Amerika Yang Muflis!

Kaki hutang: AS setanding Itali, Belgium

WASHINGTON 4 Ogos – Hutang kasar Amerika Syarikat (AS) melonjak kepada AS$238 bilion (RM6.9 trilion) sehingga 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu selepas had tertinggi hutang dinaikkan, menurut Perbendaharaan negara itu. Ini bermakna jumlah hutang yang dimiliki oleh negara kuasa besar dunia itu adalah lebih daripada pendapatannya.

Perbendaharaan menambah lebih AS$200 bilion (RM580 bilion) sebagai komitmen segera selepas Presiden Barack Obama memeterai perjanjian rangka untuk menaikkan jumlah tertinggi hutang. Liabiliti-liabiliti sementara telah dikeluarkan daripada imbangan kira-kira Kerajaan Persekutuan sejak 16 Mei lalu apabila komitmen Perbendaharaan mencecah AS$14.29 trilion (RN41.44 trilion).

Jumlah pinjaman baharu itu menjadikan jumlah hutang awam meningkat kepada AS$14.58 trilion (RM42.28 trilion) sehingga akhir tahun 2010 dengan KDNK berjumlah AS$14.53 trilion (RM42.13 trilion), sekali gus meletakkan AS dalam liga negara memiliki hutang tinggi seperti Itali dan Belgium. Dengan perkembangan terbaharu itu, AS kini menyertai kumpulan negara-negara yang memiliki hutang awam melepasi KDNK termasuk Jepun (229 peratus), Greece (152 peratus), Jamaica (137 peratus), Lubnan (134 peratus), Itali (120 peratus), Ireland (114 peratus) dan Iceland (103 peratus), mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa.

Kali terakhir hutang AS melepasi ekonomi tahunannya adalah pada 1947, selepas Perang Dunia kedua. Menjelang 1981 hutang itu merosot kepada 32.5 peratus. – AFP.

Sumber : Utusan Online, 05/08/2011

Amerika Yang Muflis!

Amerika adalah negara yang muflis! Inilah kenyataan pada saat ini. Inilah bukti kerapuhan ekonomi kapitalis yang sarat pasaran spekulasi berbanding ekonomi yang nyata. Malah, nisbah jumlah perdagangan nyata di dunia yang diselubungi kapitalisme berbanding pasaran matawang yang banyak dipengaruhi oleh spekulasi adalah sebanyak 20:80! Sebagaimana ideologi sosialisme/komunisme telah terkubur, begitulah juga kapitalisme yang sudah retak menanti belah. Inilah kesan daripada penerapan sistem yang bukan datang dari sang Pencipta tetapi lahir daripada akal manusia yang terbatas.

Meskipun AS menambah jumlah had hutang negara (yang diluluskan hanya beberapa jam sebelum Amerika kehabisan wang), ia sebenarnya akan menjerumuskan Amerika ke gaung kebangkrapan yang lebih dalam. Dengan jumlah perbelanjaan yang semakin meningkat dan melebihi pendapatan negara, jumlah pengangguran yang semakin meruncing, serta krisis sub-prima yang masih tidak pulih, ia pasti akan menjadikan keadaan semakin sulit bagi negara Uncle Sam ini. Ini belum ditambah dengan perbelanjaan luar negara yang melonjak kesan daripada belanja perang di Afghanistan dan Iraq.

Apakah ini model ekonomi yang ingin ditiru oleh para pemimpin kaum muslimin sekarang ini? Apakah mata mereka sudah buta, dan telinga mereka telah tuli akan apa yang sedang berlaku kepada penjaga ekonomi kapitalisme dunia pada masa ini? Adakah mereka menginginkan apa yang berlaku kepada Amerika ini berlaku juga kepada negeri-negeri kaum muslimin? Sungguh malang nasib kaum muslimin yang memiliki aqidah yang lahir daripada sang Pencipta tetapi tidak diterapkan oleh negara!! Malah lebih perit untuk ditelan – bukti kehancuran kapitalis semakin nyata di mata, namun para pemimpin kaum muslimin buat-buat tidak mengerti dan terus mengabdikan diri kepada sistem yang rosak ini. Ingatlah akan sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al Khudri  :

“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Muslim].

Wahai kaum muslimin! Kalian adalah terlalu mulia untuk terjerumus ke lembah kebinasaan sebagaimana kaum kuffar. Oleh itu, bangkitlah kalian daripada kehinaan menerapkan hukum yang bukan bersumberkan Al Quran dan As Sunnah ini, kepada penerapan Islam yang kaffah. Yang nyata, Amerika sedang menuju ambang kehancuran sebagaimana hancurnya negara komunis satu ketika dahulu. Malah, kehancuran Amerika akan berlaku lebih cepat, sekiranya negara Khilafah yang kita dambakan segera tertegak! Wallahu a’lam.