Demokrasi dan kebebasan – sampah peradaban

Tiada kebebasan mutlak – Bukan alasan rosakkan reputasi, hina agama – Abdullah

KUALA LUMPUR 27 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk merosakkan reputasi dan harga diri seseorang atau menghina agama lain termasuk agama Islam.

Perdana Menteri menegaskan, kebebasan bersuara sememangnya adalah hak asasi tetapi ia bukanlah sesuatu yang mutlak atau boleh dilakukan tanpa kawalan.

“Masyarakat yang sangat menyayangi kebebasan di dunia ini pun pasti tahu bahawa tidak ada satu bentuk kebebasan tanpa had termasuk juga kebebasan untuk bersuara,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Media Asia di sini hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata Abdullah, setiap negara termasuk Malaysia memerlukan undang-undang untuk melindungi rakyatnya daripada sebarang dakwaan berunsur fitnah dan mempertahankan institusi terasnya daripada kenyataan berbentuk hasutan.

“Saya tidak melihat undang-undang seperti ini (bertujuan melindungi rakyat dan institusi teras) sebagai membendung kebebasan, malah penting bagi memastikan masyarakat kita bergerak sihat,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa menyokong kewartawanan beretika dan syarikat yang melaksanakannya.

“Media seperti yang kita maklum adalah komponen terpenting dalam pembentukan negara bangsa dan pentadbiran yang terbaik,” katanya.

Abdullah juga melahirkan keyakinan bahawa media tradisional iaitu surat khabar dan televisyen tidak akan terkubur di tangan penggendali blog atau program seperti YouTube seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya yakin media tradisional akan kekal di hadapan dalam menyediakan kandungan walaupun ia kehilangan monopoli dalam mendapatkan perhatian orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, keyakinannya bersandarkan hakikat bahawa kebanyakan syarikat media kini telah mula mempelbagaikan saluran berita mereka untuk menarik perhatian ramai.

“Media tradisional masih lagi terlalu jauh dari segi kualitinya walaupun ada segelintir pengamal media baru di Internet yang mungkin menghampiri kualiti itu,” katanya.

Perdana Menteri berharap mereka akan terus berpegang kuat kepada nilai-nilai seperti ketepatan, kebijaksanaan dan kesaksamaan.

“Nilai-nilai inilah yang membezakan anda dengan lambakan maklumat yang kita ada sekarang,” kata Abdullah.

Beliau turut mencadangkan diperkenalkan dasar yang boleh memantapkan penggunaan media memandangkan teknologi komunikasi baru mampu menjadi alat untuk tadbir urus yang baik.

Sumber: Utusan Malaysia 28/05/08

Ulasan :

Dalam sistem demokrasi yang berteraskan pemikiran sekular, empat kebebasan utama yang disucikan adalah kebebasan beragama, kebebasan bertingkah laku, kebebasan bersuara dan kebebasan berekonomi. Inilah yang dijunjung dan dipandang tinggi oleh mereka dan mereka menamakannya dengan Hak Asasi Manusia (HAM). Perbuatan pemimpin mengkritik konsep kebebasan yang dibawa oleh Barat nampak seperti suatu yang ‘mulia’, namun hakikatnya aktiviti dakwah untuk menerapkan Islam juga turut disekat atas nama kebebasan. Tetapi jika terdapat suara-suara yang memuji dan mengampu mereka (pemimpin) sehingga melangit, maka suara ini ‘dibebaskan’ sehabis-habisnya. Jika terdapat suara untuk membetulkan pemimpin dengan Quran dan Sunah, maka suara ini tidak boleh ‘dibebaskan’, malah yang bersuara boleh dipenjarakan.

Islam bukannya berdiri atas asas kebebasan, tetapi Islam datang dan mengatur perbuatan manusia agar sesuai dengan hukum-hakam Allah swt. Sebagaimana kaedah fiqh ada menyebut, “al-aslu fi al-af’al tuqayyidu bi hukmi syar’i” (asal kepada sesuatu perbuatan itu terikat dengan hukum-hakam syarak).

Baratlah yang mempelopori idea kebebasan dan HAM ini di jajanya ke seluruh negeri kaum Muslimin. Tunjang kepada HAM adalah ‘kebebasan’ dan secara amnya, empat jenis kebebasan menjadi tunggak utamanya yang mana hal ini termanifestasi dari setiap peruntukan undang-undang atau amalan yang dipraktikkan di negara Barat. Wujudnya pemimpin-pemimpin boneka dan sekular pada hari ini menjadi penerus kepada legasi pemikiran kebebasan di negara umat Islam, termasuklah di Malaysia.

Empat tonggak utama kebebasan dalam sistem demokrasi yang keji ini kesemuanya adalah bertentangan dengan Islam:-

(1) Kebebasan Beraqidah/beragama: Kebebasan beraqidah menurut HAM ertinya ialah manusia berhak untuk menganut atau meyakini agama atau ideologi apa sekali pun dan berhak mengingkari atau menukar agama sesuka hati. Sebahagian kaum Muslimin yang tertipu oleh kaum kafir menyangka bahawa kebebasan beragama yang dipropagandakan oleh kaum kuffar itu tidaklah bertentangan dengan Islam. Mereka berhujah dengan Firman Allah Ta’ala, “Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)” [TMQ Al-Baqarah (2):256] dan ayat “Maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah dia beriman dan siapa sahaja yang ingin (kafir) biarlah dia kafir” [TMQ Al-Kahfi (18):29]. Mereka ini menyimpang jauh dari Islam di mana mereka tidak memahami bahawa objek pembahasan dua nas tersebut adalah berupa seruan (khitab) yang hanya ditujukan kepada orang-orang kafir. Nas tersebut menjelaskan bahawa kaum Muslimin tidak boleh memaksa orang kafir untuk masuk Islam. Kedua-dua nas ini tidak ditujukan kepada kaum Muslimin, sebab bagi seorang Muslim, ia tidak diberi pilihan lagi untuk memilih ingin kafir atau murtad. Jika seorang Muslim telah keluar dari Islam (murtad), maka dia akan diminta bertaubat dan jika dia enggan, maka hukuman hudud wajib dijatuhkan ke atasnya yakni dihukum mati. Sabda Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa Sallam, “Barang siapa yang menukar agama (Islam)nya, maka bunuhlah dia” [HR Bukhari, Muslim, Ahmad]. Jadi, kebebasan beragama langsung tidak ada dalam kamus Islam, bahkan sebaliknya, seorang Muslim wajib terus memeluk agama Islam. Jelaslah bahawa seorang Muslim tidak boleh menerima idea kebebasan beragama yang diserukan oleh HAM.

(2) Kebebasan Berpendapat/bersuara: Kebebasan berpendapat menurut HAM bererti bahawa setiap orang memiliki hak untuk menyatakan pendapat apa sahaja dalam segala perkara tanpa terikat dengan batasan apa pun. Kebebasan berpendapat ini sangat menarik perhatian sebahagian kaum Muslimin, sebab mereka selama ini hidup tertindas di bawah penguasa-penguasa yang zalim di mana mereka akan ditangkap jika bersuara menyalahi kepentingan/kehendak penguasa. Justeru, mereka melihat idea ini sesuai dengan Islam. Walhal kebebasan berpendapat yang dibawa oleh HAM ini merangkumi pendapat/pemikiran apa sahaja, walaupun pemikiran tersebut bertentangan dengan aqidah Islam seperti pemikiran tentang nasionalisme, patriotisme, pluralisme, feminisme dan sebagainya. Padahal, Islam telah memerintahkan umatnya untuk menghapuskan segala bentuk pemikiran kufur ini. Untuk mengetahui sejauh mana kebebasan ini diberikan oleh HAM, lihatlah penghinaan yang dilakukan oleh mereka terhadap Rasulullah di mana tidak ada satu tindakan pun yang diambil ke atas penghina Rasul ini kerana hal ini sememangnya dibenarkan di bawah kebebasan berpendapat yang ada dalam HAM.

Memang benar, bahawa Islam telah membolehkan seorang Muslim untuk menyatakan pendapatnya terhadap segala hal dan persoalan. Akan tetapi Islam mensyaratkan bahawa pendapat tersebut wajib terpancar dari aqidah Islam atau di bangun berasaskannya, serta tetap berada dalam lingkungan Islam. Oleh itu, seorang Muslim berhak menyatakan pendapat apa sahaja selama mana pendapat tersebut masih bersandar kepada dalil syara’ atau berada dalam batas-batas syara’. Lebih dari itu, Islam sesungguhnya telah lama (sebelum wujud HAM lagi) membenarkan, malah mewajibkan seorang Muslim untuk menyeru (berdakwah) manusia kepada Islam, melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, bersuara dengan menegur kesalahan saudaranya atau kesalahan pemerintah sekali pun. Islam bukan sekadar menjadikannya satu hak, malah merupakan tanggungjawab terhadap setiap Muslim untuk melakukan muhasabah sesama Muslim, yang mana hal ini langsung tidak ada kena mengena dengan HAM yang baru muncul pada tahun 1948 ini.

(3) Kebebasan Kepemilikan: Adapun kebebasan hak milik menurut idea HAM ini bererti manusia berhak memiliki segala sesuatu sesuka hatinya dan menggunakan segala sesuatu miliknya itu sesuka hati juga, selama hal itu tidak melanggar hak-hak orang lain. Maksudnya, selama tidak melanggar hak-hak yang diakui oleh sistem dan undang-undang yang mereka gubal. Hal ini bererti manusia berhak memiliki segala sesuatu baik yang dihalalkan oleh Allah mahupun yang diharamkanNya, kerana yang menjadi ukuran adalah undang-undang buatan manusia, bukannya undang-undang Allah. Contohnya manusia berhak memiliki harta dari wang riba atau perjudian (kerana undang-undang manusia membenarkan) dan manusia juga berhak memiliki barang-barang yang termasuk dalam pemilikan umum (public property) seperti minyak, gas, pantai dan sungai-sungai, malah mana-mana individu tidak dihalang dari memiliki harta/saham yang jelas-jelas diharamkan Allah seperti syarikat judi, bank riba, syarikat insurans, rumah pelacuran dan sebagainya. Kebebasan ini telah menimbulkan pula akumulasi kekayaan yang melimpah ruah di tangan segelintir orang yang disebut sebagai para kapitalis. Ada pun Islam menjelaskan bahawa seorang Muslim itu hanya berhak memiliki harta yang dihalalkan oleh Allah sahaja dan haram baginya memiliki apa sahaja yang diharamkan oleh syara’. Islam telah membahagi dan membezakan hak pemilikan kepada tiga kategori iaitu pemilikan individu (milkiyyah al-fardiah), pemilikan umum (milkiyyah al-‘ammah) dan pemilikan negara (milkiyyah ad-daulah) yang setiap satunya diperincikan oleh nas-nas yang jelas. Kontradiksi kebebasan kepemilikan di bawah HAM dengan pemilikan dalam Islam adalah teramat jelas, sehingga kaum Muslimin diharamkan mengamalkan idea kebebasan di dalam memiliki sesuatu kecuali wajib berpegang kepada halal dan haram.

(4) Kebebasan Bertingkah laku: Menurut HAM, kebebasan bertingkah laku bererti setiap orang berhak menjalani kehidupan peribadi semahunya, asalkan tidak melanggar kehidupan peribadi orang lain. Berdasarkan hal ini, seorang lelaki dan wanita bebas untuk berdua-duaan, bercium atau berzina sekalipun selama mana kedua-duanya redha. Tidak ada apa yang dinamakan halal atau haram di dalam HAM, yang penting, semua orang boleh melakukan setiap perbuatan di dalam ruang lingkup undang-undang yang dibuat oleh manusia. Justeru, boleh sahaja jika perempuan tidak mahu bertudung atau lelaki mahu berseluar pendek di khalayak ramai kerana tidak ada undang-undang yang menghalangnya. Praktik kebebasan bertingkah laku di bawah HAM ini telah menimbulkan kerosakan yang amat mengerikan yang sudah tidak dapat dibayangkan lagi. Konsep kebebasan ini langsung tidak ada di dalam Islam dan umat Islam langsung tidak memerlukan HAM untuk mengatur tingkah laku mereka. Setiap individu Muslim wajib ‘terikat’ dengan hukum Allah. Tingkah laku manusia justeru wajib diatur dengan hukum syara’ dan Islam telah lama mengatur hal ini sesuai dengan perintah dan larangan Allah.
[
Sila lihat SN152]

Ringkasnya, konsep kebebasan yang dijunjung dalam sistem demokrasi sebenarnya tidak lebih dari sebuah sampah yang ada dalam peradaban manusia. Ia adalah konsep yang wujud dalam sebuah sistem kufur-demokrasi yang sama sekali bertentangan dengan Islam. Justeru, baik demokrasi mahupun kebebasan yang terkandung di dalamnya, kedua-duanya perlu dibuang dari kehidupan ini agar bau busuk dan kejijikan yang dibawa keduanya tidak lagi merosakkan manusia di bumi Allah ini.