu kehidupan rakyat yang sempit, kerana kehidupan dunia hari ini sentiasa mendahulukan duit dalam setiap proses. Beban yang dipikul dalam waktu genting seperti ini khususnya, selain perbelanjaan keperluan harian, isi rumah juga sakit-kepala memikirkan tentang hutang pinjaman kereta dan rumah, termasuk sekali perbelanjaan sekolah dan pengajian di peringkat tinggi. Walhal, dalam kehidupan bernegara ideal yang dipelopori oleh Islam, kehidupan keluarga tidak dibebani dengan hutang Pendidikan kerana jaminan akses penuh percuma oleh negara. Pembelian kereta dan rumah hampir mustahil memerlukan kepada pinjaman jauh sekali pinjaman yang mengandungi riba.
Kesimpulannya, faktor agama perlu menjadi tunjang dalam kehidupan individu mahupun kehidupan berkeluarga. Keluarga yang berpegang pada keyakinan agama, terbukti kuat dalam menghadapi ujian. Dia yakin bahawa rezeki sedikit ataupun banyak adalah ketetapan Allah. Dia tidak akan mudah melepas ikatan pernikahan saat diuji dengan duit yang menyusut. Keutuhan insititusi keluarga sangat bergantung kepada keperibadian ahli-ahli di dalam keluarga tersebut. Dalam hal ini, ia bukan menjadi urusan keluarga itu sendiri sahaja untuk menguruskannya, tetapi juga memerlukan sokongan besar daripada negara.
Pada hemat semua, bagaimanakah sistem sokongan kepada keluarga yang sedia ada sekarang? Adakah sistem hari ini menyokong kepada keutuhan sebuah keluarga atau hanya mengerahkan ahli-ahli dalam keluarga untuk membangun profil untuk keuntungan dunia semata-mata. Renungilah maksud petikan ayat berikut ,
“Sesiapa yang berpaling daripada peringatanKu, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thoha (20) : 124]
Aini Wahab
(Aktivis MHTM)
Rujukan berita :
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/827725/syor-benarkan-mahkamah-syariah-beroperasi (Jun 14,2021)
https://www.melakahariini.my/talak-pkp-kumpulan-b40-paling-ramai-140-daftar-cerai-februari-lalu/ (Mac 10, 2021)