Bubar parlimen vs bubar demokrasi
Teka-teki pembubaran parlimen akhirnya berakhir apabila Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa YDPA telah bersetuju untuk membubarkan Parlimen.
Walaupun ramai yang tidak bersetuju PRU diadakan di musim tengkujuh, kini semua pihak kena menelan hakikat yang parlimen telah pun dibubarkan dan mungkin buat julung kalinya para pengundi dapat merasa keluar mengundi dengan menaiki bot.
Persoalannya apakah yang rakyat perlu lakukan setelah bantahan mereka terhadap pembubaran parlimen tidak diendah sedikit pun oleh UMNO?
Di sinilah rakyat perlu sedar bahawa UMNO bukanlah parti yang mementingkan rakyat, tetapi ternyata hanya mementingkan diri sendiri…demi kuasa!
Rakyat juga perlu sedar bahawa bukan sahaja UMNO, tetapi parti-parti lain yang bersekutu dengan UMNO pun sebenarnya tidak ada bezanya dengan UMNO. Walaupun parti-parti tersebut tidak bersetuju dengan keputusan UMNO, hakikatnya mereka tetap bersekongkol dalam satu pemerintahan dengan UMNO.
Semua parti yang tidak bersetuju mengadakan PRU di musim tengkujuh, realitinya mereka akan tetap meletakkan calon dan mengharapkan rakyat akan keluar mengundi dan memangkah calon-calon mereka.
Kita yakin mereka tidak akan sanggup untuk memboikot PRU atau mengajak rakyat untuk memboikot PRU sebagai membantah keputusan UMNO mengadakan PRU di musim tengkujuh. Malah mereka mungkin akan menyediakan segala kemudahan agar penyokong-penyokong mereka dapat keluar mengundi dan memangkah mereka, walaupun terpaksa mengharungi banjir atau hujan lebat.
Di sinilah bukti bahawa kesemua parti dalam demokrasi hakikatnya hanya mementingkan diri sendiri dan mementingkan kemenangan, bukannya mementingkan rakyat.
Apa yang lebih penting daripada semua itu ialah, rakyat perlu sedar bagaimana sistem demokrasi sebenarnya hanya menipu mereka, dan sistem kufur ini hanya dipergunakan oleh pemerintah untuk kepentingan mereka sahaja.
Rakyat mengeluh, merintih dan membantah dengan apa cara sekalipun agar PRU tidak diadakan di musim tengkujuh kerana bakal menyusahkan mereka, apakah suara rakyat didengar?
Demokrasi kononnya sebuah sistem dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat…kononnya suara rakyat adalah suara keramat, tetapi hakikatnya suara rakyat dibakul sampahkan!
Jika pemerintah berkuasa untuk membubarkan parlimen, sesungguhnya rakyat berkuasa untuk “membubarkan” demokrasi, dan sudah masanya untuk rakyat melakukan demikian.
Wallahu a’lam.