SN623 – Aset Pertahanan yang Lapuk – Satu Pengabaian oleh Pemerintah
Bil: SN623 (PDF) – 3 Rejab1444 / 25 Januari 2023
Keupayaan sesebuah negara untuk mempertahankan sempadan negaranya daripada ancaman kuasa asing merupakan suatu tabii sejak kewujudan tamadun manusia. Agar sesebuah negara dianggap sebagai merdeka dan mandiri, melindungi wilayahnya adalah penting, jika tidak, kewujudannya akan dipersoalkan. Oleh yang demikian, sesebuah negara perlulah memberi perhatian kepada pembangunan dan kemampuan pertahanannya pada tahap yang terbaik agar sentiasa dalam siap siaga dalam menghadapi ancaman kuasa asing.
Situasi ketegangan geopolitik di Laut China Selatan antara kuasa-kuasa besar pada ketika ini yang membawa ancaman ‘asymmetric’ kepada Malaysia iaitu medan perang tidak lagi terhad kepada sempadan antara negara-negara sahaja tetapi melangkaui dimensi serantau dan global. Berdasarkan situasi ini, malaysia memerlukan aset-aset pertahanan yang terbaik agar mampu menghadapi sebarang kemungkinan peperangan.
Malangnya, kebanyakan aset-aset pertahanan di Malaysia sudah lapuk dan tidak mampu berfungsi dengan baik. Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza berkata, kebanyakan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dinaik taraf kerana usianya ada yang menjangkau lebih 40 hingga 50 tahun(https://www.kosmo.com.my/2022/10/29/aset-tldm-perlu-dinaik-taraf-usia-lebih-40-tahun/).
Pada tahun 2018, bekas Menteri Pertahanan, Mohammad Sabu mendedahkan bahawa hanya empat daripada 28 pesawat pejuang buatan Rusia yang dimiliki oleh Tentera Udara Malaysia (TUDM) yang mampu terbang. Aset-aset yang usang ini selain gagal berfungsi dengan baik, turut membahayakan para tentera kita. Peristiwa kapal selam Indonesia, KRI Naggala 402 yang berumur 40 tahun, telah karam di Bali pada April 2021 ketika sesi latihan dan juga peristiwa kapal perang Tentera Laut Diraja Thailand, HTMS Sukhotai yang berumur 35 tahun telah karam akibat laut bergelora baru-baru ini telah mengorbankan ramai tentera masing-masing. Kedua-kedua peristiwa ini telah membuka mata ramai pihak bahawa aset-aset yang usang ini sangat berbahaya dan telah mengorbankan para prajurit dengan sia-sia.
Ditambah lagi, sistem perolehan aset-aset pertahanan yang penuh masalah ketirisan dan rasuah seperti skandal Kapal LCS yang didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) bahawa RM9 bilion telah dibayar untuk enam buah kapal, namun sebuah kapal LCS pun masih belum berjaya diperoleh. Sungguhpun sudah dibukakan mata tentang aset-aset usang dan skandal perolehan aset pertahanan serta bahaya yang sedang menanti, namun kerajaan PN yang lepas masih lagi tidak serius dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sistem pertahanan negara dengan memberikan peruntukan pertahanan yang sangat kecil.
Hal ini seperti diungkapkan oleh Laksamana Tan Sri Mohd Reza yang dipetik dalam News Straits Times; “Di dalam tahun-tahun yang mendatang, adalah harapan kami bahawa peruntukan pertahanan negara dipertingkatkan daripada 1 peratus kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Tahun ini, kerajaan mengumumkan dalam Belanjawan 2023 bahawa peruntukan pertahanan adalah kurang daripada 1 peratus. Kita bekerja keras, tetapi seolah-olah kerajaan tidak serius,” (https://defencesecurityasia.com/pertahanan-peruntukan-rendah-serius/). Begitulah sikap tidak serius pihak kerajaan dalam mempersiapkan pertahanan negara. Sikap seperti ini akan mendatangkan bahaya kepada keselamatan rakyat di negara ini.
Hukum Mempersiapkan Pertahanan Negara
Islam bukan hanya sebagai sebuah agama, tetapi juga sebagai ideologi negara telah memperincikan semua hal dalam pengurusan negara tidak terkecuali aspek pertahanan negara. Allah SWT telah berfirman:
“Siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kalian sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambatkan untuk berperang (yang dengan persiapan itu) agar kalian menggentarkan musuh Allah dan musuh kalian serta orang orang selain mereka yang tidak kalian ketahui, sedangkan Allah tahu” [Surah al-Anfal: ayat 60].
Berdasarkan ayat ini para ulama memahami bahawa menyiapkan kekuatan untuk menghadapi perang hukumnya fardu (wajib). Kekuatan yang disiapkan tersebut juga mestilah terlihat jelas sehingga boleh menggentarkan musuh-musuh Islam. Ini disebabkan firman Allah SWT “turhibûna (agar kalian menggentarkan)” adalah ‘illat (penyebab) kewajiban membuat persiapan tersebut. Oleh kerana itu, penyiapan kekuatan tersebut tidak boleh dinilai sempurna, kecuali jika ‘illat perintah tersebut telah dipenuhi, iaitu menggentarkan musuh.
Dari sini kemudian terbitlah hukum kewajiban memiliki persenjataan, perlengkapan tempur, logistik, peluru-peluru, serta peralatan pasukan yang lain secara memadai sehingga mampu menggentarkan musuh. Lebih utama lagi jika persiapan kekuatan tersebut dimiliki oleh tentera Islam sehingga mampu mengemban tugas jihad dalam rangka menyebarkan dakwah Islam. Ketika Allah SWT menyerukan kepada kita agar menyiapkan kekuatan, maka Allah SWT menetapkan ‘illat yang mesti diperhatikan dalam menyiapkan kekuatan, iaitu menyebabkan ketakutan kepada musuh, baik musuh yang terlihat mahupun yang tidak.
Sirah telah menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulullah SAW dan para pemimpin Islam terdahulu mengamalkan ayat di atas. Dalam peristiwa pengepungan Taif iaitu sesudah pembukaan Kota Mekah, Rasulullah SAW telah menyerang benteng yang kukuh Taif dengan senjata manjanik(catapult) dan dabbabah. Pada ketika itu, manjanik merupakan senjata tercanggih untuk menghancurkan benteng/kubu. Rasulullah saw telah memerintahkan dua orang sahabat iaitu Urwah bin Mas’ud dan Ghailan bin Salamah untuk mempelajari pembuatannya di Syam. Akibat serangan tersebut, penduduk Taif berjaya ditundukkan kepada pemerintahan Islam. Hal seumpama itu juga berlaku ketika peristiwa pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Beliau telah mengambil teknologi meriam tercanggih ketika itu daripada Orban, seorang Kristian dan membinanya dengan pembiayaan yang sangat mahal. Dengan serangan daripada meriam tersebut, kota seribu tahun tidak terkalahkan itu berjaya diruntuhkan dan tunduk kepada naungan Islam. Begitulah bagaimana ayat 60 surah al-Anfal sewajarnya diamalkan oleh para pemimpin umat Islam.
Dana untuk Membangunkan Aset Pertahanan
Masalah yang selalu dihadapi negara ini dalam melengkapi sistem pertahanan negara saban tahun ialah peruntukan dana yang kecil. Dalam negara Demokrasi-Kapitalis, bajet untuk pertahanan ditentukan oleh Menteri Kewangan atau Presiden beserta dengan persetujuan majoriti ahli-ahli parlimen. Banyak atau sedikit dana yang diberikan bergantung kepada keseriusan ahli-ahli politik tersebut terhadap pertahanan negara.
Ini berbeza dengan Negara Khilafah Islamiyyah yang menerapkan hukum-hukum perekonomian Islam. Dalam Islam, sumber pendapatan dan perbelanjaan negara telah pun ditetapkan oleh Syariah dan tidak boleh diubah. Sumber-sumber pendapatan seperti fai, khumus, kharaj dan jizyah mestilah dibelanjakan untuk kegunaan kepentingan kaum muslimin termasuklah pertahanan negara dan jihad fi sabilillah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para khulafa’ terdahulu. Khalifah hanya boleh menentukan besar-kecil jumlah yang diperlukan sahaja. Khalifah tidak boleh mengubah dana tersebut untuk kegunaan selain yang ditetapkan oleh syariah. Ini berbeza dengan apa yang terjadi di negara ini, di mana pihak tentera terpaksa menagih dengan ahli-ahli politik untuk dinaikkan dana pertahanan demi mempertahankan negara termasuklah keselamatan ahli-ahli politik itu sendiri. Sungguh aneh.
Kesimpulan
Krisis aset pertahanan di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan kita bahawa para menteri dan ahli-ahli politik lebih sibuk dengan merebut tahta kekuasaan berbanding isu keselamatan rakyat dan negara. Mereka langsung tidak serius dalam memerhatikan aspek pertahanan negara sedangkan konflik geopolitik terutamanya di Laut China Selatan boleh merebak ke negara ini pada bila-bila masa sahaja. Mereka langsung tidak mengambil pelajaran apa yang sedang berlaku di Ukraine. Mereka telah mengabaikan perintah Allah SWT untuk mempersiapkan kekuatan tentera untuk menggentarkan musuh.
Pelaksanaan perintah Allah SWT bukanlah bermaksud hanya membeli aset-aset pertahanan yang baru, tetapi membeli atau membina aset-aset yang boleh menggentarkan musuh pada ketika ini seperti kapal selam berkuasa nuklear, peluru berpandu antara benua dengan peledak nuclear (ICBM), misil hypersonic, sistem pertahanan udara seperti The Patriot atau S-500 dan lain-lain lagi.
Namun perkara ini tidak akan berlaku sekiranya negara ini terus dipimpin oleh ahli-ahli politik yang selalu mengabaikan perintah-perintah Allah SWT. Ia hanya akan berlaku sekiranya negara ini diterapkan sistem Khilafah dengan seorang Khalifah yang benar-benar melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah SWT dengan penuh ketakwaan. Wallahualam.
KOLUM SIYASAH
UMNO dan Majlis Ulamanya
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan penubuhan Majlis Ulama UMNO (MUU) yang diketuai oleh salah seorang veteran parti tersebut, Datuk Dusuki Ahmad [Utusan Online, 14/1/2023]. Berdasarkan rekod, usul penubuhan Majlis Ulama UMNO ini telah dibangkitkan pada perhimpunan agung parti tersebut 12 tahun lalu.
Dari satu sudut, secara zahirnya tindakan UMNO menubuhkan majlis ulama’ dilihat sebagai sebuah penghargaan atas peranan dan kedudukan ulama’. Namun hakikatnya, apakah majlis ini benar-benar mampu menasihati pemimpin UMNO dan mencorak hala tuju parti berasaskan kaum yang sudah sekian lama sinonim dengan pemikiran sekular ini?
Atau MUU akan hanya menjadi sebuah badan yang dilihat mempunyai wibawa dalam bidang agama untuk memberikan hujah yang disadurkan dalil-dalil, semata-mata demi mewajarkan tindakan dan kehendak tampuk kepimpinan parti?
Penubuhan MUU ini, bersama-sama penubuhan Institut UMNO dan langkah-langkah lain yang diambil oleh tampuk kepimpinan parti tidak lain hanyalah merupakan usaha untuk menjamin keberlangsungan UMNO sebagai sebuah parti yang relevan dalam masyarakat.
Bahkan tidak mustahil penubuhannya ini mungkin sahaja bertujuan untuk meneutralkan persepsi negatif terhadap ‘permuafakatan’ baharu UMNO bersama DAP – sebuah parti yang selama ini menjadi momokan bagi menarik sokongan pengundi Melayu.
Sesungguhnya ulama’ memainkan peranan yang sangat penting dalam ummah. Bahkan para ulama’ yang benar-benar mukhlis mendapat pujian daripada Rasulullah (saw) melalui lisan mulia baginda; “Sesungguhnya perumpamaan para ulama di bumi seperti bintang-bintang di langit” [HR Ahmad].
Maka, tidak sewajarnya kedudukan para ulama’ diletakkan sebegitu rendah seandainya mereka dijadikan alat oleh pucuk pimpinan dan penguasa bagi mendapatkan keabsahan bersadurkan agama dalam menjustifikasikan tindak-tanduk mereka.
Rasulullah (saw) pernah memberi peringatan kepada mereka yang bersekongkol dengan penguasa dalam melakukan kezaliman dan pendustaan. Sabda baginda (saw): “Akan ada setelahku para pemimpin, yang barangsiapa mendatangi mereka, lalu membenarkan mereka dalam kedustaan mereka, menolong mereka atas kezaliman mereka, maka ia bukan termasuk golonganku, dan aku tidak termasuk golongannya, dan ia tidak akan mencapai telagaku…” [HR Tirmidzi dari Ka’ab bin ‘Ujrah (ra)].
Para ulama’ sewajarnya kembali menempatkan status mereka sejajar dengan tuntutan syarak, ikhlas dalam memuhasabah kemungkaran para penguasa, serta menjadi pembimbing umat dalam menjalani kehidupan yang berpandukan syariah. Hanya dengan berbuat demikian, barulah melayakkan mereka menjadi pewaris para Nabi sebagai mana sabda Rasulullah (saw); “Ulama itu adalah pewaris para nabi” [HR Abu Daud dan Baihaqi].