Buaya Kembali Ke Lubuk
Bercakap kepada pemberita, Dr. Mahathir, 84, melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali dan diterima semula oleh UMNO. ‘‘Walaupun saya berada di luar UMNO tetapi dalam hati saya masih orang UMNO. Walaupun saya tegur UMNO, saya fikir teguran itu adalah untuk membina UMNO, bukannya untuk menghancurkan UMNO. ‘‘Oleh itu saya berharap yang keluar UMNO sama dengan saya akan kembali semula dan harap parti akan menerima mereka,” katanya.
Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. Pada majlis itu juga, anak Dr. Mahathir iaitu Datuk Mokhzani turut mengambil langkah sama menyertai semula UMNO. Dr. Mahathir mengisytiharkan keluar daripada UMNO dalam satu ceramah di Alor Setar pada 19 Mei tahun lalu kerana hilang keyakinan terhadap parti itu. Pada sidang akhbar yang dihadiri puluhan wartawan tempatan dan media asing tersebut, bekas Perdana Menteri itu secara berseloroh tidak menafikan penyertaan semula beliau ke dalam UMNO hari ini mirip perkara sama 40 tahun lepas ketika parti itu di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Razak Hussein.
‘‘Satu pakatan kekeluargaan yang tidak sengaja tetapi benarlah, saya dapat masuk balik UMNO dahulu pun kerana Tun Razak yang menerima saya dan kali ini, anaknya yang terima saya. ‘‘Mengenai jawatan (dalam UMNO atau kerajaan), tak payahlah tetapi kalau nak kerjasama, saya bila-bila masa bersedia untuk memulihkan semula parti kerana saya dipercayai oleh rakyat,” katanya. Serentak itu, Dr. Mahathir menyatakan kesediaannya untuk membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau serta Batang Air.
Ini kerana, kata beliau, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai ahli UMNO untuk terus membantu parti dan BN termasuk berkempen pada pilihan raya walaupun telah bersara. ‘‘Saya tidak suka kalau dah bersara ini, kita pisah diri sama sekali dengan UMNO kerana saya naik pun kerana UMNO. ‘‘Dari dulu pun, saya menawarkan diri untuk berkempen jika diperlukan dan hari ini nampaknya saya diminta untuk berkempen. Saya sudah bersedia kerana ia adalah parti saya,” katanya.
Ditanya adakah beliau akan meneruskan sikap kritikalnya terhadap UMNO sebagaimana sebelum ini, Dr. Mahathir berkata, sikap demikian berlaku apabila ‘kesilapan dilakukan’. ‘‘Jika tidak, saya rasa Tidak perlu jadi kritikal dan saya rasa Datuk Seri Najib tidak akan terkeluar dari landasan (corak kepimpinan) yang telah ditetapkan oleh bapanya dan bukan oleh saya,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 05/04/09
Buaya Kembali Ke Lubuk
Mungkin itu frasa yang paling sesuai diungkapkan kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yg ke-empat ini setelah beliau hampir setahun keluar dari lubuk UMNO. Beliau yang sebelum ini membuat kejutan dengan menghadiri hari terakhir persidangan UMNO turut sama meraikan perlantikan Najib sebagai presiden UMNO yang baru. Sebelum ini beliau tidak menghadiri persidangan pembukaan UMNO dengan alasan bahawa UMNO merupakan parti yang telah rosak dan boleh dilabelkan sebagai parti rasuah di mana orang yang telah disabitkan atas tuduhan melakukan politik wang (baca : rasuah) telah dibenarkan bertanding dan memenangi jawatan yang dipertandingkan.
Kenapa perlu kembali kepada UMNO? Kenapa tidak kepada Islam? Apa yang sepatutnya beliau lakukan adalah kembali kepada Islam dan menyeru seluruh pemimpin dan ahli UMNO agar meninggalkan perjuangan ashobiyyah dan berjuang untuk ketuanan Islam bukannya ketuanan Melayu. Ingatlah, salah satu dari soalan yang akan Allah kemukakan apabila kita dibangkitkan nanti adalah ke manakah sisa- sisa umur kita telah dihabiskan dan kemanakah dilaburkan harta yang telah dikurniakan Allah? Lebih berat lagi bagi seorang pemimpin – apakah telah dilaksanakan amanah yang telah Allah bebankan dengan sempurna dan benar? Apakah Islam telah dilaksanakan?