Muslimah Ideal: Menemukan Diri, Mendekati Ilahi

Sebagai seorang Muslimah, mengenali jati diri sebagai muslim yang ideal bukan sekadar pilihan, tetapi suatu keperluan yang sangat penting. Dunia hari ini sering memperlihatkan pelbagai corak kehidupan yang kadang kala menyesatkan dan menjauhkan kita dari hakikat tujuan hidup sebenar. Tanpa mengenali siapa diri kita, kita mudah terpengaruh dengan budaya dan nilai yang bertentangan dengan ajaran Islam, lalu tersasar daripada landasan yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan Sunnah.

Mengenali jati diri adalah asas kepada pembentukan peribadi Muslim. Ini kerana, Allah SWT menuntut kita sebagai hamba-Nya untuk melihat dan berfikir tentang tanda-tanda kebesaran-Nya yang terdapat dalam diri kita. Firman Allah dalam Surah al-Zariyat, ayat 21:

“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”

Menurut Imam al-Thabari, ayat ini mengingatkan kita bahawa pada penciptaan diri manusia terdapat tanda-tanda keesaan dan kebesaran Allah SWT. Allah mengurniakan akal kepada kita untuk merenung kebijaksanaan dan keagungan ciptaan-Nya. Dengan memikirkan hakikat ini, kita akan sedar bahawa tiada Tuhan selain Allah dan tiada ciptaan yang menandingi kekuasaan-Nya.

Kesedaran ini amat penting dalam membantu Muslimah memahami peranan sebenar mereka sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Seorang Muslimah yang mengenali jati dirinya akan memahami bahawa kehidupannya bukan sekadar untuk memenuhi kehendak duniawi, tetapi lebih daripada itu, ia adalah perjalanan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Selain itu, akhlak Islam merupakan cerminan langsung kepada jati diri Muslimah. Melalui akhlak Islami, bukan sahaja kita diajar untuk menjaga hubungan dengan Allah, tetapi juga sesama manusia seperti keluarga, jiran, dan masyarakat. Seorang Muslimah yang mengenali jati dirinya akan menunjukkan akhlak yang indah, baik dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah ke sebesar-besar perkara. Bermula dari aspek penjagaan diri, menjaga amanah, mahupun memenuhi hak orang lain.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [HR Ahmad (8952)]

Akhlak yang baik adalah bukti keimanan pada Allah dan Rasul-Nya, serta merupakan refleksi keperibadian yang terarah.

Namun, pelbagai cabaran moden hari ini sering kali membawa Muslimah ke dalam ketidakseimbangan. Ada Muslimah yang giat beribadah tetapi alpa terhadap hubungan dengan jiran tetangga, atau sibuk dengan kehidupan sosial tetapi lalai terhadap hak keluarga. Ini menunjukkan kepentingan memahami Islam sebagai panduan menyeluruh, yang bukan hanya membentuk hubungan dengan Allah SWT, tetapi juga memperbaiki akhlak terhadap diri sendiri dan orang lain.

Sudah tentu, seorang Muslimah yang mengenali jati dirinya mampu menjadi inspirasi dalam masyarakat. Dia bukan sahaja mampu mengimbangi tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, dan masyarakat, tetapi juga mampu menjadi teladan yang baik, ibarat “cahaya“ dalam dunia yang sering dilingkari falsafah materialisme. Idea yang telah merasuk pemikiran kebanyakan para wanita hari ini, termasuklah muslimah, untuk melebihkan keperluan material dan duniawi berbanding nilai-nilai agama. Para sahabiyah dan muslimah terdahulu sudah membuktikan hal ini. Apabila mereka menerima Islam, keperibadian Islam menjadi karakter istimewa mereka. Dan dengan ajaran dan ilmu Islam pula, mereka mampu membenteng diri daripada pengaruh budaya-budaya kufur dan cabaran duniawi lainnya. Mereka menjadi standard teladan bagi wanita-wanita beriman sepanjang zaman.

Justeru, mengenali jati diri adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan. Ia bukan sahaja melahirkan individu yang bahagia dan seimbang, tetapi juga membentuk generasi yang berpegang teguh pada nilai Islam. Dengan mengenali jati diri juga, seorang Muslimah dapat menjalani hidup yang lebih bermakna dan terarah. Oleh itu, wahai Muslimah, carilah kenalilah jati diri kalian sebagai hamba Allah swt agar selamat perjalanan hidup di dunia menuju akhirat.

Aliya Ab Aziz

(Ketua Lajnah I’lamiyah MHTM)