Bagaimana Khilafah diruntuhkan, dan usaha untuk mengembalikannya sebagai isu hidup dan mati bagi umat Islam hari ini (Siri 1)

Ketibaan Rasulullah (saw) di Madinah dengan di sambut oleh kaum Ansar yang sanggup menggadaikan segala-galanya untuk baginda merupakan titik permulaan kuasa politik Islam di Jazirah Arab. Dalam masa kurang dari 100 tahun selepas peristiwa Hijrah yang mulia ini, kuasa Islam telah tersebar luas ke seluruh jazirah Arab, Syam, Mesir dan Afrika utara di sebelah Barat serta Iraq dan Parsi sehinggalah ke benua India di sebelah Timur.

Kuasa politik Islam, yang dikenali sebagai Daulah Khilafah Islamiyyah telah memayungi lebih dari sepertiga dunia dan kekal selama lebih 1300 tahun selepas kewafatan Rasulullah (saw). Malangnya, tepat pada 28 Rajab 1342 H (3 Mac 1924 M), Khilafah Islamiyyah hancur, dihancurkan secara rasmi oleh si pengkhianat Mustafa Kemal Ataturk.

Selepas kejatuhan Daulah Khilafah, dunia Islam berpecah belah, yang sebelumnya pun telah terpecah kerana penjajahan Barat. Kuasa kolonial seperti Britain dan Perancis telah membahagi-bahagikan tanah umat Islam sesama mereka dan ikatan awal Islam, yakni ikatan pemerintahan, telah terungkai. Sejak itu, umat Islam hidup dalam suasana yang cukup menyedihkan sehingga tiada kata-kata yang dapat menggambarkan penderitaan mereka. Hukum Allah dibakul sampahkan, manakala hukum kufur dirangkul erat oleh pemerintah kaum Muslimin di kesemua negara yang telah terpecah-belah itu.

Hakikatnya, kejatuhan Daulah Khilafah bukanlah peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba atau baru dirancang. Ia merupakan natijah dari perancangan dan usaha keras musuh-musuh Islam secara sistematik sejak ratusan tahun lamanya. Allah Maha Agung telah pun mengkhabarkan kepada umat Islam mengenai kebencian dan permusuhan kaum kuffar terhadap Islam dan kaum Muslimin. Firman-Nya::

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِير

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti millah mereka. Katakanlah: ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu” [Al-Baqarah [2]: 120].

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ لا يَأْلُونَكُمْ خَبَالا وَدُّوا مَا عَنِتُّمْ قَدْ بَدَتِ الْبَغْضَاءُ مِنْ أَفْوَاهِهِمْ وَمَا تُخْفِي صُدُورُهُمْ أَكْبَرُ قَدْ بَيَّنَّا لَكُمُ الآيَاتِ إِنْ كُنْتُمْ تَعْقِلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” [Ali Imran [3]: 118].

Usaha Barat Menjatuhkan Daulah Khilafah

Pertembungan antara Islam dan kekufuran, antara kaum Muslimin dan golongan kuffar sungguh jelas lagi nyata, dan ia telah pun berlaku dengan hebat sejak sosok mulia kita Muhammad (saw) diangkat oleh Allah (swt) menjadi Rasul. Ketika baginda memulakan dakwahnya, pertembungan yang berlaku adalah hanya dalam bentuk ucapan (lisan). Lama kelamaan, setelah mereka kalah dalam berhujah, puak kafir mula menggunakan kekerasan untuk menyeksa mereka yang telah masuk Islam, malah hingga ke tahap dibunuh.

Manakala setelah berdirinya Daulah Islam di Madinah, pertembungan dalam bentuk fizikal dan peperangan mula berlakunya, khususnya setalah turunnya ayat-ayat jihad. Dalam masa berlakunya peperangan (jihad) melawan orang-orang kafir, pertembungan secara intelektual juga tidak putus-putus berlaku, dan hal ini merupakan Sunnatullah yang akan kekal sehinggalah ke hari kiamat. Bagaimana pun, Allah (swt) telah menjanjikan kemenangan kepada kebenaran mengatasi kebatilan.

Dari segi sejarahnya, tentera Muslim tidak pernah kalah dalam peperangan yang besar selama lebih 6 abad meskipun pernah tewas dalam beberapa pertempuran. Selama itu, Daulah Khilafah merupakan kuasa politik terhebat di muka bumi. Bagaimana pun, seperti mana firman Allah (swt) di atas, kaum kafir tidak akan pernah merasa redha atau senang dengan Islam.

Pada abad ke tujuh Hijrah, kaum kuffar dari Eropah memulakan Perang Salib terhadap umat Islam. Dengan situasi umat Islam yang agak lemah pada ketika itu, kaum kuffar telah berjaya menguasai al-Quds dan sebahagian dari wilayah Syam. Namun, kehadiran mereka di tanah yang diberkati itu berakhir selepas hampir satu abad. Meskipun tentera salib berjaya dihalau keluar, peperangan ini, di tambah dengan serangan tentera Monggol selepas itu, telah sedikit sebanyak melemahkan kekuatan kaum Muslimin. Walaubagaimanapun, dunia Islam masih tetap berada di bawah pemerintahan syariat Allah dan dengan munculnya Khilafah Uthmaniyyah, Islam kembali menerajui dunia dan semangat jihad kembali berkobar.

Meskipun kuffar Barat sentiasa ditewaskan, mereka tidak pernah sepi dari berusaha untuk menghancurkan Islam. Satu perkara yang disedari oleh Barat selepas perang salib adalah bahawa Islam tidak akan dapat dikalahkan dengan perang, namun umat Islam boleh dilalaikan dari berpegang kepada Islam dengan menyerang pemikiran mereka. Menyedari bahawa kekuatan Islam adalah kerana akidah Islam yang dimiliki oleh kaum Muslimin, Barat mula mengatur langkah untuk mengalahkan umat Islam secara intelektual melalui pelbagai bentuk serangan pemikiran (ghazwul fikri).

Langkah perang pemikiran terhadap umat Islam yang sistematik mula diatur pada akhir abad ke-18. Barat, terutamanya Britain, mula mempengaruhi golongan tertentu untuk melakukan penentangan terhadap Daulah Khilafah. Sebagai contoh, Britain menggunakan ejen mereka seperti Abdul Aziz ibn Muhammad ibn Saud untuk menyerang Daulah Khilafah dari dalam. Britain menyokong pengkhianatan ini dengan bantuan kewangan dan senjata. Meskipun Khilafah berjaya menghancurkan pengkhianatan ini, Britain sekali lagi meniupkan api pengkhianatan di Jazirah Arab pada awal abad ke-20 melalui Sharif Makkah.

Barat, terutama Britain, sedar bahawa bentuk serangan yang terfokus kepada pengkhianatan dan pemberontakan dalaman seperti yang dilakukan di Jazirah Arab tidak mendatangkan hasil yang diingini. Ini menyebabkan Barat mula memikirkan cara lain untuk menyerang umat Islam. Bentuk serangan yang digunakan kali ini adalah dengan menanamkan semangat kebangsaan dan sentimen pemisahan. Barat memfokuskan usaha untuk meracuni pemikiran umat Islam melalui semangat dan sentimen ini ke atas bangsa Arab dan Turki.

Dua pusat utama usaha ini adalah di Beirut dan Istanbul. Di kedua-dua pusat ini, Barat mula merancang pelbagai strategi dalam usaha mereka untuk menjatuhkan Daulah Khilafah. Di Beirut, perancangan Barat lebih terfokus kepada strategi jangka panjang bagi memperoleh kesan jangka panjang dalam usaha mereka. Selain dari usaha pengembangan pusat-pusat missionari, mereka juga menubuhkan pelbagai persatuan seperti ‘Persatuan Sastera dan Sains’ bagi menarik kaum Muslimin dan mendoktrinasi mereka dengan pemikiran mereka.

 Meskipun pada awalnya mereka gagal, namun akhirnya, dengan memfokuskan penubuhan persatuan dan pusat missionari yang berbentuk nasionalis, seperti dengan hanya membenarkan orang Arab semata-mata untuk menyertainya, strategi ini mula membuahkan hasil. Fokus utama persatuan ini adalah untuk menghidupkan nasionalisme Arab dan menimbulkan kebencian terhadap pemerintahan ‘Daulah Turki’.

Di Istanbul pula, sebagai pusat Daulah Khilafah, Barat memfokuskan strateginya kepada serangan terhadap Islam dan kaum Muslimin dari jantung pemerintahan Islam. Antaranya, mereka membantu dan menyokong penubuhan parti ‘Turki Muda’ yang akan menjadi alat mereka dalam menghancurkan Daulah Khilafah dari dalam. Mekanisme utama yang dipelopori oleh golongan Turki Muda adalah, sekali lagi, meniupkan semangat dan sentimen nasionalisme. Gerakan Turki Muda ini memang memberi pengaruh sehingga kekuatan Daulah Khilafah pula semakin melemah. Melalui gerakan ini, Barat berpeluang untuk menyebarkan sentimen kebangsaan dan berjaya menciptakan perpecahan di kalangan kaum Muslimin, terutamanya antara bangsa Turki dan Arab.

Memburukkan lagi suasana, Barat juga memainkan peranan secara langsung dalam melemahkan kedudukan Daulah Khilafah melalui kedutaan-kedutaan mereka di tanah kaum Muslimin. Mereka tidak putus-putus mempengaruhi dan membantu sebarang bentuk usaha yang akan menambahkan lagi perpecahan umat Islam.

Dari pertengahan abad ke 19 dan awal abad ke 20 Masihi, pengaruh Barat sudah banyak menyelinap ke dalam Daulah Khilafah. Usaha Barat untuk menjauhkan umat dari akidah Islam dan memesongkan hala tuju dan pemikiran kaum Muslimin kepada Barat sudah mula menunjukkan hasilnya. Dalam suasana inilah, para pengkhianat dari kalangan umat Islam yang benci kepada Islam sebagai sebuah Deen muncul bagaikan cendawan, terutamanya di kalangan para pembesar dan golongan intelektual.

Melalui tipu helah Barat dan pengkhianatan oleh beberapa pembesar Daulah Khilafah, usaha untuk menerapkan undang-undang Barat di dalam Daulah Khilafah mula digerakkan sekitar tahun 1856. Walaupun undang-undang telah mula wujud, namun ia tidak diterapkan sehingga adanya fatwa dan perintah untuk menerapkannya, setelah diizinkan oleh Syaikhul Islam.

bersambung…