Amerika dan Dunia Islam Pasca Trump
Ketika ulasan ini ditulis, Donald Trump baru sahaja selesai memberikan ucapan terakhirnya sebelum meninggalkan Rumah Putih. Dalam ucapannya, Trump jelas masih diselubungi delusi dan ego yang menebal meskipun dunia mengetahui pelbagai kontroversi yang mewarnai pentadbirannya di sepanjang tempoh empat tahun lalu. Antara polisi yang diangkat sebagai sebuah kebanggaan oleh Trump ialah dia merupakan satu-satunya presiden dalam tempoh beberapa dekad ini yang tidak mengisytiharkan perang baharu sewaktu memegang jawatan nombor satu dalam negara adidaya tersebut.
Namun, kita tidak seharusnya termakan dengan kata-kata manis Trump ini, kerana tiada pengisytiharan perang bukan bermakna tangan Trump bebas daripada darah umat Islam. Trump masih lagi meneruskan keberadaan tentera Amerika di Syria, Iraq, dan Afghanistan. Bahkan Trump juga telah menarik balik perintah eksekutif Obama mengenai ketelusan dalam melaporkan kematian orang awam akibat serangan drone di luar kawasan peperangan pada 2019. Trump juga meluaskan definisi ‘kawasan peperangan’ untuk melibatkan negara-negara umat Islam seperti Somalia dan Yaman bagi mewajarkan serangan drone yang dibuat di sana. Apa yang pasti, darah umat Islam tetap ditumpahkan.
Umat Islam hanyalah dijadikan bidak catur untuk dikorbankan dalam polisi luar AS. Apabila ia menguntungkan kuasa besar itu, maka AS mengeluarkan kenyataan yang dilihat memihak kepada umat Islam seperti yang dapat disaksikan dalam isu Muslim Uighur. Sedangkan ia tak lebih daripada sekadar usaha Trump untuk menekan China selaku pesaingnya. Hipokrasi Trump dan Barat amnya sangat ketara, hingga orang buta sekali pun dapat melihatnya.
Tidak cukup dengan itu, Trump telah mengenakan sekatan perjalanan masuk daripada beberapa buah negara kaum Muslimin ke Amerika Syarikat melalui perintah eksekutifnya. Ia juga bertindak biadap dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara ‘Israel’, dan menjadi dalang dalam proses normalisasi hubungan antara negara haram Israel dengan beberapa buah negara kaum Muslimin melalui para penguasa Muslim yang khianat.
Sementara itu, Iran pula dijadikan sebagai ‘momokan’ bagi memastikan penguasa-penguasa Arab akur dan tunduk kepadanya. Dalam pada itu, Iran turut ditekan agar tidak menjadi ancaman kepada AS di Timur Tengah, terutamanya melibatkan pembangunan teknologi nuklear negara tersebut.
Demikianlah sekelumit daripada dasar-dasar luar AS yang dilaksanakan semasa pentadbiran Trump. Apakah dengan tamatnya era Trump dan digantikan dengan presiden baharu, Joe Biden ini, nasib dunia Islam akan berubah menjadi baik? Jawapannya sudah dapat dijangka, kerana baik Trump mahupun Biden, Amerika tetaplah Amerika. Amerika bukanlah milik Trump mahu pun Biden, tetapi merupakan sebuah ‘institusi’ milik para Kapitalis yang tamak haloba yang sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi nafsu serakah mereka dan senantiasa menjadikan Islam sebagai musuh mereka. Inilah realiti Amerika yang tidak pernah berubah sejak dahulu, siapa pun presidennya.
Setakat ini sudah terdapat laporan yang mengatakan bahawa Biden akan mengemukakan belasan arahan eksekutif pada hari yang sama sesudah ia mengangkat sumpah sebagai presiden AS. Antara arahan tersebut termasuklah penarikan balik sekatan terhadap kemasukan daripada beberapa buah negara majoriti Muslim.
Apa yang pasti, Biden juga mempunyai ‘track record’ buruk terhadap dunia Islam sewaktu ia menjadi orang nombor dua di bawah pentadbiran Obama dahulu. Biden selaku Naib Presiden AS pada waktu itu, bersekongkol dengan Obama dalam perang drone yang mengorbankan banyak nyawa termasuklah dalam kalangan orang awam. Menurut laporan The Guardian yang dikeluarkan pada 2017, sejumlah 26,171 bom telah digugurkan di tujuh buah negara kaum Muslimin pada tahun 2016. Secara puratanya, boleh dikatakan sebanyak tiga buah bom digugurkan setiap jam di sepanjang tahun tersebut.
Begitulah Amerika, meskipun wajah presidennya bersilih-ganti, namun dasar luarnya tidak pernah berubah, khususnya lagi apabila melibatkan umat Islam dan negara umat Islam. Amerika tahu bahawa Islam merupakan ancaman utamanya sekarang, setelah kejatuhan Komunis, dan Amerika sebenarnya tahu bahawa kuasanya sudah tidak dapat bertahan lama kerana Islam sekarang sedang bangkit.
Lebih dari itu, Amerika tahu bahawa Hizbut Tahrir sedang menggerakkan umat Islam di seluruh dunia untuk menegakkan Khilafah. Amerika tahu bahawa tatkala Khilafah berdiri sedikit masa lagi, maka Amerika hanya tinggal dua pilihan sahaja iaitu untuk menggali kubur sendiri, atau untuk tunduk kepada Khilafah. Atas dasar itu, Amerika sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang atau melambatkan kembalinya kuasa besar Islam itu. Namun ia lupa bahawa semuanya akan menjadi sia-sia kerana berdirinya Khilafah, menangnya Islam dan kalahnya kekufuran itu merupakan janji Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw) yang pasti akan berlaku.
Wallahu a’lam.