Apa tugas ATM di Yemen?
Kecoh seketika apabila agensi berita Arab Saudi melaporkan yang sejumlah pasukan tentera Malaysia berada kini di Arab Saudi yang menjadi pasukan ke-12 selepas Senegal, bagi bergabung dengan pakatan negara Arab menentang puak Houthi di Yemen.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagaimana pun menafikan dakwaan media yang mengatakan pihaknya menyertai pakatan negara Arab untuk menentang pemberontak di Yemen. Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata misi tunggal tentera Malaysia di Arab Saudi adalah untuk memudahkan pemindahan yang selamat dan lancar rakyat Malaysia yang tinggal di Yemen.
Walaupun penjelasan ini agak aneh kerana sebelum ini telah dilaporkan yang kesemua rakyat Malaysia di negara yang sedang bergolak itu selamat dipindahkan, namun kita terima apa yang dinyatakan secara zahir atas sebab kekurangan maklumat dalam hal ini. Kita cuma merasa hairan untuk apa sejumlah pasukan tentera Malaysia masih berada di situ?
Kita tahu yang kerajaan Malaysia memang sentiasa menjaga hubungan baik dengan Arab Saudi kerana banyak kepentingan Malaysia di sana. Termasuk antaranya adalah hubungan “haji” yang mana Malaysia bergantung sepenuhnya kepada ihsan negara beraja mutlak itu bagi mendapatkan kuota setiap tahun. “Kekuatan” Saudi ada di sini kerana dua tanah suci umat Islam berada dalam genggamannya yang dengannya ia boleh “mengugut” siapa sahaja untuk bersamanya, walaupun untuk tujuan-tujuan jahat seperti menyerang Yemen dan membunuh para penduduknya.
Baik Saudi, Yemen, Malaysia dan lain-lain, kesemuanya adalah negeri Islam yang sepatutnya berada di bawah satu pemerintahan (Khilafah). Setiap manusia yang mengucap syahadah adalah bersaudara dan haram bagi seorang Muslim membunuh saudaranya yang lain kecuali dengan hak.
Atas dasar ini, ATM bukannya kena berada di Saudi atau Yemen untuk menyelamatkan rakyat Malaysia sahaja, tetapi wajib mendesak kerajaan Saudi dan lain-lain negara sekutunya agar menghentikan segera peperangan dengan Houthi dan ATM wajib menyelamatkan kesemua Muslim yang terlibat dalam peperangan ini.
Namun, oleh sebab ATM telah hilang punca dan tidak berpegang kepada hukum syarak dalam setiap dasar dan aktivitinya, maka inilah hasil yang dapat kita saksikan. ATM sepatutnya menghantar tentera untuk membebaskan Palestin, Syria, Myanmar dan lain-lain kawasan yang mana kaum Muslimin sedang diperangi dan dibunuh, bukan hanya menghantar pasukan ke Yemen untuk menyelamatkan rakyat Malaysia atas dasar wathaniyyah yang diharamkan oleh Islam.
Wallahu a’lam.
Sumber : [therakyatpost.com]