Antara Royalti Dan Wang Ehsan. Di mana Titik Noktahnya?

Kenyataan Ku Li bertentangan

BACHOK 30 Jan. – Kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Kelantan berhak untuk mendapat royalti minyak sebanyak lima peratus daripada Kerajaan Pusat adalah bertentangan dengan pendirian beliau lebih 10 tahun lalu.  Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pada masa itu, Tengku Razaleigh adalah pemimpin yang paling lantang menafikan hak Terengganu ketika pemimpin Pas di negeri itu mengemukakan tuntutan sama.  Dengan merujuk pada laporan beberapa akhbar pada tahun 2000, Awang Adek berkata, Tengku Razaleigh yang merupakan bekas Pengerusi Petronas tahu setiap perjanjian berhubung pengeluaran minyak dan gas di perairan negara ini, kerajaan negeri memang tidak mempunyai hak.   “Waktu itu katanya kerajaan Terengganu memang tidak ada hak untuk mendapatkan royalti. Memang dalam perjanjian Petronas beliau tahu minyak yang dijumpai di luar 5.5 kilometer (tiga batu nautika) dari perairan bukan hak kerajaan negeri.   “Jadi sebagai seorang negarawan, kenapa Terengganu tidak boleh tetapi Kelantan boleh. Kalau beliau kata mempunyai hak bersuara, saya juga berhak dan pendekatan saya adalah memperingatkan kembali apa yang telah dikatakan oleh beliau sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Tangok, Bachok di sini hari ini.   Awang Adek turut membawa rujukan berupa salinan laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 1 November 2000 bertajuk, Minyak: Penjelasan Ku Li.  

Sumber : Utusan Malaysia, 310110

Antara Royalti Dan Wang Ehsan.  Di mana Titik Noktahnya?

Nampaknya isu royalti minyak Kelantan terus mencuit tumpuan dan semakin berpanjangan dan kini memasuki fasa baru apabila Ku Li mula bersuara di atas  pentas PAS. Jika sebelum ini pertembungan adalah di antara PAS dengan UMNO semata-mata kini nampaknya UMNO mendapat tamparan yang hebat apabila tokoh veterannya sendiri telah berceramah bergandingan dengan PAS dan suara Ku Li dilihat lebih berpihak kepada PAS. UMNO kini terpaksa mengerahkan para hulubalangnya untuk bertindak selaku Hang Tuah untuk menyaingi pencak silat yang mula dibuka oleh Ku Li yang boleh diibaratkan seperti Jebat yang derhaka. Malangnya, pertembungan antara Tuah dan Jebat ini dimulakan dengan langkah, kunci dan bunga sekular untuk membenarkan hujah masing-masing.

Islam sebagai suatu mabda yang terbukti benar dan boleh dibuktikan kebenarannya telah menjelaskan berdasarkan dalil al-Quran dan As-Sunnah setiap persoalan yang berlaku termasuklah yang berkaitan dengan pelbagai isu ekonomi. Islam telah mengkategorikan minyak sebagai sebagai milik umum (milkiyyah ‘amah) yang menjadi hak rakyat. Tidak ada sesiapapun yang boleh menguasai hak milik umum (termasuklah minyak) untuk kepentingan sendiri sepertimana yang kita saksikan hari ini. Dari Ibnu Abbas r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud]. Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan, “wa tsamanuhu haram” (dan harganya adalah haram). Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah].

Air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang Rasulullah SAW benarkan bagi semua orang untuk dikongsi bersama dan baginda melarang sesiapa jua menghalangi orang lain dari menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun boleh ‘mengindividukan’ atau menswastakan sesuatu  aset yang Allah telah sediakan kepada awam. Jelas pada hari ini apabila pemerintah sekular menerapkan sistem ekonomi Kapitalisme, kita dapat melihat bagaimana hak milik umum itu telah di ‘milik individukan’ kepada Petronas. Dalam Islam, negara hanya berperanan sebagai wakil umat untuk mengurus minyak tersebut sedangkan kekayaan dan hasil minyak itu wajib diserahkan dan dipulangkan kepada rakyat sebagai pemilik yang sah di sisi syara’.

Wahai Tuah! Wahai Jebat! Wahai seluruh pihak yang bertelagah! Kembalikanlah perkara yang kamu perselisihkan ini kepada Allah SWT dan RasulNya sesuai dengan perintahnya

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul(Nya) dan Ulil Amri diantara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. [TMQ An-Nisa’ (4) : 59].

Yakinlah wahai seluruh umat Islam! Hanya dengan penerapan Islam secara kaffah oleh Khilafah sahajalah seluruh kemelut  ini akan menemui titik noktahnya!