Berjuta-juta Ringgit Dilaburkan Untuk Kesuburan Demokrasi!

altKerajaan tanggung lebih RM11 juta bagi 16 pilihan raya kecil

KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung kos lebih RM11 juta bagi melaksanakan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata perbelanjaan yang besar diperlukan bagi menampung kos dan perkhidmatan bagi setiap pilihan raya kecil seperti pengangkutan, tempat tinggal, makanan dan minuman.

“Anggaran kos yang digunakan bagi menjalankan pilihan raya kecil ialah antara RM318,000 dan RM1,290,000 bergantung kepada kawasan pilihan raya yang terlibat dalam pilihan raya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai kos yang dibelanjakan untuk sesuatu pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-12 dan adakah kerajaan bercadang untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil dengan menggantikannya dengan kaedah lain.

Mohamed Nazri berkata perincian setiap pilihan raya kecil ialah Permatang Pauh (RM409,000), Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367.93), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.290 juta), Galas (RM1.047), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain bagi menggantikan pilihan raya kecil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya Kecil 1958.

“Setiap keputusan bagi pilihan raya kecil yang diadakan adalah muktamad dan perbelanjaan yang digunakan dianggap sah,” katanya.
Mengenai kemenangan Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil yang dianggap “tidak halal” selain melaksanakan projek “mi segera” dan memberikan “durian runtuh” kepada rakyat semasa pilihan raya kecil, Mohamed Nazri berkata, projek itu bukan bersifat “disegerakan” sebaliknya ia dipercepatkan semasa pilihan raya kecil kerana telah terdapat peruntukan yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan projek yang membolehkan rakyat di negeri yang terbabit menerima manfaat dengan segera. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian Online, 29/03/2011

Berjuta-juta Ringgit Dilaburkan Untuk Kesuburan Demokrasi!

RM11 juta bukanlah satu angka yang sedikit, malah, meskipun 1 sen, ia tetap duit daripada pemerasan titik peluh rakyat melalui LHDN. Oleh itu, pernyataan bahawa “kerajaan menanggung kos” adalah salah kerana hakikatnya yang menanggungnya ialah rakyat. Ini belum ditambah dengan peruntukan PRN Sarawak yang akan berlangsung pada 16 April ini yang dianggarkan menelan belanja RM50 juta! Inilah natijah daripada sistem demokrasi yang diamalkan oleh pemerintah sekarang yang memerlukan pilihanraya diadakan bagi memilih pembuat undang-undang (Ahli Parlimen Atau ADUN) di mana akhirnya pembuat undang- undang ini membuat ketetapan menurut hawa nafsu dan bukannya menerapkan hukum-hukum Allah. Mungkin bagi para pemerintah kapitalis sekarang jumlah RM11 juta + RM50 juta tersebut amatlah sedikit jika dibandingkan dengan usaha untuk melestarikan dan menyuburkan sistem demokrasi-pilihanraya yang diwarisi dari penjajah ini.

Wang yang sebegitu banyak ini sekiranya disalurkan untuk kebajikan rakyat, pastinya ramai yang akan mendapat manfaat. Sebagai contoh, sekiranya wang tersebut dikelolakan dengan baik, ia boleh digunakan untuk mendirikan banyak klinik kesihatan serta memberikan kemudahan asas lain seperti bekalan air bersih kepada rakyat.  Namun, kita lihat penduduk di kawasan pendalaman begitu sukar untuk mendapat askes kepada perkhidmatan kesihatan dan bekalan air yang bersih. Sering kali kita mendengar keluhan rakyat yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri yang banyak untuk mendapatkan layanan doktor yang sepatutnya mereka nikmati dengan percuma.

Sampai bilakah kita harus berpegang teguh dengan sistem demokrasi yang bukan dari Islam ini? Sampai bilakah kita sanggup menghabiskan berjuta-juta duit rakyat untuk mempertahankan legasi sistem yang rosak ini? Sudah sampai masanya kita berubah kepada sistem Islam yang akan mengatur urusan rakyat sesuai dengan tuntutan syarak dan  bukannya menurut hawa nafsu manusia. Sudah sampai masanya kita menolak para pemimpin sekular yang membelakangkan Islam dan membaiat seorang Khalifah yang akan menguruskan segenap keperluan rakyat dengan panduan Kitabullah dan sunnah rasul-Nya. Semoga dengan ini, cahaya rahmat daripada Allah akan menyelimuti setiap pelusuk alam..