Bukan hanya pemerintah itu wajib Islam, bahkan sistem pemerintahan juga wajib Islam
Perbalahan yang berlaku dalam PAS seolah-olah tidak menemui titik noktahnya. Keadaan ini terus diperparahkan lagi apabila media massa terus mensensasikan lagi isu tersebut dalam akhbar arus perdana. Isu pemerintah Islam dan bukan Islam kini sedang menjadi isu hangat di kalangan parti-parti komponen yang berseteru dengan PAS.
Keinginan beberapa pimpinan PAS yang menolak pemerintahan bukan Islam itu jelas suatu perkara yang benar. Dalam Islam, antara salah satu daripada tujuh syarat in’iqad (syarat sah) bagi seseorang itu untuk layak menjawat jawatan Khalifah adalah Muslim. Ini didasarkan kepada firman Allah SWT:
“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman”. [TMQ an-Nisa’ (4):141].
Berdasarkan ayat di atas adalah jelas bahawa pemerintahan (kekuasaan) adalah merupakan jalan yang paling kuat untuk menguasai orang-orang yang diperintah. Kalimah ‘lan’ yang digunakan dalam ayat tersebut berfungsi untuk menyatakan selama-lamanya (li ta’bid) merupakan qarinah (petunjuk) untuk menyatakan larangan tegas bagi orang kafir untuk memegang tampuk pemerintahan dan berkuasa ke atas kaum Muslimin. Ketika mana Allah SWT telah mengharamkan adanya jalan bagi orang kafir untuk menguasai kaum Muslim, maka adalah haram pula hukumnya bagi kaum Muslim untuk menjadikan orang-orang kafir sebagai pemerintah ke atas mereka (Muslim).
Namun perlu ditekankan di sini terutamanya terhadap golongan dalam PAS yang tidak bersetuju dengan pemerintah bukan Islam, mereka juga wajib menyedari bahawa Islam bukan sekadar mengharamkan pemerintah yang terdiri dari kalangan individu kafir, sebaliknya Islam juga turut mengharamkan umat Islam daripada menerapkan sebarang sistem pemerintahan kufur seperti demokrasi, monarki, republik, kapitalis, sosialis dan apa jua sistem lain yang sejenis dengannya. Sistem pemerintahan Islam hanyalah Khilafah. Sabda Rasulullah SAW, “Dahulu Bani Israel itu dipimpin (diperintah) oleh nabi-nabi. Apabila setiap seorang nabi mati, maka digantikan dengan nabi yang lain. Akan tetapi tidak ada lagi nabi sesudahku, dan akan ada khalifah-khalifah. Dan jumlah mereka itu ramai” [HR Muslim]. Jelas daripada hadith di atas bahawa sistem pemerintahan Islam itu adalah sistem Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah dalam setiap masa di sepanjang zaman.
Maka sewajibnya pimpinan yang berada dalam PAS bukan hanya sekadar memperjuangkan bahawa pemimpin itu wajib seorang Muslim, tetapi sistemnya juga wajib sistem Islam semata-mata. Inilah fakta dan realiti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, disambung oleh Khulafa’ ar-Rasyidin dan diteruskan oleh para Khalifah seterusnya sehinggalah akhirnya sistem tersebut diisytiharkan runtuh secara rasminya pada tarikh 3 Mac 1924. Persoalan besar yang perlu dilontarkan dan difikirkan sekarang, adakah PAS sanggup untuk keluar daripada kepompong demokrasi yang telah lama terbukti kerosakan dan kebusukannya serta mengelirukan para pejuangnya dan mengalihkan fokus dan pandangan hanya ke arah sistem Islam yang murni lagi agung sepertimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul yakni sistem Khilafah?
Sumber : www.utusan.com.my