Charlie Hebdo terus biadab, penguasa Muslim terus senyap

Gambar UG 190115 2Nampaknya kebiadaban Charlie Hebdo tak kenal henti. Serangan kontroversi yang mengorbankan 12 nyawa seolah-olah tidak memberi apa-apa makna kepada akhbar penghina Nabi itu. Begitu juga dengan kemarahan umat Islam seluruh dunia, seperti langsung tidak dipandang olehnya. Akhbar mingguan Perancis itu juga buat pekak dengan segala kritikan dan kutukan terhadapnya dari seluruh dunia. Manakala Presiden Perancis, Francois Hollande pula tidak habis-habis dengan hujah kebebasan bersuaranya yang membolehkan penghinaan ke atas Nabi dan agama Islam.

Inilah kebiadaban negara Barat yang tidak berkesudahan terhadap Islam. Mereka langsung tidak peduli atau tidak takut dengan apa yang mereka lakukan. Persoalannya, kenapakah mereka begitu berani dan biadab, dalam keadaan mereka tahu bahawa umat Islam memprotes keras apa yang mereka lakukan?

Jawapannya tidak lain tidak bukan adalah kerana diamnya penguasa Muslim terhadap kebiadaban ini. Bukan sahaja diam, malah ramai yang menyuarakan sokongan dan simpati ke atas Charlie Hebdo dan turut menyalahkan kaum Muslim yang bertindak ganas!

Paling berani pun, penguasa Muslim, seperti Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, hanya sekadar mengecam akhbar terbabit tanpa satu tindakan yang bermakna. Pemerintah Malaysia pula memang sentiasa ‘rileks’, sekali-sekali tengok bola dan bermain golf, walaupun dalam keadaan musibah menimpa umat Islam.  

Tidak ada seorang pun penguasa Muslim yang berani mengambil tindakan politik, apatah lagi mengancam untuk berjihad, ke atas akhbar dan negara penghina Rasulullah SAW itu.

Inilah perbezaan ketara dan jauhnya jurang antara umat Islam dan pemimpin mereka. Tatkala umat bangkit memprotes dengan penuh kemarahan terhadap penghinaan yang dilakukan Charlie Hebdo ke atas Nabi Muhammad SAW, pemimpin pula terus membatu.

Semoga umat Islam semakin sedar bahawa pemimpin mereka sekarang tidak sepemikiran dan sealiran dengan mereka dan semoga umat Islam semakin sedar betapa perlunya kita kepada Khilafah yang akan menjaga kemuliaan Islam dan Rasulullah SAW, sebagaimana Khulafa’ al-Rasyidin dahulu menjaganya. Insya Allah dengan berdirinya Khilafah dalam masa terdekat ini, segala kebiadaban puak kuffar ini akan pasti terjawab!