Bonus Terbaik Adalah Penerapan Islam!

altCuepacs yakin kerajaan beri bonus kepada penjawat awam

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Cuepacs berkeyakinan bahawa kerajaan akan memberikan sebulan bonus kepada penjawat awam tahun ini, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin hari ini. Keyakinan kongres itu berdasarkan kepada kenyataan bahawa kerajaan mampu memberikan bonus itu berdasarkan penjimatan dari subsidi petrol, beras dan gula, katanya kepada Bernama.  Beliau berkata, mengikut perkiraan Cuepacs, kerajaan hanya berbelanja kurang daripada RM500 juta untuk membayar bonus dan “ia adalah dalam kemampuan kerajaan untuk berbuat demikian”.    Beliau mengulangi permintaan awal Cuepacs kepada kerajaan untuk membayar sekurang-kurangnya setengah bulan bonus sebelum Hari Raya dan setengah lagi pada akhir tahun ini.  Ahmad Shah berkata, walaupun jumlah itu tidak termasuk di dalam bajet tahun lepas, ia masih lagi boleh memberi pendahuluan dan memasukkannya di dalam bajet yang akan datang bulan depan.
Sumber : Utusan Malaysia, 01/09/09

Bonus Terbaik Adalah Penerapan Islam!

Nampaknya Cuepacs sudah mula bersuara bagi menuntut bonus dari pihak kerajaan. Seperti biasa tuntutan dan perjuangan menuntut bonus adalah merupakan sebahagian dari agenda utama Cuepacs. Apakah gaji bulanan dan segala bentuk kemudahan yang diberikan oleh kerajaan selama ini tidak mencukupi? Yang pasti, majoriti jawapannya adalah ya, memang tidak cukup! Umumnya sebahagian besar gaji yang dinikmati oleh para penjawat awam kerajaan sering tidak mencukupi kerana ternyata rakyat, termasuklah penjawat awam kerajaan pada hari ini terus terbeban dengan pelbagai bentuk bebanan kehidupan, natijah dari penerapan sistem Kapitalisme dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara saat ini.

Sedar mahupun tidak, sistem yang diterapkan dalam kehidupan hari ini adalah sistem yang amat membebankan. Dalam dunia Kapitalisme semuanya perlukan wang. Sihat perlukan wang. Sakit juga perlukan wang. Nak pandai pun perlukan wang. Segala galanya dikongkong oleh wang. Dari mana kerajaan akan mendapatkan dana untuk memenuhi tuntutan Cuepacs ini sekiranya permintaan ini akan dipenuhi?  Dari duit rakyat yang dipaksa membayar pelbagai bentuk cukai (secara langsung mahupun tidak langsung) yang dikenakan oleh kerajaan Kapitalisme hari ini?? Faktanya, memang sebahagian besar sumber pendapatan sesebuah negara kapitalis itu bergantung kepada kutipan cukai yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyatnya. Persoalannya kini, sampai bila rakyat akan terus dizalimi dengan cukai-cukai ini dan lebih menyedihkan, penjawat awam pula yang mendapat bonus dari duit rakyat sedangkan rakyat lain yang mungkin lebih memerlukan bonus ini tidak mendapat habuannya. Tidak dinafikan bahawa para penjawat awam merasa senang dengan wang tambahan ini, namun persoalannya, apakah kezaliman ini wajar berlaku sedangkan seluruh rakyat seharusnya mendapat manfaat, bukan setakat kakitangan kerajaan.

Hakikatnya, bonus terbaik bagi rakyat, bukan hanya para penjawat awam, adalah dengan kerajaan menerapkan Islam secara kaffah. Penerapan Islam akan menjamin kehidupan sempurna bagi setiap individu rakyat. Syariat Islam menjanjikan bahawa hak masyarakat dan individu akan pasti terpelihara. Persoalan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas individu dan masyarakat tidak lagi timbul. Tuntutan ‘bonus’ tahunan oleh Cuepacs tidak akan berulang lagi. Malah lebih dari itu, seluruh rakyat, bukan hanya golongan tertentu akan mendapat manfaat dari penerapan agama Allah yang mulia ini. Inilah bonus yang terbaik!