Tuntutan syara’ menggunakan mata wang emas

Baru-baru ini kita dihidangkan dengan berita kejatuhan mendadak hampir kesemua harga mata wang digital terutama Bitcoin sebelum kembali meningkat naik dalam tempoh beberapa hari. Jika permintaan terhadapnya terus melonjak kita akan melihat situasi yang sama seperti berlaku terhadap gelembung pasaran saham ketika ia pecah. Sudah pasti pihak yang mendominasinya adalah pihak yang paling awal membuat penjualan singkat untuk mendapatkan untung besar dan sebahagian besar pemain yang lain akan mengalami kerugian dengan berputih mata. Adalah lebih teruk bagi pemain yang rugi sekiranya modal yang digunakan dalam pelaburan tersebut bersumber daripada hutang.

Boleh dikatakan isu kegilaan segelintir masyarakat untuk melabur dalam pasaran mata wang digital sedikit sebanyak berkait dengan keadaan ekonomi dunia hari ini yang semakin sempit dan tahap kepercayaan masyarakat yang semakin menipis terhadap nilai wang kertas (fiat) serta fungsinya sebagai alat simpanan nilai. Saban tahun wang fiat yang dimiliki masyarakat mengalami penurunan nilai (inflasi) akibat pencetakan dan pembekalannya yang berlebihan ke dalam ekonomi melebihi pengembangan ekonomi negara. Kesannya rakyat akan terus mengeluh disebabkan jumlah perbelanjaan harian yang semakin meningkat akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang berlaku dari tahun ke tahun.

Memilih jalan pintas untuk menghadapi situasi sukar ini dengan terlibat dengan pelbagai pelaburan dan skim cepat kaya yang bersifat spekulatif bukanlah satu penyelesaian yang benar, kerana pada akhirnya mentaliti untuk cepat kaya ini akan memakan diri sendiri. Di sini kami ingin menekankan bahawa Islam sebagai satu ideologi yang sempuna dan merangkumi semua aspek kehidupan telah dijamin oleh Allah SWT sebagai penyelesaian kepada kesemua permasalahan manusia, dan Allah SWT juga telah menetapkan mata wang syarie adalah dinar dan dirham yang stabil sifatnya berperanan untuk menjaga kekayaan manusia dan transaksi harian mereka. Tidak ada jalan lain melainkan kita kembali sepenuhnya kepada Islam sebagai Ad-Din sebagai mana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Diharap penulisan serba ringkas ini sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada pembaca tentang isu kedudukan mata wang dalam Islam dan kewajiban dalam penerapannya .

Dinar Sebagai Tuntutan Syara

Pertama: Islam telah mengharamkan penimbunan harta (kanzul mal) untuk emas dan perak, sedangkan barangan lain digunakan istilah sorok atau “ihtikar”. Walaupun emas dan perak merupakan harta tetapi penggunaan istilah penimbunan harta (kanzul mal) adalah khusus untuk menunjukkan bahawa mata wang Islam adalah disandarkan kepada emas dan perak. Allah swt berfirman : “Dan orang-orang yang menimbun emas dan perak, serta tidak menafkahkannya di jalan Allah (untuk jihad), maka beritahukan kepada mereka (bahawa nereka akan mendapat) azab yang pedih.” [Q.S. At-Taubah:34]

Kedua: Islam telah mengaitkan emas dan perak dengan hukum-hakam yang tetap dan tidak berubah-ubah.

a) Ketika Islam mewajibkan diyat, Islam telah menentukan diyat tersebut dengan ukuran tertentu dalam bentuk emas. Rasulullah saw. bersabda :

“Tangan itu wajib dipotong, (apabila mencuri) ¼ dinar atau lebih”

(H.R. Imam Bukhari, dari Aisyah)

Batasan hukum tertentu dengan mempergunakan dinar, dirham dan mitsqal ini telah menjadikan dinar dan dirham sebagai kombinasi mata wang yang digunakan untuk mengukur nilai barang dan perkhidmatan. Jadi, kombinasi mata wang inilah yang menjadi wang, dan kombinasi inilah yang menjadi sandaran wang tersebut. Islam juga telah mengaitkan hukum-hakam syara’ dengan emas dan perak dalam bentuk nas, yakni ketika hukum-hakam ini terkait dengan masalah wang, adalah bukti bahawa wang tersebut berbentuk emas dan perak.

b) Rasulullah saw. telah menetapkan emas dan perak sebagai wang dan standard mata wang di mana standard harga barang dan upah perkhidmatan akan dikembalikan kepada standard tersebut. Juga, dengan sandaran emas dan perak inilah semua bentuk transaksi boleh dilangsungkan. Baginda telah membuat standard wang ini dalam bentuk uqiyyah, dirham, daniq, qirath, mitsqal dan dinar. Semuanya ini sudah dikenali dan sangat masyhur pada masa Nabi saw, di mana masyarakat telah mempergunakannya dalam melakukan transaksi. Semuanya tadi dilakukan dengan emas dan perak sebagai wang yang berlaku untuk jual-beli dan nikah. Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadis-hadis sahih.

Rasulullah saw. telah menetapkan berat emas dan perak tersebut dengan berat tertentu iaitu timbangan penduduk Mekah. Imam Daud dan an-Nasa’i telah meriwayatkan dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah saw. bersabda : ‘Timbangan tersebut adalah timbangan penduduk Mekah”.

Dengan meneliti kembali berat timbangan wang dalam Islam, maka nampak jelas bahawa 1 uqiyyah menurut ukuran syara’ adalah sama dengan 40 dirham. Sedangkan 1 dirham sama dengan 6 daniq. Sementara 1 dinar sama dengan 20 qirath, dan setiap 10 dirham sama dengan 7 mitsqal di mana semuanya tadi telah ditetapkan oleh timbangan-timbangan Madinah.

c) Ketika Allah swt. mewajibkan zakat wang, maka Allah telah mewajibkan zakat tersebut untuk emas dan perak, kemudian Allah menentukan nishab zakat tersebut dengan nishab emas dan perak. Dengan adanya zakat emas dan perak tersebut, telah ditentukan bahawa wang tersebut berbentuk emas dan perak.

d) Hukum-hakam tentang pertukaran mata wang (money exchange) hanya disebut dengan emas dan perak. Ketentuan syara’ tentang pertukaran mata wang tersebut dengan emas dan perak adalah bukti yang tegas bahawa wang mestilah dalam bentuk emas dan perak dan bukannya sandaran selainnya. Nabi s.aw. bersabda : “Emas dengan mata wang (boleh terjadi) riba, kecuali sama-sama sepakat.” (H.R. Imam Bukhari)

Dengan memperhatikan keseluruhan hal tadi, akan tampak bahawa wang dalam Islam berhubungan dan terikat dengan hukum-hakam syara’ sehingga keharaman menimbunnya, kewajipan mengeluarkan zakatnya, adanya hukum-hakam pertukarannya, diamnya Rasulullah terhadap urusan transaksi dengannya, serta keterkaitan diyat dan potong tangan dalam pencurian, telah menjadikan mata wang tersebut sebagai suatu isu utama. Jadi mata wang dalam Islam mesti berbentuk emas dan perak (Petikan daripada Jenayah Mata Wang, Forum Intelektual Nusantara, Bil.1 Jilid 2).

Pandangan Para Ulama

Imam al-Ghazzali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ada mengatakan: “Allah SWT menciptakan dinar dan dirham sebagai hakim perantara bagi seluruh harta sehingga semua harta boleh diukur dengan keduanya. Dikatakan seekor unta bernilai 100 dinar, begitu juga minyak za’farab bernilai 100 dinar. Kedua-duanya sama ukuran dan sama nilai”.

Imam al-Ghazzali menjelaskan bahawa wang sebagai unit hitungan/akaun digunakan untuk mengukur nilai barangan dan perkhidmatan. Ia juga berfungsi sebagai alat perantara yang membantu dalam proses pertukaran barangan dan perkhidmatan. Selain itu, beliau menetapkan wang sebagai alat simpanan nilai kerana ia terdiri daripada logam yang bernilai dan tahan lama.

Abu `Ubaid al-Qasim bin Salam merupakan penulis kitab agung al-Amwal berkenaan sistem ekonomi Islam turut menyatakan: “Menurutku dinar dan dirham adalah nilai harga bagi sesuatu, sedangkan perkara lain tidak boleh menjadi nilai harga bagi keduanya.”

Di sini menunjukkan bahawa Abu `Ubaid telah mengisyaratkan bahawa dinar dan dirham merupakan standard ukuran bagi semua jenis barangan dan perkhidmatan. Dan sebarang komoditi lain tidak boleh dijadikan pengukur nilai kepada emas dan perak.

Ibnu Khaldun juga menjelaskan bahawa wang adalah alat simpanan nilai dalam ungkapannya yang berbunyi: “Kemudian Allah SWT menciptakan daripada dua logam emas dan perak sebagai nilai untuk setiap harta. Dua jenis ini merupakan simpanan dan perolehan kebanyakan manusia di dunia.” Selanjutnya Ibnu Khaldun menyatakan “Sesungguhnya Allah SWT menjadikan emas dan perak sebagai benda yang berharga bagi semua barangan yang dinilaikan”.

Sementara itu Ibn al-Qayyim ada menyebut: “Dinar dan dirham adalah nilai harga bagi sesuatu barangan. Nilai harga ialah ukuran dalam memberi nilai barangan, maka ia wajib bersifat tetap dan stabil iaitu tidak naik dan tidak turun nilainya. Sekiranya ia boleh naik dan turun nilai seperti barangan lain, tentunya kita tidak lagi mempunyai unit ukuran yang sebenar untuk mengukur nilai barangan.”

Daripada kenyataan Ibn al-Qayyim ini jelas menunjukkan dua fungsi utama wang adalah sebagai alat pertukaran dan standard nilai, dan penyimpangan terhadap kedua fungsi tersebut boleh terjadi ketika kebanyakan orang mengkehendaki wang untuk keperluan wang itu sendiri.

Malah al-Maqrizi menjelaskan masalah inflasi dan kesukaran untuk mendapatkan barang keperluan semasa pemerintahan Muhammad al-Kamil ibn-‘Adil di Mesir dan Syria yang berlangsung sekitar 615-635H adalah disebabkan perubahan standard matawang emas dan perak kepada fulus (tembaga).

Masalah Sistem Wang Fiat

Berdasarkan kenyataan ulama-ulama muktabar di atas maka jelaslah tidak wujud sebarang benda di dunia ini selain emas dan perak yang dapat memenuhi sifat dan peranan kedua-duanya sebagai wang dan standard mata wang. Sistem monetari yang berasaskan dua logam ini telah terbukti mampu menghapuskan kezaliman dalam aktiviti perekonomian. Peranannya sejalan dengan salah satu objektif maqasid syariah untuk menjaga harta manusia terutamanya daripada kesan penurunan nilai wang (inflasi) yang berterusan seperti mana yang dapat kita rasai pada hari ini.

Di peringkat domestik, industri perbankan (hutang) dikawal selia oleh bank pusat negara yang mempunyai kuasa istimewa untuk mencetak dan mencipta wang baru dengan mengaut keuntungan hampir 100% daripada nilai nominal yang tertera pada wang kertas (atau jumlah hutang yang diberikan) yang dipanggil seigniorage. Hal ini kerana kos untuk mencetak RM100 sebagai contoh hanyalah melibatkan beberapa sen sahaja. Seigniorage iaitu keuntungan daripada hasil perbezaan antara kos produksi wang dan nilai nominal yang tertera pada wang kertas tersebut akan menyebabkan kesan negatif terhadap perekonomian dengan mencipta kuasa membeli yang palsu.

Dalam sistem wang fiat hari ini, punca utama masalah inflasi di seluruh dunia adalah kerana disebabkan jumlah wang yang beredar terlalu besar berbanding saiz ekonominya. Ini terjadi melalui sistem perbankan pecahan simpanan (fractional reserve banking) yang membolehkan bank-bank komersial mencipta wang berlipat kali ganda daripada jumlah deposit pelanggan dan kemudiannya dibawa masuk ke dalam ekonomi dengan mekanisme pemberian hutang secara berleluasa kepada orang awam.

Di peringkat antarabangsa pula sistem mata wang fiat menjadi alat imperialisma oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang mana mata wang dolarnya beserta sektor perbankan dan pasaran kewangannya mendominasi dan menjadi platform bagi perdagangan, pembiayaan dan pelbagai transaksi kewangan yang lain. Dengan segala platform ini Amerika Syarikat dapat mengawal ekonomi antarabangsa mengikut kepentingannya dan mengenakan sekatan ekonomi sesuka hatinya kepada negara yang dikehendaki.

Selain itu sistem ini juga terdedah kepada  jenayah mata wang seperti spekulasi berlebihan yang boleh menyebabkan sesebuah negara hilang kekayaannya yang besar dalam sekelip mata seperti terjadi pada negara-negara Asean dalam Krisis Kewangan 1997. Akhirnya kedaulatan negara-negara yang terkesan teruk dengan krisis tersebut terancam dan ada daripadanya terpaksa meminta bantuan pinjaman daripada IMF dengan menggadai sebahagian kepentingan negara.

Isu Mata Wang Digital

Bagi isu mata wang digital seperti Bitcoin pula cukuplah dikatakan ia bukanlah perkara yang memerlukan ijtihad kerana dengan melihat realitinya saja ia secara terang-terangan tidak memenuhi tiga kriteria utama berkenaan wang iaitu:

i) sebagai pengukur nilai barang dan perkhidmatan contohnya dalam menentukan harga dan upah,

ii) penerbitkan dan kawal selia mesti di bawah tanggungjawab pemerintah dan bukannya pihak lain apatah lagi yang tidak diketahui.

Dalam tafsir al-Qurtubi, Suhayl bin ‘Abdullah Al-Tusytari ada menyatakan berkenaan Ayat 59 Surah  An-Nisa, “Mentaati sultan (pemerintah) dengan tujuh perkara: Penempaan dinar dan dirham, menetapkan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, jumu’ah, hari raya (puasa dan korban) dan jihad.”

iii) wang tersebut mestilah mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja dan tidak hanya eksklusif kepada pihak tertentu sahaja.

Selain itu, nilai mata wang digital juga didapati mudah turun naik secara mendadak kerana hanya bersandar kepada permintaan dan penawaran semata-mata. Ia menunjukkan mata wang tersebut sangat tidak stabil sekaligus tidak mampu berperanan menjamin kesejahteraan ekonomi sesebuah negara.

Hanya dengan mengembalikan sistem mata wang berasaskan emas dan perak (dinar dan dirham) sahaja kestabilan dan keadilan ekonomi dapat diwujudkan, kerana ia telah terbukti sebagai sistem monetari yang kalis dari inflasi, manipulasi dan spekulasi.

Kesimpulan

Sistem mata wang berasaskan emas dan perak ini bukan sahaja dapat menjamin kemaslahatan manusia secara keseluruhannya, tetapi lebih daripada itu adalah untuk mengembalikan keseluruhan hukum Islam ke dalam kehidupan dan mempersatukan wilayah-wilayah Islam di bawah satu entiti. Umat Islam perlu bangkit dan mengambil iktibar daripada kebangkitan masyarakat Eropah untuk bersatu di bawah Kesatuan Eropah (EU) bagi membentuk kekuatan ekonomi dengan satu mata wang. Sebaliknya umat Islam perlu lebih dari itu kerana asas aqidah yang satu menuntut kita bersatu dari segi politik bernegara di bawah satu Daulah Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah, yang merupakan penyatuan hakiki umat Islam. Penyatuan ini merupakan jaminan oleh Allah SWT kepada kita sebagai umat terbaik yang dengannya kita mampu memimpin manusia daripada kegelapan kepada cahaya dengan keluar daripada sistem thagut buatan manusia hari ini yang penuh dengan kezaliman dan krisis.