Bagaimana Memilih Pemimpin – Pemimpin yang melindungi Non-Muslim (Siri 4)

Terdapat sebahagian kaum non-Muslim yang menolak pemimpin daripada kalangan Muslim kerana beranggapan  mereka adalah golongan minoriti yang akan sentiasa didiskriminasi oleh golongan majoriti Muslim di negara ini. Maka tidak hairanlah jika kita sering kali diseru untuk berpegang pada doktrin liberalisme sebagai satu-satunya jalan untuk menjadi ‘adil’ dan ‘menerima’ kaum minoriti. Dikatakan bahawa selain doktrin liberalisme, kita akan mempunyai kecenderungan untuk berat sebelah dan melakukan penindasan. Mereka yang kononnya membawa imej progresif membawa contoh bahawa selain negara Barat, golongan minoriti sering dianiaya kerana kerana negara-negara ini tidak cukup liberal. Sebaliknya jika berlaku penindasan di negara Barat, maka hal itu tidak dikatakan sebagai penindasan golongan minoriti tetapi disebabkan oleh kesilapan sebahagian pihak.

Dakwaan ini sangat mengelirukan bahkan bertentangan dengan realiti sebenar. Ironinya, kisah penindasan golongan minoriti paling kuat kedengaran di negara Barat seperti diskriminasi dan penindasan terhadap kaum minoriti di Amerika Syarikat dan wujud diskriminasi terhadap penganut Islam di Eropah. Hakikatnya, inilah negara-negara yang menjunjung doktrin liberalisme yang kemudian diterjemahkan dalam bentuk dasar kerajaan dan amalan serta ‘perjuangan’ hak asasi manusia.

Huraian

Diskriminasi boleh berlaku daripada pelbagai aspek. Antaranya diskriminasi kaum, warna kulit, agama dan jantina. Namun apabila ia melibatkan aspek sosio-ekonomi di sesebuah negara-bangsa, diskriminasi sering merujuk kepada kaum minoriti. Kesannya dapat dilihat, sebagai contoh, pada jurang ekonomi antara kaum yang mula melebar.

Disebalik pelbagai justifikasi, kecacatan dan hipokrasi prinsip hak asasi manusia  yang diangkat oleh doktrin liberalisme tidak dapat dilindungi lagi. Justeru, tidak hairan jika soal memilih pemimpin menjadi satu bentuk polemik dan ketegangan yang berterusan dalam masyarakat. Ini kerana hakikatnya, barisan pemerintahlah yang  akan menggubal dasar melalui suara majoriti berpandukan prinsip yang mereka percaya dan ini memungkinkan berlakunya sikap berat sebelah terhadap kelompok yang lain. Inilah realiti yang berlaku di seluruh dunia saat ini yang menerapkan ideologi kapitalisme-demokrasi.

Sebaliknya, Islam menanggapi persoalan ini dengan perspektif dan penyelesaian yang berbeza. Jika doktrin liberalisme boleh berubah-ubah berdasarkan suara majoriti dan kepercayaan masyarakat pada sesuatu masa, Islam pula mempunyai penyelesaian yang tuntas dan praktikal sepanjang zaman kerana ia lahir daripada Yang Maha Pencipta. Ketika Allah menciptakan manusia yang terdiri daripada  pelbagai kaum, maka hanya Dia yang Maha Mengetahui apakah penyelesaian terbaik terhadap integrasi masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Di dalam Islam, konsep golongan minoriti tidak wujud di dalam sebuah negara Islam (Khilafah). Semua wargenegara, bermula daripada kalangan Muslim mahupun non-Muslim (zhimmi) diberikan  jaminan perlindungan harta dan nyawa yang adil. Bahkan Islam menjamin warganegara zhimmi daripada dizalimi dan mengancam sesiapa sahaja yang melakukan kezaliman atau merampas hak-hak mereka. Nabi SAW bersabda, “Sesiapa sahaja yang berbuat zalim terhadap orang kafir mu’ahid, mengurangkan hak mereka, membebankan mereka melebihi kemampuan mereka, atau mengambil hak milik mereka tanpa izin mereka, maka aku akan menjadi pembela mereka pada Hari Kiamat.(HR Abu Dawud (3052) dan al-Baihaqi (18511).

Terdapat beberapa dalil seumpamanya yang menegaskan soal pembelaan nasib warganegara non-Muslim. Bahkan hak dan tanggungjawab kaum non-Muslim di dalam negara Islam telah dibahas oleh ramai fuqaha dan di antaranya seperti mana yang dinukilkan oleh Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani, di dalam kitabnya Muqaddimah ad-Dustur au al-Asbab al-Mujibah yang memuatkan draf perlembagaan bagi sebuah negara Islam yang bakal tertegak kembali. Pada fasal  ke-6 dinyatakan,  “Semua warganegara hendaklah dilayan sama rata tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit atau apa-apa perkara lain. Negara dilarang mendiskriminasi rakyatnya dalam semua perkara, sama ada pemerintahan atau kehakiman, atau menjaga hal ehwal rakyat” [Jilid 1]. Manakala antara hak kaum non-Muslim dinyatakan pada fasal ke-103, “Setiap warga negara yang baligh, dan berakal berhak menjadi anggota Majlis Umat, baik lelaki mahupun perempuan, Muslim ataupun non-Muslim. Keangotaan non-Muslim adalah sebatas untuk menyuarakan aduan mereka berkenaan dengan perbuatan zalim yang dilakukan oleh pemerintah atau kesalahan dalam penerapan hukum Islam ke atas mereka” [Jilid 2].

Rasulullah SAW mempunyai segala ciri-ciri kepimpinan umum yang tiada tolok bandingnya dan wajar dijadikan sebagai ikon dan panutan calon barisan kepimpinan negara. Sesungguhnya Allah berfirman, “Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” [TMQ al-Anbiya (21):107]. Sejarah telah mencatatkan bagaimana Rasulullah adalah seorang pembela dan penegak hukum yang adil buat semua kaum ketika berhadapan dengan pertikaian di mana kaum Ansar menuduh orang Yahudi telah membunuh saudara mereka tanpa bukti. Rasulullah SAW tidak bersikap berat sebelah sekalipun sebagai ketua Negara Islam, sebaliknya baginda membebaskan orang Yahudi tersebut kerana tidak terdapat bukti yang jelas dan membayar diyat kepada keluarga mangsa tersebut. [Lihat, al-Bukhari, Sahih al-Bukhari (6502)].

Memang benar bahawa wujud perbezaan antara hak warganegara Muslim dan non-Muslim. Akan tetapi, perbezaan yang wujud bukanlah berkaitan dengan  perihal menjaga kebajikan warganegara. Bahkan syariat Islam  mewajibkan negara untuk memperlakukan mereka semua dengan adil dan saksama.

Penutup

Sesetengah pihak berpendapat bahawa membezakan hak penyertaan politik antara orang Muslim dan non-Muslim adalah satu bentuk diskriminasi. Menjawab persoalan mengapa kaum non-Muslim tidak boleh menjadi ketua negara (Khalifah), wakil ketua negara (Mu’awin), gabenor (Wali) dan jawatan  seumpamanya – yang bersifat pelaksana hukum – di dalam Negara Islam, maka kita dapati bahawa ketetapan ini adalah suatu yang wajar dan tepat.  Ini adalah kerana negara yang mereka diami adalah negara Islam, yang berideologikan Islam dan menerapkan hukum-hakam Islam, maka adalah mustahil bagi orang non-Muslim untuk menjadi ketua negara yang bertugas untuk menjalankan kesemua hukum-hakam Islam sedangkan ia bertentangan dengan keyakinan akidah mereka. Justeru, adalah wajar mereka tidak diperbolehkan untuk menjawat jawatan tersebut. Sebaliknya, semua warganegara termasuk yang non-Muslim mempunyai peluang yang luas untuk menjawat jawatan yang bersifat administratif dan sudah pasti mempunyai kemampuan serta kemahiran dalam sektor tersebut.

Jawatan Khalifah serta jawatan yang bersifat pelaksana hukum tidak mempunyai  sebarang kelebihan duniawi dalam sebuah Negara Islam, sebaliknya mereka bertanggungjawab terhadap perlaksanaan syariat Islam  dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Justeru pemerintah tidak mempunyai pilihan untuk mengubal sesuatu dasar yang menguntung pihak tertentu sedangkan mereka wajib untuk memastikan keadilan dan kesejahteraan diterapkan ke atas setiap warganegara samada Muslim mahupun non-Muslim seperti mana yang dikehendaki oleh syariat Islam.

Realiti ini berbeza dengan sistem pemerintahan kapitalisme-demokrasi yang diamalkan saat ini di mana dasar dan prinsip sesebuah negara ditentukan oleh suara majoriti wakil rakyat yang terdedah kepada amalan oligarki, kronisme dan seumpamanya yang membuka ruang  kepada pengabsahan diskriminasi terhadap kaum yang dianggap minoriti. Inilah yang terjadi khususnya di dunia Barat dan menjadi amalan dalam kalangan negara ini.  Sesungguhnya, hanya negara Islam (Khilafah) yang sebenarnya mampu merealisasikan keadilan dan kesejahteraan buat semua kaum.

Wallahu a’lam.