SN632 – Sistem Pendidikan Sekular Yang Materialistik Dan Kapitalistik Melunturkan Minat Belajar
Bil: SN632 (PDF) – 20 Zulkaedah 1444 / 9 Jun 2023
Apabila keputusan SPM keluar, pada kebiasaannya, para pelajar lepasan SPM sibuk memikirkan di mana mereka akan melanjutkan pelajaran, di universiti atau kolej, di luar negara atau di dalam negara. Mereka sudah berkira-kira apakah pilihan kursus yang sesuai dengan kelayakan keputusan SPM mereka. Namun, fenomena sebegini nampaknya sudah mula hilang mutakhir ini. Apa yang berlaku adalah sebaliknya – ramai lepasan SPM tidak lagi berminat melanjutkan pelajaran mereka. Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, terdapat 180,680 pelajar lepasan SPM bagi sesi persekolahan 2021 yang memilih untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi. Jumlah ini, yang diperolehi daripada data sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM), merangkumi 48.74% dari bilangan pelajar lepasan SPM bagi tahun 2021. [The Star, 24 Mei 2023].
Fenomena serupa juga berlaku pada tahun-tahun yang lepas dan dalam satu kajian yang dibuat oleh Jabatan Statistik pada tahun 2019 didapati 72.1% daripada lepasan SPM cenderung untuk bekerja. Kajian tersebut mendapati bahawa terdapat tiga sebab utama mengapa para pelajar di kalangan umur 17 hingga 18 tahun tidak berminat menyambung pengajian – peluang pekerjaan dalam ekonomi gig, berminat untuk menjadi pempengaruh (influencer) di media sosial dan berpandangan bahawa menyambung pelajaran tidak memberikan jaminan pekerjaan yang baik [The Star, 29 Ogos 2022].
Antara sebab lain mereka tidak mahu menyambung pelajaran adalah kerana gaji yang diperoleh selepas menggenggam diploma atau ijazah sangat rendah malah mereka terpaksa menanggung hutang pendidikan yang tinggi. Gaji yang rendah, komitmen hutang dan kos sara hidup yang semakin meningkat tidak menjamin kehidupan yang baik walaupun selepas tamat pengajian tinggi. Dengan menjadi pempengaruh atau setidaknya menjadi penghantar makanan, gaji yang lebih tinggi daripada lepasan IPT dapat diperolehi [Free Malaysia Today, 06 Ogos 2022].
Dengan alasan-alasan inilah mereka memilih untuk tidak menyambung pengajian lagi. Situasi ini membimbangkan banyak pihak. Santun Nahdhah kali ini akan cuba menjelaskan secara ringkas punca masalah ini berlaku dan bagaimana umat Islam boleh mengatasinya.
Sistem Pendidikan Sekular yang Materialistik dan Kapitalistik
Fakta-fakta di atas menunjukkan sekurang-kurangnya tiga sebab mengapa para pelajar hilang minat untuk melanjutkan pengajian:
Pertama: Dalam sistem pendidikan negara ini, para pelajar dididik untuk mencapai seberapa banyak A dalam peperiksaan. Kemudian, keputusan peperiksaan ini akan digunakan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi demi mencapai kerjaya yang diinginkan. Kerjaya biasanya dipilih berdasarkan gajinya yang lumayan. Akibatnya, apabila kerjaya yang dikejar tidak menjanjikan lagi gaji yang lumayan atau gaji lebih lumayan boleh diperoleh tanpa melanjutkan pengajian, maka tidak wujud lagi justifikasi untuk melanjutkan pengajian. Sistem pendidikan seumpama ini bersifat materialistik, mementingkan objektif kebendaan demi mengejar gaji yang tinggi.
Kedua: Sistem pendidikan peringkat IPT hari ini sangat bergantung kepada PTPTN di mana kos pendidikan dibiayai secara hutang. Ini menyebabkan ramai graduan terpaksa menanggung hutang yang tinggi selepas tamat belajar. Ramai lepasan SPM merasakan masa depan mereka tidak terjamin apabila memperoleh gaji yang kecil tetapi terpaksa menanggung hutang yang tinggi selepas bergraduat. Akibatnya, ini memadamkan hasrat mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Ketiga: Peluang pekerjaan yang terhad bagi para graduan. Walaupun memiliki ijazah dari menara gading, peluang pekerjaan dalam mengaplikasi kepakaran mereka amat terhad. Kerap kali kita saksikan mereka yang mempunyai ijazah dalam kejuruteraan, sains atau lain-lain bidang melakukan kerja yang tiada kaitan dengan ilmu tersebut. Antara sebabnya adalah, meskipun negara memiliki pelbagai industri berat dan termaju tempatan dan luar negara, fokus yang agak lemah terhadapnya menyebabkan lemahnya permintaan terhadap industri tersebut sehingga ia tidak mampu untuk menyerap para graduan yang dihasilkan. Sekiranya masalah ini ingin diselesaikan, keseriusan kerajaan dalam memperkukuh industri berat dan termaju perlu dipertingkatkan. Tambahan pula, sektor swasta tidak begitu berminat untuk melabur dalam industri berat dan termaju kerana suasana pelaburan yang lembab dan memerlukan jangka masa yang panjang untuk memperoleh keuntungan.
Penyelesaian Islam
Apabila majoriti belia tidak berkeinginan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, ini merupakan kebimbangan yang patut diberi perhatian serius. Sekiranya masalah ini tidak diatasi segera, negara akan kehilangan bakat, para intelektual dan pemikir dalam masa 20 ke 30 tahun akan datang. Namun untuk menyelesaikannya, kita tidak boleh mengharapkan sistem pendidikan sedia ada – kerana ia dibina atas dasar sekularisme dan kapitalisme – kepincangan pada asasnya! Islam mempunyai jalan penyelesaian bagi masalah ini. Pada dasarnya, tiga antara aspek utama dalam penyelesaian Islam adalah:
Pertama: Polisi pendidikan diasaskan kepada aqidah Islam. Objektif sistem pendidikan secara umumnya adalah membina keperibadian Islam di kalangan para pelajar dari segi intelektual dan perwatakannya melalui penerapan tsaqafah Islam. Dalam konteks pendidikan tinggi, objektifnya adalah lebih khusus iaitu melahirkan para pemimpin yang boleh mengendalikan isu-isu penting umat Islam, mempertahankan dan memelihara Negara Khilafah, memastikan Islam hidup dan dilaksanakan di dalam umat, dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh dunia. Pendidikan tinggi mestilah melahirkan penyelidik yang berkebolehan dan mampu berinovasi dalam pelbagai bidang penting yang membolehkan umat terus mengawal hal ehwalnya sendiri dan berdikari. Ini dilakukan demi mengelakkan dari negara Islam berada di bawah pengaruh negara-negara kuffar. Firman Allah SWT:
“..Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang kafir untuk mengalahkan orang-orang beriman.” [Surah An-Nisaa: 141].
Polisi ini akan melahirkan para pelajar yang hidup demi Islam dan berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT – bukan semata-mata mengejar pendapatan yang lumayan.
Kedua: Islam mewajibkan negara untuk menyediakan pendidikan untuk setiap individu baik lelaki mahupun perempuan. Atas kewajiban itu negara perlu menyediakan prasarana pendidikan tidak kira di peringkat sekolah mahupun peringkat tinggi secara percuma. Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada kita bagaimana baginda meletakkan syarat tebusan bagi setiap tawanan perang Badar untuk mengajar sepuluh orang anak Muslim. Tawanan perang merupakan salah satu daripada anfal iaitu harta Khilafah yang digunakan untuk kepentingan kaum Muslimin. Inilah antara dalil kewajiban menyediakan pendidikan secara percuma ke atas setiap warga negara Khilafah.
Ketiga: Islam mewajibkan negara untuk menyediakan sistem pertahanan dan persenjataan terbaik.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
“Siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kalian sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambatkan untuk berperang (yang dengan persiapan itu) agar kalian menggentarkan musuh Allah dan musuh kalian serta orang orang selain mereka yang tidak kalian ketahui, sedangkan Allah tahu” [Surah al-Anfal: ayat 60].
Bagi membina dan menyediakan sistem pertahanan terbaik sebagai satu kewajiban daripada Allah SWT, maka negara wajib membangunkan industri berat dan termaju secara serius dan independen. Ini termasuklah industri pembinaan jentera berat, teknologi marin dan kapal laut, aeroangkasa, penghasilan mikrochip dan kepintaran buatan. Melalui perkembangan dan penerapan polisi-polisi yang efektif dan efisien sebagai satu kewajiban dari Allah SWT, peluang pekerjaan dalam industri-industri tersebut serta industri sokongan dan hiliran lainnnya dapat dibuka seluas-luasnya secara mampan.
Negara-negara seperti AS dan China telah memajukan sistem pertahanannya melalui industri berat dan ini membuka banyak peluang pekerjaan tenaga mahir bukan sahaja di kalangan rakyatnya tetapi juga dari luar. Peluang pekerjaan sentiasa terbuka bagi negara yang mengamalkan polisi ekonomi seumpama ini.
Khatimah
Punca utama krisis anak-anak muda hilang minat untuk melanjutkan ke peringkat pengajian tinggi adalah kerana sistem pendidikan sekular yang materialistik dan kapitalistik warisan penjajah British. Para pemimpin dan pembuat polisi negara meninggalkan Islam dalam membina sistem pendidikan dan ekonomi negara ini. Akibatnya apa yang kita lihat hari ini bukan sahaja merugikan umat Islam, akibat kehilangan bakat dan para intelektual pada masa depan, malah membahayakan negara apabila negara sangat bergantung kepada tenaga mahir dan bantuan daripada pihak luar. Hal ini dapat dielakkan sekiranya umat Islam kembali kepada Islam dan menerapkan polisi pendidikan dan ekonomi seperti yang dituntut oleh Islam di dalam bingkai Daulah Khilafah Islamiyyah. Wallahualam.
KOLUM SIYASAH
Motivasi untuk Menimba Ilmu di Zaman Kegemilangan Sarjana Islam
Abad ke-8 hingga ke-14 Masihi kerap disebut sebagai zaman kegemilangan sarjana Islam. Tidak dinafikan di zaman tersebut perkembangan ilmu yang dipelopori oleh para sarjana Muslim dan bukan Muslim di bawah kekuasaan Islam memang tiada tandingannya di seantero dunia. Para sarjana yang hidup di zaman tersebut memiliki motivasi luar biasa dalam menuntut ilmu. Antara sarjana Islam yang terkenal adalah Abū ʿAlī al-Ḥasan ibn al-Ḥasan ibn al-Haytham, yang dikenali sebagai Ibn al-Haytham (965 –1040). Beliau merupakan seorang ahli sains, ahli matematik, ahli astronomi dan filosof Muslim yang telah memberi sumbangan besar dalam prinsip optik, astronomi, matematik, meteorologi, persepsi visual dan kaedah saintifik. Antara petikan kata-kata beliau yang paling masyhur adalah:
“Saya sentiasa mencari pengetahuan dan kebenaran, dan menjadi kepercayaan saya bahawa untuk dapat mendekati cahaya Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya, tidak ada cara yang lebih baik kecuali berusaha mencari kebenaran dan pengetahuan.”
Secara umumnya, antara faktor yang mendorong kepada motivasi luar biasa dalam usaha untuk menimba ilmu di kalangan para sarjana ketika itu adalah:
- Agama Islam: Para Sarjana Muslim meyakini bahawa mengkaji alam semula jadi merupakan satu cara untuk memahami dan menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT. Mereka melihat penyelidikan saintifik sebagai kewajiban syarak, kerana ia membolehkan mereka memperolehi pengetahuan dan kebijaksanaan yang akan memperkukuh keimanan mereka.
- Al-Quran: Umat Islam diperintahkan untuk merenung tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT dalam penciptaan dan perjalanan alam. Penekanan terhadap pemerhatian dan renungan ini menyebabkan para sarjana Muslim dan bukan Muslim untuk meneroka pelbagai disiplin saintifik agar dapat memahami realiti di sekeliling mereka.
- Wujud motivasi dalam pemeliharaan dan penterjemahan buku-buku: Tidak dapat dinafikan bahawa dengan wujudnya usaha untuk menterjemah pelbagai buku, para sarjana secara aktif memelihara warisan ilmu kuno. Mereka menterjemah karya-karya yang mengandungi pengetahuan dalam bidang seperti matematik, astronomi, perubatan dan falsafah. Usaha ini didorong oleh keinginan untuk memelihara dan mengembangkan ilmu.
- Dorongan intelektual: Para sarjana ketika itu sangat dahagakan ilmu pengetahuan dan memiliki perasaan ingin tahu yang luar biasa. Mereka mencari ilmu daripada pelbagai sumber dan melibatkan diri dalam berbagai perdebatan dan perbincangan intelektual. Suasana intelektual dan dokongan negara dalam aspek ini memupuk nuansa yang kondusif dalam perkembangan ilmu pengetahuan.
- Sokongan dan bantuan negara: Para pemerintah dan orang-orang kaya secara aktif menyokong para sarjana ketika itu dan menyediakan untuk mereka sumber yang diperlukan bagi menjalankan penyelidikan dan pengkajian. Bantuan diberikan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelbagai usaha saintifik tanpa perlu bimbang mengenai kekangan kewangan.
- Kerjasama dan perkongsian ilmu: Para sarjana ketika itu membentuk rangkaian kesarjanaan yang luas – merangkumi para ilmuan dari berbagai budaya dan latar belakang yang berbeza. Mereka terlibat secara aktif dalam pertukaran pemikiran melalui aktiviti surat-menyurat, pengembaraan serta penubuhan perpustakaan dan akademi. Kerjasama ini menggalakkan dan memudahkan pemindahan dan perkongsian ilmu serta memupuk kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu.
Inilah antara kegemilangan umat Islam yang sudah hilang. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk kembali menerajui dunia dalam kemajuan ilmu pengetahuan dan tidak dapat dinafikan, kita perlu Khilafah untuk meraih kembali posisi ini.