Usaha dan doa bendung kes kehilangan anak
Atas dasar keimanan kepada Allah SWT, ibu bapa yang menghadapi masalah seumpamanya ini seharusnya berdoa kepada Allah dengan memohon agar anak-anak sentiasa dilindungi olehNya dan terpelihara daripada perlakuan buruk atau maksiat.
Memang benar Islam amat menggalakkan doa, apatah lagi doa orang tua ke atas anak-anaknya. Namun, doa sahaja tidak cukup untuk memberi jaminan secara menyeluruh akan terpeliharanya anak-anak daripada kejahatan atau terlibat dalam mana-mana perbuatan mungkar. Doa adalah satu ibadat yang dituntut oleh Islam, tetapi dalam masa yang sama seseorang itu tidak boleh meninggalkan hukum sababiyah (sebab-akibat) yakni berusaha (melakukan perbuatan yang boleh sampai kepada tujuan) dengan bersungguh-sungguh agar doa itu dimakbulkan.
Usaha yang berterusan dan sungguh-sungguh perlu dilakukan memandangkan realiti kehidupan saat ini yang sangat buruk yang boleh membawa pelbagai pengaruh negatif terhadap akhlak anak-anak. Kejahatan dan jenayah semakin meraja lela manakala media massa pula terus-menerus mempromosikan gaya hidup bebas dengan pelbagai bentuk hiburan dan keseronokan. Silibus pendidikan di sekolah dan universiti pula masih di takok lama yakni mensasarkan kejayaan pelajar dalam bidang akademik semata-mata sehingga mengabaikan kecemerlangan syakhsiyah mereka. Tekanan ekonomi khususnya warga kota tidak pernah surut menyebabkan seseorang ibu terpaksa bekerja sehingga terabainya tanggungjawab mendidik anak-anak dengan berkesan di rumah.
Semua faktor di atas sebenarnya adalah akibat daripada diterapkannya sistem sekular yang di dalam pemerintahan dan sistem Islam hanya termaktub di dalam kitab-kitab sahaja tanpa diamalkan. Halal haram tidak lagi dijadikan pertimbangan. Begitu juga dengan penerapan sistem ekonomi kapitalis yang hanya memberi manfaat kepada golongan atasan yang bermodal dan berkuasa sehingga menyebabkan tersepitnya golongan pertengahan dan bawah. Sistem kehidupan inilah yang wajib diubah kepada sistem kehidupan Islam yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah yang pasti akan menjamin kesejahteraan hidup di dunia juga di akhirat. Allah SWT berfirman yang bermaksud,
“Dan sesungguhnya telah Kami datangkan sebuah Kitab (Al Quran) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas ilmu Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” [TMQ al-A’raf (7):53].
Oleh itu, di samping doa kepada Allah SWT, berikhtiar atau berusaha untuk menolak dan membuang segala jenis sistem kehidupan selain Islam wajib dilakukan oleh setiap orang yang beriman termasuk ibu bapa yang ingin membendung kejadian atau kelakuan buruk anak-anak pada hari ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” [TMQ ar-Ra’du (13):11].
Dan ingatlah ganjaran yang dijanjikan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud,
“Dan Dia memperkenankan (doa) orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh dan menambah (pahala) kepada mereka dari kurnia-Nya” [TMQ asy-Syura (42):26].
Berita terkait : Berita Harian 4/4/2012