Bila Ramadhan Hanya Sebagai Tradisi Semata-mata
KUALA LUMPUR:
Sebut saja bubur lambuk, umat Islam di sekitar ibu negara, pasti terbayang Masjid Jamek di Kampung Baru yang saban tahun menyediakan juadah itu untuk orang ramai sepanjang Ramadan.Malah, bubur lambuk yang sebegitu sinonim dengan Masjid Jamek Kampung Baru, turut menjadi tradisi penduduk sekitarnya memberi makanan itu kepada orang ramai sejak kira-kira 50 tahun lalu, Ia juga menjadi juadah paling istimewa untuk berbuka puasa, setiap kali tibanya Ramadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir ke masjid itu dan membahagikan bungkusan bubur lambuk kepada orang ramai sebelum meninjau gerai makanan di sepanjang Jalan Raja Alang, di sini.
Ketua tukang masak bubur lambuk di masjid itu, Zainal Abidin, 53, berkata bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru memang sudah terkenal dan orang ramai sentiasa berpusu-pusu datang untuk mendapatkan bubur itu sepanjang Ramadan.
SUKARELAWAN memasak bubur lambuk sebelum diagihkan kepada orang ramai di Masjid Jamek, Kampung Baru, semalam.
Katanya, sebanyak 15 kilogram beras digunakan untuk setiap periuk bagi memasak bubur lambuk yang mengambil masa satu setengah jam untuk masak.
“Biasanya orang ramai mula datang mengambil bubur lambuk ini mulai jam 5 petang. Setiap orang di beri satu bungkus sebagai juadah berbuka puasa,” katanya yang sudah 25 tahun menjadi ketua tukang masak di masjid berkenaan.
Katanya, beliau tidak mempunyai sebarang rahsia yang menjadikan masakan bubur lambuk di masjid itu enak dan digemari ramai.
“Rahsianya hanyalah kita pastikan ramuan yang digunakan itu betul mengikut sukatan yang diperlukan, jangan lebih dan jangan kurang,” katanya.
Sumber: Berita Harian 22/08/09
Ulasan:
Skrip Ramadhan seperti tahun-tahun lepas terus menjadi drama yang berulang-ulang. Berita bubur lambuk Kampung Baru akan pasti menjadi pilihan tajuk berita akhbar tempatan setiap kali tiba Ramadhan. Dan berita ini akan menjadi lebih sensasi apabila PM sendiri turun padang untuk mengagihkannya. Inilah cerita dan berita Ramadhan yang disajikan kepada umat Islam di Malaysia yang secara umumnya tidak berubah sejak dari dulu sehingga ke hari ini. Jalan ceritanya hampir sama. Juadah berbuka puasa, gerai dan pasar Ramadhan, bubur lambuk, baju raya, kuih raya dan yang lain sepertinya menjadi menu utama akhbar tempatan sepanjang Ramadhan.
Apakah rakyat Malaysia tidak pernah terfikir mengenai keadaan Islam saat ini yang terus terabai, tidak diterapkan sepenuhnya oleh pemerintah kaum Muslimin hari ini? Tidakkah ia merupakan suatu penyimpangan yang begitu jelas apabila perintah kewajiban berpuasa ditunaikan tetapi dalam masa yang sama kewajiban untuk menerapkan qisas dan jihad diabaikan? Perhatikanlah firman Allah SWT ini dan fahamilah tuntutan perintahNya:
“Wahai orang-orang yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. [TMQ Al-Baqarah (2):183].
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak Yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) Dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. [TMQ Al-Baqarah (2):178].
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. [TMQ Al-Baqarah (2):216].
Ketiga-tiga ayat di atas terletak di dalam surah yang sama iaitu surah al-Baqarah. Namun kenapa ayat kewajiban berpuasa sahaja yang diamalkan? Bagaimana dengan dua ayat lain itu? Inilah dunia sekularisme. Hanya orang-orang yang berfikir sahaja yang menyedarinya dengan sebenar-benar kesedaran. Apakah dengan “bubur lambuk” Kampung Baru segala kewajiban selain puasa boleh diabaikan? Apakah hanya dengan ini umat Islam terutamanya PM sudah lupa dan melupakan perintah Allah SWT?