SN652 – BRICS: Pakatan Yang Menjerat

Bil: SN652 (PDF/Print) – 30 Muharram 1446 / 5 Ogos 2024

Akhir-akhir ini, beberapa media utama tempatan mula melaporkan kecenderungan kuat kerajaan Malaysia untuk menyertai pakatan BRICS. Bukan sahaja Malaysia, bahkan kebanyakan negara-negara membangun juga semakin cenderung untuk menyertai BRICS (singkatan kepada Brazil, Russia, India, China dan South Afrika). Selain itu, di antara negara-negara yang telah pun menyertai BRICS adalah Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Pada ketika ini, lebih 40 negara telah menyatakan minat untuk menyertai  BRICS dengan 22 telah secara rasmi memohon keahlian. Ini termasuklah Algeria, Argentina, Bahrain, Bangladesh, Bolivia, Cuba, Kazakhstan, Kuwait, Pakistan, Palestine, dan Senegal.

            BRICS pada asasnya ditubuhkan sebagai ‘kelab tidak rasmi’ pada 2009 oleh Russia untuk menyediakan wadah kepada negara-negara yang ingin mencabar tatanan dunia yang dikuasai oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Baratnya. ‘Kelab’ tersebut kemudiannya telah berkembang menjadi blok geopolitik dengan keanggotaan tetap. Negara-negara anggotanya  bermesyuarat setiap tahun pada sidang kemuncak rasmi untuk menyelaraskan dasar pakatan di dalam pelbagai hala sejak 2009. Hubungan dua hala di kalangan negara anggota BRICS dilaksanakan atas beberapa prinsip asas seperti dasar tiada campur tangan antara negara anggota, kesaksamaan dan manfaat bersama. Negara-negara BRICS kini dianggap sebagai saingan geopolitik kepada blok G7 dari segi pemacu kepada kemajuan pesat ekonomi.

            Pelbagai  inisiatif mampu bersaing telah dilaksanakan oleh BRICS dalam aspek ekonomi, politik, pembangunan sosial dan kewangan. Sebagai contoh, dalam aspek kewangan, BRICS telah mewujudkan institusi kewangan mereka sendiri seperti New Development Bank (NDB) dan Contingent Reserve Arrangement (CRA) sebagai pemangkin projek-projek infrastruktur dan pembangunan bagi menyaingi dan mengurangkan dominasi IMF dan Bank Dunia. Melalui inisiatif-inisiatif inilah kebanyakan negara membangun mula melihat BRICS sebagai alternatif kepada pelbagai badan global yang dikuasai oleh AS. Mereka menganggap alternatif ini dapat membuka kunci manfaat termasuk kewangan, pembangunan dan peningkatan perdagangan serta pelaburan [www.reuters.com, 22/8/23]. Terkini, China dan Rusia  berhasrat untuk menggerakkan BRICS ke arah matlamat yang lebih besar – “de-dollarization” – yang juga menjadi titik fokus usaha mereka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang AS yang selama ini mendominasi perdagangan dunia sejak Perang Dunia II.

            Tanpa ramai yang menyedari, Beijing dan Moscow pada ketika ini sudah pun menjalankan kebanyakan daripada perdagangan mereka dengan menggunakan mata wang tempatan, terutamanya Yuan China. Rusia pula telah mencadangkan agar BRICS mempunyai matawang sendiri yang berkemungkinan disokong oleh emas. Matawang ini akan digunakan sebagai medium pertukaran antarabangsa antara ahli-ahli BRICS dan bukannya dolar AS. Usaha ke arah ‘de-dollarization’ kini menjadi keutamaan terbaru bagi Rusia dan China yang mula merasakan sekatan dari Barat yang semakin mencengkam. Hakikatnya de-dolarisasi amat penting untuk negara-negara yang sedang menghadapi sekatan ekonomi dari Amerika.

            Menyedari bahawa kebanyakan negara dunia terpaksa bergantung kepada urusniaga melibatkan dolar AS, pendekatan de-dolarisasi itu sebenarnya bukanlah mengenai menghapuskan penguasaan dolar AS, ia sebenarnya lebih banyak mengenai mencipta kaedah persaingan di dalam urusniaga dan memperboleh perdagangan antara negara anggota BRICS tanpa perlu menggunakan dolar. Tambahan pula ekonomi BRICS kini sudah pun mencapai 26 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global dan merangkumi 16 peratus daripada perdagangan dunia.

            Justeru, ada pakar ekonomi berpandangan bahawa penggabungan Malaysia dalam BRICS dapat menggalakkan penyusunan ekonomi global yang lebih seimbang dan saksama ke rantau ini. Selain itu, inisiatif BRICS seperti Bank Pembangunan Baru (NDB), yang mempunyai bidang kuasa untuk menguruskan dana sebanyak AS$100 bilion (RM450 bilion) dilihat boleh menawarkan sumber pembiayaan alternatif untuk projek infrastruktur dan pembangunan untuk memberi manfaat dengan ketara kepada cita-cita pertumbuhan Malaysia.

            Dari segi ekonomi, Malaysia dilihat berpeluang meraih manfaat yang besar melalui keahlian di dalam BRICS. Ini adalah kerana, blok ekonomi ini memberi penekanan untuk memupuk kerjasama ekonomi dan integrasi perdagangan sejajar dengan ekonomi berorientasikan eksport Malaysia. Peluang pasaran yang lebih cerah melalui  BRICS boleh membuka jalan baharu untuk barangan dan perkhidmatan Malaysia, memacu kepelbagaian dan pertumbuhan ekonomi. Pada tahun 2022, perdagangan Malaysia dengan negara-negara anggota BRICS berjumlah kira-kira AS$95 bilion (RM427.5 bilion), dengan China menjadi rakan dagang terbesarnya, menyumbang sekitar AS$77 bilion (kira-kira RM346.5 bilion) daripada jumlah ini. [www.malaymail.com, 15/7/2024].

BRICS Dalam Perspektif Islam

            Melihat kepada fakta dan maklumat tentang BRICS, jelas ia merupakan sebuah blok yang ditubuhkan untuk menyaingi hegemoni Barat yang diketuai oleh AS. Dari perspektif dunia sekular hari ini di mana politik global didominasi oleh konsep negara bangsa, setiap negara, secara tabii, akan memikirkan manfaat yang dapat diperolehi dengan menyertai BRICS, atau apa sahaja blok ekonomi yang wujud hari ini. Meskipun dengan penggabungan ini Malaysia boleh meraih pelbagai manfaat ekonomi seperti peningkatan investasi, akses kepada pelbagai teknologi, kerjasama infrastruktur dan pelbagai keuntungan yang lain dari anggota BRICS. Namun, Malaysia juga berisiko menghadapi pelbagai reaksi negatif Barat dalam konteks geopolitik, peluang ekonomi, dan dinamika diplomatik. Perbincangan perspektif ini memerlukan platform yang khusus.

            Apa yang akan dibincangkan secara ringkas adalah beberapa aspek yang dapat diperhatikan, apapun keputusan yang dipilih oleh Malaysia, samada menyertai BRICS atau tidak. Pertama, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara bangsa berideologi kapitalisme, keputusan yang dibuat bukanlah diasaskan kepada Islam namun hanya diasaskan kepada manfaat. Kedua, dalam konteks manfaat yang boleh diperolehi, apakah tindakan Malaysia untuk bersama dengan BRICS membawa keuntungan kepada kaum Muslimin dan umat Islam sejagat? Ketiga, sekiranya keputusan Malaysia untuk menyertai BRICS tidak diasaskan kepada Islam, apakah perspektif Islam dalam perkara ini?

            Bagi aspek pertama, PMX telah dengan jelas memberikan justifikasi mengapa Malaysia berhasrat untuk menyertai BRICS. Beliau menyatakan bahawa ‘hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS bukan untuk mencampuri urusan domestik atau politik negara terbabit, sebaliknya, beliau berkata Malaysia lebih menekankan keutamaan kepada aspek perdagangan, ekonomi serta perluasan jaringan yang dapat memberikan manfaat kepada negara dan rakyat terutamanya pedagang, peniaga dan pelabur. Benar, penekanan ke atas aspek ekonomi bukanlah suatu yang bertentangan dengan Islam, namun fokus ini haruslah diperhalusi terlebih dahulu. Menyertai BRICS (seperti juga menyertai mana-mana blok ekonomi dunia) merupakan salah satu bentuk perjanjian antarabangsa dan di dalam Islam, realiti dan hukum perjanjian seperti ini wajib diteliti.  Di sinilah, sekiranya kita perhalusi bentuk perjanjian yang akan ditandatangani, Malaysia hakikatnya tidak mengambil kira hukum Islam dan kepentingan umat Islam dalam keputusannya.

            Kedua, adakah penyertaan Malaysia ini akan membawa manfaat kepada kaum Muslimin sejagat? Pemikiran yang sederhana sudah memadai untuk menentukan samada penyertaan ini membawa manfaat atau tidak kepada umat Islam sejagat. Sertailah walau seribu blok ekonomi dunia, umat Islam di Gaza masih gagal dipertahankan dan musuh-musuh Allah terus bermaharajalela. Ini kerana menyertai blok-blok ekonomi bukanlah penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi oleh umat Islam sekarang. Ya, mungkin segelintir kaum Muslimin di Malaysia memperoleh sedikit keuntungan material, namun nasib umat Islam sejagat tetap tidak terpelihara! Inilah kesan dari konsep negara bangsa ke atas umat Islam – setiap negara, apabila membuat suatu keputusan, samada keputusan ekonomi atau lainnya, hanya bertujuan untuk membela nasib mereka sendiri tanpa memperdulikan kepentingan kaum Muslimin sejagat.

            Ketiga, apakah perspektif Islam terhadap perjanjian-perjanjian antarabangsa? Perlu ditekankan di sini, apabila kita membincangkan hukum Islam berkaitan perjanjian antarabangsa, konteks perbincangan adalah di dalam ruang lingkup perjanjian antara sebuah negara Islam (Daulah Khilafah) yang menerapkan hukum Islam secara kaffah dengan negara-negara lain di dunia. Di dalam situasi hari ini, di mana seluruh dunia Islam terbahagi kepada lebih 50 buah negara bangsa, yang menjadi permasalahan utama adalah usaha untuk mengembalikan dan menegakkan semula Daulah Khilafah melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh junjungan besar kita Rasulullah SAW. Sautun Nahdhah keluaran lepas telah banyak membincangkan aspek ini, namun di dalam konteks perbincangan mengenai BRICS, memahami hukum Islam berkaitan perjanjian antarabangsa adalah amat penting kerana hukum ini merupakan tuntunan asas bagaimana negara Islam menangani perkara ini. Dan asas inilah yang menjadi rujukan bagi kita untuk mengetahui samada perjanjian-perjanjian yang berlaku hari ini adalah selaras atau tidak dengan Islam.

Perjanjian Antarabangsa Dalam Islam dan BRICS

            Keabsahan perjanjian antarabangsa yang dilakukan oleh sebuah negara Islam bergantung kepada beberapa syarat, antaranya:

1) Perjanjian tidak boleh dilakukan dengan negara muharabah fi’lan (negara yang sedang berperang dengan Islam)

2) Perjanjian hendaklah dibuat mengikut kepentingan penyebaran Islam – dakwah dan jihad

3) Perjanjian harus ada batasan waktu

            Bagi sebuah negara yang tidak termasuk dalam kategori negara muharabah fi’lan, maka diperbolehkan bagi negara Islam untuk melakukan kerjasama/perjanjian yang melibatkan pendidikan, teknologi, diplomatik dan ekonomi dengan negara tersebut. Walaupun ia dibenarkan untuk melakukan kerjasama di dalam semua bidang itu secara umum, namun ada batasan yang perlu dipatuhi. Contohnya, sekiranya perdagangan jual-beli melibatkan barang yang hukumnya haram, seperti babi dan khamar, maka ini tidak diperbolehkan. Diharamkan juga sebarang kerjasama/perjanjian yang melibatkan transaksi riba. Termasuk perjanjian yang dilarang adalah perjanjian yang melibatkan pinjaman atau hutang dari negara lain. Ini adalah kerana pinjaman boleh dijadikan wasilah oleh negara-negara besar untuk menguasai negara Islam. Neo-imperialisme hari ini bertumpu kepada pelbagai pinjaman, bantuan ekonomi (hutang) dan berbagai bentuk transaksi yang akhirnya akan menjadikan suatu negara berada di bawah penguasaan dan hegemoni pihak yang memberikan pinjaman atau bantuan pembiayaan.

            Dalam konteks keanggotaan Malaysia di dalam BRICS, beberapa perkara perlu di telusuri. Pertama, penyertaan Malaysia akan menyebabkan negara terikat kepada dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh blok yang sudah tentunya akan menyebelahi negara peneraju, iaitu Rusia dan China. Ini bakal mengundang Malaysia untuk terlibat dengan pembiayaan Bank Pembangunan Baru yang akan kemudiannya menjerat Malaysia dengan siri pinjaman dari Bank tersebut dan seterusnya terpaksa tunduk dengan kemahuan negara peneraju blok. Melihat situasi hari ini, begitu banyak projek dan perjanjian perdagangan telah ditandatangani antara Malaysia dan China dan dengan penyertaan Malaysia ke dalam BRICS, ini sudah tentu akan ‘memuktamadkan’ penguasaan China ke atas Malaysia dari perspektif ekonomi dan di dalam konteks geopolitik.

            Kedua, apakah sebenarnya status China dan Rusia – muharabah fi’lan atau tidak? Umum mengetahui tentang kezaliman yang pernah Rusia lakukan ke atas umat Islam di Chechnya pada tahun 1994-2000. Rusia telah menghancurkan Grozny ibu negara Chechnya dan dianggarkan 20,000 ke 30,000 umat Islam di Chechnya telah terkorban. Manakala China, kezaliman dan penindasan yang ia lakukan ke atas umat Islam berbangsa Uyghur di wilayah Xinjiang tidak perlu dijelaskan lagi. Menurut laporan hak asasi manusia, lebih satu juta umat Islam ditahan di kem-kem tahanan yang lokasinya dirahsiakan.

            Ketiga, adakah penyertaan Malaysia, sebagai sebuah negara kaum Muslimin, bertujuan untuk meyebarkan Islam melalui dakwah dan jihad? Hakikatnya, perjanjian ekonomi dan perdagangan bersama negara-negara kufur dan peraturan yang bertolak belakang dengan Islam bukanlah jalan penyebaran Islam! Keempat, keanggotaan Malaysia di dalam BRICS tidak memiliki batas waktu dan ini bertentangan dengan syarat keabsahan perjanjian di dalam Islam.

Kesimpulan

            Selagi mana umat Islam tidak bersatu di bawah satu pemerintahan Islam (Khilafah Islam), selagi itulah negara-negara umat Islam akan dijerat dan diperangkap untuk masuk ke dalam pelbagai blok dan pakatan dunia. Kesemua blok dan pakatan ini mempunyai objektif yang tidak akan pernah memberi kemenangan dan kebaikan kepada Islam. Ia bahkan akan menjadikan negara-negara umat Islam mudah dipermainkan dan dipercaturkan mengikut kehendak negara dominan di dalam blok dan pakatan yang disertai. Tidak kiralah, BRICS mahupun pakatan Barat, selama mana dunia Islam masih berpecah belah, hukum hakam Islam akan terus diketepikan dan masalah kritikal umat Islam akan terus dilalaikan.