Adakah Krisis Kewangan Akan Berakhir?

Soalan:

Sejak kebelakangan ini media barat telah membuat spekulasi bahawa krisis ekonomi yang parah itu telah berakhir dan itu dilihat melalui petanda semakin baiknya keadaan ekonomi beberapa negara-negara barat (first green shoots). Berita-berita dari media tersebut disokong oleh pendapat-pendapat dari pakar ekonomi dan pakar politik yang merujuk kepada wujudnya permintaan di pasaran modal di mana keuntungan perbankan dan kenaikan harga minyak dijadikan sebagai bukti bahawa ekonomi dunia akhirnya telah sampai ke titik noktah dan sedang menuju kepada pemulihan. Namun yang menjadi persoalannya adalah adakah dunia barat telah benar-benar menyaksikan kebangkitan ekonomi atau itu semua hanyalah merupakan rekaan media untuk menanamkan keyakinan kepada sistem kewangan dunia dan memperpanjangkan lagi krisis? Jika demikian, mengapakah terjadinya kenaikan harga minyak, keuntungan bank dan permintaan pasaran modal?

Jawapan:

Adalah menjadi suatu kesilapan jika ingin menentukan kesihatan ekonomi hanya dengan melihat pada penunjuk-penunjuk kewangan seperti kenaikan harga saham di pasaran modal atau kenaikan nilai pada komoditi sahaja. Jika dilihat secara teliti pada peringkat pengeluaran, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tahap pengangguran, nilai penjualan runcit, tahap perbelanjaan pengguna dan koperasi, jumlah kilang-kilang yang ditutup dan muflis seperti kilang terkenal antaranya General Motor Corporation (GMC), dan penunjuk-penunjuk ekonomi yang lainnya, maka tidak ada satu pun keadaan ekonomi di dunia ini yang menunjukkan keadaan yang positif. Berikut adalah fakta dari beberapa penunjuk-penunjuk yang dimaksudkan:

1.    Amerika

Ekonomi AS digembar-gemburkan telah wujud tanda-tanda peningkatan, sedangkan secara faktanya menunjukkan bahawa tahap pengangguran di AS meningkat sebanyak 8.9% dan ia merupakan kenaikan tertinggi dalam tempoh 26 tahun. Jumlah KDNK AS susut sebanyak 6.1% dalam suku pertama tahun ini, serta mengalami penurunan penjualan dengan nilai stok barang tertinggi semenjak Perang Dunia ke II iaitu sebanyak 103.7 bilion dolar, jika dibandingkan dengan 25.8 bilion dolar pada suku keempat pada tahun 2008. Berlaku penurunan nilai pelaburan sebesar 38% dalam setahun. Eksport barang dan perkhidmatan menurun sebanyak 30% dalam suku pertama tahun 2009, dibandingkan dengan penurunan sebanyak 23.6% pada suku keempat pada tahun 2008. Harta disita meningkat pada bulan Mac 2009 menjadi 341.180, ia meningkat sebanyak 17% pada bulan Februari 2009 dan 46% pada bulan Mac 2008. Di samping fakta tersebut, pemerintah AS malah menyuntik berbilion dolar untuk menyelamatkan bank-bank yang tenat dan meningkatkan pemberian kredit ke dalam ekonominya. Hal yang sama telah dilakukan dalam ekonomi negara-negara barat yang lain.

2.    Jerman

Di Jerman, tahap pengangguran adalah sebanyak 8.2 %, ia merupakan yang terburuk semenjak Perang Dunia ke II. Seandainya angka yang dilaporkan tersebut tidak ada kaitannya dengan kemunculan pilihanraya dan perubahan laporan dibuat oleh  pemerintah, maka peratusan pengangguran yang sebenarnya akan menjadi lebih tinggi lagi.

Pada 28 Mei 2008, Lembaga Sumber Manusia melaporkan bahawa dalam tempoh tujuh bulan berturut-turut berlakunya peningkatan pengangguran disebabkan wujudnya perubahan secara statistik dan penggunaan masa bekerja yang lebih pendek secara menyeluruh. Andreas Rees, seorang ahli ekonomi dari UniCredit menyatakan bahawa perubahan data pekerjaan secara statistik digunakan secara bertahap sehingga data pengangguran pada bulan Jun menjadi positif secara mendadak.
Rees mengatakan, ‘Tidak dapat diragukan lagi bahawa keputusan berkenaan kerja lebih masa akan dimasukkan ke dalam perancangan. Pertukaran tenaga kerja akan tetap melemahkan ekonomi Jerman untuk menuju jalan pembaikan’.

Selain itu, data baru dari Persatuan Kilang VDMA dan Pembuat Peralatan telah mengingatkan dengan bersungguh-sungguh bahawa industri Jerman masih menunjukkan kelemahan dalam permintaan dunia. Permintaan bagi rancangan pembangunan (kejuruteraan) Jerman mengalami penurunan pada bulan April sebanyak 58% pada tahun sebelumnya. Ini adalah penurunan terbesar semenjak awal sektor ini beroperasi. Pasaran luar negara menurun sebanyak 60%  iaitu dengan penurunan pendapatan sebanyak 52%. Pemerintah Jerman berharap ekonomi terbesar Eropah mendapat kontrak sebesar 6% tahun ini manakala beberapa pemerhati lebih kepada bersikap pesimistik.

3. Eropah
      
Penjualan runcit di Eropah mengalami penurunan paling mendadak pada bulan Mei 2009 seiring dengan meningkatnya jumlah pengangguran. Indeks Bloomberg menunjukkan bahawa para pelabur terpengaruh untuk tidak membelanjakan wang mereka. Nick Kounis, Ketua Ekonomi Eropah di Fortis Bank Netherland di Amsterdam berkata “Para pelabur masih dipengaruhi oleh berita buruk tentang pertukaran tenaga kerja, di mana pengangguran akan terus meningkat”. Tahap pengangguran di Eropah telah meningkat menjadi 8.9% pada bulan Mac, ia merupakan peratusan tertinggi dalam tempoh tiga tahun lebih. Tahap pengangguran tersebut akan meningkat menjadi 9.9% pada tahun hadapan dan 11.5% pada akhir tahun 2010, demikian jangkaan dari Kesatuan Eropah (EU). Menurut Kesatuan Eropah, ekonomi di negara-negara Eropah  akan mengalami penurunan sebanyak 4% pada tahun ini akibat penurunan eksport, pengeluaran  dan tenaga kerja.

4. Jepun

Kementerian Dalam Negeri Jepun di dalam laporannya menyebutkan bahawa tahap pengangguran di Jepun mencecah ke angka tertinggi dalam tempoh waktu 5 tahun iaitu sebanyak 5% pada bulan April. Di dalam laporan bulanannya, seramai 3.46 juta orang telah  menganggur, meningkat 25.8% pada April tahun lalu. Di Jepun hanya 46 kekosongan pekerjaan disediakan bagi setiap 100 orang pemohon, menjadikan nisbah pengangguran lebih parah sejak bulan Jun 2009. Pemerintah juga menerbitkan indeks Harga Pengguna Nasional (CPI) pada hari Jumaat, yang mana ia menunjukkan penurunan harga indeks sebanyak 0.1% pada bulan April berbanding dengan tahun lalu.

Indeks Harga Pengguna Nasional (CPI) tersebut tidak termasuk harga-harga untuk makanan segar yang telah jatuh harganya pada bulan Mac. Ini merupakan kali pertama di dalam tahun ini dan di pertengahan tahun, serta akan tetap berlaku penurunan di bulan April sebagai maklumbalas dari penurunan harga petroleum dan lemahnya permintaan di tengah-tengah kemerosotan ekonomi global. Begitu juga berlaku penurunan belanja seisi rumah pada bulan April sebanyak 1.3% menjadi 306.340 yen (3.175 dolar) dari bulan yang sama di tahun sebelumnya. Angka belanja seisi rumah tersebut menjadi kunci penunjuk dari penggunaan isi rumah yang meliputi lebih dari setengah KDNK Jepun (GDP). KDNK Jepun mengalami penurunan hampir mencapai 10%. Angka tertinggi untuk tempoh Januari sehingga Mac menunjukkan penurunan paling teruk dalam ekonomi Jepun semenjak 1947. Glenn Maguire, Ketua Ekonomi Asia mengatakan, ‘Secara umumnya apabila  penguncupan pertumbuhan mencapai kepada 10%, maka ia dikira telah masuk dalam kategori kemelesetan. Jepun sudah menghampiri situasi ini dengan penguncupan ekonomi sebesar 9.7% dalam tahun ini. Pada keadaan ini, bolehlah dikatakan bahawa aktiviti ekonomi Jepun telah terkena impak paling parah akibat krisis kewangan’.

5. Ekonomi Dunia

Barangkali penunjuk terbaik dalam melihat kebangkitan ekonomi adalah dengan melihat kesihatan ekonomi dunia. Menurut The New York Time, ekonomi negara-negara maju telah menunjukkan keadaan paling parah pada setiap suku dalam dekad ini. Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada 25 Mei 2009 telah menyatakan, “bahkan lebih banyak lagi tanda-tanda yang menunjukkan tahap penurunan. Hasil Negara Kasar (GDP) dari 30 negara dalam organisasi ini (OECD) talah jatuh sebanyak 2.1% dalam suku pertama jika dibandingkan dengan suku sebelumnya. Jika angka perkiraan ini digunakan, maka itu adalah angka penurunan terbesar semenjak tahun 1960 di mana sejak pertama kali organisasi ini mengumpulkan data tersebut. Hasil Negara Kasar dari negara-negara anggota OECD turun sebanyak 2% pada suku terakhir dalam tahun 2008. Menurut Bank Dunia, ekonomi negara-negara OECD ini menyumbang sebanyak 71% dari Hasil Negara Kasar dunia pada tahun 2007. Ekonomi mereka turun sebanyak 4.2% pada suku pertama dalam tahun sebelumnya. Negara AS telah menyumbang 0.9% dari penurunan tersebut. Manakala Jepun menyumbang sebanyak 1%, 13 negara zon ekonomi Eropah sebanyak 1.3%, dan negara anggota lainnya sebanyak 1%. Sementara negara China, yang bukan negara anggota OECD, adalah merupakan salah satu negara yang ekonominya terus meningkat dalam suku pertama. Peningkatan ini dapat diketahui dari segi nilai perdagangan saham pasaran modal serta beberapa barangan dan perkhidmatan yang dapat dikesan melalui tiga faktor di bawah ini :

Pertama : Pemerintah Amerika memberikan dana pinjaman kepada syarikat Insuran AIG sebanyak 173 bilion  dolar. AIG telah menggunakan dana lebih dari 90 bilion dolar wang para pembayar pajak untuk membayar hutang AIG (kerana kontrak Credit Default Swap, iaitu surat berharga dengan jaminan Insurans) kepada bank-bank di Amerika dan Eropah. Tanggal 15 Mac 2009, AIG menyampaikannya dalam tiga jenis transaksi secara berasingan, di mana Goldman menerima 12.9 bilion dolar, Merrill Lynch 6.8 bilion dolar, Bank of America 5.2 bilion dolar, Citigroup 2.3 bilion dolar dan  Wachovia 1.5 bilion dolar. Manakala bank-bank di Eropah, SocGen merupakan penerima terbesar iaitu sebanyak 11.9 bilion dolar, Deutsche mendapat 11.8 bilion dolar, Barclays 8.5 bilion dolar dan UBS Switzerland menerima 5 bilion dolar. Bagi menggambarkan betapa pentingnya pembayaran dari AIG ini, Ben S. Bernanke, iaitu Ketua Rizab Persekutuan mengatakan : “AIG telah menjadi penjamin yang tidak dapat dipertanggungjawabkan, kemudian jika jaminan dibahagikan secara salah maka kita akan berada dalam situasi di mana kesalahan dari AIG  akan membawa kepada kejatuhan sistem kewangan.”

Ketidakmampuan dalam memberikan wang kepada bank-bank secara langsung kerana bimbang akan reaksi yang tidak baik dari masyarakat, maka pihak Persekutuan telah menyalurkannya melalui AIG secepat mungkin untuk sampai ke bank-bank tersebut. Kebanyakan dari bank-bank tersebut telah membukukan keuntungan (Bank of America (BAC) sebanyak 4.2 bilion dolar, Citicorp 1.6 bilion dolar, Goldman Sachs 1.8 bilion dolar dan di Eropah, Barklays Bank mencatat keuntungan yang mengejutkan sebanyak 5.28 bilion dolar pada suku pertama 2009) dan pasaran modal menunjukkan peningkatan dalam nilai indeksnya.

Jadi peningkatan tersebut bukanlah disebabkan oleh keuntungan, bukan disebabkan oleh kegiatan ekonomi yang sebenar, akan tetapi ia disebabkan oleh hamburan wang yang tidak akan bertahan lama.

Kedua: Pemerintah Amerika pada awal tahun ini mengumumkan telah merancang program ujian tekanan (stress test) ke atas bank-bank di Amerika bertujuan meyakinkan para pelabur bahawa bank-bank Amerika masih sihat dan tidak terpengaruh terlalu parah. Program ujian tekanan (stress test) tersebut adalah hasil pemikiran Menteri Kewangan Amerika iaitu Timothy Geitner bertujuan untuk menampakkan aset-aset yang bermasalah dari bank-bank dan akan dihapuskan dari penimbang (balance sheet).

Tanggal 6 Mei 2009 pemerintah Amerika telah mengumumkan bahawa beberapa bank di Amerika seperti JP Morgan dan Goldman Sachs tidak memerlukan dana pinjaman dari pemerintah, sementara yang lainnya seperti Bank of America dan Morgan Stanley memerlukan sejumlah pinjaman dana. Secara keseluruhan, sepuluh daripada bank senarai teratas di Amerika memerlukan wang lebih kurang 75 bilion dolar, dan cukup untuk diberi pinjaman melalui dana TARP (Trouble Asset Revocery Program) di mana ia masih mempunyai baki 75 bilion dolar. Dengan demikian ini dapat mengurangkan permintaan keperluan tambahan dana pinjaman pemerintah Amerika kepada Kongres. Setelah itu, pasaran modal Amerika bertambah sihat dan nilai saham di bank-bank meningkat. Harga Saham Wells Fargo meningkat sebanyak 6.8%,  Morgan Stanley meningkat sebanyak 0.9%, Bank of America sebanyak 4% dan Citigroup sebanyak 7%. Meskipun tidak begitu berpengaruh di antara para pelabur, ujian tekanan tersebut mempunyai kecacatan yang merbahaya.

“Setidak-tidaknya ujian tekanan tersebut telah membazirkan waktu sahaja.” kata Mike Hollad. “Lebih parah lagi apabila tersilap langkah kerana menguji sesuatu yang salah. Tujuan daripada menggunakan pengangguran sebenarnya adalah untuk mengatakan bahawa adakah Citicorp tidak sekuat JP Morgan. Bagi saya ini sungguh menjijikkan dan oleh kerana itu saya lebih suka jika program ini dihentikan.”

“Memberi alasan dalam pendapat (sebagaimana yang lainnya) bahawa model perbankan telah mengalami kecacatan dalam beberapa tahun belakangan ini, itulah puncanya mengapa mereka berada di dalam kekacauan ini”, kata Yra Harris, seorang pedagang di Praxis Trading. Tanggal 4 Mei 2009, IMF menjangkakan bahawa institusi kewangan Amerika akan mengalami derita kerugian sebanyak 2.7 trilion dolar dari krisis kredi global, iaitu hampir dua kali ganda lebih besar dari yang diperhitungkan 6 bulan yang lalu.

Ketiga : Pada awal tahun ini, Bank Pusat Amerika (Rizab Persekutuan) dan Bank Pusat Britain (Bank of England) telah mengumumkan rancangan mencetak wang (quantitative easing) untuk membeli aset bank-bank yang bermasalah, bon-bon syarikat dan aset-aset kewangan bermasalah yang lain. Mereka akan menambahkan bekalan wang dan tidak dapat lari dari membawa kepada inflasi yang akan meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan. Bank of England telah sedar tentang tingginya inflasi ekonomi yang telah dialami hasil kemerosotan ekonomi semenjak 1930-an. Dalam pernyataannya, Bank of England menyatakan bahawa terdapat “tanda-tanda yang menjanjikan” kelajuan penurunan ekonomi sudah mulai perlahan. Tetapi mereka juga menyatakan terkejut dengan tingginya tahap inflasi yang tidak turun-turun iaitu sebanyak 2.9%,  melebihi dari nilai  2% yang mereka sasarkan.

Perkara ini menjelaskan mengapa harga komoditi tertentu naik mendadak (harga minyak telah naik melebihi dari 58 dolar setong dari harga terendah 36 dolar setong) lalu bagaimana perkara itu dijadikan hujah dan disalahertikan sebagai tanda-tanda ekonomi semakin baik. Harus diingat bahawa biasanya harga minyak naik disebabkan penurunan nilai dolar. Kenaikan tersebut bukan disebabkan oleh peningkatan permintaan terhadap minyak, tetapi disebabkan oleh sikap Amerika yang secara aktif memanipulasi harga minyak untuk melindungi penurunan nilai dolarnya.

Kita juga mengetahui bahawa kesan dari krisis kewangan dan ekonomi global dalam bidang pelaburan tenaga global yang dilakukan oleh IEA pada bulan Mei 2009 telah menunujukkan bahwa tahap penggunaan elektrik dunia menurun untuk pertama kalinya pada tahun 2009 berbanding semenjak Perang Dunia ke-II – ini suatu petanda yang sungguh nyata bahawa ekonomi dunia telah jauh menyimpang dari kebangkitan ekonomi yang sebenar.

Dengan hujah-hujah yang telah disebutkan di atas, usaha untuk membaiki ekonomi di dunia barat dilihat terlalu terburu-buru. Pemerintah dunia barat telah sedaya upaya untuk menahan keruntuhan ekonomi dengan mengambil tindakan menurunkan kadar bunga sehingga ke nilai terendah dan mencetak wang baru untuk menyelamatkan aset-aset bermasalah (quantitative easing). Namun hal tersebut dapat disanggah bahawa dengan membanjirkan ekonomi yang sudah mandul melalui penambahan wang, pemerintah barat berkemungkinan besar akan meningkatkan lagi krisis kehancuran komoditi serta gelembung mata wang yang akan menghasilkan bencana yang lebih besar lagi, itulah yang bakal disaksikan oleh dunia hari ini.