SN676 – Peluasan SST: Produk Ekonomi Kapitalis Membebankan Rakyat
Bil: SN676 (PDF/Print) – 24 Muharram 1447 / 19 Julai 2024
Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Malaysia (PMX) bertujuan untuk menyasarkan golongan T20 dan golongan maha kaya. Inisiatif ini dianggap sebagai langkah proaktif kerajaan untuk memanfaatkan kekayaan golongan berada bagi kepentingan awam. Dalam kenyataannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa pembayaran gaji kakitangan awam adalah bergantung sepenuhnya kepada hasil kutipan cukai. Hal ini menggariskan peranan cukai sebagai sumber utama pendapatan negara di mana ia bukan sahaja digunakan untuk menampung perbelanjaan pengurusan seperti gaji penjawat awam, tetapi juga membiayai pelbagai program pembangunan, infrastruktur, kesihatan, pendidikan, dan kebajikan rakyat.
Menurut laporan Sinar Daily, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Malaysia dijangka memberi kesan terutamanya kepada golongan berpendapatan tinggi yang mampu berbelanja untuk barangan mewah. Ini menunjukkan bahawa sasaran utama peluasan cukai ini adalah individu yang memiliki barangan mewah dan mengamalkan gaya hidup mewah. Laporan daripada program “Beyond the Ballot Box” turut menyatakan bahawa peluasan tersebut merangkumi cukai ke atas barangan pilihan seperti jam tangan, kapal layar, dan karya seni antik, dengan kadar antara 5% hingga 10%. Sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2025, peluasan SST juga melibatkan pengenaan cukai tambahan ke atas enam sektor baharu yang mula dikuatkuasakan pada 1 Julai 2025, termasuk perkhidmatan seperti penyewaan dan penjagaan kesihatan, dengan kadar cukai antara 6% hingga 8%.
Tujuan dan Impak Ekonomi
Peluasan SST ke atas barangan mewah yang tidak dikategorikan sebagai keperluan asas merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia untuk memperluas asas cukai dan meningkatkan hasil negara, dengan anggapan bahawa langkah ini tidak membebankan golongan berpendapatan rendah. Melalui pendekatan ini, kerajaan dilihat berhasrat memastikan kesan cukai lebih tertumpu kepada golongan yang berkemampuan, manakala barangan keperluan asas kekal bebas cukai atau dikenakan pada kadar yang lebih rendah. Peluasan SST ini dianggap merupakan sebahagian daripada strategi fiskal yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan defisit fiskal, dengan sasaran mengurangkan defisit kepada 3.8% daripada KDNK menjelang tahun 2025 (aseanbriefing.com). Kerajaan berpandangan bahawa langkah ini dapat menyumbang kepada kestabilan fiskal dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Peluasan ini dilihat kerajaan sebagai usaha untuk mewujudkan asas cukai yang lebih adil dan menyeluruh tanpa memberikan tekanan berlebihan kepada golongan berpendapatan rendah. Perdana Menteri turut mengalu-alukan kritikan terhadap peluasan ini, asalkan ia berasaskan fakta. Namun begitu, persoalan sama ada langkah ini benar-benar tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah masih menjadi tanda tanya, dan kesannya masih belum dapat dipastikan. Sebaliknya, pihak pembangkang mengkritik pelaksanaan ini dengan hujah bahawa ia berpotensi menjejaskan ekonomi yang sedia tertekan tanpa menawarkan alternatif yang lebih baik. Mereka berpendapat bahawa kerajaan seharusnya mempertimbangkan reformasi cukai yang lebih menyeluruh dan pragmatik. Pembangkang turut mencadangkan agar pelaksanaan ini ditangguhkan sehingga keadaan ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan (theborneopost.com).
Meskipun kerajaan menegaskan bahawa peluasan SST merupakan langkah ke arah memastikan kemampanan pengurusan kewangan negara, kesannya tetap akan dirasai oleh rakyat melalui pembelian barangan dan perkhidmatan yang terlibat. Ini menunjukkan bahawa walaupun sasaran utama cukai adalah golongan berpendapatan tinggi, kesan rantaian ekonomi berpotensi menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan akibat cukai ini boleh menyumbang kepada tekanan inflasi, yang akhirnya membebankan rakyat secara umum, meskipun dinyatakan bahawa kesan terhadap inflasi dijangka adalah minimum (theedgemalaysia.com).
Apabila barangan dan perkhidmatan mewah dikenakan cukai yang lebih tinggi, golongan berpendapatan tinggi mungkin akan terus berbelanja seperti biasa tanpa mengubah corak perbelanjaan mereka. Namun, pembekal barangan dan perkhidmatan tersebut mungkin akan menaikkan harga untuk menampung cukai tambahan, yang akhirnya boleh memberi kesan limpahan kepada rantaian ekonomi — termasuk kepada rakyat biasa yang bergantung kepada perkhidmatan berkaitan atau berada dalam ekosistem yang sama. Situasi ini boleh menyebabkan peningkatan kos secara tidak langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.Fenomena ini sejajar dengan prinsip ekonomi yang menyatakan bahawa peningkatan kos kepada pengeluar atau pembekal lazimnya akan dipindahkan kepada pengguna akhir. Beberapa kajian menunjukkan bahawa hampir 60% daripada kenaikan kos ini akhirnya ditanggung oleh pengguna, termasuk golongan berpendapatan rendah, yang secara relatifnya lebih terkesan oleh perubahan kecil dalam harga keperluan harian.
Pandangan Islam terhadap Cukai
a) Hukum Mengutip Cukai
Dalam perspektif Islam, pengutipan cukai adalah haram menurut hukum syarak, kecuali dalam keadaan darurat yang diiktiraf oleh syariah. Pengharaman ini disandarkan kepada beberapa dalil nas dan ijtihad ulama yang menekankan bahawa sumber pendapatan negara tidak seharusnya membebankan rakyat, khususnya golongan miskin. Walaupun dalam sistem kapitalis terdapat cukai yang tidak dikenakan secara menyeluruh—seperti cukai pendapatan yang bersifat progresif—namun konsep percukaian secara umumnya tetap dilihat sebagai beban kepada masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Ini kerana cukai sering dikenakan secara berterusan tanpa mengambil kira beban kos sara hidup yang meningkat, sekaligus menjejaskan kesejahteraan rakyat.
b) Sumber Kekayaan Negara untuk Menampung Kos Operasi
Menurut prinsip ekonomi Islam, kos operasi dan perkhidmatan negara hendaklah dibiayai oleh sumber kekayaan negara yang sah berdasarkan syariah. Ini termasuk harta yang diperoleh melalui kepemilikan negara dan kepemilikan umum. Beberapa sumber yang diiktiraf dalam Islam termasuk pendapatan utama negara iaitu fai, ghanimah, kharaj, zakat, ushr dan jizyah dan pendapatan sekunder (perolehan tidak tetap) iaitu ghulul, khaffarat, luqathah, waqaf, wang tebusan, khums/rikaz, amwal fadhla, nawaib dan hadiah. Harta kepemilikan umum, seperti hasil dari sumber alam (minyak, gas, mineral) serta bahan-bahan galian lain, juga digunakan untuk mengurus dan mengembangkan kemudahan yang dimiliki bersama oleh masyarakat, seperti sistem pengangkutan, kesihatan, dan pendidikan.
c) Pengutipan Cukai dalam Daulah Islamiyyah
Dalam konteks Daulah Islamiyyah, pengutipan cukai hanya dibenarkan dalam keadaan darurat, apabila sumber pendapatan negara yang sah tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas rakyat dan operasi negara. Cukai ini yang disebut sebagai Dharibah. Dalam situasi ini, cukai yang dikenakan haruslah sementara, hanya dikenakan kepada golongan yang mampu, dan tidak boleh membebankan rakyat.
Tujuan utama pengutipan cukai dalam keadaan darurat adalah untuk memastikan kesinambungan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat secara keseluruhan. Cukai yang dikutip akan digunakan untuk menampung keperluan asas, seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan, dan kesihatan, terutama bagi golongan yang memerlukan. Ini mencerminkan prinsip keadilan dan kesejahteraan yang dipegang dalam sistem ekonomi Islam, kekayaan yang ada diagihkan dengan adil untuk memastikan semua rakyat dapat menjalani kehidupan yang sejahtera. Yang membezakan antara cukai dalam Islam adalah ia bersifat bersyarat dan tidak berterusan sementara cukai pada hari ini adalah bersifat tetap.
Dengan mengutamakan sumber pendapatan yang telah ditetapkan syariah dan hanya mengutip cukai dalam keadaan darurat, Daulah Islamiyyah berusaha menegakkan keadilan sosial dan ekonomi serta memastikan bahawa beban kewangan tidak diletakkan di bahu golongan yang tidak mampu.
Khatimah
Sistem kapitalis yang bergantung kepada cukai bagi menampung kos operasi negara sering kali mengabaikan potensi kekayaan alam yang sepatutnya dapat dimanfaatkan untuk kepentingan umum. Sumber kekayaan seperti minyak, gas, dan hasil bumi lainnya sering dimonopoli oleh golongan kapitalis melalui kebebasan pemilikan individu, sekaligus mengekalkan penguasaan kekayaan dalam kalangan elit tertentu. Akibatnya, pengurusan dan pengagihan kekayaan negara menjadi tidak seimbang serta gagal mencapai kesejahteraan kolektif.
Sebaliknya, dalam sistem Islam, pengurusan dan pengagihan kekayaan dilakukan secara telus dan adil, dengan matlamat untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Hanya dengan kembalinya Khilafah ‘ala minhaj al-nubuwwah dan pelaksanaan sistem ekonomi Islam yang menyeluruh, barulah pengagihan kekayaan secara saksama dapat direalisasikan. Sistem ini memastikan bahawa beban kewangan tidak ditanggung oleh rakyat bawahan dan mampu menyelesaikan masalah fiskal negara secara menyeluruh.
Sebagaimana firman Allah SWT:
“Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah adalah seperti sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai terdapat seratus biji.”
[TMQ Surah al-Baqarah: 261]
PEDULI PALESTIN
Kemuliaan Milik Gaza
Tindakan kejam rejim Zionis Israel menyerang penduduk Gaza yang sedang beratur bagi mendapatkan bantuan asas dan makanan sekali lagi mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa. Serangan tidak berperikemanusiaan yang berlaku secara berterusan ini telah meragut begitu banyak nyawa yang tidak berdosa.
Kekejaman yang dilakukan oleh entiti Zionis ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia dilihat selari dengan agenda tersirat yang digerakkan sejak Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat buat pertama kali beberapa tahun yang lepas. Kini, beliau secara terbuka menunjukkan minat untuk mendapatkan wilayah Gaza. Demi kepentingan geopolitik dan agenda imperialis, Amerika Syarikat dilihat menggunakan Israel sebagai alat untuk menekan serta menyingkirkan umat Islam dari bumi yang penuh keberkatan ini.
Namun begitu, rakyat Palestin, khususnya di Gaza, terus menunjukkan keteguhan yang luar biasa. Mereka tidak tunduk atau berundur. Sebaliknya, mereka berpegang teguh bahawa Gaza adalah tanah air yang wajib dipertahankan hingga ke titisan darah terakhir. Setiap titik darah yang tumpah itu memiliki kemuliaan yang tinggi di sisi Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Setitik darah seorang Muslim lebih mulia di sisi Allah daripada Kaabah.”
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini mengingatkan kita bahawa nyawa setiap Muslim adalah suci dan tidak seharusnya dipermainkan sewenang-wenangnya. Malangnya, darah umat Islam terus mengalir di bumi Gaza tanpa pembelaan sewajarnya. Dunia Islam hakikatnya tidak boleh terus berdiam diri. Penindasan yang berlarutan ini mencabul prinsip kemanusiaan serta mengguris maruah umat Islam secara kolektif.
Persoalannya kini: Di manakah letaknya kemuliaan kita sebagai umat yang digelar sebagai ‘umat yang terbaik’, sekiranya kita hanya mampu menonton, bersedih, dan berdoa tanpa disusuli tindakan konkrit yang membawa kepada perubahan hakiki? Apakah kita hanya rela menghantar bantuan demi bantuan, sedangkan anak-anak Gaza terus gugur sebagai syuhada? Adakah kita akan hanya tersedar apabila tiada lagi yang tinggal di Gaza untuk dibantu?
Penyelesaian menyeluruh terhadap krisis ini bukan sekadar terletak pada bantuan makanan dan perubatan semata-mata. Ia menuntut penyatuan umat Islam di bawah satu kepimpinan yang menyeluruh — institusi khilafah. Hanya dengan kewujudan seorang khalifah yang memimpin dan memayungi seluruh umat Islam, maruah umat dapat dikembalikan, dan nyawa Muslim tidak lagi dipandang murah di mata dunia.