SN385 – MENERAPKAN SYARIAH HENDAKLAH DENGAN JALAN YANG SYAR’IYYAH

 
SN keluaran 9 Mei 2014


MENERAPKAN SYARIAH HENDAKLAH DENGAN JALAN YANG SYAR’IYYAH


[SN385]
Isu hudud berputar lagi tetapi kali ini terdapat sedikit kelainan kerana selama ini ia diputarkan oleh pemerintah untuk memecah-belahkan pakatan pembangkang dan mereka (pemerintah) tetap berpendirian untuk tidak melaksanakannya. Kali ini, sedikit angin perubahan dilihat melanda parti pemerintah di mana mereka mula menunjukkan reaksi yang positif kepada pelaksanaannya. Isu hudud timbul kali ini apabila kerajaan Kelantan menyuarakan hasrat dan berusaha untuk membentangkan undang-undang Islam itu ke Parlimen untuk mendapat kelulusan badan perundangan tertinggi Malaysia itu.UMNO dilaporkan bersetuju dengan PAS untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal bagi membincangkan tentang pelaksanaan hukum tersebut. UMNO juga dilaporkan telah menggerakkan usaha di kalangan ahli-ahlinya untuk memberi penerangan tentang hudud. Manakala PAS pula sedang berhadapan dengan tentangan daripada rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat, khususnya daripada DAP yang menentangnya sejak dulu. Dalam masa yang sama, usaha sedang giat dijalankan oleh gerakan Islam itu bagi mendapatkan sokongan seramai mungkin ahli Parlimen agar pembentangan usul hudud untuk dilaksanakan di Kelantan mendapat kelulusan majoriti ahli Parlimen.

Hudud DiTundukkan Kepada Demokrasi!

Mekanisme pengambilan keputusan yang ada dalam sistem demokrasi (melalui Parlimen) adalah mengundi. Demokrasi mengajar penganutnya bahawa keputusan apa pun yang akan dibuat, ia hendaklah didasarkan kepada kaedah suara majoriti. Persoalannya, apakah mekanisme seperti ini dibenarkan oleh syarak? Memang benar, dalam perkara-perkara tertentu, Islam membenarkan suara majoriti, yakni dalam hal-hal yang berkaitan dengan masalah uslub (teknik) yang bersifat mubah (harus). Dalam perang Uhud sebagai contoh, Rasulullah SAW pernah mengambil suara majoriti untuk menetapkan apakah kaum Muslimin bertahan di dalam kota atau di luar kota Madinah. Majoriti sahabat menetapkan agar kaum Muslimin menyusuri musuh di luar kota. Rasulullah SAW mengambil pendapat majoriti ini walaupun baginda sendiri condong untuk memilih bertahan di dalam kota Madinah. Dalam perkara-perkara seperti ini, suara majoriti boleh diambil kerana ia hanyalah persoalan uslub yang bersifat mubah, bukan persoalan yang melibatkan hukum.

Namun dalam perkara-perkara yang melibatkan hukum syarak, mengundi atau mengambil suara majoriti adalah diharamkan. Hukum syarak atas sesuatu perbuatan tidak boleh ditetapkan berdasarkan suara terbanyak. Hukum syarak adalah untuk dilaksanakan secara langsung kerana hukumnya telah ada dan manusia tidak ada hak untuk menetapkannya. Manusia hanya berhak mengistinbat(menggali) dan melakukan ijtihad sebelum melaksanakannya, tetapi bukan mengundi untuk melaksanakannya. Contohnya, kewajipan solat lima waktu telah ditetapkan berdasarkan dalil-dalil yang qath’ie. Solat lima waktu wajib dilaksanakan tanpa perlu menunggu (dan haram untuk menunggu) kelulusan majoriti terlebih dahulu. Walaupun majoriti manusia tidak bersetuju bahkan kalau majoriti manusia bersetujusekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan tanpa tertakluk kepada “hukum majoriti” tersebut.

Hak yang ada pada manusia hanyalah untuk mengistinbat dan berijtihad dalam pelaksanaan solat, tetapi bukannya mengundi untuk membolehkannya dilaksanakan. Inilah yang dilakukan oleh para imam mazhab dan mujtahidin di mana mereka mengistinbat dan berijtihad(dan berlakunya perbezaan pendapat) dalam memahami nas tentang hukum-hukum tertentu, namun mereka sama sekali tidak pernah mengundi atau mengajar murid-murid mereka atau menerangkan kepada manusia bahawa sesuatu hukum syarak itu boleh dan perlu diundi sebelum dilaksanakan!Tidak ada bezanya sama ada hukum syarak itu mengenai solat mahupun mencuri, kerana kedua-duanya adalah hukum Allah yang wajib diterapkan. Syariat Islam merupakan hukum Allah yang wajib diterapkan oleh manusia dan tidak tertakluk kepada persetujuan atau undi dari manusia!!!

Sistem demokrasi mengajar dan “mewajibkan” manusia untuk melakukan pengundian sebelum sesuatu undang-undang itu boleh dilaksanakan dan di bawah sistem kufur ini, hukum Allah juga tidak terkecuali daripada pengundian! Tidak akan ada undang-undang yang boleh dilaksanakan kecuali setelah diundi dan diluluskan oleh majoriti pembuat undang-undang (ahli Parlimen atau DUN). Begitu jugalah dengan hukum Allah SWT yang juga tertakluk kepada undi dan kelulusan majoriti sebelum dapat dilaksanakan! Inilah demokrasi dan inilah apa yang cuba dilakukan dengan hudud sekarang. Manusia telah mengambil hak Allah sebagai As-Syari’ (Pembuat hukum) dan akan mengundi untuk menerapkannya!

Mengundi hukum Allahsesungguhnya merupakan satu kelancangan terhadap hukumNya. Dengan mengundi hukum Allah, sesungguhnya seseorang itu telah menundukkan hukum Allah kepada demokrasi!Hukum Allah itu seolah-olah berada di bawah dan demokrasi berada di atasnya sehingga hukum Allah tidak boleh melepasi demokrasi kecuali dibenarkan oleh demokrasi! Alangkah tingginya demokrasi sehingga untuk melaksanakan hukum Allah pun, ia hendaklah melalui (dan tunduk kepada) proses demokrasi!!!Sungguh, betapa kufurnya sistem ini! Bagaimana mungkin orang yang memperjuangkan Islam tidak sedar dan tidak mahu sedar akan hal ini dan masih bergelumang dan mentaati sistem kufur ini, yang menjadikan kuasa manusia lebih tinggi daripada kuasa Allah SWT??? Sabda Rasulullah SAW,

“Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam” [HR Baihaqi].

Inilah antara sihir demokrasi sehingga Muslim yang ikhlas yang inginkan Islam sekalipun akan tunduk kepada demokrasi! Dengan mengambil demokrasi, secara sedar atau tidak, Muslim yang ikhlas yang ingin memartabatkan dan meninggikan Islam, sebenarnya telah meletakkan demokrasi itu lebih tinggi daripada Islam! Apa yang menyedihkan ialah sebahagian mereka mengatakan tidak dapat keluar darinya dan sebahagian lain tidak mahu keluar daripadanya. Banyak gerakan Islam terus berpaku dengan sistem batil ini dan berusaha bermati-matian memenangkan suara di Parlimen agar penerapan syariah dapat diluluskan. Walhal sungguh teramat jelas bagi setiap insan yang memiliki mata hati, bahawa mekanisme pengambilan keputusan yang ada di Parlimen  (yang bersandar kepada suara majoriti) adalah mekanisme batil yang bertentangan dengan syarak. Prinsip ini (suara majoriti) tidak boleh (haram) dilakukan atau dijadikan syarat untuk menerapkan syariat Islam. Muslim mana pun yang mengiyakan dan mengikuti mekanisme ini untuk memutuskan sesuatu perkara, sesungguhnya ia telah mengakui dan meredhai sebuah mekanisme yang haram.

Menerapkan Hudud Tanpa Negara Islam?

Persoalan hudud yang merupakan hukum Allah adalah persoalan yang wajib diketahui oleh setiap Muslim kerana ia termasuk perkara ma’lum min ad-deen bi dharurah (tidak ada alasan/hujah untuk tidak mengetahuinya). Begitu juga dengan kewajipan untuk menerapkannya. Namun, setiap Muslim juga wajib mengetahui bahawa hudud hanyalah sebahagian daripada hukum Allah yang termasuk dalam kategori uqubat(hukuman/punishment). Hudud ialah uqubat atas kemaksiatan yang telah ditetapkan had/kadarnya oleh syarak dan terdapat hak Allah di dalamnya. Terdapat 7 kesalahan hudud iaitu zina, liwat, qazaf, minum arak, mencuri, murtad, hirabah (termasuk di dalamnyabughat dan qutha’uthariq). Selain hudud, kategori uqubat yang lain adalah qisas/jinayat, takzir dan mukhalafat.

Berdasarkan nas-nas yang jelas, hudud dan lain-lain hukum Islam itu wajib dilaksanakan bukan sahaja ke atas Muslim, tetapi juga non-Muslim (kafir zimmi) yang tinggal di dalam Daulah Islam. Nas hanya mengecualikan non-Muslim dalam beberapa perkara tertentu sahaja seperti masalah akidah, ibadat, perkahwinan dan makan-minum mereka. Walaupun ada pengecualian, namun mereka tetap tidak boleh melakukan hal-hal tersebut sesuka hati mereka kerana terdapat nas lain yang melarang mereka berbuat demikian. Contohnya, mereka tidak boleh menjual atau meminum arak secara terang-terangan di khalayak ramai, mereka tidak boleh membangun rumah ibadat mereka dengan menzahirkannya di tengah-tengah masyarakat dan lain-lain lagi.

Setiap Muslim perlu memahami bahawa uqubat hanyalah sebahagian kecil daripada hukum Islam. Islam adalah deen yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW untuk mengatur hubungan di antara manusia dengan Penciptanya, dengan dirinya sendiri dan dengan manusia yang lain. Hubungan manusia dengan Penciptanya (Allah) meliputi hukum-hukum akidah dan ibadat. Hubungan manusia dengan dirinya sendiri meliputi hukum-hukum akhlak, makanan dan pakaian. Manakala hubungan manusia dengan manusia yang lain meliputi hukum-hukummuamalah (sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, polisi pendidikan, polisi luar negeri) dan uqubat (qisas, hudud, takzir dan mukhalafat). Inilah hukum-hukum Islam dan wajib ke atas kaum Muslimin mengamalkan segala hukum Islam yang sempurna ini, bukannya sebahagian-sebahagian. Mengambil atau mengamalkan sebahagian daripada Islam hanya akan mengundang kehinaan dan murka daripada Allah SWT. FirmanNya,

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian (isi) kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain? Maka, tidak ada balasan bagi orang yang melakukan hal itu, selain kehinaan dalam kehidupan di dunia, serta pada hari Kiamat nanti akan dikembalikan kepada azab yang sangat pedih” [TMQ al-Baqarah (2):85].

Selain mengundang murka Allah, dengan pelaksanaan Islam yang sekerat-sekerat, sesungguhnya keindahan Islam itu sendiri tidak akan dapat dilihat dan dirasa, apatah lagi oleh non-Muslim yang tidak memahami Islam. Sebagai contoh, sistem ekonomi Islam mengajar bahawa negara wajib memenuhi keperluan asas rakyat berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal, bagi yang tidak mampu; negara juga wajib menyediakan air dan api (tenaga/elektrik) secara percuma kepada rakyat; segala hasil sumber alam (minyak, gas asli, emas dan lain-lain) adalah milik umat dan wajib diagihkan kepada umat secara saksama oleh negara;pendidikan, kesihatan dan keamanan wajib dinikmati oleh setiap warganegara secara percuma; sistem perbankan ribawi yang menindas tidak boleh ada dalam negara, begitu juga dengan perjudian, saham, insurans dan lain-lain keharaman, semuanya tidak boleh ada; pergaulan bebas, kelab-kelab malam dan disko, konsert-konsert dan semua perkara yang boleh merosakkan masyarakat adalah dilarang sama sekali. Kesemua ini wajib diterapkan secara serentak oleh negara. Setelah segala hak rakyat diberikan, segala ruang kebaikan disediakan dan segala ruang kejahatan dan kemaksiatan ditutup rapat, namun jika terdapat juga orang yang melakukan kesalahan dan kemaksiatan, maka barulah uqubat akan mengambil tempatnya. Di sinilah aspek keadilan dan keindahan Islam itu akan terserlah dengan sendirinya tatkala ia diterapkan secara menyeluruh. Inilah yang perlu difahami dan difahamkan kepada setiap manusia, bukan hanya aspek hudud sahaja yang ditonjolkan!

Akhir sekali dan sama pentingnya, perlu difahami bahawa di antara kesempurnaan hukum-hakam Islam itu juga adalah kewajipan akan adanya sebuah Negara Islam. Penerapan Islam tidak akan sempurna tanpa adanya Khilafah Islamiyyah, satu-satunya Negara Islam yang wajib ke atas kita semua. Bagaimana mungkin menerapkan Islam tanpa Negara Islam? Ini kerana,negaralah yang akan menerapkan Islam, menjaganya dan menyebarluaskannya. Penerapan Islam dalam negara/sistem demokrasi bukan sahaja bertentangan dengan syarak, malah menimbulkan pelbagai masalah lainnya. Apatah lagi sistem demokrasi di Malaysia yang berbentuk federalisme di mana peruntukan tentang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, namun tetap tertakluk kepada kuasa Pusat dan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, mengusahakan pelaksanaan hudud hanya di negeri Kelantan bermaksud mengabaikan kewajipan hudud secara menyeluruh. Ini kerana hudud itu wajib diterapkan bukan di Kelantan sahaja, malah di seluruh negara dan malah di seluruh dunia. Bagaimana mungkin kerajaan negeri dan kerajaan Pusat boleh bersetuju dan berusaha untuk melaksanakan hukum Allah di Kelantan sahaja? Adakah hudud itu hanya wajib di Kelantan dan untuk rakyat Kelantan sahaja? Sedangkan Allah SWT memerintahkan,

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu” [TMQ al-Baqarah (2):208].

Mungkin ada yangberpendapat bahawa kita buat setakat mana mampu atau buat sedikit-sedikit itu lebih baik buat daripada tidak buat langsung atau melakukan sesuatu itu lebih baik daripada hanya tahu mengkritik dan sebagainya. Perlu difahami di sini bahawa kita bukanlah tidak menyokong usaha-usaha untuk menerapkan hukum Allah. Malah, haram bagi Muslim untuk tidak bersetuju dengannya atau menentangnya. Namun, persoalan di sini adalah mengenai “jalan” atau mekanisme yang diambil untuk menerapkan hukum Allah tersebut, adakah ia bertepatan atau bertentangan dengan Islam? Inilah isunya di sini.

Setiap Muslim mesti faham bahawa kita wajib berusaha menerapkan hukum Allah dan kita wajib berusaha untuk menerapkan kesemua hukumNya, bukan hanya hudud. Apa yang sama wajibnya dengan usaha penerapan itu ialah “jalan”nya. Menerapkan hukum Allah hendaklah (wajib) dilakukan dengan jalan yang ditentukan oleh Allah jua, bukannya dengan jalan yang ditentukan oleh manusia, apatah lagi menjadikan jalan yang ditentukan oleh manusia (demokrasi) sebagai penentu kepada pelaksanaan hukum Allah. Di sinilah letak isu dan kesalahannya. Sesungguhnya melaksanakan hukum Allah itu tidak boleh (haram) dilakukan melalui jalan yang batil kerana dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara (al-ghayah la tubarriru al-wasithah).  Ringkasnya, pelaksanaan hukum-hukum Allah hendaklah melalui jalan yang juga ditetapkan oleh Allah dan wajib adanya sebuah Negara Islam (Khilafah) yang akan menerapkannya.

Khatimah

Wahai Ahli Parlimen! Wahai pembuat undang-undang! HizbutTahrir mengingatkan kalian bahawa kalian tidak ada hak untuk membahas dan mengundi hukum Allah di Parlimen. Apa yang kalian lakukan hanya akan mengundang murka Allah SWT. Bagaimana mungkin kalian ingin meluluskan hukum Allah dengan cara-cara yang ditetapkan oleh Lord Reid di dalam perlembagaannya? Bagaimana mungkin kalian menjadikan perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid itu lebih tinggi dari Kalamullah, Al-Quranul Kareem? Sesungguhnya penerapan syariah itu wajib dilakukan dengan jalan yang syar’iyyah dan bukan mengikut jalan selain itu, apatah lagi dengan jalan yang ditentukan oleh orang-orang kafir. Hukum-hukum Islam wajib diterapkan oleh negara/penguasa secara langsung yang lahir dan terpancar dari akidah Islamiyyah yang dimiliki oleh setiap Muslim (dan bukannyamelalui pengundian) dan ia wajib diterapkan secara menyeluruh dan sempurna. Inilah cara penerapan yang sahih dan diredhai oleh Allah SWT.

Wallahua’lam.