Bahasa Kemajuan

PUTRAJAYA 9 Julai – Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak menjejaskan matlamat untuk memantapkan bahasa itu dalam sistem pendidikan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Perdana Menteri berkata, kerajaan sedar kepentingan penguasaan bahasa Inggeris yang baik, justeru ia akan diperkukuhkan menerusi penambahan waktu belajar dan guru-guru berkualiti. Tegas beliau, pemantauan terhadap dasar PPSMI mendapati pelaksanaannya tidak seperti dihasratkan termasuk hanya lapan peratus guru yang menunjukkan keyakinan berbuat demikian.
Projek demi projek silih berganti, hasilnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Alasan remeh dan leceh terus memenuhi ruang akhbar dan media massa. Bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai ibu bahasa sains dan teknologi kini tenggelam dalam aspirasi projek kerajaan Malaysia selama 6 tahun. Bahasa dan bangsa Malaysia dalam bidang sains dan teknologi masih jauh di belakang, masih merangkak. Itulah gambaran senario suram perkembangan kemajuan sains dan teknologi yang sentiasa dimuntahkan oleh para pemimpin sekular negara ini.

Bahasa yang sepatutnya dijadikan alat untuk maju tidak diperkasa malah sebaliknya diprojeksi sebagai bahan eksploitasi kekayaan (kepentingan) peribadi. Enam tahun merupakan tempoh yang lama untuk menerapkan Bahasa Inggeris (jika sungguh-sungguh) di kalangan rakyat, namun akhirnya sirna dan hakikatnya, Bahasa Malaysia masih dalam posisi terkebelakang kerana tidak diperkasa. Apapun, kedua-dua bahasa gagal dijadikan bahasa yang mampu membangunkan rakyat dan negara ke tahap yang lebih maju! Persoalannya sekarang, urusan duniawi melepas, akhirat bagaimana?

Bahasa Arab, yang sepatutnya dikuasai dan diperkasa agar membentuk kemajuan insani yang sempurna masih terus diabaikan. Betapa kaya khazanah Islam yang tercatit di dalam Al-Quran dan As-Sunnah serta dunia fiqh bagi membentuk syakhsiyyah insan yang sempurna terabai ketika ini. Dalam masa yang sama umat ini dilalaikan dengan erti kemajuan ala-Barat. Apa erti kemajuan jika moral masyarakat tidak dibina, dibiarkan rosak hingga mencapai martabat haiwani seperti yang berlaku di Barat?

Dalam soal kemajuan madani (sains dan teknologi), Islam meletakkannya dalam ruang kifayah yang wajib juga umat Islam kuasai. Oleh sebab itu, yang perlu dilakukan oleh kaum Muslimin adalah membuat strategi tertentu bagi menjamin kemajuan madani yang kini dikuasai oleh Barat.  Memprojeksi bahasa sebagai sumber kemajuan secara umum bukanlah cara yang betul.

Negara secara terfokus boleh mengkhususkan portfolio untuk menguruskan bidang tersebut kemudian membangun usaha transformasi pembangunan. Ini berlaku di zaman khulafa’ ar-rasyidin di mana Umar Al-Khattab mengimport teknologi dari Parsi. Ternyata kemudian ia dikembangkan dengan begitu baik sekali.

Bagi Malaysia, pasti ada strategi lain yang mampu melaksanakan tujuan tersebut tanpa menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan wang rakyat! Sampai bila kita harus membiarkan ini berlaku? Bukankah dengan kehidupan Islam, semua permasalahan ini akan dapat diselesaikan dengan tuntas?