Poligami (Bahagian 1) – Realiti vs Salahfaham Hukum Poligami
Penulis: Syafinaz Safar
Isu berkaitan poligami bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan umat Islam dan juga bukan Islam. Poligami sering digambarkan dengan cara yang negatif, dipersendakan, dan mendapat pandangan serong terutama dari kalangan wanita Islam dan bukan Islam. Pandangan ini disebabkan oleh rasa benci terhadap perkahwinan poligami atas anggapan bahawa suami tidak setia kepada isteri yang ada, dianggap miang, dan alasan-alasan lain. Sebenarnya, faktor utamanya bukanlah pandangan negatif tersebut, tetapi kekurangan pemahaman mengenai hukum syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam al-Quran.
Peradaban dunia Islam membuktikan bahawa poligami bukanlah isu besar yang mendapat perhatian dan pandangan buruk. Semenjak zaman Nabi Muhammad SAW hingga era Khilafah Uthmaniyyah, umat Islam menerima poligami dengan baik seperti halnya hukum-hukum syarak yang lain. Tidak ada pandangan negatif dari umat, dan tidak ada pendapat yang menolak poligami. Selama lebih dari 1300 tahun, poligami diterima dengan baik oleh seluruh umat Islam di dunia tanpa adanya perselisihan pendapat di antara para ulama’.
Secara ringkas, terdapat tiga tahapan serangan terhadap poligami. Pertama adalah serangan dari kaum orientalis dan misionaris terhadap hukum syariat seperti kewajipan berjihad, poligami, pembahagian hak warisan, dan kesaksian. Kedua, usaha dari orientalis dan misionaris tersebut diteruskan oleh pemikir modernis liberal dari kalangan umat Islam sendiri. Ketiga, serangan terhadap poligami diformalisasikan dalam bentuk peraturan dan sistem perundangan oleh para penguasa di negara-negara umat Islam. Peraturan dan sistem perundangan ini kerap kali menyukarkan proses poligami dengan mengenakan denda dan hukuman bagi mereka yang tidak mematuhi peraturan tersebut. Hal ini menunjukkan adanya pemikiran yang tidak menyukai hukum keharusan berpoligami dari kalangan pemimpin Islam, sehingga muncul peraturan-peraturan yang merintangi poligami.
Agama Nasrani dan Yahudi sendiri tidak melarang poligami. Orang-orang Kristian Eropah yang mempraktikkan monogami dan anti-poligami sebenarnya hanya meneruskan tradisi Yunani dalam kepercayaan pagan mereka (Paganisme). Orang-orang Rom, yang sebenarnya melarang poligami, membuat poligami terlihat buruk. Ketika mereka masuk agama Nasrani pada abad ke-4, mereka mencampuradukkan ajaran pagan dengan ajaran Nasrani dalam kehidupan dan budaya mereka. Apabila kaisar Rom bernama Constantine menetapkan agama Nasrani sebagai agama rasmi Kerajaan Rom, tradisi membenci poligami tetap dipegang oleh penganut Kristian di Eropah. Ketika peradaban Islam bertemu dengan peradaban Eropah, pandangan negatif terhadap poligami ini juga tersebar dalam kalangan umat Islam, dan ada umat Islam yang terpengaruh dan menyebarkannya kepada umat Islam yang lain.
Inilah mengapa umat Islam wajib ingat akan sabda Nabi Muhammad SAW yang melarang umat Islam mengikuti jalan hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani. Sabda Beliau SAW, “Sesungguhnya kamu akan mengikuti jalan hidup orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hingga jika mereka masuk ke lubang biawak, kamu pun akan ikut masuk.” Kami bertanya, “Ya Rasulullah, adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Nabi SAW menjawab, “Lalu siapa lagi?” [HR Bukhari dan Muslim].
Hukum poligami dalam Islam adalah harus. Dalil keharusannya berdasarkan firman Allah SWT, “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga, atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.” [TMQ An-Nisa’: 3]
Ayat ini diturunkan kepada Nabi SAW pada tahun ke-8 Hijrah dengan tujuan menghadkan jumlah isteri maksimum hingga empat orang dalam satu masa. Hal ini kerana pada masa itu, budaya masyarakat Arab adalah mempunyai ramai isteri secara serentak. Berdasarkan ayat al-Quran ini, Allah SWT memerintahkan suami untuk tetap berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Walaupun keadilan bukanlah syarat untuk berpoligami, namun adil adalah kewajipan yang mesti dipenuhi dalam berpoligami seperti memenuhi giliran bermalam, menyediakan nafkah zahir seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Oleh itu, terdapat dorongan untuk mengehadkan hanya kepada seorang isteri dalam perkahwinan jika takut tidak mampu berlaku adil dalam berpoligami. Selain itu, dalam ayat lain Allah SWT juga menjelaskan bahawa adil dalam berpoligami memang sukar dilakukan, “Kamu sekali-kali tidak akan mampu berlaku adil dalam membahagi cinta dan kasih sayang (termasuk hubungan intim).” [TMQ An-Nisa’ (4): 129]
Iaitu suami mampu untuk berlaku adil dalam semua perkara selain cinta dan kasih sayang kepada isteri-isterinya. Dua perkara ini adalah sukar untuk dipenuhi secara adil. Walaupun begitu, Allah SWT melarang suami yang berpoligami untuk terlalu condong kepada salah seorang isteri tetapi membenarkan jika ada kecenderungan dalam hal-hal yang wajar atau umum, seperti dalam hadis riwayat Abu Hurairah RA. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang memiliki dua isteri dan dia condong kepada salah seorang di antara mereka, maka dia akan datang pada Hari Kiamat dalam keadaan miring.” [HR Nasa’i dan Hakim].