Bual Bicara Mengajak Muslimah Menjauhi Sifat Muslim Ramadhan

15 Julai 2014, Chenderong Balai, Perak – Khilafah Centre dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia telah mengadakan satu program Bual Bicara yang bertajuk “Fenomena Muslim Ramadhan” bersempena dengan kedatangan Ramandah al-Mubarak. Program yang telah diadakan di Surau Al-Khairiyyah, Kampung Belt, Chenderong Balai, Perak menampilkan tiga orang ahli panel dan seorang moderator untuk mengupas beberapa perkara berkaitan tajuk.

Program dimulakan dengan sesi taaruf bersama peserta untuk menjalin ukhuwah di samping berkongsi pelbagai aktiviti yang diadakan sempena Ramadhan di tempat masing-masing. Sesi bual bicara ini diadakan sebanyak dua pusingan. Pada pusingan pertama, Puan Hayati menerangkan maksud Muslim Ramadhan iaitu Muslim yang hanya berlumba-lumba untuk beramal pada sebulan Ramadhan sahaja. Muslim sebegini begitu menjaga tingkah lakunya daripada terjebak melakukan sebarang bentuk perlanggaran dan kemaksiatan kepada Allah SWT. Contohnya, aurat ditutup, tutur kata dan tingkah laku dijaga serta hawa nafsu dikawal. Namun usai Ramadhan, mereka kembali kepada keadaan asal dan tidak mengendahkan hukum perbuatan masing-masing.

Ustazah Nabila seterusnya memberikan contoh-contoh Ramadhan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan generasi para sahabat yang wajar kita renungi. Perang Badar al-Kubra dan Fathu Mekkah merupakan antara peristiwa di bulan Ramadhan yang tercatit dalam lipatan sejarah. Ini bagi menggambarkan betapa besarnya pengorbanan dan kesungguhan mereka demi mempertahankan Islam walaupun diuji dengan keadaan mereka yang berpuasa pada ketika itu.

Ustazah Rahmah pula mengupas bagaimana umat Islam dapat memanfaatkan Ramadhan untuk meraih pahala semaksimumnya iaitu apabila hidup di bawah naungan kepimpinan Islam iaitu Daulah Khilafah. Andainya kaum muslimin disatukan di bawah Daulah Khilafah, tentunya kita akan berpuasa dalam suasana yang penuh dengan ketakwaan kerana Khalifah akan memastikan seluruh hukum syarak dilaksanakan secara menyeluruh sepanjang masa dan bukan hanya di bulan Ramadhan.

Pada pusingan kedua, ketiga-tiga panel menyeru para peserta untuk memuhasabah diri agar tidak tergolong sebagai Muslim Ramadhan atau Muslim jadi-jadian. Mereka juga mengajak para hadirin untuk bersegera melaksanakan syariat dengan mencontohi ketaqwaan para sahabat. Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kita untuk melaksanakan segala perintahnya dan tidak memilih-milih mana yang disukai untuk dilaksanakan seperti firmanNya, “Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat[TMQ al-Baqarah (2):85].

Apabila umat Islam beriman kepada ayat Allah berkenaan wajibnya berpuasa di bulan Ramadhan, umat Islam juga seharusnya beriman akan ayat-ayat Allah berkaitan keharaman riba’, wajibnya menutup aurat dan seluruh hukum-hukumNya yang termaktub di dalam al-Quran. Di akhir program, seluruh hadirin yang hadir bersama-sama membaca doa qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saudara seaqidah di Palestin yang sedang dizalimi oleh Israel laknatullah.

Di kesempatan ini, MHTM Perak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada AJK Muslimat Surau Al-Khairiyyah Kg. Belt yang memberi kami ruang untuk menjayakan program ini serta para hadirat yang memberikan sokongan sehingga program ini berjalan lancar. Semoga Allah menyatukan hati-hati kita ke arah kebaikan dan menebarkan rahmatNya ke atas umat Islam, memberkati langkah-langkah perjuangan serta meredai kehidupan kita di dunia dan akhirat.