Luahan Hati Doktor Tertekan
Bayangkan kita terpaksa menerima hakikat dan memperjudikan nyawa pesakit-pesakit di hospital kerana mereka sedang dirawat oleh para doktor yang ditakrifkan sebagai ‘maha’ penat, tertekan dan mengantuk. Tidakkah ada pihak yang bertanggungjawab sedar akan masalah serius ini atau sekadar membutakan mata dan mempekakkan telinga? Isu kekurangan doktor bukanlah isu utama kerana sebagai seorang yang pernah terlibat secara langsung di dalam kajian ilmiah peringkat nasional dalam mengupas polemik ini suatu masa dahulu, saya amat maklum, bilangan doktor tidak berkurangan. Tetapi isu utama adalah penghijrahan beramai-ramai doktor ke sektor swasta akibat tekanan. Isu gaji juga bukanlah isu utama kerana kepenatan, kemerosotan tahap kesihatan doktor dan kualiti masa untuk keluarga lebih dominan dan meruntun hasrat ini.
Biarlah setinggi manapun elaun, gaji dan imbuhan para doktor dinaikkan masalah ini tidak akan selesai kerana persoalan kualiti servis masih menjadi isu. Mungkin para doktor senior telah berjaya lalui semua ini. Tetapi percayalah kepada hakikat bahawa zaman telah berubah, begitu juga konsep tekanan semasa yang sedang dilalui para doktor junior tidak sama seperti doktor senior dahulu kala. Idea mewujudkan syif seperti jururawat adalah pendekatan segera yang terbaik di dalam menangani permasalahan ini. Selaraskan sistem housemen di peringkat nasional kerana ketika ini prospek tugasan dan bebanan tugashousemen masih tertakluk kepada peringkat hospital.
DOKTOR TERTEKAN
Pulau Pinang
Sumber : Utusan Malaysia, 20/04/09
Yang Bekerja Tertekan Apatah Lagi, Yang Tidak Bekerja. Inilah Realiti Dunia Kapitalisme.
Inilah keluhan seorang doktor yang tertekan dengan kerjayanya. Ya, mungkin doktor tersebut bertujuan untuk meleraikan tekanan yang dihadapinya saat ini dan mungkin juga doktor ini ingin bertindak sebagai jurubicara rakan-rakannya yang lain yang juga mungkin saat ini tertekan dengan dunia kerja mereka. Dari surat ini, penulis nampaknya mengharapkan respon daripada pihak-pihak yang berkenaan. Apakah respon ini akan muncul atau tidak, hanya Allah yang tahu.
Inilah dunia kerjaya dalam kehidupan yang didominasi ideologi kapitalisme di mana yang bekerja merasa tertekan, apatah lagi yang tidak bekerja. Yang tidak mempunyai pekerjaan tertekan dengan kesempitan hidup yang mereka alami di mana mereka terpaksa meneruskan kehidupan ini dalam keadaan yang tidak menentu.
Tidak hairanlah jika tekanan kesempitan kehidupan di dalam dunia kapitalis hari ini menyaksikan banyak kes kejadian bunuh diri dan pembunuhan terhadap beberapa keluarga berlaku di Amerika Syarikat, terutama kini ketika Amerika Syarikat saat ini sedang bergelut dengan krisis ekonomi yang dahsyat. Kapitalisme memandang mereka yang tidak mempunyai pekerjaan ini sebagai satu bebanan yang tidak menguntungkan ekonomi negara. Sementara bagi yang bekerja di dalam dunia kapitalisme ini, pihak majikan akan memerah output semaksimum yang mungkin dari mereka bagi mengaut keuntungan yang paling maksimum. Inilah hakikat dunia kapitalis hari ini.
Mengapakah kita masih terus tegar dalam kehidupan yang langsung tidak dapat membawa kesejahteraan kepada kita? Yakinlah bahawa hanya kehidupan yang dilandasi dengan aqidah Islam sahaja akan mampu memberikan manusia kejayaan dan ketenangan di dunia dan kebahagian di akhirat. Kapitalisme tidak menjanjikan semua ini malah menambahkan lagi kesengsaraan manusia di dunia dan akhirat. Ingatlah firman Allah SWT:
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia”. [TMQ Ar Ra’d (13) :28].
Firman Allah SWT lagi:
“Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan”. [TMQ Quraisy (106) :4].
Keadaan seperti ini tidak akan terealisasi tanpa sistem Khilafah memayungi kehidupan umat manusia ini.
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”. [TMQ An Nuur (24) : 55].