Ashobiyyah Kuffur Masih Membelenggu Umat Islam
BAGHDAD 20 Dis. – Iraq hari ini mengumumkan askar Iran sudah berundur dari sebuah telaga minyak yang dituntut oleh kedua-dua negara. Jurucakap kerajaan Iraq , Ali al-Dabbagh berkata, satu pasukan kecil askar Iran yang merampas telaga minyak di kawasan terpencil di sepanjang sempadan kedua-dua negara minggu lepas, kini tidak lagi menguasai telaga minyak tersebut. Baghdad menganggap telaga itu sebagai sebahagian daripada medan minyak al-Fakkah miliknya. “Bendera Iran sudah diturunkan, askar Iran berundur 50 meter tetapi mereka belum kembali ke kedudukan asal mereka. “Kerajaan Iraq telah mengarahkan askar berkenaan berundur ke kedudukan asal mereka,” kata Dabbagh.
Beliau mengumumkan, sebuah jawatankuasa bersama Iraq-Iran akan mula mengkaji garis sempadan di kawasan tersebut. Di Teheran, media rasmi Iran hari ini melaporkan, Menteri-Menteri Luar Iran dan Iraq telah membincangkan ‘salah faham’ antara pengawal sempadan kedua-dua negara. Dalam perbualan telefon malam tadi, Menteri Luar Iran, Manouchehr Mottaki dan rakan sejawatannya dari Iraq, Hoshiyar Zebari menggariskan pentingnya para pegawai bermesyuarat dengan ‘tujuan untuk menguatkuasakan perjanjian sempadan dua hala’, lapor stesen penyiaran kerajaan Iran, IRIB. Kelmarin, harga minyak dunia meningkat selepas media melaporkan askar Iran merampas telaga minyak di medan yang terletak ke tenggara Baghdad itu. Al-Fakkah ialah medan minyak yang agak kecil dan buat masa ini hanya mengeluarkan kira-kira 10,000 tong sehari. – Reuters
Sumber: Utusan Malaysia 21/12/09
Ashobiyyah Kuffur Masih Membelenggu Umat Islam
Inilah kelemahan yang masih membelenggu umat dan para pemimpin sekular mereka. Di sebabkan menebalnya perasaan ashobiyyah kufur di kalangan umat Islam terutamanya para pemimpin sekular mereka, isu telaga minyak yang menjadi rebutan kedua-dua negara hampir-hampir mencetuskan peperangan di antara kedua-dua pihak. Hakikatnya, tidak kira bumi Iraq mahupun Iran , kedua-duanya adalah milik umat Islam. Bukankah umat Islam itu bersaudara dan negara mereka sebenarnya adalah negara yang satu? Inilah akibatnya apabila umat Islam dan para pemimpin mereka membelakangan ajaran Islam, dan menggantikan persaudaran Islam yang sepatutnya diasaskan atas dasar aqidah Islam dengan kebanggaan kufur jahiliyyah, yakni ashobiyyah. Lihatlah wahai umat Islam! Betapa berjayanya Barat memecahbelah kesatuan umat Islam dengan menanamkan perasaan kufur ashobiyyah ini di dalam benak pemikiran umat Islam terutamanya para pemimpin sekular mereka. Amat malang bagi umat Islam pada hari ini apabila kita melihat kedua-dua negeri umat Islam, Iran dan Iraq , melalui menteri luar masing-masing membincangkan isu ini seolah-olah Iraq dan Iran itu dua negara yang asing dan terpisah. Keadaan ini wujud justeru kerana begitu menebalnya perasaan ashobiyyah kufur di kalangan umat Islam.
Wahai umat Islam! Wahai para penguasa umat Islam! Sampai bilakah kamu akan terus bernaung di bawah payung ashobiyyah? Bukankah ashobiyyah itu merupakan fahaman yang telah diharamkan oleh Islam melalui lisan Nabi SAW? Sampai bila kalian akan terus mengundang murka Allah SWT?